16 Jun 2035 | 11.25 malam.
Suasana di Bandaraya Kubang Kerian bagaikan sebuah pesta keraian. Rakyat jelata masing-masing meninggalkan kediaman untuk menuju ke Dataran Kerian. Jalan raya penuh sesak dengan kenderaan yang berpusu-pusu menuju ke lokasi, Dataran itu luas dan mampu memuatkan kira-kira 50 000 orang pada tiap-tiap masa. Jumlah yang hampir menyamai jumlah seats Stadium Sultan Mizan di Terengganu, bezanya dataran ini tidak berbumbung. Jadi tiada kebimbangan akan ada kejadian bumbung runtuh berulang.
Di satu sudut dataran itu terdapat pentas utama yang dihias dengan sejumlah kuntuman mawar segar berwarna merah dan putih; warna rasmi Kelantan Darul Naim. Di pinggir dataran, gerai-gerai jualan dibuka. Masing-masing kelihatan gembira dan teruja untuk menyaksikan pertunjukan bunga api tepat jam 12 tengah malam nanti. Esok, 17 Jun merupakan cuti umum sempena sambutan ulang tahun ke-10 Kubang Kerian dinaiktaraf menjadi sebuah bandaraya pertama di negeri itu, setahun selepas menjadi ibu negeri rasmi negeri Kelantan. Menariknya, penukaran ibu negeri dari Kota Bharu ke Kubang Kerian adalah satu keputusan yang paling kontroversi namun disepakati pernah dilakukan. Pada mulanya, cadangan untuk menukar ibu negeri menimbulkan pelbagai polemik serta dikecam hebat oleh parti pembangkang saban tahun semasa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri. Walaubagaimanapun, setelah bandar Kota Bharu lumpuh dan hampir tenggelam sepenuhnya dek kejadian banjir besar akibat limpahan air Sungai Kelantan, keputusan sebulat suara telah dicapai untuk menjadikan Kubang Kerian sebagai ibu negeri yang baru. Setahun kemudian, Kubang Kerian berjaya menjadi bandar termaju di Kelantan. Bangunan-bangunan pencakar langit dibina serta kemasukan pelabur asing yang kian bertambah kerana yakin dengan ‘bandar emas’ di Kubang Kerian. Dengan itu, Kubang Kerian diisytiharkan sebagai sebuah bandaraya kedua di lajuran Pantai Timur, selepas Bandaraya Kuala Terengganu.
Seiring dengan pengisytiharan Kubang Kerian sebagai sebuah bandaraya, Majlis Bandaraya Kubang Kerian (MBKK) ditubuhkan. MBKK adalah pihak berkuasa tempatan yang dikhususkan untuk mentadbir pusat bandar Kubang Kerian. Agensi ini berada bawah naungan kerajaan negeri Kelantan dan diketuai oleh seorang Datuk Bandar yang bertanggungjawab menguruskan segala urusan yang berkenaan dengan kesihatan awam dan sanitasi, pengurusan dan pembuangan sisa, perancangan bandar, perlindungan alam sekitar dan kawalan bangunan, pembangunan sosial dan ekonomi dan fungsi penyenggaraan am infrastruktur bandar. Datuk Bandar pertama Kubang Kerian ialah Yang Berbahagia Dato’ Azim Azman.
Nik Fikri bertugas mengiringi Dato’ Azim dan dif-dif kehormat lain menuju ke pentas utama. Penampilan beliau segak dengan baju Melayu kuning diraja dilengkapi sampin keemasan ikatan Bugis Pantang di pinggang dan destar Bulang Hulu di kepala. Wayfarernya kemas disisip pada poket baju Melayu; nampak elegan dalam persalinan klasik. Dengan tinggi hampir 6 kaki dan susuk tubuh yang tegap, beliau sering kali disalah tafsir sebagai pendatang asing, bukannya warga tempatan. Namun, sejak peristiwa Kubang Kerian dilanggar tebuan jahat kira-kira 12 tahun lalu dan dendam Nirrajim di Hospital Universiti 5 tahun lalu, Nik Fikri diangkat sebagai ikon bandaraya tersebut atas kejayaan beliau melindungi puluhan ribu rakyat Kubang Kerian daripada ancaman musuh.
Setelah sampai di pentas utama, mereka mengambil tempat yang telah disediakan. Kebiasaannya, Dato Azim tidak sukakan protokol yang meleret-leret, seperti ucapan alu-aluan yang panjang meleret serta mengandungi kata pujian keterlaluan yang hanya membuang masa. Tak termasuk lagi dengan pantun yang sama sahaja ritmanya tak kira di mana-mana majlis. Jadi, pengerusi majlis pada malam itu hanyalah Encik Amir, pelawak dengan lawak hambar terkenal di bandaraya itu.
“Yang dihormati, Datuk Bandar Kubang Kerian, Dato’ Azim Azman, ikon Bandaraya Kubang Kerian, Encik Nik Fikri Arafa, serta barisan dif kehormat yang lain. Sukacitanya saya mewakili seluruh rakyat bandaraya ini meraikan kedatangan Dato’ ke majlis pada malam yang penuh gemilang ini. Jadi, macam biasalah Dato’, saya kena cepat, show banyak lagi esok. Lagipun, memandangkan countdown dah nak mula, AJK bunga api dah tak sabar nak balik rumah, izinkan saya menjemput terus Dato’ untuk memberi sepatah dua kata. Silakan Dato’,” Serentak dengan itu, hilai ketawa dan tepukan gemuruh mengiringi Dato’ Azim yang hanya tersenyum simpul.
YOU ARE READING
Jarum
Science FictionMengisahkan sambungan cerpen Kyle; Kembali terbitan Lejen Press pada Disember 2013. Setelah menyelesaikan serangan Nirrajim, si bomoh yang mahir dengan ilmu hitam, rakyat Kubang Kerian mula menaruh impian dan mengangkat Kyle sebagai ikon bandaraya t...