Bab 7

205 4 0
                                    

"PATUTLAH selama bercinta, dia tak pernah ajak aku naik kereta dia. Sekali pun tak pernah!" Jujen meluahkan kekesalan yang menggelodak dalam jiwanya. Matanya merenung melepasi Azita yang berdiri di hadapannya.
"Habislah pecah tembelang kalau orang yang kenal kereta dia nampak dia bawak perempuan lain," tokok Azita.
"Nampak siapa bawak perempuan lain?" soal Nuha yang baru menyertai mereka.
"Syyy!" Jari-jari halus Jujen pantas mencekup dua ulas bibir Nuha sehingga memuncung. "Cakap tu pelan-pelanlah sikit."
Mata Jujen melirik ke arah beberapa orang penumpang kapal terbang yang duduk paling dekat dengan tempat mereka berdiri, memastikan suara Nuha tidak mengejutkan sesiapa dari tidur.
Ketika itu, mereka bertiga berada di dalam perut kapal terbang yang membawa mereka ke Toronto, Kanada. Selepas semua penumpang selesai menjamah makan malam, lampu di dalam pesawat itu dipadamkan. Kebanyakan penumpang sudah belayar ke alam mimpi tetapi ada juga yang masih jaga, menonton filem yang disediakan oleh penerbangan yang mengambil masa selama 32 jam itu.
"Nampak Azmunirlah! Siapa lagi?" Jujen menjawab soalan Nuha tadi. "Selama ni kau perasan tak, bila aku keluar dengan dia, kami asyik naik kereta aku aje. Mana pernah aku naik kereta dia."
"Aku perasan." Nuha mengangguk. "Tapi aku ingatkan dia nak tunjuk lagak. Bawak BMWlah katakan. Kan dia yang bawak kereta kalau korang keluar."
"Aku pun ingat macam tu. Rupa-rupanya dia tak nak bini dia tahu. Naik kereta aku, memang bebaslah dia pergi ke mana-mana dengan aku!" Jujen menggeleng. Atas sebab itu jugalah dia percaya bulat-bulat bahawa Azmunir masih bujang. Takkanlah orang yang sudah berkahwin berani keluar dengan begitu bebas sekali bersama kekasihnya?
Rupa-rupanya Azmunir sudah mengatur rancangan yang sangat teliti. Dia menjadikan kereta Jujen sebagai kunci kebebasannya. Keretanya sendiri ditinggalkan di pejabat, supaya isteri atau ahli keluarganya menyangka dia masih bekerja. Kalau dia tidak ada di pejabat, mereka akan menyangka dia ke kilang dengan menaiki kenderaan yang disediakan oleh syarikat. Padahal, dia bersama Jujen. Huh! Licik sungguh penipuan Azmunir.
"Hee... sakit betul hati aku kena tipu dengan dia." Jujen memejamkan matanya. Satu lagi taktik jahat Azmunir muncul di layar mindanya. Azmunir tidak pernah menggunakan kad kreditnya bila mereka keluar bersama. Dia sanggup bergaduh dengan Jujen jika Jujen menyuruhnya membayar dengan kad kreditnya. Yalah, asyik tak berduit sahaja. Bayarlah dengan kad kredit. Makan pandai tetapi bila tiba waktu membayar, Jujen yang terpaksa keluarkan duit. Selama ini Jujen menyangka Azmunir tidak cukup kredit hendak membayar harga minyak atau makanan mereka tetapi sekarang, Jujen yakin Azmunir takut isterinya nampak transaksi yang mencurigakan dalam penyata kad kredit yang sampai di rumah mereka.
"Tak sangka nasib aku jadi begini. Entah apalah dosa aku sampai macam ni sekali balasannya."
"Lupakan dia, Jen. Tak usah ingat lagi dah. Lama-lama mesti hati kau tak sakit lagi," saran Azita.
Memang Jujen hendak melupakan Azmunir. Sampai dari kampung semalam, dia nekad untuk tidak bercakap atau memikirkan tentang Azmunir lagi tetapi luka di hatinya terlalu dalam, sedalam kepercayaannya yang telah Azmunir permainkan. Akibatnya, luka yang masih berdarah itu menyebabkan nama Azmunir asyik timbul sahaja dalam fikirannya. Menyesakkan dadanya.
"Lepas ni memang susahlah aku nak percaya pada orang lelaki lagi."
"Jangan cakap macam tu, Jen. Tak baik," pujuk Azita. "Jangan benarkan Azmunir rosakkan impian kau nak jadi isteri dan emak."
"Oh... aku mesti kahwin punya, Zita. Janganlah kau risau. Aku tetap akan jadi isteri dan mak orang. Cuma, aku tak akan serahkan kepercayaan aku seratus peratus pada suami aku macam aku serahkan pada Azmunir."
Azita menggeleng, tidak bersetuju. Dia tahu kata-kata yang Jujen lontarkan itu didorong oleh perasaan kecewa, namun niat itu sudah ada. Dia takut niat akan menjadi perbuatan.
"Tak boleh macam tu, Jen. Berdosa!" Azita mengingatkan.
"Kalau suami aku nakkan kepercayaan aku, dia kena berusaha untuk mendapatkannya. Nak bagi senang-senang, memang tak adalah."
Suasana menjadi sepi. Jujen merenung jauh hingga menembusi dinding pesawat yang dinaiki, manakala Azita dan Nuha pula berbalas pandang, tidak tahu bagaimana hendak menasihati Jujen.
"Bila aku kahwin nanti, kan... aku nak buat kenduri besar-besaran." Jujen memecahkan kesunyian. "Tempah ruang dalam akhbar lagi, biar satu Malaysia baca cerita aku dan tengok gambar-gambar kahwin aku."
"Saja nak bagi Azmunir gigit jarilah tu!" Nuha tersengih. Azita berpeluk tubuh dan menggeleng tanda tidak bersetuju.
Jujen tersenyum kelat. Memang pun! Azmunir suka sangat dengan duit. Hah, biar Jujen berhabis untuk kenduri kahwinnya. Bukan setakat besar sahaja, malah dia merancang untuk mengadakan kenduri kahwin yang akan diingati oleh semua rakyat Malaysia, terutamanya Azmunir. Biar padan muka lelaki mata duitan itu yang berani mempermainkan hatinya tanpa belas kasihan.
"Dah alang-alang kau nak buat macam tu, kau tempah sekali satu halaman dalam majalah Inai Di Jari. Lagi cantik gambarnya sebab kertas kilat. Aku gerenti, Azmunir mesti gigit jari bila tengok gambar-gambar kau berposing dengan suami kau," syor Nuha.
"Akan aku buat macam tu, Nuha. Akan aku buat. Lagi cantik kalau aku tempah satu segmen dalam rancangan Nona, kan?"
"Cun habis!" Setuju Nuha.
"Jadi, kau nak berhabis duit ni untuk sakitkan hati Azmunirlah, ya?" Azita menjeling Jujen. "Kesian suami kau. Dia ingat kau berhabis sebab bahagia sangat dapat kahwin dengan dia. Rupa-rupanya kau nak sakitkan hati bekas pakwe kau. Mesti hati suami kau terkilan kalau dia dapat tahu!"
"Kau ni kan, Zita! Potong stim betullah. Aku baru nak seronok."
"Niat kena betul, Jen. Niat kena betul." Azita menggosok-gosok bahu Jujen.
"Aku main-main ajelah. Haisy..." Jujen melepaskan lelah.
"Sekarang memanglah kau kata kau main-main. Esok, kalau kau betul-betul buat macam mana?" tekan Azita lagi. "Tak fasal-fasal aje dapat dosa."
"Hmm... yalah. Aku tak nak cakap lagi dah fasal benda ni. Jomlah kita duduk." Jujen paksa dirinya tersenyum sebelum mengajak dua orang sahabatnya itu kembali ke tempat duduk mereka.
32 jam kemudian, mereka mendarat di Toronto. Masing-masing kejang otot dan kematu bontot. Selama empat hari tiga malam, mereka akan menetap di sebuah hotel bertaraf tiga bintang yang terletak di The Esplanade, Toronto. Dekorasi ruang legar hotel itu sangat menarik tetapi bilik tidurnya ringkas sahaja. Jujen berkongsi bilik dengan Azita. Nuha, entah dengan siapa. Usai mandi dan mengerjakan solat, kedua-duanya terus melayan rasa penat dan mengantuk. Mereka tidur sehingga pagi.
Selepas bersarapan pada keesokan harinya, rombongan mereka menaiki dua buah bas menuju ke The CN Tower, iaitu bangunan tertinggi di Toronto yang pernah dinobatkan sebagai bangunan tertinggi di dunia tetapi dalam tahun 2010, status tersebut dilucutkan dan The CN Tower terpaksa berpuas hati dengan gelaran sebagai menara tertinggi di dunia sahaja.
"Cantiknya tempat ni," puji Jujen semasa dia, Azita dan Nuha menikmati keindahan alam dari menara yang tinggi itu.
"Kalau naik Menara Kuala Lumpur pun macam ni jugak kita rasa," ujar Nuha. Selamba.
"Hmm... tapi KL nampak sesak. Sini... aman damai aje aku tengok. Mendamaikan hati aku. Mungkin aku patut pindah ke sini."
"Dan lari dari masalah yang menunggu kau kat Malaysia?" Azita terkejut. "Setahu aku, Jujen yang aku kenal bukan sorang yang pengecut. Jujen kawan aku tu dia takkan lari dari masalah. Dia akan selesaikan masalah dia sampai ke akar umbi!"
"Masalah? Mana aku ada masalah?" Bahunya Jujen jongketkan. "Yang kat Malaysia tu bukan masalah aku lagi. Masalah aku dah selesai."
"Nampak sangat kau nak lari, Jujen." Azita menggeleng. "Disebabkan jantan tak guna tu, sanggup kau ubah pendirian kau."
"Sampai mati aku takkan ubah pendirian aku, Zita. Dan percayalah, aku tak akan lari ke sini. Aku terbang aje. Kalau lari mana sampai? Benua tak sama." Jujen ketawa.
"Betul! Betul! Betul!" tokok Nuha, meniru cara karakter kartun Ipin berkata-kata sambil ketawa, lucu dengan jenaka Jujen.
"Bukan itulah yang aku maksudkan! Korang ni... buat-buat tak faham pulak cakap aku." Azita menarik muka.
"Alah, Zita... aku ngusik ajelah. Takkan itu pun tak boleh? Kenapa kau sensitif sangat hari ni? Rindu kat cik abang ke?"
"Aku cakap serius tapi kau buat lawak bodoh. Macam mana aku tak bengang?"
"Okeylah, aku mintak maaf. Aku sebenarnya nak seronok-seronok aje kat sini. Tapi dah kau nak jawapan serius, biar aku bagi jawapan serius kat kau." Jujen tarik nafas sedalam yang mungkin. Kemudian, dia lepaskan nafasnya perlahan-lahan. "Aku bukannya nak lari. Tapi tak salah rasanya kalau aku menjauhkan diri supaya tak ada tempias masalah orang terkena kat aku. Boleh tak macam tu?"
"Boleh. Cuma, apa gunanya jasad kau ada jauh tapi hati kau asyik fikirkan fasal dia aje?" soal Azita.
"Insya-Allah tak, Zita. Kau kenal aku. Kau tahu perangai aku macam mana. Sekali orang tipu aku, sampai mati aku takkan percaya kat orang tu lagi. Penipuan Azmunir penipuan yang teratas. Yang tak boleh dimaafkan. Aku bukan aje tak percaya kat dia, malah aku tak nak tengok muka dia lagi dah."
Mereka bertiga terdiam.
"Kalau kau pindah ke sini, mesti kau kahwin dengan mat salih, Jujen." Nuha memecahkan kesunyian.
"Orang kita pun ramai kat sini, Nuha. Buat apa aku cari bangsa lain? Sudahlah bukan cita rasa aku, lepas tu menyusahkan aku aje nak mengajar mat salih tu ilmu agama kita. Tapi..." Jujen menghalakan pandangannya ke dada langit, "orang Melayu pun menyusahkan aku jugak. Tengok apa Azmunir buat kat aku."
"Kau ni berdendam dengan Azmunir ke, Jujen?"
"Aku nak lupakan dia, Zita. Aku tak nak ingat pada dia lagi dah. Kalau aku berdendam dengan dia, maknanya aku paksa diri aku untuk ingat pada dia, sedangkan dia tak layak duduk dalam kotak ingatan aku ni. Tapi buat masa ni, hati aku masih sakit lagi. Benda baru jadi. Adatlah kalau aku nak mengata dan mengutuk dia." Jujen menarik nafas dengan dalam. "Jomlah. Aku nak beli cenderamata untuk keluarga aku."

KALAU DAH JODOHWhere stories live. Discover now