8
Abang bercadang tolak esok petang. Kalau bertolak malam ini, pas kenderaan pun susah nak buat. Kedai banyak yang tidak buka. Lagipun dengan pas putih dan tukar wang semua pasti makan masa. Ali Gila telefon abang. Khabarnya makan malam kali ini dia belanja lagi. Adat tetamu bertandang. Dia bawa pekena makanan laut di Tanjung Dawai. Abang ikutkan saja. Sudah lama dia tidak pekena masam pedas manis dan kerang bakar. Wain merah ada? Tiada. Hanya sirap limau sahaja.
Untuk tiba ke Tanjung Dawai, kereta harus merentas Merbok, Tupah, Bujang, Semeling, Sungai Pial, dan Singkir Darat. Tidak lama. Hanya mengambil masa 30 minit. Tapi jalannya gelap-gelita. Lembu-lembu yang melepak kemungkinan akan dilanggar jika memandu dalam keadaan separa sedar. Keluar sahaja dari jawapan dan meletakkan kembali kunci ke dalam Buaya, gugur daun-daun kuning yang ada. Pokok Batai Laut beroleng gugur tanda setuju dengan perjalanan yang akan kami tempuh. Aku tidak tahu hendak kategorikan tentang musim apa di Kedah ini. Sorenya terik, hujannya malam, daunnya gugur, torpedonya garang dan bunganya mekar. Entahlah. Mungkin musim juga sudah keliru sama seperti manusia di Malaysia ini. Keliru tanpa arah tuju. Abang biarkan daun batai laut yang gugur ada di atas bumbung. Mereka juga perlu tidur dan jalan-jalan.
Selang kereta bergerak, bang Maghrib berkumandang. Kami balik dahulu ke hotel untuk segar badan. Serasa sesak jalanraya dengan enjin dan tayar. Esok aku akan ke Krabi untuk kali kedua. Kali pertama mengejar ketenangan, kali kedua mengejar jawapan. Bisakah aku berlari ke pantai atau membelok ke hutan? Tetiba teringat rangkap Dian itu. Entah mengapa pun aku tidak pasti. Kalau benar Latif dan Shereen berada di Krabi, mungkin saja ada komplot tentang semua ini. Tangan berdebar, hati bergetar untuk cepat-cepat mengetahui jawapan. Terasa aneh sebenarnya tentang perkara ini. Dari aku lajukan kayuhan kerana rahmat dalam perjalanan hinggalah berada di dalam bilik basah Hotel Soul Avenue sekarang. Aku lap cermin kerana tebal mengeluwap. Pandang cermin dalam-dalam dan aku terus terkejut.
"Woi,San! San! Cepat sikit! Aku nak berak ni!"
"Orait! Orait!"
Ali Gila telefon abang. Aku jawab. Lagi satu jam dia sampai. Untuk ke Tanjung Dawai, aku rasaBernafas Dalam Lumpur lebih kena temanya. Aku turun ke bawah dulu selepas habis siap. Aku duduk di kerusi batu di luar hotel. Kotak rokok dan mancis diletak di tepi. Masih belum ketagih untuk dihisap. Malam yang sejuk tidak mengingatkan aku pada baris-baris puisi atau cebis novel, sebaliknya lebih tertumpu kepada lirik lagu. Tanpa sedar, otak memilih dari ratus-ratus lirik yang diingat untuk dihantar kepada lidah seraya mengucapkannya perlahan kepada diri sendiri.
Ku pejam mata rapat-rapat
Tiada apa yang terjadi
Cahaya bulan samar-samar
Tampar nyamuk di pipi.
Itu salah satu lagu kumpulan PRIMARY. Aku tak berapa kipas susah mati sangat kumpulan ini. Cuma kenal macam-macam tu saja. Dengar cerita ahli-ahlinya sekarang semuanya sudah berjaya. Ada yang bakal jutawan. Aku hanya doakan yang terbaik untuk penghibur-penghibur yang ada di Malaysia. Amen. Kotak rokok Sampoerna dipadat-padat. Aku keluarkan sebatang dan nyala dengan guris ke-18. Sudah layu nampaknya. Aku campak ke tepi dan ambil yang ke-19. Masih bugar dan dengan hanya sekali guris. Tesuuf! Meletup kecil akibat geseran. Jangka hayatnya hanya ada beberapa saat sahaja. Angin sepoi-sepoi sastera malam itu. Mancis makin layup dan aku hanya payungkan dengan tangan kiri, supaya rokok sempat bercium api. Berjaya dan aku lempar mancis yang sudah mati itu ke tepi.
Dalam sepoi-sepoi sastera itu, aku nampak Ali Gila datang. Dia menjerit dari jauh. Bukan menjerit nama aku. Tetapi menjerit lain,
"Kasi mancis! Kasi mancis!"
YOU ARE READING
DANDAN - sebuah novel Asyraf Bakti
De TodoSanji lari ke Krabi bukan untuk melihat seni batang berdiri. Tapi mencari Nur yang tak pasti. Mencari Nur yang hilang di tengah-tengah Latiff Jamhadi. Mesin taip diketuk hingga berlekuk kertas kajang empat panjang. Gigi-gigi harmonika basah lekit te...