Part 1

154 9 0
                                    

Restoran itu terasa dingin sekali. Hati aku pula, sebaliknya.

Bola mata aku mula bergerak. Mula-mula aku pandang wajah ayah. Kemudian aku pandang wajah mak. Ayah dengan kopi dan surat khabarnya. Mak pula,aku rasa, sengaja menyibukkan diri dengan smartphone yang terletak elok dalam genggamannya. Kadang-kadang terdengar tawa kecil keluar dari mulut mak. Bibirnya yang dicalit gincu merah menyala itu bergerak-gerak. Rambutnya yang terjuntai di dahi diselit ke belakang telinga. Aku mendengus. Nampaknya, mak lebih suka melayan kawan-kawannya berbanding melayan aku di sini. Hatiku terus dipagut rasa sayu.

Kami duduk semeja, namun keadaan sepi sekali.Sesekali terdengar dengusan ayah dan bunyi surat khabar yang diselaknya. Selain itu, adalah sesekali bunyi ping dan bunyi kicau burung yang diiringi gelak tawa ibu yang membuatkan hati aku rasa sakit.Aku nak mulakan perbualan pun terasa kekok. Keluarga apa ini? Semua bisukah? Aku pandang sekeliling, orang lain semuanya nampak gembira. Semua orang datang dengan keluarga. Mereka bersembang dan berbual. Tapi kami? Kenapa kami begini?

Bagi aku, keadaan sekarang sungguh menjengkelkan. Jus manga yang aku telan rasa pahit. Nasi ayam yang aku makan rasa tawar. Aku pandang ke hadapan. Wajah ibu dan ayah aku tatap lama. Rindu mula menjengah pintu hati.Aku tak nafikan kami satu keluarga, namun kami saling tak mengenali. Malang sekali, kami bertiga bagai orang asing. Selalu bertemu, namun tidak bersapa.Mak... Ayah... Wajah mak dan ayah dah lain. Ayah dan mak nampak... Tua. Ya Allah. Terasa lama benar aku tak berjumpa mak dan ayah. Tanpa aku sedar, wajah mak dan ayah sudah berkerut dimamah usia.

Tahukah mereka, menunggu hari ini tiba merupakan satu hukuman bagi aku? Hari ini umpama hari penentuan.Perasaan aku sekarang sungguh bercelaru dan aku keliru dengan tujuan sebenar 'perjumpaan keluarga' ini diadakan. Mereka ajak aku berbincang dan mereka kata aku perlu pilih. Apabila aku kata aku tak mahu memilih, muka mereka bertukar masam. Bila aku ajak mereka berbincang, mereka tak mahu. Ayahasyik membetul duduk manakala mak pula sering meleraikan rambutnya lalu mengikatnya semula. Mak mencebik sebelum pandangannya kembali tertancap pada skrin telefon bimbitnya.

"Jadi, Suri dah buat keputusan?" Akhirnya mak bersuara. Aku menarik nafas panjang.

"Tak boleh ke ayah, mak... Kalau kita hidup macam dulu? Kita kan sekeluarga. Kita patut duduk serumah!" Lembut suara aku tapi nadanya sengaja aku tegaskan. Aku perlu meyakinkan mak dan ayah dan aku mesti betulkan semua ini. Semua ini salah!

"Sorry lah Suri. Tapi, Suri kena buat pilihan. Mak dengan ayah dah tak akan bersama dah lepas ni. Jadi, Suri perlu pilih, Suri nak ikut siapa. Suri nak tinggal dengan siapa." Panjang lebar mak menjelaskan. Sebenarnya, kalau mak tak jelaskan pun aku dah tahu. Aku 20 tahun. Bukan budak-budak lagi.

"Suri tinggal dengan Mak Cik Kalsom jelah. Kat rumah. Macam biasa." Pendek jawapan aku. Cuma, pada ayat 'macam biasa' sengaja aku ungkapkan dengan nada mengejek. Ayah mula menggelengkan kepalanya.

"Selalu macam ni.Balik-balik Mak Cik Kalsom!" Ayah berdehem sebelum menyambung ayatnya.

"Dia tu orang gaji, kau sedar tak Suri! Aku yang gaji dia tiap bulan! Kalau aku tak ada, jangan harap dia tu berduit. Dia tu SPM pun tak lulus. Kalau aku tak gaji dia, takkan ada orang lain nak ambil dia kerja! Gerenti!" Ayah mendengus kasar sambil menghempaskan cawan kopinya ke atas meja. Kasar sekali. Aku tersentak. Ini ayah akukah? Aku tak sangka, sampai begitu sekali ayah membenci. Hina betul Mak Cik Kalsom pada mata ayah. Walhal, Mak Cik Kalsom tu bukan orang lain, tapi darah daging ayah juga. Kenapa ayah? Sampai hati ayah!

Ya, benar. Bagi ayah, Mak Cik Kalsom cuma orang gaji. Namun bagi aku, dialah segala-galanya. Aku balik sekolah dia masakkan untuk aku. Baju aku dia yang basuhkan. Kalau aku terpaksa buat kerja sekolah sampai tengah malam, dia yang temankan. Solat aku dia yang ajar. Pendek kata, Mak Cik Kalsom bukan sekadar orang gaji. Dia lebih daripada itu. Dia pengganti mak. Dia ada bila ayah tak ada. Kalau aku nak menangis aku cari dia. Hari jadi aku sambut dengan dia. Tentang sekolah pun aku cerita pada Mak Cik Kalsom. Apa salah aku kalau aku pilih Mak Cik Kalsom?

Mak Cik Kalsom begitu bermakna bagi aku, hinggakan aku panggil dia ibu. Bagi aku, Mak Cik Kalsomlah ibu yang sebenarnya. Kasih sayang yang dia tumpahkan pada aku melebihi kasih dan sayang mak mahupun ayah. Aku meraup muka. Wajah mak aku pandang lagi sekali.

"Mak suruh Suri pilih..."Sekali lagi mak mengingatkan. Mak tak dengar ke apa yang aku kata tadi? Perlukah aku ulang?

"Suri pilih untuk duduk dengan Mak Cik Kalsom!" Tegas aku menyatakan.

"Suri..." Mak mengurut kepalanya.

"Aku nak call Kalsom." Kata ayah. Aku tersentak.

"Oh sekarang ayah nak call Mak Cik Kalsom?" Bergetar bibir aku waktu itu. Tubir mata aku mula bergenang. Sungguh tak adil. Ayah harap sahaja kerjanya seorang peguam, namun pertimbangannya langsung tak rasional.

"Entah apa yang Kalsom ajar kau selama ni, sampai kau jadi kepala batu!" Tempik ayah.

Apa? Kepala batu? Terpempan aku di situ.

"Apa Mak Cik Kalsom ajar, ayah kata?" Aku ketawa perlahan. "Mak Cik Kalsom ajar Suri semuanya! Dari kerja rumah hinggalah ke solat Suri. Mandi wajib pun Mak Cik Kalsom yang ajarkan!" Aku bagaikan orang hilang akal. Menjerit tak tentu hala. Semua mata di restoran tersebut beralih kearah kami. Drama percuma.

"Daripada ayah fikir apa yang Mak Cik Kalsom ajar, baik ayah fikir apa yang ayah ajar pada Suri." Aku ketawa lagi. "Ada? TAK ADA!" Aku menghentam kuat muka meja. Mata ayah aku jegil. Muka orang tua itu masam mencuka. Matanya jadi merah, semerah biji saga.

"Satu-satunya benda yang ayah turunkan pada Suri tak lain dan tak bukan perangai keras kepala ayah!"

PANG!

Satu tamparan kuat hinggap pada pipi aku. Keras. Aku terus terdiam. Apa ayah ingat dia dah menang? Sudah tentulah tidak! Aku segera capai telefon bimbit ayah yang tersadai di atas meja.Keadaan sekeliling jadi kalut. Orang ramai jadi takut sampaikan ada yang menjerit dan cuba melarikan diri. Pekerja restoran juga mula masuk campur. Mak cuba menghalang tapi sia-sia.Telefon bimbit dalam genggaman aku lempar sekuat hati. Telefon tersebut menghentam lantai marmar restoran lalu pecah, bersepai menjadi cebisan.

Aku tersenyum puas.

Ayah tergamam. Nafas ayah mula naik turun. Tamparan ayah sekali lagi hinggap di pipi aku, bertubi-tubi. Kali ini tamparan ayah begitu deras sekali. Bunyi penyepaknya boleh didengari oleh semua pengunjung restoran. Habis bibir aku pecah dan dahi aku berdarah dihentak jam tangan Rolex ayah. Biar darah aku yang menitik, jangan air mata aku yang menitis! Aku tak mahu nampak lemah, lebih-lebih lagi pada mata ayah.

Aku mesti akhiri semua ini. Aku dah tak tahan lagi!

Sepantas kilat aku berlari menuju ke pintu keluar restoran tersebut. Pintu kaca tersebut aku tolak kuat. Aku tergopoh-gapah berlari menuruni eskalator dan menyelit-nyelit dalam celahan orang ramai. Hampir semua orang yang bertembung dengan aku terkejut melihat aku yang berlumuran darah. Tak kisahlah. Asalkan aku selamat. Bukan! Asalkan aku jauh dari ayah!Aku meluru keluar dari Plaza Mahkota dan terus memecut melintas jalan tanpa melihat kanan kiri terlebih dahulu. Dari jauh, aku dapat mendengar tempikan ayah.

"Kau derhaka Suriiiiiiiiiiiiiii!"

Aku terus berlari. Aku tak mahu menoleh lagi.

MahsuriWhere stories live. Discover now