TPS - BAB 6

2.3K 75 3
                                    

BAB 6

KEJADIAN malang yang menimpa gadis unik bernama Lia Hana lewat petang semalam masih terbayang-bayang di fikiran Syed Azeem. Hampir dua jam dia mengadap dokumen dan komputer di hadapan, sudahnya satu perkarapun tidak dapat diselesaikan. Sememangnya wajah unik itu amat seiras dengan Sharifah Zalia. Dia telah memastikannya dengan jarak yang amat dekat semalam. Sebelah menyebelah mereka duduk di dalam kereta, dan dia mengambil peluang ini untuk mengamati wajah itu sebaik mungkin.

Sekali pandang, dia pasti tiada siapapun yang dapat membezakan antara Sharifah Zalia dan Lia Hana. Itu yang difikirkannya. Namun jika di amati betul-betul, ada satu perbezaan yang ketara di wajah mereka. Syed Azeem amat mengenali apa-apa sahaja yang dimiliki Sharifah Zalia, mungkin tiada satupun tentang gadis ini yang dia tidak tahu, kecuali niat gadis itu melarikan diri di hari pernikahan mereka. Ya....Gadis unik Lia Hana mempunyai dua lekuk yang dalam dan amat cantik di kedua-dua pipinya apabila dia tersenyum. Sesungguhnya dia sudah mula suka dan terpikat dengan senyuman itu! Sangat manis dan indah! Sementara Sharifah Zalia pula , hanya mempunyai satu lekuk sahaja. Satu lekuk yang cetek, dan hampir tidak terperasan oleh orang lain. Dia yakin kini , gadis itu bukan Sharifah Zalia.

Cara Lia Hana bertutur juga menarik perhatiannya. Jauh berbeza dengan cara gadis yang menghancur luluhkan hatinya itu. Lia Hana penuh tertib dan sopan , sesuai dengan raut muka yang comel dan manisnya. Wajah nampak tenang , walau dalam keadaan yang agak kecewa dengan peristiwa malang yang menimpa dirinya semalam.

Syed Azeem tersenyum sendiri pula bila terkenangkan gadis itu yang sentiasa tercari-cari sesuatu di dalam beg tangan besarnya. Waktu itu,wajahnya nampak cukup menghiburkan. Terlalu banyak barang yang di bawa agaknya, sehingga terpaksa mengambil masa yang lama untuk mencari benda yang diperlukan.

Hissh!.....Apa yang melalut ni! Desisnya di dalam hati. Lalu dia bangun dari kerusi empuk buatan dari material yang bermutu tinggi itu, menuju ke cermin yang mengadap jalan dan premis kilang di hadapan pejabatnya. Terasa hati untuk membuka bidai yang mengambil alih tugas langsir itu. Selama dia bekerja di sini, tidak pernah sekalipun dia membuka bidai tersebut. Tidak perlu sebenarnya. Cahaya lampu yang menerangi bilik sudah cukup untuk dia menyelesaikan semua kerja. Juga tidak mahu merasa rimas dengan kehadiran cahaya matahari yang akan masuk dan menerobos ruang fikiran dan jiwanya yang kelam selama ini.

Perlahan-lahan tangan menarik tali pembuka bidai tersebut. Cahaya pagi segera masuk membantu menerangi ruangan pejabatnya yang agak besar itu. Terasa ada ketenangan dan semangat baru pula yang menerpa masuk ke dalam diri. Semangat yang telah lama pudar dan menjauh!

Mata tenang memerhati ke luar. Pemandangan pagi yang menenangkan. Nun, jauh di sana tersergam Bukit Larut yang sungguh indah menghijau menerbitkan satu perasaan harmoni bila memandang. Di tengah-tengahnya terdapat air terjun yang memukau perhatian . Tiada kesibukan manusia pun pada pandangannya. Yang terbentang di hadapannya, cuma ada jalan raya yang agak sunyi. Sememangnya jalan ini jarang digunakan kenderaan luar, kecuali oleh pekerja-pekerja atau orang yang mempunyai urusan dengan kawasan perindustrian di sini sahaja.

Dia terus menghalakan pandangan ke arah kilang di hadapan. Besar kilang tersebut. Terdiri dari beberapa unit bangunan. Setahunya, ia adalah kilang makanan yang mengeluarkan jenama ikan sardin yang amat terkenal. Dia juga suka makan sardin dari jenama tersebut. Jika bondanya yang memasak sardin tersebut, kesedapannya akan menjadi berganda-ganda lagi. Ahh! Bonda, tiba-tiba rindu kepadanya menjengah di hati. Satu-satunya wanita yang selalu di rindui kini. Bonda sudah lama tidak melawat anaknya di hujung dunia ni.

Pandangannya tiba-tiba tertancap kepada sebuah kereta warna hitam yang terparkir di ruangan petak yang agak hujung di hadapan kilang tersebut, tetapi betul-betul berada bertentangan dengan pejabatnya. Toyota Vios Lia Hana! Owh! Tuhan....Kenapa mesti ada banyak kebetulan dengan gadis ini. Apa rahsia di sebalik semua ini? Soal Syed Azeem sendiri.

TIDAK PERNAH SESALWhere stories live. Discover now