"Syu, cepat mandi kita nak gerak ke hospital sekarang juga" ujar abangku dengan nada cemas sambil mengetuk pintu bilik mandi. Kesegaran air yang membasahi tubuhku hilang begitu sahaja dek kerana debaran yang mengundang di hati.
Di luar pintu bilik pesakit perempuan, seorang doktor lelaki sedang menerangkan sesuatu pada Mak Cikku.
"Sebentar tadi, jantungnya telah berhenti tetapi sekarang kami telah memasangkan oksigen yang lebih tinggi" ujarnya dengan perlahan. Aku tidak sanggup untuk mendengarinya lagi. Terlalu payah untukku telan setiap bait-bait katanya.
"Sekiranya jantungnya berhenti lagi... Maafkan saya, saya tidak mampu untuk membantu lagi" ayat terakhir daripada kata-kata doktor tersebut membuatkan aku tidak ingin mendengar penjelasan daripadanya lagi. Apabila aku memasuki ruang bilik pesakit itu, jasad ibuku yang terbaring lemah membuatkan aku tidak berdaya untuk berdiri pada kaki sendiri. Alat pengukur denyutan jantung ibuku membuatkan aku rasa tertekan. Aku takut melihat denyutan ibu sekiranya ia berhenti. Aku takut untuk menghadapi sebuah kenyataan yang pasti.
Dalam keadaan yang sayu itu, keadaan menjadi senyap dan hanya kedengaran suara insan membaca kalam Allah. Surah Yaasin di baca agar menjadi penawar kepada sakit yang dirasakan oleh ibuku dan menenagkan jiwa hamba yang bergelora atau tidak tenang. Hanya dengan mengingati Allah, jiwa hambanya akan tenang.
"Ya Allah... Tenangkanlah diriku pada saat ini dan kurniakanlah nikmat kesihatan buat ibuku" bisik hatiku sambil meneruskan bacaan Yaasin.
Tiba-tiba, denyutan jantung ibu semakin menurun dan kemudian meningkat semula. Suasana di keliling bertukar menjadi tangisan dan cemas. Aku tidak dapat untuk meneruskan bacaan Yaasin tetapi Mak Cikku mengatakan aku perlu teruskan jua memandangkan hanya aku yang masih memegang naskah Yaasin. Adikku dan dua orang kakak aku sudah tersungkur pada birai katil, menahan pedihnya menerima saat-saat terakhir ibu untuk bernyawa. Abangku dan seorang kakak aku datang bersilih ganti mengajarkan ibuku mengucapkan kalimah syahadah. Perlahan-lahan aku meneruskannya. Denyutan jantung ibu semakin turun naik. Usai menghabiskan ayat terakhir dalam surah Yasin, aku memandang sayu wajah abah yang berada di sisi ibuku.
"Sayang, saya maafkan semua kesalahan awak" ujar abah dengan perlahan sambil mengusap lembut kepala ibuku dan mencium dengan penuh kasih sayang di pipinya. Denyutan jantung ibuku semakin menurun. Aku memegang hujung jari ibu kaki ibuku, aku tahu bahawa penarikan nyawa adalah melalui jari ibu kaki. Aku belum bersedia untuk menerima hakikat yang bakal berlaku pada ibuku dan berharap agar Allah mengubah takdir tersebut. Pada saat itu suara hatiku berkata, leraikanlah pegangan itu kerana dirimu tidak akan mampu melawan takdir yang telah Allah tetapkan, walaupun kau memegang ibu jarinya tetapi seandainya Allah telah menetapkan sudah sampai penghujung nyawa ibumu maka tidak ada gunanya. Perlahan-lahan aku leraikan pegangan pada jari ibu kaki, ibuku.
Aku memandang wajah ibuku yang bertarung dengan maut dengan sayu. Allah mengurniakan secebis kekuatan buat diriku untuk menerima hakikat kematian ibuku. Denyutan ibu semakin perlahan. Aku tidak mampu untuk mengeluarkan air mata lagi. Kesedihan yang aku alami hanyalah Allah yang mengetahuinya. Hakikatnya, aku meraung dalam jiwa sendiri. Di saat tidak ada sesiapa yang kuat untuk menempuhi saat-saat terakhir nafas ibuku, bahkan abang, adik lelaki dan abahku sudah menangis teresak-esak, aku merapati ibuku. Aku bisikan kalimah "Lailahailallah" di telinganya dengan lembut dan penuh keinsafan sehingga denyutan yang terakhir. Tidak ada lagi pergerakan pada alat pengukur denyutan jantung. Aku hanya dapat melihat garis lurus yang berpanjangan. Aku hidup dalam realiti, hidup bukanlah lokanan yang menyebabkan dengan tiba-tiba ibuku hidup kembali. Tamatlah perjalanan ibuku di alam dunia ini dan alam barzakh baru sahaja akan bermula. Inilah hakikat sebuah kehidupan. Mati itu suatu kepastian.
"Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan, dan kepada kami lah kamu semua akan dikembalikan" surah al-Anbiyaa', ayat 35. Mati tidak mengenal usia, waktu dan tempat.
"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh" surah an-Nisaa', ayat 78.
Aku membuka mata apabila terkejut daripada mimpi yang lena. Aku bertanya pada diri adakah kematian ibuku hanyalah satu mimpi ngeri? Seperti mimpi yang aku alami sebelumnya. Hakikatnya, ia adalah nyata. Rasanya baru semalam ibu pergi meninggalkan kami tetapi kebenarannya adalah sudah tiga tahun. Aku kini berumur sembilan belas tahun. Aku baru sahaja menamatkan pelajaran di Matrikulasi dalam bidang Perakaunan. Di sebalik musibah yang menimpah, aku kini lebih memahami hakikat sebuah kehidupan. Meskipun aku masih mentah tetapi aku menyematkan dalam diri agar aku dapat melakukan amal jariah untuk ibuku di setiap hari yang akan aku lalui dan menunaikan wasiat terakhirnya iaitu dia berharap agar aku dapat memegang segulung ijazah dengan kepujian dalam Perakaunan.
"Ya Allah, sampaikanlah seumpama pahala bacaanku kepada roh ibuku. Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihanilah dan sejahterakan dia, maafkan kesalahannya. Muliakanlah kedatangannya, lapangkanlah kuburnya dengan rahmat-Mu, wahai tuhan yang maha pengasih" doaku untukmu ibu selagi hayat di kandung badan dan dunia masih belum kiamat, semoga kita disatukan di syurga-Nya kelak.
![](https://img.wattpad.com/cover/56719253-288-k874087.jpg)
YOU ARE READING
Doa untukmu ibu
Short Story~ based on true story ~ ~cerpen ini lebih kepada islamic~