2010 (2)

59 2 2
                                    

Kuasa.

Bila tiada dicari-cari. Bila ada, lupa diri. Seolah-olah nyawa akan hilang esok hari, kuasa digunakan semaksima mungkin. Bagai seorang politikus baru dilantik, bersungguh-sungguh disalur bajet kawasan sana sini asal perut sendiri dan rakan-rakan mendapat faedah. Bagai seorang gelandangan diberi wang, malam ini juga dia habiskan buat hidangan besar dan minum-minum.

Bagai pengawas baru dilantik di sekolahnya juga. Mia masih ingat, selepas hari perlantikan di mana mereka diberi ves dan lencana, mereka berdiri mendada di tepi-tepi koridor, buku catitan di tangan, melihat setiap pelajar yang lalu dengan mata pengharapan. Seolah-olah berdoa supaya pelajar yang lalu di hadapan mereka fuck up, tersilap pakai kasut, terbawa barang haram, terlupa potong rambut, terlupa potong kuku ataupun lambat kosong perpuluhan tiga milisaat selepas loceng berbunyi untuk masuk ke kelas. Pernah juga Mia ternampak pengawas yang mencatit nama kawan sendiri kerana mengunyah sambil menjaga kantin. Gila apa? Mungkin dia terlalu lapar kerana sepanjang pagi berkawal.

Kadang-kadang Mia tidak faham juga dengan system sekolah yang terlalu mengehad. Dengar ceritanya sekolah di Barat sana tidak kisah kalau orang mengunyah di dalam kelas sekalipun. Bebas bertukar-tukar tempat duduk sepanjang semester, bebas membuat kelab sendiri, dan semestinya bebas memakai pakaian sendiri. Kadang-kala Mia berteka-teki dengan diri sendiri—teka apa beza dengan penjara?—tak ada, dua-dua ada uniform, ada masa keluar masa masuk, dan dikawal kiri kanan oleh orang berkuasa!

Sebab itulah Mia merasakan lebih baik untuk meninggalkan sekolah dan menghabiskan masa di luar. Apatah lagi selepas kes Gina dan Tam itu, lagilah tiada keinginannya untuk menapak ke blok bangunan sekolah itu. Berduyun-duyun bomoh Cina, India, Melayu dan Siam dipanggil bagi 'membersihkan' kawasan itu; Mia ketawa saja. Kadang-kadang Mia geram lalu meninggalkan contengan-contengan seram di dinding sekolah, atau melontar batu kepada bomoh dan tabib tersebut. Seronok Mia melihat ada yang mencicit lari seperti tidak cukup tanah.

Biarpun tidak bersekolah, Mia juga tidak melekat di rumah. Sebagai anak tengah Mia hanyalah salah satu aset pelaburan bagi ibu dan bapanya—belajar rajin-rajin, tempatkan diri di universiti ternama, dapatkan kerja yang elok, supaya ibu dan ayah dapat mengutip 'cukai' hasil penjagaan mereka dari kecil. Pendek kata Mia adalah insurans masa hadapan mereka. Namun sejak akhir-akhir ini ibu dan ayahnya selalu memberi hint bahawa Mia adalah pelaburan yang gagal; keputusan ujiannya biasanya tidak memuaskan serta Mia tidak mempelajari sebarang bakat sukan mahupun kepimpinan selama 12 tahun menjalani sistem pendidikan awam Malaysia. Oleh itu ibu bapanya mula menumpukan kepada abang dan kakak lain yang lebih barjaya jadi lama kelamaan, mereka tidak lagi berinteraksi dengan Mia. Seperti Mia sudah halimunan sejak sebelum ini lagi, fikirnya!

Jadi mungkin anda bertanya—apa haluan hidup Mia sekarang—selepas dia mengambil keputusan untuk tidak bersekolah lagi? Aku tanya kamu kembali, andainya kamu seorang remaja tujuh belas tahun yang baru melepaskan ikatan dengan semua rakan dan keluarga serta memiliki kuasa halimunan, apa yang kamu akan lakukan?

Mia berdiri di hadapan bank.

"El-Arebic Finance House," sebutnya satu-satu sambil senyum.

Mudah saja kerjanya. Sambil berselubung di hujung sudut kaunter, Mia menahan diri menjadi halimunan sehingga bank tutup. Dari situ, dia mengekori pengurus bank untuk mengutip wang dari kaunter sambil mengambil seikat dua untuk dimasukkan ke dalam poket sendiri.

Sekali-sekala keinginannya membuak-buak untuk wang yang lebih banyak, maka dia pernah bermalam di dalam bank semata-mata mengambil seguni wang yang hanya dapat dikeluarkan apabila pintu bilik kebalnya dibuka pada pagi hari. Itulah pertama kali Mia memegang setampuk wang not seratus yang berbau segar tanpa masam-masam peluh seribu tangan yang mencabuli, seperti not-not dalam poketnya dahulu. Hampir pengsan dia. Inilah bau kekayaan, suci dan menenangkan!

Persetankan sekolah, rakan dan keluarga. Mia mendapatkan apartmennya sendiri, duduk seorang diri dan berlatih halimunan hingga dinihari. Semuanya untuk menjadi pakar perompak bank yang diingini!

Biarpun Mia seorang pencopet supernatural, dia tetap membayar zakat. Ya, memberikan wang kepada fakir miskin dan yang memerlukan. Beliau tidak pernah lupa untuk memasukkan beberapa helai not 100 ke dalam tabungan rumah anak-anak yatim, ke tabungan di hujung saf masjid mahupun kole kosong dipegang anak Rohingnya. Ah, persetan kata-kata orang, fikir Mia. Wang—salah atau betul—tetap hanya kepingan-kepingan kertas yang diberi nilai. Wang tiada dosa, yang ada dosa hanya manusia; wang hanyalah unit arbritari, dari sumber bersih atau kotor wang itu tetap wangi. Mia berpendapat ada baiknya lebihan wang rompakan diberikan kepada orang yang lebih memerlukan. Lagipun ia membantu Mia tidak terbuai dengan kekayaan—hanya simpan yang sekadar cukup untuk hidup.

Pada satu ketika—usai Mia merompak sebuah cawangan bank luar negara—dia dengan selambanya berhenti membeli benjo. Tidak apa, dia bukan menggunakan not 100 yang baru diambil tadi—kasihan peniaga tepi jalan kalau begitu—dia ada menyimpan sekeping dua wang pecah. Setelah menghulurkan not RM5 kepada abang peniaga, dia bertinggung di tepi jalan mengunyah makan malamnya.

Seberang jalannya, kelihatan seorang wanita dengan hot pants dan rambut blonde putih gading. Dengan kasut lima inci, Mia berkira-kira bahawa si wanita itu mungkin gadis dari rumah urut berhampiran. Namun, dia tidak berwajah menggoda mencari pelanggan tetapi berwajah sedih, redup, seperti mengalami masalah.

"Itu Eka. Kasihan dia, emaknya sakit di kampung," geleng abang penjaja, mengisi ruang ingin tahu Mia. Diceritakan juga bahawa Eka tidak kecukupan wang biarpun lima hingga enam sesi satu malam, kerana 'Madam' mengambil komisyen yang agak besar darinya. Itu belum lagi mengambilkira keperluan harian hidup di bandar besar ini.

Mia menghabiskan benjonya lalu berjalan pergi. Setelah yakin kawasan itu sunyi dia menghilangkan diri. Kemudian dia patah balik ke jalan di mana Eka berada, menunggu Eka mula berjalan, lalu menjatuhkan not 100 seikat ke tepi kakinya.

"Eh! Apa ni," Eka mengangkat tapak kasut yang menekan kertas wangi itu. Sah, duit baru, fikir Eka. Dia yakin pernah membau dan memegangnya beberapa kali semasa bekerja kerana ada klien yang menggunakan duit gaji yang segar dari bank semasa mendapatkan khidmatnya. Eka terdiam seketika, menggeleng kepala, lalu meletakkannya kembali di atas kaki lima!

Gila, fikir Mia. Siapa tidak mahu wang, lagikan yang mempunyai ibu yang sakit!

Mia mengejar lagi wanita itu, lalu ketika dia menoleh ke kanan untuk melintas jalan, Mia menyelit wang itu ke dalam tas tangannya di bahu kiri. Eka nampaknya tidak menyedari begnya yang bertambah sedikit berat, lalu terus berjalan ke sebuah kawasan flat di tepi sungai. Mia mengekori rapat sehingga ke sebuah pintu—mungkin rumahnya.

Tibanya di kawasan itu, Eka mengeluarkan kunci dari tas tangan. Terjelepuk keluar ikatan wang tadi. Eka mengutip, merenungnya sekali lagi dan...

Dan menangis!

"Ya Allah, apalah dugaan Kau pada aku kali ini..." esak wanita itu sambil menekup dahi.

"Ini bukan duit aku. Aku tak layak memilikinya," ucap Eka lagi lalu bergerak ke hujung blok, menatap sungai, lalu...

Lalu melambungkan ikatan wang itu ke dalam sungai!

Gila, fikir Mia. Ada juga orang tidak mahukan wang!

HananTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang