Bab 4

3.1K 80 0
                                    

MATANYA ralit memandang skrin komputer riba yang memaparkan video klip dari laman YouTube. Tangannya pula mencapai kentang goreng di atas piring lalu dicicah dengan sos cili bercampur mayonis sebelum dikunyah perlahan.

Habis satu, satu lagi disuap ke dalam mulut.

Nikmat betul. Mujur ada sos cili. Kalau tak ada sos cili, memang dia tak lalu makan. Makan apa-apa pun wajib ada sos cili. Ayam goreng ke, nuget ke, cucur ke atau telur goreng sekali pun, sos cili kena ada.

Tiba-tiba piring itu dirasakan kosong. Dia melihat piring tersebut.

La, dah habis rupa-rupanya.

Nampak sangat sudah lama dia menunggu.

Dia mencapai gelas yang berisi Milo ais dan menjamahnya. Sesekali matanya meliar ke sekeliling. Takut-takut dia tidak menyedari akan kedatangan orang yang ditunggu.

Namun, masih tiada tanda-tanda orang yang ditunggu akan muncul. Dia kemudian kembali memberi tumpuan kepada komputer riba di hadapannya.

"Budak ni reti tengok jam ke tak? Dah pukul berapa ni, tak sampai-sampai lagi?" rungut Elfira.

Dia benci betul dibiarkan menunggu begini. Tidak pasal-pasal, waktunya terbuang begitu saja. Kalau dia tahu macam ni, lebih baik dia tak payah datang awal tadi.

Namun, dia bukanlah jenis manusia yang suka membuat orang menunggu. Dia seseorang yang menepati masa. Justeru, dia tidak suka dengan orang yang tidak menepati masa. Mujur dia masih dapat melayari Internet untuk mengisi masa.

Sabar, El.

Sabar.

Anggap sajalah ini pertemuan terakhir kau dengan dia. Lepas ni, kau tak perlu 'terikat' dengan dia lagi. Apa nak jadi kepada dia nanti, lantak dialah. Bukan urusan kau.

Tapi hakikatnya, dia bukanlah orang yang memiliki tahap kesabaran yang tinggi. Kalau setakat lima hingga sepuluh minit, bolehlah dia bersabar lagi. Ini, dah hampir setengah jam!

Kalau ikut peraturan universiti mereka, jika pensyarah tidak datang dalam masa setengah jam, maka kelas tersebut dianggap batal. Para pelajar boleh tinggalkan kelas jika tiada tanda-tanda pensyarah akan datang melainkan pensyarah itu memaklumkan lebih awal yang beliau terlewat.

Kalau naik bas ekspres pun, confirm dah kena tinggal!

"Entah-entah dia lupa agaknya," rungut Elfira sendirian.

Elfira baru sahaja berkira-kira ingin memesan minuman kedua lantaran Milo ais tadi sudah habis diminum apabila orang yang ditunggu muncul. Akhirnya, datang juga!

"Ha, lambat!" marah Elfira sebaik-baik saja orang yang ditunggu muncul di depan mata.

"Sorry..." ucap Danish pendek lalu melabuhkan punggung di atas kerusi di sebelah Elfira.

"Sorry naik lorilah. Awak tengok ni, dah habis segelas Milo ais dengan sepiring kentang goreng saya bedal, baru awak sampai. Nampak tak betapa lamanya saya tunggu awak? Lain kali kalau nak datang lambat ke apa ke, beritahulah. Ini senyap aje. Bazir masa saya aje." Elfira menghamburkan peluru amarahnya.

Entah mengapa apabila dengan Danish saja, dia jadi kuat membebel dan selalu marah-marah begitu. Biasanya nak bercakap sepatah perkataan dengan orang yang dia tidak biasa pun susah. Mungkin kerana sikap Danish yang pendiam dan tidak melawan membuatkan dia 'ringan mulut'.

Nasib kaulah, Danish. Siapa suruh buat pasal dengannya?

"Macam mana saya nak beritahu awak kalau nombor telefon awak pun saya tak ada?" tanya Danish, masih dengan wajah yang tenang. Langsung tidak membalas kata-kata Elfira dengan amarah juga. Api yang membara, usah dilawan dengan api.

Elfira terdiam.

Betul juga cakap Danish tu. Mereka mana ada menyimpan nombor telefon masing-masing. Dia tak teringat langsung nak mintak nombor telefon Danish dan Danish juga tak pernah meminta nombor telefonnya.

Rasanya tiada sebab untuk dia menyimpan nombor telefon Danish. Bukankah mereka boleh berjumpa di fakulti pada bila-bila masa saja?

Itu pun kalau Danish rajin datang ke kelas.

Kalau tak?

Ini pun mujur Danish masih mengingati janji yang dibuat seminggu yang lalu. Ingatkan Danish dah lupa. Kalau tak, memang jadi tunggullah dia menunggu di kafeteria ini. Lagipun, lepas ni mereka takkan punya apa-apa urusan lagi. Jadi, tak perlu kut mereka bertukar-tukar nombor telefon, fikir Elfira.

"Nah!" Danish menghulurkan pen drive kepada Elfira.

Elfira mengambilnya tanpa sepatah bicara lalu disambungkan pada komputer ribanya.

"Yang ada tulis 'Web Dr. O' ni ke?" tanya Elfira.

"Haah," jawab Danish pendek.

"Awak nak minum ke?" soal Elfira, sekadar berbasa-basi.

"Tak kut. Saya ada hal lepas ni," balas Danish.

"Okey." Elfira sembunyi senyum.

Baguslah. Dia sendiri pun malas nak berlama-lama dengan Danish. Tak ada modal nak berbual. Lebih baik dia balik ke bilik saja. Tidur. Sudah beberapa hari dia tak cukup tidur gara-gara menyiapkan tugasan tersebut, fikir Elfira.

Setelah selesai menggabungkan bahagiannya dengan bahagian Danish, mereka terus bergerak ke bilik Dr. O untuk menghantar tugasan mereka itu.

"MERDEKA!" Elfira menjerit sambil mengangkat kedua-dua tangan sejurus dia dan Danish selesai menghantar tugasan kepada Dr. O.

Walaupun suaranya tidak terlalu kuat dan hanya dapat didengari oleh dirinya saja, tetap menarik perhatian beberapa orang pelajar yang lalu di situ.

Namun, dia tak peduli.

Yang penting, hatinya gembira. Gembira kerana akhirnya dia tidak perlu lagi memikirkan tugasannya bersama Danish. Rasanya macam dah lama dia tak segembira ini. Seolah-olah membuat tugasan bersama Danish merupakan suatu perkara yang paling malang sepanjang dia belajar di universiti itu.

Dia mengeluarkan telefon bimbit daripada poket seluarnya. Suatu nombor didail. Tiba-tiba dia rasa nak belanja orang makan pula.

"Gee, malam ni kita makan kat kafe, ya. Aku belanja," ajaknya dengan suara yang ceria.

"Amboi, cerianya suara! Ada apa-apa ke?" sahut Fauziah di hujung talian.

"Tak ada apa. Saja nak meraikan 'kemerdekaan' aku," balas Elfira bersahaja.

Pasti Fauziah hairan kerana sejak seminggu yang lalu, hidupnya seakan-akan hilang seri apabila diberitahu yang dia kena berpasangan dengan Danish. Macam orang kena kahwin paksa pula. Muram saja sepanjang hari.

Nasib baik dia bijak. Kalau tak, hari-hari dia kena berdepan dengan Danish yang 'sunyi' itu.

"Merdeka? Merdeka apa ni? Bulan Ogos lambat lagilah," ujar Fauziah pelik.

"Bukan merdeka itulah. Nantilah aku cerita. Jangan lupa tau malam ni. Jumpa kat kafe tau." Elfira mengingatkan sebelum mematikan talian.

Dia melangkah meninggalkan bangunan itu sambil tersenyum ceria. Di dalam kepalanya sudah terbayang menu apa yang nak dimakan malam ini. Asyik makan di dewan makan saja pun bosan juga. Sesekali nak juga dia merasa makanan 'mewah' di kafeteria. Dia langsung tidak teringatkan Danish yang bersamanya tadi.


Bukan Tak SukaWhere stories live. Discover now