Masih Berharap - Prolog

9.9K 205 18
                                    


WIRDA mengusap cincin emas putih bertatahkan berlian potongan puteri yang elok tersarung di  jari manisnya. Bibir membentuk senyuman bahagia. Macam tidak percaya sahaja, status dia kini sudah berubah. Dia bukan lagi wanita berstatus bujang, sebaliknya sejak dua jam yang lalu, dia sudah bergelar isteri orang. Isteri kepada seorang lelaki yang selama ini cuma didambakan dalam diam. Dia ingatkan Emir tak pernah sedar akan kewujudan dia sebelum ini. Sebab itulah tatkala papa beritahu yang Emir hendak masuk merisik dirinya, dia jadi terkejut. Rasa tak percaya.


Berhari-hari juga dia ambil masa nak proses kata-kata papa. Berkali-kali juga dia bertanya pada papa apakah benar Emir nak merisik dia, bukannya orang lain. Malah, bila kena bentak dengan papa pun, dia masih lagi tak percaya. Kalau bukan sebab Emir sendiri yang beritahu dia apa yang disampaikan papa itu benar, sampai bila-bila pun dia akan ingat papa sengaja nak prank dia.

Tapi itu kisah dua bulan lalu. Sudah tak penting lagi sama ada dia percaya atau tak. Dia sudah selamat menjadi isteri Emir Rizwan pun. Fasa baharu dalam hidupnya sudah bermula. Saat ijab dan kabul termeterai antara mereka, Wirda sudah berjanji pada diri sendiri dia akan cuba menjadi isteri yang baik untuk Emir.

Bunyi ketukan pintu dari luar bilik buat Wirda kembali semula ke masa kini. Selepas memberi kebenaran orang di luar masuk, daun pintu dibuka dari luar. Wajah sahabat baiknya, Nami, tersembul di balik pintu.

"Weird, jom. Kereta dah ready."

Wirda mengangguk. Dicapai beg kecil di sisi katil yang berisi pakaian salinnya dan keperluan peribadinya. Mereka akan ke Hotel Majestic untuk majlis resepsi Wirda dan Emir. Ikut perbincangan kedua belah keluarga sewaktu majlis merisik dua bulan sudah, majlis nikah diadakan di rumah keluarga Wirda manakala majlis resepsi akan dijalankan sekali harung bagi kedua-dua belah keluarga. Jadi, hotellah yang menjadi pilihan sebab kawasan yang lebih luas dan undangan jemputan adalah bagi dua belah keluarga sekali gus.

Keluar dari bilik, beg di tangan disambut Nami. Wirda panjangkan sikit leher, nak meninjau bilik tetamu yang terletak bertentangan dengan biliknya. Daun pintunya nampak sedikit renggang. Tadi, sebaik sahaja sah di ijab kabulkan, dia dan Emir naik ke bilik itu untuk tunaikan solat sunat bersama. Selesai solat sunat, dia beredar ke bilik sendiri dan Emir pula kekal di bilik tetamu itu untuk berehat sementara menunggu masa untuk bertolak ke hotel.

Dia berkalih pandang ke arah Nami.

"Dia orang dah turun ke?" tanya Wirda, merujuk kepada suaminya dan pengapit pengantin lelaki.

Nami angkat kedua-dua belah bahu. "Tak sure pulak aku. Aku dari dapur tadi. Tak pulak aku menjengah ke luar. Tapi aku rasa macam belum lagi saja sebab aku tengok kawan-kawan dia yang tinggal tadi ada saja lagi dekat ruang rehat tadi."

Wirda mengangguk faham. Agaknya belum turun lagilah tu.

"Tak apalah. Biar aku pergi tengok jap." Baru sahaja dia hendak melangkah, Nami tarik lengan dia.

"Kejap... kejap!"

"Kau ni dah kenapa?" Pelik pula Wirda melihat tingkah Nami. Senyuman dekat wajah Nami pun nampak semacam saja.

"Aku tunggu kat bawah sajalah, beb. Segan pulak aku."

"Kau nak segan kenapa?" Ternaik kening Wirda mendengar kata-kata Nami.

"Aku tak bolehlah dengan suami kau tu...." Tak sempat Nami nak habiskan ayat, Wirda cepat menyampuk.

"Kenapa? Dia ada cakap apa-apa pada kau ke?" Risau juga Wirda kalau-kalau Emir ada berkata apa-apa yang menggores perasaan Nami.

"Tak adalah!" Sangkal Nami bersungguh.

"Dah tu?"

"Handsome sangat! Nervous aku dibuatnya."

"Ya ampunnnn! Kau ni buat saspens aku ajelah!" Geram pula Wirda dibuatnya. Macamlah tak pernah jumpa orang kacak sebelum ini sampai nak gementar bagai. Aku cepuk jugak anak Uncle Farid ni karang!

"Kau tu, pergi panggil saja tau. Jangan nak lebih-lebih. Tunggu malam sikit kalau nak terkam suami kau yang hot and smexy tu," usik Nami sambil mengangkat-angkat kedua-dua belah keningnya.

"Bengonglah kau ni!" Memang nak kena cepuk perempuan ni! Diangkat tangan, hendak melepuk belakang badan Nami, namun cepat sahaja Nami mencicit membawa langkah ke tangga. Dijeling Nami yang masih lagi mentertawakan dia. Panas wajah Wirda menahan segan. Ingat dia rakus sangat ke apa nak terkam si Emir tu siang-siang hari ni?

Hilang sahaja Nami ke bawah, Wirda terus melangkah ke bilik tetamu. Semakin dia mendekat, dia dapat mendengar suara orang berbual-bual dari dalam bilik. Nampak gayanya Emir dan pengapitnya tak turun ke bawah lagi.

Wirda angkat tangan kanan, hendak mengetuk pintu bilik. Walaupun pintu bilik tak bertutup rapat, tak adalah dia nak terjah sahaja masuk. Tak sopan pula kalau buat begitu.

Dia sudah bersedia hendak mengetuk pintu namun pergerakannya terhenti sebelum sempat belakang buku limanya menyentuh daun pintu kayu itu. Kata-kata daripada pengapit Emir buat dia tak jadi meneruskan niatnya.

Dia tahu salah sebenarnya memasang telinga, tapi dia tak mampu nak menahan diri kerana kata-kata yang keluar daripada mulut pengapit Emir itu buat rasa ingin tahunya membuak-buak.

"Kau jangan nak buat hal, Emir."

Senyap. Tiada jawapan daripada Emir. Dahi Wirda berkerut. Emir nak buat hal apa? Dengan perasaan yang berdebar-debar, dia dekatkan lagi telinganya ke arah celah pintu yang renggang sedikit itu.

"Cepatlah, dia orang dah tunggu dekat bawah tu."

"Perlu ke aku pergi?"

"Soalan jenis apa kau tanya ni? Dah majlis kau, kenalah kau pergi. Nak buat lawak pun agak-agaklah."

"Everything that happened today is a joke anyway," balas Emir, dingin.

"Bro, seriuslah. Tak kelakar semua ni. Kau jangan buat hal yang bukan-bukan, Emir." Sekali lagi encik pengapit menuturkan amaran yang sama.

Sunyi. Sepi. Tiada lagi balasan daripada Emir. Dan kesunyian dan kesepian itu buat Wirda yang mendengar di luar dari tadi terkesiap. Apa maksud perbualan dua orang sahabat itu? Hal apa yang Emir nak buat? Dan apa maksud Emir bila dia kata apa yang berlaku hari ini semuanya bagai sebuah jenaka? Perkahwinan mereka ke yang Emir maksudkan? Kalau ya, kenapa Emir nak rasa macam itu? Adakah Emir tak inginkan ikatan ini sebenarnya? Sebab itulah yang Wirda rasakan sekarang. Wirda dapat rasa kata-kata Emir tu bunyinya seolah-olah Emir tak menerima apa yang terjadi hari ini.

Atau... kau salah faham sahaja kot, Wirda? Wirda pegang dada yang tiba-tiba terasa pedih. Diusap perlahan dada sendiri, cuba menenangkan perasaan yang kian walang.

Ya, aku salah faham. Ini semua hanya salah faham...

*****

Pre-Order Masih Berharap. Harga sah sehingga 18.9.2023 sahaja.

2023 sahaja

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
MASIH BERHARAP a.k.a Hey, it's okay...Where stories live. Discover now