SEJURUS kereta Irwan berhenti di dalam kotak parkir di hadapan fakulti mereka, Anzalna tergesa-gesa keluar dan segera berlalu ke kelas tanpa menunggu Irwan dan Elfira. Lagaknya macam dia seorang saja yang dah lambat ke kelas.
Kelakuan Anzalna itu mengundang tanda tanya di dalam kepala Elfira. Ni apa kes pula ni? Main pergi macam tu aje. Langsung tak cakap apa-apa. Marah ke?
Elfira benar-benar tidak faham dengan sikap temannya itu akhir-akhir ini. Dia dapat rasakan kelainan pada sikap Anzalna. Anzalna seolah-olah sedang menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuannya.
"Wan, Anzalna marah aku ke?" Sempat Elfira bertanya tatkala dia dan Irwan beriringan ke kelas. Adakah Anzalna marah kerana dia menumpang kereta Irwan? Tapi rasanya tak ada sebab Anzalna nak marah. Tapi kelakuan Anzalna jelas menunjukkan yang dia seakan-akan tak puas hati.
Mana taknya, Anzalna sudah jauh di hadapan. Langsung tak menoleh ke belakang padahal mereka datang bersama-sama.
Irwan pula tidak menunjukkan tanda-tanda mahu mengejar. Mungkin malas melayan rajuk Anzalna.
"Taklah," balas Irwan.
"Habis tu, kenapa tiba-tiba aje dia naik angin?" Elfira benar-benar rasa bersalah saat itu. Dia tak suka apabila dirinya menjadi punca pergaduhan orang lain. Rasa macam jahat sangatlah pula.
"Datang bulan kut," jawab Irwan selamba.
Ah, alasan klise! Asal moody saja, datang bulan.
Bukan semua orang perempuan akan moody bila datang bulan. Kebanyakan orang perempuan moody sebab mereka tak pandai kawal perasaan. Perkara kecik pun nak dijadikan hal besar.
"Dia marah aku tumpang kereta kau, ya?" tebak Elfira.
Pelik. Takkanlah tumpang kereta pun nak cemburu? Lagipun bukannya dia berdua-duaan dengan Irwan pun.
"Alah, abaikan ajelah. Nanti okeylah tu," ujar Irwan.
Abaikan? Macam mana dia nak abaikan kalau sepanjang di dalam kelas pun Anzalna langsung tidak bercakap dengannya?
Kelakuan Anzalna itu membuatkan hatinya tidak tenang. Sememangnya dia tak suka bergaduh apatah lagi mencari masalah dengan orang lain.
Tapi besar sangat ke kesalahannya sampaikan Anzalna berkelakuan begitu?
Malah, setelah kelas tamat pun Anzalna terus mengemaskan barang-barangnya dan beredar dari kelas tanpa menunggu Irwan seperti biasa. Irwan yang mengejar di belakang langsung tidak dihiraukannya.
"ANZALNA!" panggil Irwan.
Namun, Anzalna tetap meneruskan langkahnya. Malah, semakin laju. Melihatkan itu, Irwan menarik beg yang digalas oleh Anzalna. Langkah Anzalna terhenti.
"Kenapa awak tiba-tiba naik angin ni? Saya ada buat salah ke?" tanya Irwan.
Sangkanya, marah Anzalna sudah reda. Tapi ternyata Anzalna masih menyimpan kejadian tadi dalam hati.
"Ya, memang awak salah. Kenapa awak cakap kat El yang saya suruh awak tunggu saya tadi?" marah Anzalna namun masih dalam intonasi yang terkawal. Dia tidak mahu kawan-kawan mereka yang masih berada di sekitar kelas mendengar pertengkaran mereka. Sudahlah mereka digosipkan bercinta, nanti apa pula gosip yang tersebar apabila pertengkaran mereka menjadi tontonan ramai.
"La, salah ke?" Irwan pelik.
Takkan pasal itu pun Anzalna nak marah sampai merajuk dengannya satu hari? Lagipun, Elfira tu pun bukannya orang lain dengan mereka. Kawan mereka juga.
Jawapan Irwan yang selamba itu membuatkan Anzalna bengang.
Takkanlah itu pun tak boleh fikir? Takkan itu pun dia nak kena cakap? Pandai-pandailah fikir sendiri!
"Isy, susahlah cakap dengan awak ni!" ujar Anzalna geram.
Dia kembali mengatur langkah. Semakin lama dia bercakap dengan Irwan, semakin membara rasa sakit hatinya. Susah nak bercakap dengan orang yang tak faham ni.
Irwan turut menyaingi langkahnya. Masih tidak berpuas hati.
ELFIRA terpinga-pinga melihat Anzalna berlalu begitu sahaja. Usah kata nak tegur, pandang pun tak.
Sah! Anzalna marahkannya.
Aduh, El! Apa yang kau dah buat ni? Tak pasal-pasal dia orang bergaduh. Elfira memarahi dirinya sendiri.
Sepatutnya dia menolak pelawaan Irwan untuk menumpang keretanya tadi. Tapi manalah dia tahu yang Anzalna akan bad mood begitu. Lagipun Irwan yang beria-ia mengajaknya. Dia sendiri pun serba salah dibuatnya.
Kalau dia tak tumpang kereta Irwan, mesti Irwan ingat dia tak sudi nak naik keretanya. Yalah, kereta Irwan biasa-biasa sahaja. Hanya kereta Viva. Walaupun sebenarnya dia tak kesah langsung pasal tu.
Bila dia dah tumpang, ini pula yang jadi. Tapi manalah dia tahu nak jadi macam ni. Kalau dia tahu apa yang akan berlaku, pasti dia akan cuba elak. Tapi dia hanya manusia biasa. Hal-hal begini bukan dalam kemampuannya.
Sumpah, dia sendiri tidak menyangka yang Anzalna akan 'mengamuk' sebegitu. Kalau dia tahu, nescaya dia takkan naik kereta Irwan.
Tapi kalau difikirkan semula, tak ada salah pun. Anzalna juga yang cakap dia dan Irwan cuma berkawan. Jadi, kenapa pula Anzalna nak marah-marah?
Lainlah kalau Irwan tu pakwe dia atau Anzalna memang ada hati kepada Irwan? Jadi, dia cemburu kalau ada perempuan lain yang rapat dengan Irwan?
Hai, entahlah! Pandai-pandailah kau orang.
Elfira lekas-lekas mengemas bukunya. Bersiap-siap untuk keluar dari kelas itu. Lebih baik dia balik ke bilik daripada sibuk-sibuk memikirkan hal orang lain.
Namun, langkah kakinya terhenti apabila namanya dipanggil oleh Dr. O.
"Elfira, jumpa saya kat ofis."
Gulp! Elfira menelan air liur.
Jumpa Dr. O kat ofis? Apa hal pula Dr. O panggil aku pergi ofis? Elfira tertanya sendiri.
Biasanya, pelajar yang bermasalah saja yang 'dijemput' ke bilik pensyarah. Adakah dia salah seorang daripadanya?
Oh, tidak!
YOU ARE READING
Bukan Tak Suka
General FictionTajuk: Bukan Tak Suka Penulis: Ilmar Imia Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0567-90-7 Harga: RM23 (Semenanjung) // RM26 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2015 Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.p2u.my @ Aplikasi Penerbitan Karyase...