Bab 2

4.4K 98 5
                                    

Khas, Ulu Kinta, Ipoh. Bilik mes pegawai bujang dimasuki oleh Irvan dengan lemah longlai. Nampak katil sahaja. Selesai mandi dan membersihkan diri, Irvan merebahkan diri ke atas katil. Terlalu penat. Hendak kelip mata pun tidak larat. Mengantuk. Tadi pun Irvan sudah beberapa kali tersengguk-sengguk dalam MPV VAT 69 menuju ke Ulu Kinta. Sentuh bantal sahaja, Irvan terus lena ghaib.

Beberapa minit kemudian, mata terbuka dengan sendirinya. Walau cuba dipejamkan semula tetapi ia tetap berkelip-kelip. Irvan memegang jantungnya. Kenapa berdebar? Kerana tenangan teropong sniper tadikah? Bukan. Terlalu letih? Bukan. Ada yang tidak beres semasa operasi tadi? Bukan. Seperti ada yang tertinggal. Apa ya? Botol-botol pasir koleksi Irvan di atas rak buku dipandangnya. Lama. Ada sesuatu di situ. Ia mengingatkannya kepada seseorang. Allah Tuhan! Maryam!

Irvan segera melompat dari katil. Kelam-kabut memakai seluar, mencapai dompet, kunci Storm dan telefon bimbit. T-shirt berkolar disauk, dibutangkan sambil berlari ke arah Storm.

Beberapa kali nombor Maryam didail tetapi suara operator yang menjawab.

"This is the mailbox for number 012 9444 3666. Please leave your message after the tone."

Tidak tahu kenapa operator ini sangat bencikan Irvan!

Anjung Tinjau Kuala Lumpur International Airport...

"DATANG sini untuk ni je?"

"Tengok dan bersiar-siar. Ronda satu KLIA ni boleh makan masa satu hari."

Jawapan Irvan mendiamkan Maryam sekejap. Riak tidak puas hati tetapi tidak tahu bagaimana mahu dizahirkan.

"Insya-Allah, ada rezeki, abang bawa adik terbang. Buat masa ni, enjoy yang ni dulu."

"Apa yang nak enjoynya?"

Faham dengan kebisuan Maryam, Irvan cuba memujuk. Tetapi dibalas dengan jawapan yang penuh berasid pula.

"Penat abang drive dari Kota Bharu, naik banjaran Titiwangsa, pergi Ipoh, masuk Ulu Kinta, langsung ke Selangor dan KLIA. Rentas berapa buah negeri tu, takkan adik tak rasa terharu sikit pun dengan pengorbanan abang?"

Peka dengan nada suara Irvan. Deraman pula kesot hati tapi kenapa tak cakap betul-betul? Tadi sebut nak pergi KLIA, fikir Maryam nak terbang ke mana. Aku dah kegembiraan yang melampau tadi! Sepanjang melalui perjalanan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS), aku tak berhenti-henti berceloteh. Dipelawa oleh Abang One berhenti sekejap kat Rehat dan Rawat (RNR) pun tak mahu kerana takut terlepas kapal terbang... tapi ini saja rupanya. Tengok kapal terbang naik turun! Baik tengok kat Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pangkalan Chepa. Lagi thrill. Boleh nampak perut kapal terbang sebesar-besarnya terbang atas kepala!

Sama-sama diam di bangku. Merenung jauh ke hadapan.

"Jom la balik." Irvan sudah angkat punggung dan pusing. Jari-jemarinya dipaut lembut oleh Maryam.

"Mohon ampun."

Kaku sekejap Irvan. Wajahnya dipalingkan ke belakang sedikit menunduk melihat Maryam yang sedang mendongak memandangnya.

"Maafkan adik, ya abang...." Mata terkerdip-kerdip memohon. Maryam yang segera meminta maaf jika ada perselisihan di antara mereka. Maryam yang sentiasa mengalah walaupun Irvan yang salah. Sikap murni Maryam yang selalu membuat Irvan tewas.

Irvan sedikit mengeluh. Kembali duduk di sisi Maryam.

"Ini saja yang abang mampu."

"Tak apa la... ada rezeki nanti, kita terbang sama-sama."

The One (Yang Terunggul)Where stories live. Discover now