"HA, cerita balik apa yang kau nak kongsi dengan aku tadi? Siap belanja makan lagi ni," tanya Fauziah tidak sabar sejurus mereka selesai memesan makanan.
Alang-alang Elfira nak belanja makan, Fauziah memesan chicken chop yang jarang-jarang dia dapat makan tu. Elfira pula memesan spaghetti carbonara. Memang tekak barat mereka malam ni. Maklum sajalah sebelum ini asyik makan nasi saja. Sesekali pekena western apa salahnya.
"Saja, tiba-tiba aku rasa nak belanja kau makan," jawab Elfira sambil menguntum senyuman. Entah kenapa dia rasa nak senyum saja hari ni.
"Takkan tiba-tiba? Ni mesti ada sesuatu yang buat kau gembira ni, kan?" Fauziah masih cuba merisik.
"Mestilah. Hari ni kan aku pergi hantar assignment yang aku kena buat dengan Danish tu," cerita Elfira.
"Eh, dah siap ke assignment tu?" soal Fauziah, pelik.
"Mestilah dah. Tengok oranglah," ujar Elfira bangga.
"Wah! Tahniah, tahniah!" ucap Fauziah.
"Tapi kan, aku tak pernah nampak pun kau buat assignment tu dengan dia. Tup-tup aje dah siap."
Seingat Fauziah, Elfira hanya terperap di dalam bilik menyiapkan tugasan tersebut. Tak adalah pula Elfira memberitahunya yang dia keluar buat tugasan dengan Danish. Kata kerja berpasangan, bukan?
"Ha, sebab aku bijak!" Elfira memuji diri sendiri.
Fauziah buat muka blur.
"Aku bagi-bagi tugas dengan dialah. Tak naklah aku duduk berdua dengan dia," jelas Elfira.
"La, macam tu pula?"
"Dia pun okey aje. Tak bantah."
"Boleh ke macam tu? Nanti kalau pensyarah kau orang tahu, macam mana?"
"Alah, pensyarah kita orang takkan tahu punyalah," ujar Elfira, penuh yakin.
"Kalau macam tu, okeylah kut. Tapi jangan kau pula kena badi 'repeat' dia!" usik Fauziah.
"Isy, mulut!" Elfira pantas menegur Fauziah.
Bab mengulang subjek ni jangan disebut-sebut. Dia dah pelan elok-elok nak habis studi tepat pada masanya. Tak nak main-main. Tak pernah dalam sejarah keluarganya ada yang kena ulang subjek. Kalau tak dapat keputusan cemerlang sekalipun, janganlah sampai mengulang subjek. Mahu dia kena bambu dengan emak dan abahnya. Buat habis duit mak bapak saja.
Fauziah tergelak.
Elfira sudah mencebik.
"So, nampaknya lepas ni dah tak ada cerita pasal Danish lagilah, ya." Fauziah masih belum mahu menamatkan cerita tentang manusia yang bernama Danish itu.
"Nope!" balas Elfira dengan yakin.
"Alah, bosannya. Sekejap sangat. Tak sempat nak sampai klimaks lagi. Rasa tak puas pula," keluh Fauziah. Mana taknya, dua tiga menjak ni dia asyik dengar nama tu saja yang disebut-sebut oleh Elfira. Kalau Elfira tak cerita pasal Danish, rasa macam ada sesuatu yang tak kenalah pula.
"Baguslah sekejap. So, aku tak payah jumpa dia lagi," balas Elfira.
"Kau pasti ke yang kau takkan jumpa dia lagi?" usik Fauziah. Sengaja menduga hati Elfira.
Elfira terdiam sejenak. Memikirkan kata-kata Fauziah.
Adakah dia pasti yang dia tidak akan berjumpa dengan Danish lagi?
Errr...
USAI makan, mereka terus berlalu ke kaunter untuk membuat bayaran. Sememangnya mereka berdua bukanlah jenis pelajar yang gemar melepak di kedai-kedai makan. Hanya sekali-sekala apabila dah jemu dengan makanan yang dihidangkan di dewan makan.
Bukannya makanan di dewan makan tak sedap tapi sekali-sekala mereka juga teringin nak rasa makanan lain selain nasi memandangkan menu utama di dewan makan ialah nasi berlauk. Sememangnya mereka dikira bertuah kerana makanan yang dihidangkan di dewan makan universiti mereka tidaklah seteruk seperti yang dikata orang.
Malah, mereka lebih suka makan di dewan makan kerana dapat menjimatkan belanja. Tambahan pula, suasana di dewan makan tidaklah sebising dan sesibuk di kedai makan ini.
Ketika berpaling setelah selesai membuat bayaran, Elfira terpandang dua wajah yang amat dikenalinya. Kedua-duanya nampak mesra sekali. Macam pasangan bercinta pula. Mungkin kalau dia tak kenal mereka, pasti dia menganggap mereka pasangan yang sedang bercinta.
Elfira menahan tangan Fauziah ketika temannya itu ingin berlalu. Fauziah hampir terjatuh apabila tiba-tiba ditarik begitu.
"Gee, tu Anzalna, kan?" tanya Elfira untuk mendapatkan kepastian.
Manalah tahu kut-kut matanya salah tengok. Matanya pun bukannya terang sangat. Takut dia tersalah orang pula.
Fauziah memandang ke arah yang dikatakan. Dia mengamati wajah yang dilihat.
"Yalah tu, Anzalna. Kenapa?" soal Fauziah pula.
"Tak adalah, tadi aku ajak dia makan sekali, dia kata tak dapat join. Nak jumpa kawan katanya," terang Elfira.
"Kawan dialah tu agaknya." Fauziah yang tidak mengenali lelaki yang bersama Anzalna itu memberi pandangan. Cuba memberi komen positif.
"Kalau kau nak tahu, lelaki yang dengan dia itulah Irwan," balas Elfira.
Seperti perihal Danish, perihal Anzalna dengan Irwan pun diceritakan kepada Fauziah. Jadi, Fauziah turut mengetahui akan perhubungan Anzalna dan Irwan.
"Ha, ya ke? Boleh tahan." Fauziah kembali memandang Anzalna dan Irwan yang sedang berbual-bual mesra tanpa menyedari kehadiran mereka.
"Kau nak join dia orang ke?"
"Tak payahlah, kita balik ajelah jom." Elfira menarik tangan Fauziah berlalu dari situ. Dia tidak mahu Anzalna atau Irwan menyedari yang mereka berada di situ.
Dalam hati, Elfira mula bertanya sendiri.
Kenapa Anzalna tidak memberitahunya kawan yang dikatakan itu ialah Irwan? Bukannya dia tak kenal Irwan.
Kenapa Anzalna harus menyembunyikan perkara itu?
Mungkin Anzalna tak nak dia menyertai mereka kerana tak nak diganggu tak?
Tapi kalau mereka hanya sekadar kawan biasa seperti yang selalu ditegaskan oleh Anzalna, kenapa pula mereka tak nak diganggu? Bukan ke selama ini pun mereka sering bertiga?
Ya, sejak Irwan rapat dengan Anzalna, mereka sering bertiga. Kalau tak dulu dia selalu berdua saja dengan Anzalna. Jadi, sekarang Anzalna ingin membuangnya?
Elfira mula rasa tak sedap hati.
YOU ARE READING
Bukan Tak Suka
General FictionTajuk: Bukan Tak Suka Penulis: Ilmar Imia Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0567-90-7 Harga: RM23 (Semenanjung) // RM26 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2015 Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.p2u.my @ Aplikasi Penerbitan Karyase...