Bab 6

2.8K 75 2
                                    

BUNYI alarm telefon bimbit mengejutkan Elfira daripada lena. Ah, rasanya baru saja dia hendak melelapkan mata, takkan dah pagi kut?

Elfira tidak menghiraukan bunyi alarm itu dengan harapan bunyi itu akan berhenti dengan sendiri.

Namun semakin lama, bunyi alarm itu semakin kuat. Macam tahu-tahu saja yang dia malas nak bangun. Perlahan-lahan dia mencapai telefon bimbit tersebut lantas mematikan alarm.

Seketika kemudian, dia kembali memejamkan mata. Rasa mengantuk masih menguasai dirinya. Semuanya gara-gara dia berjaga malam menonton CD drama Korea. Ada 18 keping CD kesemuanya. Namun, dia hanya mampu menghabiskan tujuh keping saja.

Elfira bukanlah peminat fanatik drama Korea tapi sekali-sekala melayan drama Korea apa salahnya. Dia layan cerita itu pun kerana Fauziah yang beria-ia rekemen cerita yang dipinjam daripada kawan sekelasnya itu.

Kononnya nak layan satu atau dua episod saja tapi lepas dah layan, macam menarik saja ceritanya sampaikan mereka tak sabar nak tahu penamatnya. Tapi kalau dah namanya manusia, manalah mampu bertahan tanpa tidur sepanjang malam. Sudahnya, kedua-dua mereka terlelap sebelum CD ketujuh sempat habis dimainkan.

Kebiasaannya, Fauziahlah yang akan mengejutkannya untuk solat subuh. Sememangnya Fauziah tidak pernah terlepas solat subuh. Bagaikan sudah diprogram, masuk saja waktu subuh, Fauziah terus bangun. Bukan macam dia. Kalau tidur lewat, alamatnya memang dia akan lewat bangun. Berbeza dengan Fauziah yang akan bangun awal tak kira dia tidur pukul berapa sekali pun.

Hari ini Fauziah sudah ke kelas pukul lapan pagi tadi. Kelasnya pula pukul sepuluh pagi. Justeru, dia masih enak dibuai mimpi selepas solat subuh tadi.

Beberapa saat kemudian, bunyi SMS masuk pula mengganggu lenanya.

"Isy, siapa pula yang mesej pagi-pagi ni!" Elfira merungut sendiri.

Harap-harap ada budak kelasnya yang mesej beritahu kelas pagi ni dibatalkan. Bolehlah dia sambung tidur dan mandi lewat sikit.

Dalam keadaan separa sedar, tangannya mencapai telefon bimbit yang tadinya diletakkan di sisi katil. Dengan mata yang berat untuk dibuka, dia gagahkan juga untuk membaca mesej yang diterima.

Nama Anzalna mengisi pandangan matanya.

El, hari ni aku lambat. Kau pergilah dulu, ya. Tak payah tunggu aku.

Dalam keadaan mamai, Elfira membaca mesej yang dikirimkan oleh Anzalna.

Lambat apa? Kan awal lagi ni?

Telefon bimbit diletakkan ke tepi. Dia kembali memejamkan mata, menyambung lena. Harap-harap dapat mimpi best.

Beberapa minit kemudian, dia tersedar secara mengejut. Dia melihat digit yang tertera pada skrin telefon bimbitnya.

Alamak!

Dia pun sudah lambat sebenarnya. Apa lagi, bergegas dia mencapai tuala dan perkakas mandi lantas segera berlalu ke bilik mandi. Harap-harap tak ramailah orang di bilik mandi.

Cukup dengan menggosok gigi dan mandi ala kadar, Elfira pantas bersiap. Mujur juga dia bukan gadis yang mementingkan penampilan diri. Asalkan menutup aurat, itu pun sudah cukup baginya. Hanya berbaju T lengan panjang, jean dan tudung bawal, sekejap saja dia sudah bersiap.

Sebelum mengunci pintu bilik, sempat dia mencampak baju kotor ke dalam bakul yang diletakkan di tepi pintu. Kemudian, pantas dia menuruni tangga. Nasib baiklah biliknya hanya terletak di tingkat dua. Kalau tak, memang jenuh juga dia nak turun naik tangga setiap hari.

Sejurus melepasi pagar asrama, dia terlihat kereta yang amat dikenalinya cantik terparkir di situ. Apabila menyedari kehadirannya, si pemandu melambai lalu keluar dari kereta.

"WAN, apa kau buat kat asrama perempuan ni? Bukan kelas dah start ke sekarang?" tanya Elfira, kemudian dia melihat digit yang tertera pada telefon bimbitnya.

Ke dia yang salah tengok jam?

Dia punyalah berkejar kerana takut terlewat ke kelas, tapi Si Irwan ni boleh pula bersenang-lenang kat depan asrama mereka ni.

"Anzalna suruh tunggu dia," jelas Irwan.

"Hah? Anzalna suruh kau tunggu dia?" Elfira mula sangsi.

Bukan tadi Anzalna bagi mesej suruh aku pergi dulu ke? Tapi kenapa suruh Irwan tunggu pula?

"Alang-alang ni, sekali ajelah. Naik kereta aku," pelawa Irwan.

Elfira teragak-agak nak terima pelawaan Irwan. Kata Irwan tadi, Anzalna yang suruh Irwan tunggu. Tapi Anzalna hantar mesej kepada dia suruh pergi dulu. Ini bermakna Anzalna tak nak pergi kelas dengan dia tapi Anzalna nak pergi kelas dengan Irwan. Macam tu ke?

"Tak apalah, aku jalan kaki aje." Elfira menolak.

Kalau betul Anzalna nak pergi kelas dengan Irwan saja, rasanya lebih baik dia tidak menaiki kereta Irwan. Lagipun segan pula dia nak tumpang kereta Irwan. Dia dengan Irwan tak adalah rapat sangat pun. Alah, bukannya jauh sangat pun kelas mereka. Lambat-lambat jalan pun nanti sampai juga. Bukannya dia tak biasa berjalan kaki.

"Alah, tak payah nak segan-segan. Jomlah," ujar Irwan seolah-olah tahu apa yang bermain dalam benaknya.

"Lagipun cepat sikit sampai. Kan dah lewat ni." Irwan menambah.

"Tak apalah, Wan. Aku pergi dulu tau."

"Alah, janganlah macam tu. Aku tahulah kereta aku ni Viva aje. Takkan tak sudi kut?" pancing Irwan.

Belum sempat Elfira membalas kata-kata Irwan, pandangannya terarah kepada Anzalna yang sedang berjalan ke arah mereka. Pada mulanya, Anzalna tidak perasan akan kehadiran Elfira kerana Anzalna sedang melihat telefon bimbit. Mungkin Anzalna sedang berhubung dengan Irwan memandangkan Irwan juga sedang melihat telefon bimbit.

Elfira memerhatikan gerak-geri Anzalna. Cuba mencari kejujuran pada gadis itu. Orang pertama yang menjadi kawannya di universiti itu memandangkan mereka berkenalan ketika sama-sama mendaftar dahulu. Apabila mengetahui yang mereka mengikuti kursus yang sama, mereka saling bertukar nombor telefon. Hubungan mereka menjadi semakin akrab apabila ditempatkan di dalam kelas yang sama.

Elfira senang berkawan dengan Anzalna. Anzalna dirasakan seorang gadis yang peramah, periang, lemah lembut dan disenangi ramai. Selama mereka berkawan, dia tidak pernah berasa waswas dengan Anzalna. Setiap kata-kata Anzalna dia percaya tanpa ragu.

Tapi hari ini, entah kenapa dia berasa curiga dengan sikap Anzalna. Malah, sikap Anzalna dua tiga hari ini amat berlainan daripada biasa. Adakah Anzalna sudah mula menunjukkan sikapnya yang sebenar?

Pandangan Elfira bertembung dengan pandangan Anzalna sejurus Anzalna mengangkat muka. Wajah Anzalna jelas terkejut tatkala melihatnya di situ. Namun, Anzalna bijak menyembunyikan perasaan terkejutnya dan buat muka selamba.

"Eh, kau orang pun tak pergi kelas lagi?" Anzalna pura-pura bertanya.

Wajah Irwan sudah terkulat-kulat. Tidak mengerti akan tindakan Anzalna itu memandangkan Anzalna yang beria-ia menyuruhnya menunggu di situ.

"La, bukan ke kau yang suruh Irwan tunggu kau? Aku pun bangun lambat tadi. Tak sempat nak balas mesej kau." Sengaja Elfira menyebut perihal Irwan dengan niat mahu melihat reaksi Anzalna.

"Taklah... Mana ada!" nafi Anzalna sambil menjeling Irwan.

Irwan pamer muka selamba.

Dahi Elfira berkerut.

Aik? Seorang kata orang ni suruh tunggu, seorang lagi pula kata sebaliknya.

Mana satu yang betul ni?


Bukan Tak SukaWhere stories live. Discover now