"Hari jadiku"

754 25 3
                                    

“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung” surah an-Nur ayat 31. Masih terngiang-ngiang bacaan ayat tersebut di telingaku, pilu merasuk jiwaku sampai ke ulu hati. Aku adalah hamba yang berdosa, acap kali terleka dan alpa akan nikmat dunia. Tafsir al-Quran yang aku pegang, aku tutup dan menyimpannya di rak buku katil. Perlahan-lahan kain telekung yang membaluti tubuhku, aku tanggalkan. Alhamdulilah, aku bersyukur kerana Allah memberi peluang untuk aku bernyawa lagi. Seandainya malaikat menyekat nafasku di kerongkong semasa aku terlelap, apakah amal yang akan aku bawa untuk menghadap Allah? Sesungguhnya aku belum bersedia untuk menghadap-Nya kerana bekalanku tidak cukup untuk menyelamatkan diriku daripada azab api neraka, sebaik sahaja amalanku dibentangkan di akhirat kelak.
   Jendela bilik aku tolak perlahan, udara pagi menyapa wajahku. Hawa pagi yang sejuk membuatkan aku rasa segar dan tenang. Subahanallah, sungguh indah ciptaan-Mu. Rona merah yang berselerak di dada langit membuatkan aku kagum dengan ciptaan-Nya. Aku melemparkan pandangan ke arah bukit yang menjadi perkampungan banyak keluarga termasuklah keluargaku. Meskipun rumahku tidak dapat di lihat dari sini tetapi separuh jasadku seperti telah terbang dan berdiri di halaman rumah menanti di jemput oleh insan tersayang.
“Assalamualaikum” tegur satu suara yang sangat aku kenal.
“Walaikumsalam” Aku melemparkan senyuman pada Akmar, rakan baikku. Dulu aku tidak suka tinggal di asrama kerana terpaksa berjauhan dengan keluarga terutama ibuku. Setelah tiga tahun tinggal di asrama, aku rasa seronok tinggal di asrama. Banyak rakan-rakan yang sudi berkongsi kisah suka dan duka, belajar berdikari dan sebagainya.
“Jauh termenung... ingat kat siapa?” Aku hanya mampu menggelengkan kepala menjawap pertanyaan Akmar, malas untuk mengeluarkan suara pada pagi ini. Tiba-tiba Akmar mengenggam tanganku dengan lembut dan penuh kasih sayang sebagai sahabat dan saudara seislam.
“Happy birthday Syuhadah... Semoga Allah memberkatimu” ujar Akmar dengan senyuman yang  lebar. Aku  tersentak, aku lupa bahawa hari ini genaplah usiaku enam belas tahun.
“Lupalah tu...” ujar Akmar lagi. Dia berlalu pergi membiarkan aku yang masih terpingga-pingga dengan senyuman yang masih terukir di bibir. Seumur hidupku, aku belum pernah merasakan bagaimana rasanya apabila hari lahir aku diraihkan oleh sesiapa pun termasuklah ibu bapaku. Aku tidak pernah meminta hadiah kepada ibu bapaku pada hari lahirku. Bagi aku, cukuplah sekalung doa dan restu mereka mengiringi diriku sepanjang masa, tidak kira tempat dan waktu. Cukuplah sekalung keredhaan daripada ibu bapaku yang mampu menyelamatkan aku daripada azab neraka. Syurga itu di bawah telapak kaki ibu.
“Terima kasih Ya Rabb kerana engkau memberikan nikmat yang sungguh besar bagiku iaitu nikmat kasih sayang ibu dan ayah” bisik hati kecilku.
“Mengelamun sampai ke mana tu? Nampaknya orang di sana tengah memikirkan orang di situ” ujar Ila yang berada di hujung katil. Aku tersentak lagi, hampir luruh jantungku dibuatnya. Aku mengatur langkah mendekati Ila, aku menghulurkan sekuntum senyuman nakal dan mencubit pipinya. Ila mengerang kesakitan, aku hanya mampu menahan tawa. Puas hati apabila dapat mencubit pipinya.
“Awas kau Syu... geramnya aku” Ila mengetap bibirnya menahan marah. Dia membetulkan tudungnya yang senget.
“By the way, semalam Izat kirim salam dengan kau” ujar Ila. Aku hanya diam seribu bahasa meskipun aku tahu Ila mengharapkan jawapan untuk disampaikan kepada saudaranya.
“Opps... lupa pula benda penting...happy birthday kakak tua” ujar Ila sambil tersenyum sins. Perkataan “kakak” sengaja Ila tekankan sehingga mengundang tawaku.
“Kau ini persaan mudalah Ila, si Syu bulan sepuluh kau bulan dua” ujar Akmar yang daripada tadi membisu. Aku geli hati mendengar kata-katanya. Kami serentak tertawa menghilangkan sunyi yang bermukim di segenap penjuru bilik. Suasana bilik bertukar menjadi bising dengan gelak tawa kami yang mengusik sesama sendiri. Alangkah indahnya jika waktu berhenti di saat ini, aku ingin terus bersama mereka. Aku ingin terus tertawa bersama mereka.
Kring! Bunyi loceng asrama mengejutkan kami, rasa menyesal mengusik naluriku. Menyesal kerana melengahkan masa untuk membuat persediaan ke sekolah dek terlalu ghairah bergurau dengan rakan-rakan. Lantaran membawa ingatanku seketika kepada wajah insan tersayang,  ibuku. Ibu selalu melarangku untuk membuat kerja dengan tergesa-gesa, itu adalah amalan syaitan katanya, di samping hasilnya adalah yang tidak berkualiti.
“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib keadaan sesuatu kaum melainkan mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri” surah ar-Rad ayat 11. Terngiang-ngiang ayat tersebut di telingaku, berlegar-legar di dalam benakku. Aku sudah berusaha dan aku hanya mampu tawakal setelah memerah otak untuk mencurahkan jawapan ke kertas sejarah. Satu keluhan yang tidak aku sengajakan terkeluar dari hembusan nafasku. Astaghfirullah...
   Dari kejauhan aku dapat melihat satu jasad sedang memerhatiku, mungkin juga sedang menanti diriku. Maafkan diri ini Izat, bukan kerana aku tidak menaruh perasaan pada dirimu, aku sudah berjanji pada ibuku agar mengabaikan cinta monyet persekolahan. Lantaran, sekiranya aku ingin mencari seorang lelaki sebagai pasangan hidup, aku bukan mencari lelaki untuk dijadikan teman lelaki yang tidak ada  ikatan pernikahan. Aku mencari seorang lelaki untuk dijadikan suami, suami yang mampu dijadikan imam untuk membimbingku dalam melayari bahtera kehidupan yang penuh rona. Pada usia ini aku tidak layak untuk membahaskan hal kahwin. Lantaran itu, aku memilih untuk tumpukan pada hal pelajaran dan mengabaikan hal cinta berlainan jantina. Jika dirimu benar-benar mencintai diri ini, sewajarnya engkau dapat menunggu diriku sehinggalah sampai ke alam perkerjaan dan melamarku menjadi yang halal untukmu.
“Ibu...abah...anakmu berjanji akan menunaikan hasratmu untuk melihat anaknya berjaya dalam kehidupan dunia dan akhirat” bisik hatiku. Dengan hati yang berat aku melalui jalan yang lain agar aku tidak bersua dengan dia. Sekiranya aku tahu sakitnya menahan rasa, tidak aku izinkan rasa ini bercambah dalam hati membuatkan ia sentiasa mekar dalam hati bagaikan bunga sakura di jepun pada musim bunga. Hakikatnya, cinta itu fitrah. Datang tidak diundang, pergi tidak dihalau. Bak kata ustaz, kesimpulan mengenai cinta dua jantina yang berbeza hanyalah satu perkataan iaitu pernikahan, agar kita tidak jatuh pada jurang cinta nafsu semata-mata.
“Ya Rabb seandainya dia adalah jodohku, maka satukan kami dalam ikatan pernikahan. Jagalah hati ini untuk yang lebih berhak iaitu dia yang begelar...suami”
    “Malaslah nak riadah, tak seronok langsung” ujar Ila mengejutkan lamunan aku. Aku hanya mampu tersenyum nipis apabila mataku bertembung mata dengan dia. Aku sayang dengan perhubungan kami. Aku sentiasa berdoa agar hubungan persahabatan ini tidak akan layu dek perubahan masa. Seorang sahabat adalah dia yang selalu ada di kala kita suka dan duka, dia yang menerima kita dengan seadanya.
   “Kalau kau nak pinangan pelempang ketua warden melayang ke pipi kau, kau balik lah ke bilik. Kang ada pengawas meronda, kau cakap lah, kau nak jumpa sangat dengan ketua warden. Kau cakap yang kau rindu sangat dengan dia...” ujarku dengan selamba. Kata-kata dan riak wajah aku yang selamba itu mengundang tawa kami secara tidak sedar. Petang ini merupakan masa yang amat mengembirakan aku, pelbagai cerita lucu yang Akmar dan Ila selitkan sepanjang perbualan kami sementara menunggu waktu riadah tamat. Ingin aku katakan pada dunia bahawa inilah hadiah hari lahir yang terbaik bagiku. Daripada siang hingga ke petang, hati aku riang kerana diwarnai oleh sahabat yang tersayang di dunia dan akhirat. Membuatkan aku terlupa betapa penatnya memerah otak untuk jawap soalan kertas sejarah. Kring! Waktu riadah telah tamat.
   Aku termenung melihat air yang mencurah-curah memenuhi baldiku, ada sesuatu yang menganggu perasaanku. Aku tidak dapat mentafsirnya tetapi perasaan untuk menghubungi ibuku mengetuk-ngetuk pintu hatiku. Aku gusar seketika. Aku cuba untuk mengumpul kekuatan untuk menepis perasaan tersebut. Semakin aku cuba untuk mengabaikannya, semakin kuat perasaan itu menjelma. Sesuatu yang pelik melanda diriku sepanjang hari ini selain daripada keriangan bersama sahabat, daripada pagi hinggalah ke petang ingatan terhadap ibu tidak pernah lenyap. Mengapa? Apakah ini mainan perasaan dari syaitan yang menggamit keresahan yang menular dalam jiwa?
   “Bertenang Syu, ini hanya mainan perasaan” pujukku pada hatiku sambil meneruskan niat mencuci pakaian. Usai mandi dan mencuci pakaian, niatku untuk menjemur pakaian tertangguh apabila seorang adik junior mengatakan Pak Cik aku sedang menunggu di hadapan surau. Jantungku berdegup kencang, seolah-olah aku akan menerima satu berita buruk daripadanya.
“Tenang Syu” bisik hatiku. Aku berlari anak menuju ke tangga yang menghubungkan paras dua dan tiga, dari situ aku dapat melihat sebuah kereta yang amat aku kenali. Aku diserang perasaan ragu. Tidak mungkin itu Pak Cik aku, aku tidak menghubungi ibuku untuk dilawati. Pak Cikku  juga tidak pernah melawat aku sesuka hatinya. Apakah yang sedang berlaku? Mungkinkah kereta itu milik orang lain?
   “Syu, Pak Cik kau sedang menunggu di bawah. Dia nampak macam sangat risau” tegur Syaninah yang datang entah dari mana. Aku berlari anak menuju ke bilikku dan mencapai tudung labuhku. Jantungku berdegup dengan kencang, perasaanku kucar-kacir. Pelbagai andaian mengusik benakku.
   Pengumuman namaku pada pembesar suara asrama dengan nada girang meyakinkan aku bahawa itu adalah Pak Cik aku. Sekiranya aku dapat menyatakan kegundahan yang melanda diriku pada orang yang mengumumkan namaku, sudah tentu nadanya tidak begitu girang dan menyakitkan hatiku. Aku tahu kegundahan yang membaluti hatiku tidak mampu aku sembunyikan kerana ia jelas terpancar pada wajahku. Namun pada saat ini, semua itu bukan keutamaanku.
   Pak Cik aku kini berada di hadapanku, tidak ada lagi yang aku harapkan selain daripada penjelasannya mengenai kedatangannya pada hari ini. Aku memandangnya dengan penuh kesabaran, menunggu butir bicara yang terluah daripada bibirnya. Pak Cikku membalas pandanganku dengan sayu.
“Sudah mandi?” Soalnya memulakan bicara. Aku mengangguk lemah, bukan itu yang ingin aku dengar.
“Sudah makan?” Soalnya lagi. Tiba-tiba perasaan sebak menguasai diriku. Bukan kerana terharu tetapi hati kecilku menyatakan ada sesuatu perkara buruk yang telah berlaku.
“Sekejap lagi” balasku ringkas. Pak Cik aku memegang bahuku dengan lembut. Kerisauan yang melanda dirinya dapat aku rasakan, Pak Cik aku mungkin tidak tahu daripada mana untuk memulakan kata-katanya. Setitik air mata mengalir tanpa aku sedari dan tanpa aku pinta.
“Sayang...Ibumu sedang terlantar di Hospital, pihak Hospital sini nak hantar ibumu ke Hospital besar Kota Kinabalu pada hari ini, peralatan di sini tidak mencukupi untuk merawatnya” ujarnya dengan lembut tetapi terlalu pahit untuk aku telan. Air mata yang tidak tertanggung mengalir deras. Ibu...
   Kereta yang membawa aku ke Hospital yang dipandu oleh Pak Cik aku terlalu perlahan membuatkan aku rasa sedikit geram padanya. Setibanya aku di Hospital aku mencari jasad ibuku. Insan yang tidak aku temui dan hanya aku dengar suaranya melalui telefon awam selama tiga minggu dek kerana peraturan asrama untuk tidak membenarkan pelajar asrama balik kampung pada bulan ini. Aku terkesima melihat satu jasad yang terbaring lemah di atas katil ruang kecemasan. Adakah ini hanya mimpi ngeri di senja ini? Adakah benar ini jasad ibuku? Adakah dia baik-baik sahaja seperti yang di katakan oleh abang aku yang cuba untuk memujuk diri ini yang menangis teresak-esak? Kenapa aku dapat melihat kesakitan yang teramat daripada raut wajahnya? Ibu...
   Aku hanya mampu menghantar jasad ibuku dengan pandangan yang sayu dan hiba apabila kereta ambulance perlahan-lahan berlalu pergi meninggalkan kami dengan membawa jasad ibuku yang ditemani oleh abangku di sisi. Pada riak wajah abah aku, kakak-kakak aku dan adikku terpancar kesayuan yang teramat. Inilah kali pertama ibu aku berjauhan daripada kami. Dialah insan yang sentiasa ada di sisi kami. Setia memujuk duka di hati, setia mendengar luahan perasaan, setia menjadi teman ketawa semasa gembira dan setia menjadi penyuluh di kala kegelapan menyelubungi.
   Ibuku telah mengalami kecederaan yang teruk pada kepalanya apabila dia terjatuh daripada bukit di kebun kami, namun Allah masih memberi nikmat kesihatan kepadanya apabila kecederaan itu tidak memberi impak yang kuat kepadanya enam bulan yang lalu. Tetapi dalam masa yang sama timbul persoalan dalam benakku, adakah mungkin impaknya baru di rasai sekarang? Menurut kakak aku, nenekku menemui ibu aku yang terbaring lemah di atas lantai dan tidak sedarkan diri. Doktor mengesyaki ibu mengalami pendarahan dalam otak.
“Ya Allah...aku belum bersedia untuk kehilangan ibu pada usiaku ini. Aku masih perlukan dia di sisiku. Terlalu banyak impian yang aku ingin kecapi bersama dia. Aku ingin membawanya untuk menunaikan haji apabila aku mempunyai kemampuan kelak. Aku. Aku ingin menjaga dan membelainya di hari tuanya kelak. Aku ingin dia melihat saat-saat aku berjaya mendapat segulung ijazah dengan kepujian. Aku ingin membelinya baju baru, membina rumah yang cantik untuknya dan dialah yang menjadi permaisurinya...Aku ingin...” aku tidak mampu untuk meneruskan doa tersebut, terlalu sukar untuk aku luahkan dengan kata-kata. Biarlah air mata yang berbicara mengenai perasaanku. Bahkan Allah lebih mengetahui apa yang tersembunyi dalam hati kecil aku ini. Mujurlah, Pak Cikku telah meminta izin kepada ketua warden untuk aku menjadi pelajar luar sementara waktu, aku dapat mencurahkan emosi di dalam bilikku tanpa di ketahui oleh orang lain. Dalam kesyahduan malam, Allah menjadi saksi tumpahnya air mata yang terlalu banyak membasahi pipiku. Lantas, aku terlelap di atas tikar sejadah kerana terlalu penat menangis.

Doa untukmu ibuWhere stories live. Discover now