1997
Dahiku penuh dengan rembesan peluh jantan. Entah kenapa aku merasa tidak selesa. Songkok yang dipakai aku buka. Buku latihan matematik aku pegang dan jadikan kipas. Aku mengipas dengan laju ke arah muka dah serupa penjual satay pulak. Kelajuan kipas kelas Wawasan Satu pada sukatan 3 masih tidak dapat menyejukkan jiwa aku yang panas. Marah. Malu dan segan.
Apabila mengenangkan kejadian tidak sampai 10 minit yang lalu, tiba-tiba pipiku dilintasi air hangat. Sehangat api kata kumpulan X-Factor yang sedang mahsyur ketika itu.
10 minit yang lalu...
Buku amali sains aku pusingkan dengan kelajuan sederhana di hujung jari. Sambil bersiul-siul kecil lagu Tragedi Oktober, mataku tidak lekang memandang lenggok hayunan punggung Tina, makwe kelas sebelah yang kebetulan keluar dari tandas semasa aku pulang dari makmal sains tadi. Leka juga aku dibuatnya apabila lenggokkan Tina aku renung secara mendalam. Imaginasi nakal aku berakhir apabila Tina sampai ke pintu kelasnya. Sempat juga dia menjeling ke belakang, mungkin menyedari dirinya sedang diperhatikan. Aku yang terkejut ketika itu terus berdiri cegat di muka pintu kelas dan mula menadah tangan memohon doa untuk masuk ke kelas. Doa penerang hari aku bacakan secara kuat agar Tina tahu aku seorang yang handal juga dalam bab agama. Amin. Aku masuk ke dalam kelas dan mengambil tempat duduk aku.
Sharif tersengih-sengih apabila melihat aku baru sahaja selesai ujikaji sains 14.3 dan sedikit lambat masuk ke kelas berbandingnya yang sudah selesai lebih awal. Ya, Sharif lebih bijak berbanding aku. Genius juga orangnya. Khabar angin mengatakan Sharif sebelum ini bersekolah di Sekolah asrama penuh. Tapi dia hanya mampu bertahan seminggu. Ada dua versi punca dia berpindah sebenarnya. Versi pertama katanya sekolah itu masih baru dan tiada kelengkapan pembelajaran sepenuhnya. Versi kedua pula dia rindukan rumah. Homesick kata orang putih. Aku pula tidak kisah versi mana satu yang aku perlu percaya. Bagi aku Sharif seorang sahabat yang baik dan tidak gay. Macam mana aku tahu dia bukan gay? Sebab dia bagitahu aku dia ada makwe dekat kelas sebelah, kelas yang sama dengan Tina. Namun namanya masih rahsia. Aku abaikan kerana malas nak mengorek lebih mendalam. Nanti bila Sharif bersedia nak bagitau aku, dia akan buka mulut sendiri. Sebabnya bahaya jugak kalau tak bagitahu aku ni. Takut termengorat pulak.
"Lambat pulak engko setel hari ni ek?"
"Tulaa..tak sempat nak tiru ujikaji engko tadi."
"Lain kali kalau rasa macam tak boleh belah jek, ko panggil aku, aku tunjukkan mana yang patut."
Begitulah baiknya si Sharif ni. Sebab tulah aku bersyukur sangat dapat kawan macam dia ni. Seterusnya kami berbual-bual tentang bola sepak, spiderman dan juga teori kinetik sementara menunggu Cikgu Tee masuk untuk subjek seterusnya iaitu subjek Geografi - subjek kegemaran Sharif.
Sedang kami leka berbual, tiba-tiba kedengaran esakan tangis seorang gadis dihujung kelas. Makin lama maki kuat. Kami berdua memandang sesama sendiri. Rasa pelik mula menyelubungi diri. Kami menoleh serentak ke belakang. Aku dapati Rahmah sedang menangis sambil cuba ditenangkan oleh Cikgu Ramona.
Aku yang masih dalam watak seorang hero terus bingkas bangun ke belakang dan cuba meninjau situasi sebenar.
"What happen? What happen?" Aku bersoal dalam bahasa penjajah sambil berjalan menghampiri Rahmah dan Cikgu Ramona.
Mungkin Cikgu Ramona tidak berkenan dengan perangai aku lalu dia terus mencekak kolar leher baju kemeja putih Alien Workshop aku. Aku menjadi cemas. Macam mana cikgu perempuan boleh bertindak seperti ini?
"Ada cikgu panggil awak mintak bantuan? Tak ada kan? Yang awak menyibuk hal perempuan ni apa pasal? Pergi duduk tempat awak semula, main lawan pemadam tu sampai menang. Kalau nak handal guna negara Arab Saudi. Tapi jangan dilangkah pulak pemadam tu. Tidak barokah. Heh!!!"
Cikgu Ramona melepaskan kolar bajuku dengan muka aku semakin merah padam menahan malu. Seluruh kelas sedang memandang aku. Tiga puluh orang semuanya. Hanya sepuluh orang sahaja lelaki. Bakinya adalah pelajar wanita. Malunya aku ketika ini bukan dapat disorok-sorok.
Aku berjalan longlai kembali semula duduk di selebaih Sharif."Sabarlah. Cikgu Ramona memang macam tu. Dia tu anak dara lagi. Tak kahwin walaupun sudah berusia." Sharif yang mengambil berat cuba menenangkan aku.
Dahiku penuh dengan rembesan peluh jantan. Entah kenapa aku merasa tidak selesa. Songkok yang dipakai aku buka. Buku latihan matematik aku pegang dan jadikan kipas. Aku mengipas dengan laju ke arah muka dah serupa penjual satay pulak. Kelajuan kipas kelas Wawasan Satu pada sukatan 3 masih tidak dapat menyejukkan jiwa aku yang panas. Marah. Malu dan segan.
Cikgu Ramona. Hanya indah pada namanya sahaja.

KAMU SEDANG MEMBACA
Nasi Goreng Belacan
Ficção AdolescenteAku dalam Nasi Goreng Belacan boleh jadi aku sendiri. Aku juga mungkin kisah perjalanan hidup seorang angkasawan yang gagal dalam percintaannya dengan pengacara televisyen. Aku juga boleh jadi siapa-siapa sahaja. Nasi Goreng Belacan menghimpunkan ki...