"Kerinduan"

332 13 1
                                    

Meskipun hati ini masih sayu dengan musibah yang menimpah ibuku, hidup perlu di teruskan. Meskipun senyuman ini mengaburi pandangan orang pada isi hati aku yang sebenarnya, Allah menjadi saksi bahawa setiap doa-doa yang aku panjatkan pada-Nya diikuti dengan air mata yang memohon agar nikmat kasih seorang ibu tidak ditarik daripada diri ini. Hujung minggu ini Mak Cik aku membawa kami melawat ibuku. Aku sangat merindui ibuku. Setiap hari yang aku lalui bagaikan aku hidup seperti pungguk merindukan bulan, bagaikan gula yang manis apabila ditelan rasanya tawar. Tetapi aku sedar, hidup ini ibarat air sungai yang mengalir tanpa henti tetapi pada suatu saat ia akan kering apabila matahari terlalu terik dan hujan tidak turun bahkan kita tidak tahu bila ia akan berlaku. Setelah kemarau maka Allah akan turunkan hujan sebagai rahmat, air sungai akan kembali mengalir meneruskan hukum alam. Kita merancang, Allah yang menentukan. Aku yakin bahawa, walaupun air sungai yang mengalir di hulu keruh tetapi di muara akan jernih. Allah menjanjikan bahawa setelah kesedihan melanda, kegembiraan akan datang sebagai ubat kepada kesedihan itu.
Aku kini berada di Hospital Queen Elizabeth, pelbagai perasaan merasuk jiwa ini. Dari kejauhan aku dapat melihat satu susuk tubuh yang terbaring lemah. Terlalu banyak wayar yang bersambung dengan jasadnya. Wajahnya semakin lesu dan badannya semakin susut. Kesan pembedahan pada kepalanya masih belum pulih, aku dapat merasakan kesakitan yang menimpahnya daripada luka itu. Ibuku telah dibedah sebanyak dua kali pada hari pertama dan kedua di Hospital ini. Menatap wajahnya membuatkan aku tidak mampu untuk menahan rasa pedih dalam hatiku, sakitnya terlalu dalam hingga ke ulu hati. Setitik air mata menitis daripada pipiku.
Ya Allah aku benar-benar tidak kuat untuk menghadapi ujianmu ini. Aku tidak sanggup melihat keadaan ibuku seperti ini. Air mata yang cuba aku bendung daripada berterusan mengalir, akhirnya pecah. Aku menangis teresak-esak di tepi katil. Dengan penuh kasih sayang kakakku menarik diriku untuk merapatinya, perlahan-lahan dia membawaku dalam dakapannya. Pelbagai kata nasihat dia sematkan dalam diri ini agar kuat untuk menghadapi musibah ini. Aku hanya mampu mengiyakan dalam hati setiap bait-bait kata yang kakakku sampaikan.
Tanpa aku sedari hari berlalu dengan pantas, meskipun ada kalanya aku ingin agar ia berhenti. Hari ini adalah hari terakhir aku berada di asrama untuk sesi tahun 2012. Seperti tahun sebelum ini, cuti persekolahan adalah hari yang dinantikan oleh pelajar dan guru-guru. Namun bagiku, perasaan gembira untuk bercuti tidak lagi mengusik hatiku seperti tahun sebelum ini. Pada ideologi aku, cuti adalah masa yang sesuai untuk kita luangkan bersama dengan keluarga. Apalah erti cuti pada diriku tanpa ibu di sisi? Walhal dia adalah penyebab utama kegembiraan aku untuk pulang ke rumah.
Akmar dan Ila telah membuat senarai aktiviti yang mereka ingin lakukan pada masa cuti, meskipun itulah perkara yang kami lakukan setiap kali cuti akhir tahun tetapi tahun ini aku tidak ingin merancang aktiviti yang aku ingin lakukan. Mungkin juga aku akan menghabiskan cuti dengan muhasabah diri atau mencari sebuah erti kehidupan. Aku ingin kembali kepada fitrah. Sejak akhir-akhir ini aku sering mengalami mimpi ngeri, mimpi yang sangat ngeri sepanjang enam belas tahun aku bernyawa di bumi pinjaman Allah. Iaitu, mimpi bahawa ibu telah meninggal atau akan meninggal dunia. Salah satu daripada mimpi itu adalah, di dalam sebuah bilik aku bersama dengan jasad ibuku namun ibu berada dalam keadaan koma dan aku terdengar satu suara berkata-kata kepada aku. Dia menyatakan ibuku sedang melakukan pengembaraan yang terlalu panjang dan tidak tahu ke mana jalan untuk kembali.
Aku bertanya cara untuk membawa ibuku pulang kepada suara itu namun tidak ada jawapan, soalan aku dibiarkan berlalu bersama angin yang menghembus lembut menampar kulit wajah kuning langsat milikku sehingga membuatkan aku terjaga daripada tidur yang lena. Seminggu telah berlalu sejak hari terakhir persekolahan. Di pondok kayu tepi bendang ini, aku merenung sepi pada dada langit yang membiru bagaikan laut. Matahari terlalu terik pada petang ini sehingga menyengat ke kulit aku membuatkan kerja untuk menanam padi di tangguh oleh abahku. Tiba-tiba kedengaran deringan daripada telefon abahku yang memecahkan kesunyian dek matahari yang terik membuatkan aku, kakak dan adikku hanya diam membisu melayan perasaan sendiri.
Panggilan daripada abang aku sebentar tadi menjadi ubat kepada keterikan matahari pada hari ini. Melalui abah aku, abang aku menyatakan ibuku akan di hantar pulang ke Hospital Ranau tetapi keadaan ibu masih koma. Dalam kegembiraan yang disampaikan oleh abahku, terbit kesedihan kerana aku terlalu ingin berbual dengan ibuku. Aku ingin bertanya segala-gala perasaan dan hal yang dia telah lalui sepanjang koma.
"Alhamdulilah...Ya Rabb" luahku pada-Nya.
Seperti yang dikatakan oleh abangku, ibuku telah selamat sampai ke Hospital Ranau. Aku adalah orang pertama yang menjaga ibuku di Hospital Ranau kerana kakak-kakak aku dan abahku mempunyai komitmen pada kerja. Seorang kakak aku akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Meskipun aku hanya menjaga ibuku pada hari siang dan diganti oleh kakak aku pada waktu malam tetapi aku bersyukur kerana aku berpeluang untuk menjaga ibuku. Aku kini lebih tabah daripada sebelum ini, Allah mengizinkan hati ini terdidik dengan erti sabar menghadapi musibah. Meskipun tidak ada butir bicara yang terungkap daripada bibirnya namun menatap wajahnya dapat mengubat rindu yang bermukim dalam hati.
Aku menukar tuala basah pada dahi ibuku dengan perlahan-lahan. Sejak ibuku sampai di Ranau, dia di serang demam panas. Mungkin juga di sebabkan oleh faktor cuaca. Cuaca di Ranau sangat sejuk apabila bulan muncul menggantikan matahari yang telah melabuhkan tirainya. Aku mendoakan agar ibu akan sembuh dengan cepat meskipun dia akan lumpuh, aku sanggup untuk menghabiskan sisa hayatku untuk menjaganya. Menurut maklumat hasil daripada pencarianku, implikasi daripada pembedahan tempurung kepala adalah lumpuh atau pun mati. Pada usia ini, aku belum bersedia sekiranya malaikat Izra'il akan mencabut nyawa ibuku.
"Kau mau apa...pasti kan ku beri, kau minta apa...akan aku turuti, walau harus aku terlelap dan letih...ini demi kamu sayang, aku tak akan berhenti menemani dan menyayangimu, hingga matahari tak terbit lagi, bahkan bila aku mati, ku kan berdoa pada ilahi tuk satukan kami di syurga nanti..." lirik lagu "doa untukmu sayang" bermain-main dalam benakku. Setiap bait-bait lirik ini merupakan janji aku pada ibuku agar kembali sihat dan menemani kami sepanjang pelayaran di lautan dunia ini. Meskipun terkadang ombak kuat membadai bahtera yang aku nakodahkan, ia akan tetap utuh belayar di lautan dunia berbekalkan cinta ilahi, rasul dan redha ibuku.
Musibah yang telah menimpah kepada keluargaku memberikan banyak hikmah yang mengubah diriku kearah yang lebih baik. Pada hari kedua aku menjaga ibuku, aku mendapat pengalaman menukarkan lampin pakai buang ibuku dan membuat senaman pada anggota badan ibuku. Meskipun aku tidak yakin pada diri ini dan ketakutan sentiasa menyerang diriku dek keadaan ibu, aku tetap lakukannya. Pengalaman yang tidak mungkin semua remaja pada usiaku menempuhinya. Usai menukar lampin pakai buang ibuku, hatiku tersentuh apabila terlihat setitis air mata jatuh membasahi pipinya. Aku tidak tahu apakah maksud air mata itu, tetapi semasa aku menukar lampin pakai buangnya, kepala ibuku hampir terjatuh. Mujurlah aku menyambutnya.
"Ibu maafkan diri ini, seandainya aku menyakit mu..." bisikku pada telinga ibuku dengan perlahan sambil mengenggam tangannya dan mengucup lembut pipinya.
Waktu berlalu dengan pantas, senja sudah menyapa alam. Tugas untuk menjaga ibuku sudah sampai ke penghujungnya pada hari ini. Pada hari esok, aku akan kembali untuk menjaganya sehinggalah ibuku kembali sihat, seandaimya Allah mengizinkan agar ia berlaku. Seorang doktor wanita yang mungkin berusia dalam lingkungan 28 tahun menghampiriku, dia melaksanakan kerjanya untuk menganalisis perkembangan ibuku. Aku ditampar dengan tamparan yang hebat apabila doktor itu dengan tenang menyatakan ibuku tidak ada harapan untuk sembuh dan nadinya akan berhenti pada bila-bila masa. Aku seakan tidak mampu untuk menerima berita ini. Aku sekali lagi ditampar dengan hebat apabila doktor itu menyuruh aku memanggil semua ahli keluarga aku. Marah dan sedih datang bersilih ganti.
Marah kerana abangku membohongi kami selama ini. Dia menyatakan ibu dalam keadaan yang baik namun hakikatnya ibuku sudah tenat. Sedih kerana abangku terpaksa menyimpan segala-galanya seorang diri, hanya Allah yang mengetahui beban dalam hatinya.
"Apakah kegilaan yang sedang berlaku ini?" Ujarku dengan perlahan. Usai menghubungi abangku, tiga puluh minit selepas itu semua ahli keluarga aku sudah berada di Hospital. Abangku menafikan apa yang telah dikatakan doktor tersebut sambil menyatakan, sebagai seorang doktor dia tidak sepatutnya mengatakan sedemikian rupa padaku. Kita merancang, Allah yang menentukan. Dalam keadaan yang hiba dan sayu, aku masih sempat berfikir bahawa doktor itu sebenarnya tidak tahu menyusun kata-kata. Walhal, itulah hakikatnya mengikut teori analisis manusia dalam perubatan dan yang mendengarnya tidak dapat menerimanya. Itulah lumarh dunia, kesempurnaan bukanlah milik kita.
Abangku membawa kami pulang apabila isyak hampir menjengguk, lantaran kami belum menunaikan solat maghrib dan keadaan ibu adalah baik. Sebelum kembali ke rumah kami singgah di Masjid untuk menunaikan solat. Aku melihat abangku memasukan sekeping duit lima puluh ringgit dalam tabung rumah anak yatim. Aku berharap sedekah itu menjadi pertukaran untuk kesembuhan ibuku. Sepanjang perjalanan balik ke rumah, kami memilih untuk mendiamkan diri dan melayan perasaan sendiri.

Doa untukmu ibuWhere stories live. Discover now