Bab 2

558 2 0
                                    

2
JUJEN sampai ke butiknya pagi itu dengan membawa sebuah kotak berisi kek keju yang ditempah khas daripada jirannya yang mengusahakan kedai kek Lina Cake House. Usai membantu Azita dan satu-satunya pekerja mereka yang bernama Nuha melayan beberapa orang pelanggan di tingkat bawah, Jujen naik ke tingkat atas. Kotak berisi kek itu diambil dari atas mejanya, lalu diletakkan di atas meja Azita pula. Kemudian, dia kembali ke mejanya semula sambil menanti Azita naik ke tingkat atas dengan sabar.
"Apa tu?" soal Azita dari muka pintu pejabat mereka. Matanya tertancap pada kotak kek di atas mejanya.
"Kek untuk kau sempena perceraian aku dengan Azmunir!"
Azita pandang Jujen dengan mata membuntang. "Kau dah putus ke dengan dia?"
"Tak payahlah sorok senyuman kau tu. Senyum puas-puas. Itu yang kau nak, kan?"
"Wah, ganas kau hari ni. Putus cinta dengan orang lain tapi marah kat orang lain. Tak sudilah aku makan kek kau ni." Azita mengembalikan kotak kek itu ke atas meja Jujen. Bibirnya memuncung. Merajuk.
"Eleh, tak sudi konon!"
"Betul ke kau dah putus dengan dia?" Azita inginkan kepastian.
"Entahlah. Mungkin."
Sebuah tawa sinis keluar dari bibir mungil Azita. "Ini macam dululah jugak ni. Ingatkan betul-betul putus tapi rupanya merajuk aje. Habis merajuk, berbaiklah balik. Buang masa aku berharap aje."
"Kali ni tak sama. Aku rasa kali ni memang kami putus terus," tegas Jujen. Komen Azita yang menyakitkan hatinya itu, tidak dipedulikannya. Dia memang tahu Azita tidak pernah menyukai Azmunir. Sejak dari dahulu lagi. Tiada gunanya dia berasa terhiris dengan kata-kata tulus ikhlas yang keluar dari hati Azita.
Tetapi sungguh Jujen katakan. Hatinya dapat merasakan bahawa hubungan cintanya dengan Azmunir sudah sampai ke garisan penamat. Entah mengapa nalurinya berkata begitu. Mungkin dia terlalu tawar hati dengan sikap kurang ajar Azmunir malam tadi.
"Zita, kau ada cerita kat Izwan tak fasal aku dengan Azmunir?"
"Kau tu siapa yang kami nak bercakap fasal kau?" cemuh Azita.
"Malam tadi kami terserempak dengan Izwan kat gerai makan. Dia ungkit fasal umur. Azmunir terasa."
"Bergaduhlah?"
"Apa lagi?"
"Azmunir bergaduh dengan Izwan?" Mulut Azita ternganga. "Berita sensasi ni. Kenapa Izwan tak telefon aku pun?"
"Akulah yang bergaduh dengan Azmunir! Takkanlah Izwan pulak? Masuk hospital pulak si Azmunir tu kena belasah dengan Izwan." Jujen menyandarkan badannya pada bangku sambil membayangkan Izwan yang pakar bertinju itu sedang melupuh Azmunir sehingga lembik. Serta-merta dia berasa terkilan dan menyesal memikirkan yang bukan-bukan. Masih sayang rupanya dia pada Azmunir. "Izwan tanya kenapa kami tak kahwin-kahwin lagi. Azmunir pun apa lagi, benganglah dia. Lepas tu dia tuduh aku pulak yang suruh Izwan tanya aku kat depan dia. Hantu betul!"
"Memang kau ke yang suruh?"
"Tak ada kerja aku! Tapi bila Azmunir tuduh aku macam-macam, aku pun tanyalah soalan maut tu kat dia."
"Soalan apa?"
"Bila dia nak masuk meminang."
Suasana jadi sunyi buat seketika. Malaikat lalu kata orang.
"Jadi, apa jawapan dia?" Azita memecahkan kesunyian.
"Kalau kami dah bergaduh ni, apa lagi jawapan dia?"
"Dia kata tak nak?" Mata Azita membuntang sekali lagi. Terkejut.
"Tak nak." Jujen mengesahkan sambil menggeleng. "Aku rasa dia ni memang jenis yang tak nak kahwin. Sebab tu dia masih membujang sampai sekarang. Tapi hati nak bercinta. Cuma tak nak ada komitmen aje."
"Itu sengaja menganiaya orang namanya tu."
"Bukannya menganiaya orang tapi menganiaya aku!" Sebuah keluhan terlepas dari bibir Jujen. Kesal betul dia dengan perbuatan Azmunir.
"Jen, kau terfikir tak? Sebelum kau, entah berapa ramai agaknya perempuan yang dah terkena dengan dia. Tengoklah umur dia dah berapa, kan? Takkanlah sebelum dengan kau dia tak pernah bercinta langsung."
Jujen mengherotkan mulutnya. Betul cakap Azita. Mesti sudah ramai perempuan yang menjadi mangsa penipuan Azmunir. Kurang ajar punya lelaki! Kalau tak mahu kahwin, janganlah bercinta!
Jujen kembali menegakkan tubuhnya. Angka-angka pada dokumen di hadapan matanya diteliti. Sekali lagi mereka terdiam, leka menjalankan tugas masing-masing. Masalah, masalah juga tetapi perniagaan perlu diteruskan.
"Kau tak nak tanya ke fasal meeting aku dengan panel penilaian semalam?" Jujen memecahkan kesunyian, sekali gus mengubah topik perbualan mereka.
"A ahlah... kau jumpa dia semalam, kan? Macam mana? Garang tak dia?"
"Tak. Ramah. Doakan aku menang, tau."
"Amin. Dah. Aku dah doakan." Azita meraup mukanya dengan dua belah tangan. "Kalau menang, kau dapat seratus ribu ringgit! Mak cik kayo!"
"Insya-Allah." Jujen turut meraup mukanya. Terlintas di hati untuk bercerita tentang tiga puluh ribu ringgit yang Azmunir minta semalam jika dia menang tetapi Jujen fikir, buat apa dia mengaibkan Azmunir? Tak baik. Dan buat apa dia menambahkan lagi rasa benci Azita terhadap Azmunir? Lagilah besar dosanya melaga-lagakan orang. Lebih baik dia diam.
Mereka berdua membisu, ralit menyudahkan kerja masing-masing sehinggalah Azita bangun dan bersiap untuk keluar berjumpa dengan bakal kliennya. Sebelum keluar dari pejabat itu, Azita singgah di meja Jujen lantas memeluk sahabat karibnya itu dengan erat.
"Tabahkan hati kau, Jujen. Aku tahu kau kuat. Semuanya akan baik."
"Aku percaya cakap kau."
"Aku percaya kau percaya sebab aku percaya kau kuat untuk hadapi ujian ni. Apa pun pengakhirannya, ia adalah yang terbaik untuk kau. Ingat tu. Kita jumpa esok. Assalamualaikum."
"Wa'alaikumussalam."

KALAU DAH JODOHWhere stories live. Discover now