2006
"Signal processing is an enabling technology that encompasses the fundamental theory, applications, algorithms, and implementations of processing or transferring information contained in many different physical, symbolic, or abstract formats broadly designated as signals. It uses mathematical, statistical, computational, heuristic, and linguistic representations, formalisms, and techniques for representation, modelling, analysis, synthesis, discovery, recovery, sensing, acquisition, extraction, learning, security, or forensics."
Aku menoktahkan assigment yang aku ambil dari wikipedia secara bulat-bulat dengan senyuman lebar dan puas. Terfikir juga di kepala aku akan keperluan belajar subjek ini apabila bekerja kelak. Entah apa jenis sistem pembelajaranlah yang negara Malaysia ini amalkan. Belajar lain, bila kerja buat benda lain. Lantak engkolah. Janji habis kerja boleh kahwin dan bayar hutang MARA. Selesai.
Pandangan penuh sayu aku lemparkan satu persatu ke arah katil yang ada dalam bilik ini. Dalam bilik yang memuatkan empat orang penghuni ini hanya ada aku sahaja sedang tekun melakukan assignment. Salleh belum pulang lagi ke bilik. Khabarnya keluar makan dengan Mek Na. Jemal pula balik Seremban. Ada perlawanan bola sepak penting di Paroi antara pasukan Nesmilan menentang Johor FC. Manakala Munir pula hilang entah ke mana sejak dari pagi tadi. Misteri betol.
Aku bersandar pada kerusi keras sambil memandang bulan yang mana malam ini ia kelihatan tersipu-sipu malu. Seakan-akan segan untuk menonjolkan dirinya. Manakala bintang pula cahayanya tetap setia menyinari di segenap alam ini. Dengan penuh malas aku melangkah menuju ke katil. Sakit badan terasa apabila duduk terlalu lama di atas kerusi yang keras.
Jam di tangan aku menunjukkan tepat 11:45 minit malam menandakan malam semakin hampir kepada puncaknya sebelum pagi menjengah. Aku menjadi bosan memikirkan semua assignment daripada pensyarah sudah aku siapkan. Hendak menonton bola sepak Inggeris di kafe bawah terasa malas pula. Lalu aku pun mengambil keputusan untuk baring-baring sahaja sambil memikirkan tentang Pasar Malam UIA. Satu-satunya pasar malam yang terletak di antara Universiti Islam Antarabangsa dan juga BMI - tempat aku belajar ilmu kejuruteraan. Entah kenapa UIA kelim ini pasar malam mereka pun aku kurang periksa.
Sebenarnya aku memang tidak suka pergi pasar malam UIA ni sebab aku teringat akan satu Hadis di mana mafhumnya, Rasulullah melarang umatnya untuk pergi ke pasar dengan tujuan untuk bersiar-siar dan membuang masa kerana di situ terdapat begitu banyak Syaitan berkeliaran. Jadi, jika aku betol-betol lapar barulah aku keluar mencari makanan. Jika tidak aku akan duduk sahaja di dalam bilik menelaah dan membaca buku serta membuat latih tubi yang diberikan oleh cikgu-cikgu BMI. Ya, aku seorang yang rajin. Ada masalah ke?
Ada jugak yang menggelar hari pasar malam UIA ini sebagai hari keluarga. Sebab masa inilah depa nak kuaq dating dengan marka masing-masing. Aku? Masih lagi di dalam bilik menelaah pelajaran. Bagi yang tiada pacaran pula, mereka gemar keluar secara berkumpulan. Kalau sekumpulan budak-budak lelaki ni dari jauh kita nampak macam perhimpunan haram anjuran sebuah parti pembangkang yang tewas pada PRU 13 baru-baru ini. Mana tidaknya, sekali keluar macam askar berkawad 2-3 batalion. Padahal nak beli sebekas dadih dan keropok lekor RM2. Kita biarkan budak-budak lelaki ini dengan dadih dan cinta mereka yang sering tak kesampaian tu.
Bagi pelajar perempuan pula masa inilah masanya mereka akan memperagakan skil catwalk dan andaman mereka yang kadangkala mengalahkan model-model hijabista fashionista yang berlambak di pasaran. Ketika inilah sekumpulan budak lelaki yang aku sebut di atas tadi itu akan mula memainkan peranan mereka. Tetapi biasanya tiada hasil yang mereka dapat. Kemungkinan hanya caci maki yang sudi dihadiahkan kepada mereka daripada budak-budak perempuan itu. Aku? Masih tekun membuat latih-tubi di dalam bilik studi.
Aku terjaga dari lamunan pasar malam UIA betol-betol apabila wajah Wardina hendak muncul sambil menanggalkan satu persatu persalinannya. Sebelum aku hanyut lebih jauh dengan kemunculan figura gadis-gadis arab dari UIA bergelek kiri dan kanan, adalah lebih baiknya aku bangun dan bangkit dari tilam yang empuk ini.
Lebih molek rasanya aku buat tahajjud barang seraun dua. Besar juga pahalanya. Ye tak?

KAMU SEDANG MEMBACA
Nasi Goreng Belacan
Teen FictionAku dalam Nasi Goreng Belacan boleh jadi aku sendiri. Aku juga mungkin kisah perjalanan hidup seorang angkasawan yang gagal dalam percintaannya dengan pengacara televisyen. Aku juga boleh jadi siapa-siapa sahaja. Nasi Goreng Belacan menghimpunkan ki...