Aku tercungap-cungap. Mata aku ketika itu liar memerhatikan sekeliling. Jam pada pergelangan tangan aku kerling. Pukul 11 malam. Muka aku basah lencun dengan peluh yang sudah bercampur dengan darah. Aku rasa tak selesa dan muka aku melekit-lekit. Hujung tudung merah jambu yang aku pakai aku tekap pada bibir. Pedih. Tompok merah yang melekat pada tudung tadi aku pandang sekilas. Air mata aku mula bergenang. Inikah bukti kasihnya seorang bapa?
Aku jatuh melutut di atas tar. Wajahku diraup dengan tangan kanan sebelum aku melepas tangis yang sudah lama aku tahan dalam dada. Akhirnya, akurebahkan badan di situ, terbaring sambil memeluk lutut. Buruk benar rasanya rupa aku ketika itu. Tergolek atas tar dengan baju yang penuh darah. Silap hari, orang boleh mati terkejut kalau terjumpa aku di sini. Mana tahu kalau mereka salah anggap, mereka ingat aku adik beradik Cik Kuntilanak atau Pontianak yang baru lepas menjamah makan malam?
Aku tutup mata. Angin malam datang menyapa aku lembut. Tudung aku diulasnya mesra. Sejuk dan dingin sekali. Ah, aku mula rasa mengantuk... Aku rasa aku nak ti...
"Erk... Aaa... Adik?" Satu suara garau menyapa entah dari mana. Aku angkat muka dan kami bertentang mata. Wajahnya kaget. Dia macam nak bergerak mendapatkan aku tapi dalam masa yang sama kakinya bagai dipaku pada tanah. Wajah aku direnungnya lama sebelum anak matanya memandang aku dari hujung tudung sampailah ke hujung kasut. Dia teragak-agak. Mestilah, dah aku pun rupa macam hantu baru lepas beranak kat sini. Aku bingkas bangun. Tak sopan rasanya berbaring begitu di hadapan orang lelaki.
"Ya Allah. Kenapa ni adik!"
"Err... Tak ada apa-apalah abang."
Suri, kau nak menipu siapa ni?
"Adik accident ke?"
"Err... lebih kurang lah abang." Aku terusberlalu dari situ. Rasa takut mula menjalar ke seluruh saraf aku. Lebih-lebih lagi, di tempat sunyi ini hanya ada aku dan dia. Bahaya!
"Adik! Adik nak pergi mana tu. Meh abang bawak pergi klinik. Nampak teruk luka adik tu..." Ajaknya lembut. Wajah lelaki itu nampak tulus. Sayang sekali, aku sukar mempercayai orang, terutamanya orang yang tak dikenali.
Aku seret kaki menuju ke deretan kedai yang terdekat. Lelaki tadi risau benar nampaknya. Dia masih lagi mengekori aku.
Ah, pedulikan saja!
"Suriiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii!" Satu suara lantang menghentam gegendang telingaku. Oh tidak! Pantas aku pusingkan badan, cuba menangkap dari arah mana suara itu datang.
Aku menelan liur. Jantung aku bergegar dan tunggu masa saja hendak gugur. Tak salah lagi. Itu... Suara ayah!
Ah, malang sungguh nasib aku!
Aku nak angkat kaki dan lari sekuat hati. Namun dalam gelap, ternyata pandangan aku terbatas. Waktu aku sedang berlari, aku tersadung batu lalu jatuh tersembam keatas tar. Sakitnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Bunyi kereta Land Rover milik ayah rasanya makin mendekat, aku dapat dengar jelas deruan enjinnya yang mengaumgarang. Tanpa disedari, air mata aku jatuh berderai. Aku rasa tersepit,bagai tiada lagi jalan keluar buatku.
Betul-betul di depan mata, aku nampak kereta ayah merangkak perlahan membelah gelap malam. Nekad benar orang tua itu. Sampai ke sini aku diburunya.Mata aku tertancap pada jalan tar. Harapan untuk selamat bagiku terlalu tipis. Namun, ternyata masih ada orang yang mahu menolong. Aku dapat rasa lengan aku ditarik keras dan aku badan aku dipapah ke sebuah kereta Kancil putih yang diparkir berdekatan.Dia menyumbat aku ke dalam perut kereta sebelum pintu ditutup rapat. Nafas aku jadi celaru. Gawat sekali degupan dalam dada aku pada waktu itu.
"Awak duduk sini diam-diam. Jangan risau ok."
Lelaki tadi berdiri di luar. Tenang saja lagaknya. Dia meletakkan jari telunjuknya di bibir, mengisyaratkan aku supaya diam. Aku mengangguk.
Hampir putus nafasku apabila melihat kereta hitam ayah berhenti betul-betul di sebelah. Di sebalik cermin tingkap kereta, jelas kelihatan wajah bengis ayah dengan matanya yang merah menyala macam seekor naga.Ayah bercakap-cakap dengan jejaka tadi sebelum kereta ayah meluncur pergi. Aku menarik nafas lega.
Lega? Suri, kau sedar tak sekarang kau di mana? Kau dalam kereta seorang lelaki yang kau sendiri pun tak kenal! Mana tahu kalau aku sebenarnya keluar mulut buaya masuk mulut naga?
"Nasib baik dia makan tipu aku." Dia ketawa kecil sebelum mengambil duduk di tempat pemandu. Aku pula terkebil-kebil di belakang.
"Sekarang adik ikut abang. Kita pergi klinik dulu. Lepas tu abang hantar adik balik."
"Err...Tak payah lah abang." Pintu kereta kancil putih dibuka perlahan.
"Adik nak duduk sini? Betul? Yakin?" Dia memusingkan badan ke belakang.
Pintu kereta aku buka. "Iye, yakin bang..."
"Kalau ayah adik datang, adik handle sendiri lah ye." Enjin kereta berderum setelah kunci dipulas. Aku menelan liur. Alamak, kenapalah aku tak terfikir tadi? Pintu kereta aku tutup semula. Dia yang berada di hadapan mula ketawa.
"Sebab abang dah selamatkan adik, adik kena ikut abang pergi klinik. Okey?"
Aku mengangguk lemah.
"Apa nama adik?"
"Hmm... Mahsuri." Balasku pendek.
Telefon bimbit dalam saku aku keluarkan. 19 miss calls terpampang pada muka skrin.Mak Cik Kalsom rupanya. Mesti dia risau. Kalaulah dia tahu keadaan aku yang tersepit sekrang, mesti dia akan datang menghulur bantuan. Tapi, dalam keadaan bahaya sebegini kalau boleh aku tak mahu susahkan dia. Satu mesej ringkas aku taip buat ibu.
'Ibu, Suri tak apa-apa. Ibu jaga diri baik-baik. Nanti Suri call ibu.' Taipku. Butang send ditekan.
"Mahsuri? Unik!" Pandangan aku alihkan kearah pemandu yang berada di hadapan.
Aku senyum. Bukan sekali dua aku dengar pujian sebegitu. Aku pandang sekilas si dia yang sedang memandu. Badannya nampak tersepit di tempat duduk pemandu. Lututnya juga nampak terjongket sedikit ke atas. Selesakah dia? Kepalanya pula hampir mencecah bumbung kereta. Dia seorang lelaki yang tinggi, sangat tinggi...
Tiba-tiba aku tersedar, aku telah merenung jejaka berambut ikal itu terlalu lama. Terperanjat aku apabila aku terpandangkan matanya pada cermin pandang belakang kereta. Dia juga nampaknya sedang memerhatikan aku. Cepat-cepat aku alihkan pandangan kearah lain. Aku tak betah bertentang mata dengan jejaka dihadapanku ini sekali lagi.
"Aaaa... Nama awak?" Tanyaku sekadar memecah sunyi. Dari cermin pandang belakang, aku nampak bibirnya mengukir senyum.
"Kamal."