Bab 3

1K 3 0
                                    

"ARGHHH!"
Isteri Azmunir menjerit sekali lagi. Gayanya seperti bunyi orang meneran pun ada. Tubuhnya membongkok. Ekspresi mukanya menampakkan kesakitan yang tidak tergambarkan. Jujen dan Nuha kasihan tetapi hanya mampu memandang dari jauh sahaja. Dua tangan mereka tergenggam dan memangku dagu masing-masing. Sesekali mereka menyeringai bak puntianak yang sudah bersedia untuk menyerang mangsa apabila isteri Azmunir mengerang sambil tersedu-sedu, seolah-olah mereka turut merasai kesakitan yang isteri Azmunir rasai. Hendak menolong, mereka tidak tahu. Tak berani pun sama. Jadi, tengok sahajalah...
Bila isteri Azmunir menjerit lagi sambil memegang bahagian bawah perutnya yang memboyot, Jujen ikut sama menjerit sambil meluru ke arah perempuan mengandung itu dengan dua tangannya mendepa, bersedia untuk menyambut jika bayi di dalam perut perempuan itu meluncur keluar dari kandungan. Baru lahir, terus jadi arwah pula budak itu nanti tetapi langkahnya tergencat bila isteri Azmunir menuding ke arahnya.
"Jangan! Jangan kamu sentuh aku!"
"Habis tu macam mana, kak? Saya nak tolong kakak. Bukannya nak buat apa!"
"Arghhh!" Isteri Azmunir kembali menjerit. "Aku tak rela kamu sentuh aku!"
"Suka hati akaklah! Orang nak tolong, dia menyombong pulak." Jujen berpaling ke arah Nuha. "Telefon Zita. Mesti dia tahu macam mana nak buat."
Jujen kembali berdiri di hadapan kaunter pembayaran, tidak berani menghampiri isteri Azmunir yang sesekali menjerit dan sesekali merenung tajam ke arahnya. Tengah sakit pun masih nak baham orang. Ganas punya perempuan!
Nuha menghubungi Azita. Butang pembesar suara pada telefon meja itu ditekan bila nada dail kedengaran.
"Helo!" Suara Azita bergema memenuhi ruang butik itu.
"Zita, isteri Azmunir nak beranak ni. Macam mana aku nak buat?" adu Jujen.
"Isteri? Haaa..." Azita ketawa jahat. "Kan aku dah kata, lelaki tu tak boleh dipercayai. Kau aje yang tak nak dengar cakap aku." Azita terus ketawa.
"Hoi, lain kalilah kalau nak membebel pun!" Jujen menderam marah.
"Mana kau tahu Azmunir dah ada isteri? Perempuan tu datang cari kau ke?"
"Yalah! Ni dia ada kat sini ni. Air ketuban dia dah pecah. Macam mana aku nak buat?"
"Kau bawaklah dia ke hospital," ujar Azita, selamba.
Mata Jujen bertaut dengan mata Nuha. Bawa isteri Azmunir ke hospital? Sentuh pun tak boleh, bagaimana dia nak bawa perempuan itu ke hospital?
"Nuha dah panggil ambulans tadi. Tunggu ajelah ambulans tu sampai."
"Oi, anak dia dah nak keluar sangat tu! Mana boleh tunggu." Azita membalas cakap Jujen. "Hantar sekarang!"
"Kau pergi hantar dia, Nuha." Jujen pandang Nuha
"Eh, kaulah hantar. Itu kan isteri pakwe kau!"
Mata Jujen membuntang. Renungan yang bermaksud 'kau nak bunuh aku ke?' dilontarkan ke arah Nuha. Gila apa cakap begitu di hadapan isteri Azmunir?
"Kamu hantar aku!" Isteri Azmunir menuding ke arah Jujen, membuat keputusan muktamad kepada permasalahan itu.
'Pulak dah!' getus hati Jujen. Dia menanggalkan kasut tumit tingginya supaya mudah dia berlari naik ke tingkat atas untuk mengambil beg tangan serta kunci kereta. Sejurus, dia turun semula. Semasa mengenakan semula kasutnya ke kaki, dia melihat isteri Azmunir sedang terkangkang-kangkang berjalan untuk keluar dari butik itu. Gayanya seperti orang yang sedang berlawan lari sambil mengepit bola di antara dua lututnya sahaja. Jujen menahan senyuman. Bila dia menoleh ke arah Nuha, senyumannya semakin melebar bila melihat Nuha sedang menekup mulut demi menahan tawa.
"Esok-esok bila kau nak beranak, macam tulah jugak, Nuha oi! Jangan gelakkan orang!" Suara Azita bergema dari pembesar suara telefon itu.
"Laaa... macam mana Zita tahu aku tengah gelak?" Nuha yang terkejut, terus memutuskan panggilan yang dibuat kepada Azita.
"Hah, buat lagi!" Jujen menjegilkan biji matanya. "Kenapa kau tak tolong dia, Nuha? Tak kasihan ke?"
"Tak beranilah! Taubat nasuha aku nak tolong perempuan macam tu."
"Lantak kaulah, Nuha. Jaga kedai, ya. Aku nak ke hospital kejap. Jangan lupa bersihkan air ketuban kat atas lantai tu," pesan Jujen sebelum mendapatkan isteri Azmunir yang masih terkangkang-kangkang di luar butik. Langkah perempuan itu perlahan, takut terburai anaknya jika dia berjalan laju, barangkali.
"Kak, jom. Itu kereta saya." Jujen memotong isteri Azmunir supaya dia dapat membukakan pintu keretanya untuk perempuan itu. Sambil melangkah, dia menekan butang pada panel kawalan jauh kunci kereta BMW 5 Sirinya. Kereta mewah itu dihadiahkan kepadanya oleh syarikat induk Korset Ajaib, demi menghargai jasanya yang telah berjaya membawa pulangan lumayan buat syarikat itu selama empat tahun berturut-turut. Azita pun sudah dapat sebuah tahun lepas. Tak lama lagi, giliran Nuha pula sampai.
Semasa lampu kereta BMW itu berkedip, isteri Azmunir tiba-tiba sahaja menjerit.
"Arghhh!"
"Kak! Kenapa, kak? Kenapa? Kepala anak dah keluar ke?" Jujen bergegas berpatah balik mendapatkan isteri Azmunir.
"Itu kereta kamu?" soal isteri Azmunir.
'Ya Allah, dia ni... buat saspens ajelah!' detik hati Jujen. Dia mengangguk sebagai menjawab soalan isteri Azmunir.
"Arghhh!" Isteri Azmunir menjerit sekali lagi. Dadanya didabik, dua tangannya menggenggam penumbuk. Seluruh tubuhnya menggeletar marah. Gayanya seperti gorila betina yang sedang mengamuk pun ada. "Kenapa Kau bagi dia kereta mahal ni? Kenapa? Perempuan ni dah rampas laki aku. Kau bukannya nak hukum dia tapi Kau bagi lagi harta kekayaan kat dia. Aku yang kena aniaya ni macam mana? Macam mana?" Isteri Azmunir menjerit sambil merenung ke langit.
Jujen ikut mengerlingkan matanya ke atas. Siapa yang isteri Azmunir marahkan? Allah Yang Maha Adilkah? Astaghfirullah al-azim! Beraninya dia...
Semasa Jujen ralit mendongak ke langit, isteri Azmunir melemparkan beg tangannya ke arah Jujen. Kena badan Jujen. Nyaris Jujen terjatuh akibat terpelecok semasa terkejut. Kalau patah pinggulnya nanti, macam mana? Kena pakai kerusi rodalah agaknya dia sepanjang hayat. Membujang sampai ke tualah alamatnya! Yalah, orang lelaki pasti akan berfikir sejuta kali kalau nak mengambilnya sebagai isteri.
Isteri Azmunir kembali melangkah. Masih terkangkang-kangkang tetapi jalannya lebih laju daripada tadi. Mukanya garang. Jujen bersedia. Sekiranya isteri Azmunir menyerangnya lagi, dia tidak akan teragak-agak melawan balik. Lantaklah! Mengandung pun mengandunglah. Dia peduli apa? Perempuan itu yang menyerangnya dahulu. Kalau isteri Azmunir tercedera semasa mereka bercakaran, Jujen akan kata perempuan mengandung itu yang memulakan serangan dan dia hanya mempertahankan dirinya sahaja. Kamera litar tertutup di luar kedai itu akan membuktikan kata-katanya.
Tetapi isteri Azmunir tidak langsung berhasrat untuk menyerang Jujen. Tumpuannya hanya pada kereta BMW Jujen sahaja.
"Kutip beg tangan aku," perintahnya kepada Jujen semasa dia melintas di hadapan Jujen.
"Akak ingat saya ni siapa? Kuli akak ke?" rengus Jujen. Namun, dia tetap mengutip beg tangan isteri Azmunir dari atas lantai, semata-mata kerana dia ada rasa perikemanusiaan. Dia bukan seperti Azmunir atau isteri lelaki itu yang suka memporak-perandakan hidup orang lain!
Jujen bergegas mengejar perempuan itu yang sudah tiba ke kereta BMW-nya. Isteri Azmunir membuka pintu penumpang hadapan.
"Kak, nanti dulu! Biar saya lapik bangku kereta dengan plastik dulu!"
"Arghhh!" Sekali lagi isteri Azmunir menjerit seraya mengangkat tangannya, cuba menghempuk Jujen. Segera Jujen menjauhkan diri.
Isteri Azmunir terus menghenyakkan punggungnya ke atas bangku kereta itu. Jujen mengecilkan matanya dan menderam marah. Terbakar hatinya mengenangkan bangku keretanya yang diperbuat daripada kulit mahal itu, kini sudah dicemari air ketuban isteri Azmunir. Selepas membawa isteri Azmunir ke hospital, Jujen akan menghantar keretanya ke kedai mencuci kereta pula. Akan dibasuhnya bangku penumpang hadapan itu dengan sebersih-bersihnya. Tukar baharu pun dia sanggup, asalkan dia tidak berasa jijik bila hendak menyentuh bangku itu lagi.
"Tunggu apa lagi? Aku beranak kat dalam kereta ni karang!" jerkah isteri Azmunir sebelum menutup pintu kereta.
Sekali lagi Jujen menderam sambil mengecilkan matanya, bengang diperlakukan begitu oleh isteri Azmunir. 'Sesuka hati dia aje mengarah-arah orang! Dia ingat aku ni siapa? Kurang ajar. Laki bini sama aje!' bentak hati Jujen.
Tetapi oleh sebab tidak ada pilihan lain, Jujen segera masuk ke dalam keretanya. Beg tangan Louis Vuitton-nya cepat-cepat diletakkan di atas lantai tempat duduk belakang selepas melihat mata isteri Azmunir seperti lapar sahaja sewaktu merenung beg tangan mahalnya itu.
Perjalanan menuju ke hospital sungguh menyeksakan. Kalau tidak mengerang kesakitan, isteri Azmunir akan mencubit-cubit bahagian tubuh badan Jujen yang tercapai dek tangannya. Mujur kukunya tak panjang. Kalau tidak, pasti terkoyak kulit halus Jujen. Selagi Jujen tak marah dan tak ugut akan memberhentikan kereta di tengah jalan, selagi itu dicubitnya Jujen. Betul-betul bijak menggunakan kesempatan. Kalau isteri Azmunir berniaga, Jujen rasa dah lama dah dia jadi jutawan!
"Eee... geram aku." Jari halus isteri Azmunir mencubit lengan kiri Jujen dengan kuat.
"Wei, gila ke apa? Saya tengah bawak kereta ni! Kemalangan karang, tak fasal-fasal aje kita bertiga jadi arwah," marah Jujen seraya melarikan lengannya. "Orang tengah cemas ni, dia main cubit-cubit pulak. Bodoh punya perempuan. Pentingkan diri sendiri aje. Tak fikir langsung fasal anak kat dalam perut dia tu?" hambur Jujen lagi. Panas hati.
"Kamulah perempuan bodoh!" jerit isteri Azmunir.
Hisy... geram betul Jujen rasa. Kalau tidak mengenangkan perempuan itu sedang sarat mengandung, memang sudah lama dia berhentikan keretanya di tepi jalan untuk membalas balik cubitan perempuan itu. Isteri Azmunir yang hendak sangat. Jomlah berlawan cubit. Tengok siapa menang.
Tetapi Jujen sabarkan hatinya. Dia tidak mahu perempuan itu beranak di dalam keretanya. Alamatnya nanti, terpaksalah dia membeli kereta baharu. Bayangkanlah, darah dan segala benda yang keluar bersama bayi itu terpercik merata-rata.
Eee... geli!
Telefon bimbit Jujen pula berbunyi. Kejap-kejap itulah pun. Sambil memandu, Jujen meraba-raba lantai tempat duduk belakang, cuba mencapai beg tangannya. Berjaya. Tanpa mengalihkan matanya dari jalan raya, dia membawa beg tangannya ke atas riba. Telefon bimbit yang masih berdering itu dikeluarkan, lalu diletakkannya pada alat pemegang yang juga berfungsi sebagai alat pengecas di dalam kereta.
"Helo!" ucap Jujen sebaik sahaja butang untuk menjawab panggilan masuk ditekan.
"Darling..."
Jujen menelan liur. Matanya membuntang. Azmunir yang telefon! Dari ekor matanya, Jujen dapat melihat isteri Azmunir sedang merenung telefon bimbit itu seperti singa betina lapar hendak menelan mangsa.
"Darling..." panggil Azmunir lagi dengan nada manja. "Abang panggil kenapa tak jawab?"
"Arghhh!" Isteri Azmunir menjerit nyaring.
'Ya Allah, perempuan ni! Terkejut aku dibuatnya.' Jujen beristighfar dalam hati.
"Kenapa darling jerit macam tu? Takkan tak habis lagi marah darling kat abang?" rengek Azmunir. "Abang rindulah, darling. Abang nak mintak maaf. Boleh tak kita jumpa sebelum darling..."
"Oi, Azmunir!" Jujen mencantas cakap Azmunir. "Itu bini kaulah yang menjerit. Dia ada kat dalam kereta aku ni hah. Dia dah nak beranak. Ni aku tengah bawak dia ke hospital ni." Jujen sudah tidak peduli. Minta maaflah dia nak bersayang-sayang dengan lelaki penipu itu lagi. Azmunir hendak terasa, lantak dialah. Siapa suruh dia menipu? Dah ada anak tiga, masih ada hati mengaku dirinya bujang. Huh!
Azmunir terdiam. Lama. Bila dia bersuara semula, cakapnya tergagap-gagap.
"A... ayang? Betul ke ayang ada kat situ?"
"Kepala hotak kau, Azmunir! Aku balik ke rumah nanti, siap kau aku kerjakan. Arghhh!" Isteri Azmunir meneran.
"Kak, kau jangan beranak kat dalam kereta saya ni!" Jujen cemas.
"Kalau aku beranak pun apa kamu sibuk? Arghhh!"
"Apa saya sibuk akak kata? Ni kereta saya! Mestilah saya sibuk. Heee... ya Allah, tolonglah tutup salur peranakan perempuan ganas ni buat sementara waktu. Dah sampai ke hospital karang, Kau bukaklah balik dengan seluas-luasnya. Wahai Tuhan-ku, makbulkanlah doa hamba-Mu yang telah dianiaya oleh laki bini ni. Amin," doa Jujen.
"Kamu kata kamu yang kena aniaya? Ha ha ha... dia yang kena aniaya? Kelakar betullah perempuan bodoh ni!" Isteri Azmunir ketawa seperti orang gila. "Kalau kamu nak sangat aku aniaya kamu, meh sini aku aniaya kamu betul-betul. Meh sini, meh! Arghhh! Aduh... mak, sakitnya! Aduh... dia dah nak keluar. Dah nak keluar."
"Ayang... ayang... tunggu abang datang tau. Tahan ya, ayang. Jangan beranak dulu. Tahan. Darling, hospital mana darling nak bawak isteri abang ni?"
'Astaghfirullah al-azim... Azmunir ni kan, aku lempang karang baru dia tahu. Selamba aje dia panggil aku darling kat depan bini dia,' gerutu hati Jujen.
"Hospital mana, darling?" desak Azmunir. Cemas.
"HUKM. Itu yang dekat," jawab Jujen.
"Ayang, abang datang sekarang! Ayang jangan risau, ya. Abang pergi ke hospital sekarang. Okey, darling. Hati-hati bawak kereta tu. Kita jumpa kat hospital nanti ya, darling."
"Arghhh!" Isteri Azmunir kembali mencubit paha Jujen.
"Sakitlah, kak! Kau ingat tak sakit ke? Laki kau yang gatal panggil aku darling, aku pulak yang kau belasah."
"Lepas habis pantang nanti, aku datang cari kamu balik, Suzanna. Masa tu aku belasah kamu cukup-cukup."
"Beranaklah dulu baru nak cakap fasal belasah orang!"
"Arghhh!" Isteri Azmunir meraba-raba sisi sebelah kiri bangkunya.
"Akak cari apa tu?" Jujen curiga. Risau hatinya bila melihat isteri Azmunir bagai tercari-cari sesuatu dari celah bangku itu.
"Mana tuil bangku ni? Aku nak jatuhkan tempat sandar ni."
"Nak buat apa?"
"Nak beranaklah! Nak buat apa lagi. Arghhh!" Isteri Azmunir menjerit sambil menarik kaki kirinya, lalu diletakkan di atas papan pemuka kereta. Selepas itu, dia tarik kaki kanannya pula.
Jujen beristighfar dalam hati. Pedal minyak ditekan lebih kuat daripada tadi. Kelajuan kereta yang Jujen pandu, kini telah melebihi hadnya. Beberapa buah kenderaan lain membunyikan hon, marah dengan cara pemanduan Jujen yang biadap. Jujen balas balik, marah kerana pemandu-pemandu lain hanya tahu mengkritik sahaja, sedangkan mereka tidak tahu situasi cemas yang sedang dihadapinya. Kalau tidak disebabkan oleh perempuan gila yang nak terberanak di dalam keretanya itu, minta maaflah dia nak memandu menggila seperti itu! Jujen seorang pemandu yang berhemah. Sebelum hari malang itu, tidak pernah sekalipun dia melakukan kesalahan lalu lintas.
Tiba-tiba siren polis kedengaran.
"Alah... leceh betullah!" Jujen mengeluh. Kelajuan keretanya diperlahankan.
Sejurus, seorang pegawai polis trafik yang menunggang motosikal besarnya muncul di sisi kereta Jujen. Dia memberikan arahan menyuruh Jujen berhenti. Segera Jujen menurunkan cermin keretanya.
"Dia nak beranak! Dia nak beranak!" Jujen menuding ke arah isteri Azmunir di sebelahnya.
Pegawai polis trafik itu membongkokkan sedikit tubuhnya. Bila melihat keadaan isteri Azmunir, dia mengangguk faham.
"Ikut saya!" arah pegawai polis trafik itu. Dia segera memotong kereta Jujen dan menunggang motosikalnya di hadapan kereta itu. Siren motosikalnya turut dibunyikan supaya kenderaan lain memberikan laluan.
"Sabar, kak. Sabar. Jangan teran kuat-kuat sangat. Kejap lagi kita sampai kat hospital," kata Jujen. Dia memandu mengikut kelajuan motosikal polis trafik itu.
"Kamu ingat nak beranak ni boleh tunggu-tunggu ke? Arghhh! Ughhh..."
"Tak usahlah teran! Tak adalah budak tu keluar!"
"Kamu nak suruh anak aku mati lemas ke?" Isteri Azmunir menampar bahu Jujen.
"Kalau kau pukul aku sekali lagi, aku tumbuk perut kau tu, kak! Jangan cabar aku, ya," ugut Jujen.
"Arghhh! Ughhh..." Isteri Azmunir terus meraung dan meneran. "Ughhh... dah keluar! Kepala anak aku dah keluar!"
"Astaghfirullah al-azim..." ucap Jujen.
Panik, Jujen terus memberhentikan keretanya di tepi jalan. Hon kereta ditekan bertubi-tubi untuk memanggil pegawai polis trafik yang sudah jauh meninggalkan mereka. Pegawai polis itu berpatah balik. Jujen keluar dari keretanya, yang kini mengeluarkan bermacam-macam bau yang sungguh memualkan. Dia berjalan mundar-mandir di hadapan keretanya seperti orang gila. Dalam hatinya, Jujen merungut marah kerana isteri Azmunir hendak bersalin pada ketika itu juga, sedangkan mereka sudah dekat sangat dengan HUKM. Lagi tiga puluh meter sahaja hendak sampai ke pintu kecemasan hospital itu!
'Laki bini sama aje. Dua-dua suka menyusahkan orang!' bentak hati Jujen.
Pegawai polis trafik itu sampai di hadapan kereta Jujen. Selepas menongkatkan motosikalnya, dia terus berlari ke pintu penumpang hadapan. Jujen tidak perlu memberitahu dia apa-apa kerana dia tahu, perempuan mengandung yang Jujen bawa sudah hendak bersalin.
"Panggil orang untuk tolong saya keluarkan kawan awak ni dari kereta," arah pegawai polis trafik itu kepada Jujen.
"Dia bukan kawan... argh!" Jujen tidak jadi meneruskan kata-katanya. Apa gunanya bertelagah dalam keadaan cemas itu? Segera dia menahan beberapa orang penunggang motosikal yang hendak keluar dari pekarangan hospital itu untuk membantu mereka. Lelaki, perempuan, dia tidak kira. Semuanya dia tahan.
Sementara Jujen mendapatkan bantuan, isteri Azmunir bertekak dengan pegawai polis trafik yang cuba mengeluarkannya dari kereta Jujen.
"Tak nak! Aku nak bersalin kat dalam kereta ni jugak!" Isteri Azmunir menjerit lantang.
"Macam mana saya nak sambut anak awak kat dalam kereta ni, puan? Awak kena keluar!" Pegawai polis trafik itu menyelukkan dua belah tangannya ke bawah ketiak isteri Azmunir untuk menarik perempuan itu keluar.
"Jangan! Jangan sentuh aku. Aku nak beranak kat dalam kereta ni jugak. Ughhh..."
"Dia ni memang macam tu. Degil nak mampus!" kompelin Jujen yang muncul bersama beberapa orang lelaki yang sudi membantu pegawai polis trafik itu. Muka Jujen cemberut, meluat dengan keangkuhan isteri Azmunir. Kalau itu kereta isteri Azmunir sendiri, tidak mengapalah juga perempuan itu hendak beranak atau hendak buat apa sekalipun di dalam kereta tersebut tetapi itu kereta Jujen!
"Kamu goda laki aku, kamulah yang nak mampus. Ughhh!"
"Tolong sikit, kak! Laki kau yang miang. Dia yang kejar saya. Jujur saya cakap, suami akak tu bukannya cita rasa saya. Tak lawa langsung. Tapi hari-hari dia kejar saya. Hari-hari datang ke butik saya bawak coklat bawak bunga nak pujuk rayu saya. Macam mana saya tak terpikat?"
"Celaka kamu, Suzanna!"
"Cantiknya bahasa..." sindir Jujen. "Memang padanlah akak dengan suami akak tu. Seorang tak lawa, seorang lagi mulut macam longkang."
"Nanti kamu, Suzanna! Sakit kamu aku kerjakan nanti."
"Beranaklah dulu. Lepaskan azab sendiri dulu baru nak mengazab orang..."
"Sudah! Sudah!" jerkah pegawai polis trafik itu, runsing dengan gelagat Jujen dan isteri Azmunir yang bertekak tidak kena tempat. Dia menoleh ke belakang, merenung tajam ke arah Jujen yang sedang terbuka mulutnya untuk meneruskan kata-kata.
Langsung Jujen mengatup mulutnya semula. Bibirnya dimuncungkan, sakit hati kerana dia berasa seperti pegawai polis trafik itu memihak kepada isteri Azmunir. Terasa seolah-olah pegawai polis trafik itu sudah menganggapnya sebagai perampas suami orang.
Huh! Kalau dia tahu Azmunir tu suami orang, mati hidup balik dia takkan layan!
Jujen berpeluk tubuh. Mukanya semakin cemberut, namun mulutnya sudah diam. Hatinya juga sudah dipujuk agar tidak marah-marah lagi. Malu. Ramai orang di situ tetapi isteri Azmunir terus melancarkan serangan, menyemarakkan kembali perasaan marah Jujen.
"Ini... tengok betul-betul muka dia ni. Inilah perempuan paling tak guna dalam dunia. Dia suka kacau rumah tangga orang. Nama dia Suzanna. Ingat tu. Suzanna... ughhh!" Isteri Azmunir meneran lagi. "Dia kerja kat Korset Ajaib. Jangan beli korset daripada dia."
"Tak guna kau, kak! Sesuka hati aje nak tutup periuk nasi orang. Keluarlah dari kereta aku! Yang kau nak beranak jugak kat dalam kereta aku ni kenapa?" Jujen hilang sabar.
"Sebab aku sengaja nak kotorkan kereta kamu, faham!" jerkah isteri Azmunir. Kemudian, dia mengerang. "Arghhh... aduh, mak... sakitnya, mak. Aduh... urghhh... ughhhh..."
"Hah... tulah, kak. Niat kau tak baik. Sebab tulah sakit sangat kau nak bersalin." Jujen menyimbah minyak ke dalam api. Bukan sengaja tetapi dia geram sangat dengan isteri Azmunir. Kurang ajar!
"Puk... ughhh..."
Niat isteri Azmunir untuk menghadiahkan kata carutan kepada Jujen tidak kesampaian bila dia terpaksa meneran. Selepas itu, isteri Azmunir bernafas laju. Huh, hah, huh, hah. Peluh membasahi tubuh badannya dari hujung rambut ke hujung kaki. Mukanya pucat menahan kesakitan. Usai bernafas laju, isteri Azmunir memalingkan mukanya ke arah Jujen sambil tersenyum. Senyumannya sangat menakutkan.
"Aku akan jahanamkan kereta kamu ni. Biar padan muka perempuan sundal macam kamu."
"Kereta boleh dibeli baru, kak. Kau tu... keluarkanlah anak tu dulu sebelum nak buat kejahatan," nasihat Jujen lagi.
Isteri Azmunir mengetap bibirnya. Marah dengan kata-kata selamba Jujen.
"Lepas ni hidup kamu tak akan aman! Tak aman! Kamu dengar tak, Suzanna? Ughhh... keluar hospital nanti aku nak santau kamu. Biar kamu tahu langit tinggi rendah. Arghhh..."
"Bawa dia keluar!" Garang Jujen memberikan arahan, sudah jemu melayan kerenah gila isteri Azmunir. Nak beranak, buatlah cara nak beranak. Ini tidak! Mengugut-ugut orang dengan santau pula dia. Ulu punya orang!
Namun, balik ke butik nanti Jujen akan bertanya kepada Azita dan Nuha cara-cara untuk melindungi diri daripada santau yang dihantar oleh orang gila seperti isteri Azmunir. Takut juga dia jika isteri Azmunir benar-benar melaksanakan ugutannya itu.
Pegawai polis trafik dan beberapa orang lelaki yang membantunya, cuba mengeluarkan isteri Azmunir dari kereta itu sekali lagi tetapi perempuan mengandung itu tetap membantah. Tangannya menggenggam bingkai pintu kereta.
"Jangan! Jangan tarik aku! Aku nak beranak kat dalam kereta ni jugak!"
Isteri Azmunir mula memukul dan mencakar sesiapa sahaja yang cuba menariknya keluar dari kereta tersebut. Kesempatan itu diambil oleh beberapa orang lelaki untuk memegang dua tangan isteri Azmunir. Akhirnya, perempuan mengandung itu berjaya diangkat keluar dari kereta BMW Jujen. Dia diletakkan di atas rumput di tepi jalan itu.
"Kepala bayi puan dah nampak," maklum pegawai polis trafik itu. "Bernafas macam yang bidan ajar. Bila saya kata teran, puan teran. Teran!"
"Ughhh... lepas aku bersalin nanti, siap kamu, Suzanna... ughhh..." Isteri Azmunir meneran sekuat hati sehingga menggeletar seluruh tubuhnya. Tudung dan bajunya habis basah dek peluh.
"Teran, puan! Teran!" suruh pegawai polis trafik itu lagi.
"Ughhh... ughhh... kamu ingat lepas ni aku nak biarkan aje kamu? Ughhh... aku doa semoga syarikat kamu muflis! Muflis! Ughhh..."
"Lantaklah kau, kak. Malas aku nak layan kau lagi. Baik aku balik."
Jujen berpaling. Ketika hendak menutup pintu kereta yang terbuka, dia terpandangkan bangku kulit penumpang hadapan yang sudah dicemari darah dan sesuatu yang kelihatan seperti...
Najis!
"Eee... geli aku!"
Habis berkata-kata, Jujen terus muntah di sisi kereta BMW-nya.
Bunyi tayar bersagat dengan jalar tar kedengaran, memeritkan telinga. Sejurus, sebuah kereta berhenti di antara kereta Jujen dengan motosikal berkuasa besar pegawai polis trafik itu. Pemandunya keluar dan bergegas mendapatkan Jujen.
"Darling! Darling! Kenapa darling? Kenapa darling muntah?"
Suara cemas Azmunir menerpa ke gegendang telinga Jujen. Sejurus, Azmunir berdiri di sisi Jujen, menggosok badan Jujen untuk menenangkan gadis itu.
"Heh! Apa gosok-gosok orang ni?" marah Jujen.
Tangan Azmunir ditepisnya. Melampau sungguh! Sentuh-sentuh orang pulak dia. Jujen mengelap mulutnya dengan kertas tisu dan melangkah menjauhi Azmunir.
"Abang risau tengok darling muntah." Suara Azmunir jelas panik. Dia mengekori Jujen yang semakin menjauhkan diri seperti seorang anak kecil yang mengekori ibunya.
"Hoi!" jerit isteri Azmunir. "Ughhh... grrr... aku seksa nak beranakkan anak kau, kau risaukan perempuan tu pulak! Arghhh..."
Azmunir berpusing. "Eh, ayang... kenapa beranak kat sini? Darling, kenapa darling tak bawak isteri abang ke hospital? Kan dah dekat tu?"
Jujen berasa seperti nak cekik-cekik leher Azmunir di situ juga tetapi apabila dia tengok muka bingung Azmunir, terbit pula rasa kasihan dalam hatinya. Azmunir nyata sedang keliru. Orang yang sedang berada di persimpangan. Yang di sana isteri dan yang di sini kekasih. Bagaimanalah tidak tergencat sistem di dalam otaknya sehingga akalnya gagal berfungsi dengan betul.
Isteri Azmunir pula meneran sekuat hati, seolah-olah mahu mengeluarkan bayi yang dikandungnya dengan secepat mungkin supaya dia boleh mengerjakan suaminya, barangkali. Matanya asyik menjeling Azmunir sahaja.
"Oi, mangkuk... kau layanlah isteri kau dulu. Dia nak beranak tu. Makwe comel kau tu bagi kat aku," ejek seorang pemerhati. Tawanya menyusul.
Dengan muka cemberut, Jujen menoleh ke arah dari mana suara itu datang, mencari orang yang berkata-kata. Seorang lelaki muda tersenyum dan mengenyitkan mata kepadanya. Langsung Jujen tidak jadi marah apabila melihat ketampanan lelaki yang mengejek Azmunir tadi. Malah, mukanya berasa panas kerana malu memikirkan tentang sikapnya sendiri, yang tergamak berbalah dengan perempuan yang sedang berdiri di persimpangan di antara hidup dengan mati.
Baru Jujen teringat, sekiranya isteri Azmunir meninggal dunia dalam proses melahirkan anaknya itu, kematiannya dikira syahid. Masuk syurga! Tak kiralah mulut atau perangainya macam mana, dia tetap akan masuk syurga kerana itulah janji Allah.
Semakin sakit hati Jujen bila mendengar bicara mindanya itu.
Di hadapan Jujen, Azmunir pandang isterinya, kemudian dia pandang Jujen. Selepas itu dia pandang isterinya semula. Akhirnya, Azmunir sedar siapa yang perlu diutamakan. Dia melutut di sisi seorang jururawat yang sedang membantu isterinya. Entah bila jururawat itu sampai dan mengambil alih tugas pegawai polis trafik tadi, Jujen pun tidak sedar tetapi Jujen lega. Sekurang-kurangnya, orang yang benar-benar bertauliah membantu isteri Azmunir melahirkan anak. Mudah-mudahan perempuan itu terus hidup dan mendapat pengadilan yang sewajarnya di akhirat nanti.
Sejujur-jujurnya Jujen tidak rela isteri Azmunir dapat masuk syurga begitu sahaja.
Namun, dia sedar dia tidak boleh mendoakan keburukan terhadap orang lain, walaupun yang terlalu kurang ajar seperti isteri Azmunir. Berkenaan Azmunir pula, Jujen tidak mahu ada apa-apa hubungan lagi dengan lelaki itu. Memang selepas isteri Azmunir memperkenalkan identitinya tadi, kasih cinta Jujen terhadap Azmunir yang dari semalam sudah mula goyah, terus runtuh dan hancur menjadi debu.
Jujen kembali berpeluk tubuh. Pandangannya dilontarkan ke arah pegawai polis trafik yang kini sedang mengarahkan orang awam yang berkumpul supaya beredar, sementara dua orang jururawat yang datang membantu isteri Azmunir, meletakkan adang-adang yang diperbuat daripada besi dan kain di keliling perempuan mengandung itu, supaya bahagian sulitnya tidak lagi menjadi tontonan orang awam, yang kebanyakannya sedang memegang telefon bimbit masing-masing, merakamkan babak yang bakal memalukan isteri Azmunir seumur hidupnya, terutamanya jika rakaman itu dimuat naik di YouTube.
Kasihan isteri Azmunir!
Bila sedar tiada gunanya dia berada di situ lagi, Jujen menghubungi syarikat trak tunda yang biasa digunakannya. Tidak rela dia memandu kereta BMW-nya yang sudah dinodai bahan buangan isteri Azmunir itu lagi. Biarlah kereta itu ditunda ke tempat mencuci kereta. Di sana, kereta itu akan dibasuh dengan sebersih-bersihnya. Selepas itu kereta itu akan dijual. Jujur Jujen katakan, dia sangat sayang pada keretanya itu tetapi dia juga tidak sanggup menggunakannya lagi.
Sementara menunggu trak tunda sampai, Jujen mengintai isteri Azmunir yang ketika itu sedang meneran sekuat hati. Orangnya tidak kelihatan kerana dilindungi adang-adang tetapi suara menerannya dapat didengar dengan jelas. Lama pula dia meneran kali itu dan sejurus, tangisan nyaring seorang bayi kedengaran.
'Syukur alhamdulillah... anak tu selamat,' ucap Jujen dalam hati. 'Emaknya pun harap-harap selamatlah jugak.' Jujen memanjangkan lehernya tetapi tidak nampak apa-apa kerana orang terlalu ramai berkerumun untuk melihat umat terbaru Nabi Muhammad SAW itu.
Trak tunda yang dipanggil sampai, serentak dengan ambulans yang tiba untuk membawa isteri dan bayi Azmunir ke hospital. Selepas memberikan arahan kepada pemandu trak tunda itu, Jujen menahan sebuah teksi yang kebetulan sedang bergerak keluar dari pekarangan hospital itu. Segera dia masuk ke dalam teksi tersebut.
"Darling!" jerit Azmunir. Dia meninggalkan isteri dan anaknya yang sudah dibawa masuk ke dalam ambulans, lalu berlari mendapatkan teksi Jujen. Azmunir menghalang teksi itu dari beredar. Tidak dipedulikannya suara orang ramai yang beristighfar melihat tingkah lakunya.
"Eh, apa ni, hah? Kau nak apa lagi, Azmunir?" marah Jujen.
"Tolonglah jangan pergi dulu, darling. Bagi abang peluang untuk jelaskan perkara yang sebenar-benarnya."
"Nak jelaskan macam mana lagi? Kau laki orang. Bapak orang. Tu... isteri dengan anak kau tengah tunggu tu. Pergilah bawak dia orang ke hospital. Buat pemeriksaan. Yang kau sibuk kejar aku buat apa?" Jujen cuba menaikkan cermin tingkap itu tetapi ketat. 'Kejap-kejap nilah pun cermin ni nak tersangkut,' rengus hati Jujen.
Azmunir menoleh ke arah isterinya yang sedang memangku bayi mereka di dalam ambulans. Mata isterinya tajam merenung ke arahnya.
"Isteri abang dah selamat bersalin. Anak abang pun dah selamat. Tapi cinta kita, darling, macam mana? Tolonglah jangan hancurkan cinta kita, darling. Abang sayangkan darling."
"Kau ingat aku nak ke lagi kat kau? Eh, kalau aku tahu kau tu dah ada anak isteri, tak ada kerja aku nak terima cinta kau dulu!"
Jujen meminta pemandu teksi itu berlalu tetapi ditahan oleh Azmunir yang memeluk sempadan di antara dua tingkap yang terbuka itu.
"Abang takkan lepaskan darling sebab abang tahu darling cintakan abang. Kalau tidak, takkan darling ajak abang kahwin malam semalam," rayu Azmunir. "Darling tengah marah sekarang ni. Biar abang uruskan isteri dan anak abang dulu. Lepas tu abang cari darling kat butik. Kita duduk. Kita bincang dari hati ke hati."
Bunyi pintu dikatup membuatkan Azmunir menoleh. Dia cemas apabila melihat sebelah pintu ambulans yang membawa isterinya sudah ditutup.
"Abang terpaksa pergi, darling. Darling tunggu abang kat butik tau. I love you, darling."
Jujen mencebikkan bibirnya. Sayang dan cinta Azmunir sudah tidak bermakna lagi baginya.
Tup!
Sebelah lagi pintu ambulans ditutup. Sesaat kemudian ambulans itu mula bergerak. Azmunir meninggalkan Jujen, lantas berlari untuk mengejar ambulans itu pula tetapi gagal. Kenderaan itu dipandu terlalu laju. Untuk seketika, Azmunir tercegat berdiri sambil memandang ke arah ambulans yang semakin menjauh. Kepalanya digaru. Jelas, dia sedang berfikir. Tidak semena-mena Azmunir berpusing untuk mendapatkan teksi Jujen pula.
"Alamak! Bang, cepat pandu. Cepat!" suruh Jujen.
Kelam-kabut pemandu teksi itu menekan pedal minyak.

KALAU DAH JODOHWhere stories live. Discover now