"Tengku Aina Aminah!"
Oi hai! Suara nyaring mama dah keluar. Minah tarik selimut. Tutup muka. Aduh, mama ni! Dahlah aku susah nak tidur. Dia jerit-jerit pulak! Minah pura-pura pejam mata. Minah dengar derap kaki mama. Sudah... mesti mama nak leter dialah tu.
"Minah!"
"Hmm..." Minah buat-buat mengeliat. Dikerling jam tepi katil. Dah pukul sepuluh malam. Apahal mama tak tidur lagi?
"Eh! Mama nak cakap sikit." Puan Aza tepuk bahu Minah. "Kopi dalam kabinet. Baru minggu lepas mama beli. Mana pergi?"
"Manalah Minah tahu..." Kali ini Minah pura-pura menguap.
"Kamu minum ya?" Teka Puan Aza. "Kamu cakap betul-betul. Hari tu bukan main kamu mengamuk pasal kopi. Sekarang ni jadi lain pulak. Ketagih?"
Minah diam. Berlakon mengantuk yang amat sangat! Minah geleng. Tak nak jawab soalan mama. Bimbang menjawab nanti, makin curiga mama pada dia. Puan Aza mendengus. Kuat bahu Minah ditepuk. Geram sungguh dia!
"Mama tahu kamu menipu, siap!" Puan Aza beri amaran. Minah sembunyi senyum. Pasal serbuk kopi pun nak kecoh. Beli sajalah di kedai tu. Berlambak. Tapi aku ni pun satu hal. Sehari berkali-kali aku cari air kopi. Sampai secretary di pejabat tu pun dah naik pelik dengan perangai aku. Hari-hari mahu kopi!
Puan Aza turun ke ruang tamu. Dia duduk di sofa. Sebelah Tengku Ihsan.
"Dah tidur anak awak yang sorang tu?" Soal Tengku Ihsan. Mata masih ke skrin televisyen.
"Belum." Jawab Puan Aza sepatah.
"Minah tu saya tengok lain sikit akhir-akhir ni. Kenapa?"
"Tak ada lain pun. Sama aje. Berangin tak sudah." Balas Puan Aza geram.
Tengku Ihsan geleng kepala.
"Awak ni, cuba selalu habiskan masa kat rumah. Nak kata awak ni ada isteri muda, tak ada rasanya. Urusan apa lagi yang awak ada di luar tu. Awak tu dah lama bersara. Apa salahnya hari-hari tengok muka saya ni."
Tengku Ihsan senyum. Puan Aza kalau dah bebel, mahunya jadi hikayat seribu satu malam. Jenuh Tengku Ihsan nak mendengar.
"Seminggu ke London. Lepas tu ke Paris pulak. Awak cari apa kat sana? Menantu orang putih?"
"Cari menantu buat apa. Saya nak ubah angin. Cari isteri mat saleh." Tengku Ihsan tersengih. Sengaja mengusik Puan Aza. Laju jari Puan Aza tuju ke lengan Tengku Ihsan. Dicubit. Ketawa Tengku Ihsan dibuatnya.
"Sorang ni pun semput awak nak jaga." Cebik Puan Aza.
"Ish awak ni. Kalau saya nak kahwin lagi dah lama saya buat. Tapi awak sorang sajalah pengarang jantung hati saya ni. Sumpah tak cari lain dah."
"Geli. Dah tua-tua ni."
"Awak tu sorang aje yang tua. Saya ni jiwa masih muda."
"Awak nikan..." Puan Aza geleng kepala. Tak habis nak sudahkan ayat. Tengku Ihsan senyum. Kepala Puan Aza digosoknya. Puan Aza dengan Tengku Ihsan, tak adalah tua mana pun. Masing-masing ambil keputusan nak nikah, umur lapan belas tahun. Keluarga yang suruh. Sebab sama-sama nak sambung belajar di Amerika. Dua tahun kemudian, Minah dan Akbar lahir. Jenuh nak menjaga anak kembar. Tidur pun tak pernah cukup.
Waktu usia Minah dan Akbar hampir sepuluh tahun, mereka terima seorang lagi cahaya mata. Aina. Tapi entah kenapa Minah dan Aina dari dulu tak pernah nak sekepala. Perang memanjang. Adegan tenyeh muka, tarik rambut, dah lali Tengku Ihsan dan Puan Aza tengok. Sudahnya tiga bulan lepas Aina keluar dari rumah. Rela duduk rumah lain dari rumah sendiri. Hakikatnya kolej tempat Aina belajar dengan rumah taklah jauh mana pun.
Nak membantah Tengku Ihsan tahu Aina tak seronok hari-hari jumpa Minah. Tapi bila dah dapat peluang, Tengku Ihsan dapat tahu Aina pula mula jadi liar. Berkawan dengan budak-budak mana entah. Tiga hari lepas terpaksa Tengku Ihsan upah bodyguard. Temankan Aina. Jaga Aina jangan asyik buat hal sampai malukan keluarga.
"Pasal Minah. Ada dia jumpa Azli?" Tanya Tengku Ihsan. Tiba-tiba dia teringatkan lelaki itu.
"Tak ada rasanya."
Tengku Ihsan angguk-angguk kepala.
"Tapi, saya nak tanya sikit. Alang-alang awak dah tanya pasal Azli." Puan Aza betulkan duduk. Tengku Ihsan pandang muka Puan Aza. "Awak tahu siapa perempuan yang Azli larikan masa majlis akad nikah?"
"Anak Dato' Shukor."
"Pengantin lelakinya pula anak siapa?"
"Dari cerita saya dengar, anak Dato' Muhammad. Farid kalau tak silap saya namanya."
Puan Aza hela nafas. Jadi betullah sangkaan dia. Kalau tak, mustahil Minah nak cari pasal. Tapi punyalah kacak anak Dato' Muhammad tu. Masa jumpa pun Puan Aza rasa tak percaya. Tinggi. Kulit sawo matang. Lain dari dua orang lagi lelaki yang pada Puan Aza tentunya adik-beradik Farid.
"Awak tanya kenapa? Dah berbulan awak minta saya tak cakap apa-apa. Hari ni awak tanya pulak." Tengku Ihsan kerling Puan Aza. Dapat berita Azli lari dengan perempuan lain, Puan Aza terus blacklist. Nama Azli pun Puan Aza tak nak dengar.
"Taklah. Mahu tahu boleh saya risik-risik. Jadikan menantu." Puan Aza tahan tawa. Besar sungguh hajat dia. Nak bermenantukan anak Dato' Muhammad yang Puan Aza sendiri tak kenal sangat macam mana perangainya.
"Awak ni. Jadi cerita orang nanti. Dua-dua bakal pengantin tak jadi, nak disatukan pula. Awak terfikir nak pinang si lelaki tu untuk Minah ke?"
Puan Aza ketawa. Tengku Ihsan menggeleng. Kalau ditanya pun tak ada mahunya pihak lelaki. Ada kisah tak elok berlaku. Dari terus dikenang, baik lupakan saja. Tengku Ihsan bangun. Tinggalkan ruang tamu. Puan Aza pula hela nafas. Salah ke kalau berhajat baik? Farid tu. Puan Aza tengok elok saja orangnya. Marah pun, sempat juga Farid salam tangan Puan Aza. Masih ada budi bahasa.
YOU ARE READING
Bakal Suami Tak Jadi (Terbit November 2017 - BESQ Publication)
RomanceAzhan Farid. Dialah hero yang lali dengan gelaran Bakal Suami Tak Jadi. Kecewa ditinggalkan bila tangan tok imam sudah digenggam saat hendak dinikahkan. Rasa sakit hati hadir sehingga terasa memakan diri. Tengku Aina Aminah. Heroin mulut laser a.k.a...