RANCANGNYA hanya dua minggu di homestay Ulu Kinta, tetapi Irvan telah memenuhkan peti sejuk dengan berbagai-bagai lauk basah dan sayur. Belahan hati sudah ada, mestilah kena masak. Sia-sia sahaja bawa datang jauh-jauh kalau tetap makan di luar.
Bau kari ayam memenuhi ruang. Terhenti sekejap langkah Irvan ke bilik menggosok bila terlihat Maryam sedang menjala. Voila'! Roti jala! Kreatifnya belahan nyawaku! Maryam menebuk lubang di penutup botol air mineral 500 mililiter. Picit botol dan terpancutlah bancuhan tepung di atas kuali non stick. Segera digulung oleh Maryam. Dalam masa beberapa minit sahaja, roti jala dan kopi pekat sudah terhidang. Memang tidak sia-sialah!
"Uniform abang, adik dah gosok..." beritahu Maryam bila Irvan masih tertegun melihatnya ke hulu ke hilir dalam dapur.
Berderau sekejap darah Irvan mendengarnya. Risau uniformnya diseterika tidak mengikut standard piawaiannya. 69 mesti sentiasa kemas dan segak. Sama ada full uniform, half uniform atau uniformless. Baru macho dan boleh pitamkan sesiapa yang memandang. Segera bilik menggosok diterjah. Si celoreng kebanggaan ditilik sekilas.
"Okey?" soal Maryam di muka pintu.
"Siapa ajar?"
"Selalu tengok bak gosok. Tak beza sangat cara gosok antara ATM dan PDRM, kan? Pasukan sahabat."
"Bak suruh gosok ke?"
"Jangan harap. Semua bak buat sendiri."
"Okey juga la tapi... belajar tanpa berguru tetap ada kelemahannya."
"Uh... mana silapnya?"
"Lengan kena lipat sampai ke atas siku."
"Adik boleh buat."
"Lewat nanti." Lengan yang panjang segera dilipat oleh Irvan. Cepat dan cermat. Ada tekniknya yang tersendiri. Lipatan lengan itu digosok sekali lagi oleh Irvan. Bertambah kemas.
Maryam membantu Irvan menyarung uniformnya. Dibutangkan dan diusap dengan lembut dada suami. Kembang kempis hidung menahan sebak. Terharu dan kagum dengan Irvan. Selama perkahwinan jarak jauh, inilah kali pertama dia berpeluang melihat dan membantu Irvan berpakaian seragam. Berapa banyak peluang pahalanya terlepas begitu sahaja?
"Abang hero tak, ya adik?" Tidak pernah Irvan bertanya soalan itu. Mungkin dia pun tertempias keterujaan bila sama-sama disiapkan oleh Blackswan.
"Lambat jawab maknanya tak hero la...."
"Kenapa abang semakin manja? Mudah kesot hati? Sepatutnya adik yang mengandung, adik yang mengada..." libas manja Maryam dengan reaksi Irvan yang mula hendak menonggek juga.
"Kalau abang tanya, adik selalu jawab lambat."
"Adik fikir dulu nak jawab apa. Takut terkeluar dengan keladak. Bahasa kena berayak bertapis."
"Pesan bunda?"
"Haey...."
"Abang hero tak?"
"Tak."
"Bye."
Lengan Irvan segera ditarik sebelum langkah dibuka lebih luas lagi ke arah pintu rumah.
"Hoo rattt... babah Muhammad merajuk. Teruknya orang tua merajuk. Geli pusat la..." usik Maryam disulami tawa kecil. Irvan ditarik ke meja makan. Didudukkan dengan paksa.
"Kalau abang habiskan roti jala ni, abang tersangatlah hero. Lagi hero kalau abang tak uraikan sanggul adik," puji dan ugut Maryam bila jari-jemari nakal Irvan mula menyelit ke dalam sanggul. Senyum sumbing Irvan sekejap.
YOU ARE READING
The One (Yang Terunggul)
Fiksi UmumTajuk: The One (Yang Terunggul) Penulis: Melur Jelita Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-0890-63-0 Harga: RM40 (Semenanjung) // RM43 (Sabah & Sarawak) Terbitan : Oktober 2015 Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.karyaseni.my @ Aplikasi Kar...