Alam persekolahan merupakan alam yang paling indah untuk dikenang. Kenakalan dan gurau-senda teman sekelas, sering menggamatkan suasana. Sheila, Amran, Zarul, Eima, dan Adie. Itulah antara nama-nama yang sering menghiasi bibir Izyani. Mereka rakan sekelas. Kelas 5 Harmoni. Kelas kedua terpandai di sekolahnya.
Izyani sering menghabiskan masa dengan rakan-rakannya, tidak kira di sekolah mahu pun di luar sekolah. Warung Pak Jumaat di hadapan Kolej Islam sering menjadi tempat mereka berjumpa. Siapa tidak kenal cendol Pak Jumaat? Disebabkan ketagih dengan cendol Pak Jumaat, rakan-rakannya menamakan kumpulan mereka sebagai Geng Cendol PJ. Setiap petang Rabu, selepas aktiviti kokurikulum, di situlah mereka berkumpul. Bertukar cerita. Berbual mesra sambil makan rojak atau minum cendol pulut. Indahnya waktu itu, hanya Tuhan yang tahu.
Sehelai demi sehelai lembaran kenangan diselak dengan penuh sayu. Segalanya kini tinggal sejarah. Tiada lagi Warung Pak Jumaat. Tiada lagi saat-saat indah bersama GCPJ. Tiada lagi gelak tawa rakan-rakan lama. Sheila sudah berkahwin dan tinggal di luar negara. Amran pula khabarnya sudah menjadi pensyarah ekonomi di Universiti Malaysia Sabah. Eima dan Adie sudah berkahwin dan mereka menetap di Kelantan. Seperti pasangan Eima dan Adie, Zarul juga sudah lima tahun menjadi suami Izyani. Hubungan cinta di bangku sekolah akhirnya berakhir di jinjang pelamin.
Warna-warni persahabatan seakan hilang serinya setelah mereka meniti usia dewasa. Begitulah lumrah kehidupan. Setiap pertemuan pasti ada perpisahan. Bahagia dan suka juga silih berganti kerana dunia ibarat putaran roda yang tiada pernah terhenti.
"Aduhai, rindunya pada mereka," desis hati Izyani.
Segunung kepiluan kian bersarang di benak fikirannya. Terasa ada air jernih yang mengalir di pipinya.
Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini dia sering teringat akan GCPJ. Wajah ceria Sheila, jeritan Eima, serak garau suara Adie, kepetahan Aiman bercerita, sering menghiasi halaman rindunya. Membiaskan kesayuan di jendela hatinya. Rindu terus bertamu.
YOU ARE READING
Selamat Tinggal Cinta
Short Story"Aku cintakan kau, Yani..." Ungkapan keramat itu bagaikan baru semalam didengarinya. Izyani terpempan tatkala Zarul meluahkan perasaanya pada petang itu.... Kisah cinta seorang gadis, Izyani dengan rakan sekelasnya, Zarul yang kemudian menjadi suami...