Nek Wan renung Minah. Patutlah tadi Minah sukarela nak masak. Cekap sungguh Minah! Kupas bawang. Potong halia. Potong cili. Daun kunyit Nek Wan dah serupa bunga rampai Minah hiris. Cantik. Berseni pulak tu. Kerisik, tak payah Nek Wan suruh ambil. Minah dulu dah tanya. Nek Wan jawab dalam peti ais. Terus Minah ambil. Bagus sungguh! Kerisik pun Minah kenal.
Suruh potong daging lagilah Minah cekap. Ikut urat daging. Nek Wan tanya kenapa. Penuh yakin Minah jawab. Kalau tak ikut urat, mahunya daging liat. Nek Wan terus angkat ibu jari. Tunjuk tanda bagus. Minah perah kelapa. Campur air sekali saja. Minah cakap kalau banyak kali santan cair sangat. Tak sedap.
Kepala ikan pun Minah siap buang sisik. Bersihkan. Cara Minah masak kari. Guna rempah kari saja. Tak payah taruh santan. Baunya semerbak satu rumah. Minah siap karang cerita. Ini style macam kat restoren mamak. Kalau kelentog pun belum tentu Nek Wan tahu. Nek Wan senyum. Bangga. Minah ni kalau dibuat menantu, memang beruntung sungguh. Walaupun awal tadi Nek Wan terkejut tengok gaya Minah panjat pokok. Pada Nek Wan yang tu tak jadi hal. Tak potong markah pun. Minah tetap dapat markah penuh!
Ashikin pula dari tadi tercongok pandang Minah. Nak tolong apa tak tahu. Mahunya tidak. Dah semua Minah buat. Dia kupas bawang, berair mata. Minah pulak muka selamba. Tak ada apa-apa kesan pun bawang tu pada Minah. Lagilah Ashikin bengang. Makan hati dibuatnya.
Farid melebar senyum. Dia tak duduk di ruang tamu. Lebih rela duduk dapur. Tak pernah Farid tengok Nek Wan punya muka seceria hari ni. Minah punya pasal. Melambung-lambung Nek Wan puji. Tak sangka pula Farid. Minah pandai masak. Memang Minah cekap. Tak pelik pun Farid kalau Minah ada pergi kelas memasak. Iyalah. Buat hobi. Mengisi masa terluang.
"Awak nak air lagi?"
Suara Minah. Tiba-tiba jadi lembut pada pendengaran Farid.
"Air tak nak. Saya teringin makan kuih." Farid saja. Lagi mahu uji Minah. Senyum Minah dah lebar. Farid tahu. Minah teringin nak hempuk kepala dia.
"Kuih apa?" Masih lembut nada suara Minah tanya.
"Keria."
"Boleh. Tapi saya tanya Nek Wan dulu. Kalau ada keledek. Tak pun saya guna labu. Okey sayang?" Minah saji senyum depan Farid. Amboi! Bukan main demand! Menyesal aku tanya dia nak air ke tidak.
Farid angguk. Hihihi... Minah sabar dengan aku tu. Tapi kalau dia sudi buat keria apa salahnya. Farid pandang muka Ashikin yang duduk semeja. Kelat. Renung Minah dari tadi. Ashikin bangun. Ambil pinggan, ambil mangkuk. Letak atas meja. Kemudian cawan. Lauk dah siap dimasak. Minah hidangkan. Rendang daging. Kari kepala ikan. Nampak menyelerakan. Tapi kalau tak kena gaya, mahunya berperang dalam perut nanti.
Nek Wan senyum pandang lauk atas meja. Minah hidangkan nasi. Satu-persatu Minah buat. Minah kemudiannya tarik kerusi. Duduk sebelah Farid. Ashikin dah hilang selera. Tapi Azli makan tak cakap apa dah. Mamat ni memang nak kena dengan aku. Dapat makan masakan bekas tunang sendiri, mahunya tak ingat dunia! Getus Ashikin geram.
Ashikin pandang Minah. Baik hati sungguh Minah cedokkan lauk untuk Farid. Letak dalam pinggan. Ashikin ambil nasi. Suap dalam mulut. Nak marah pun macam tak betul saja rasa. Farid tu bukannya ada apa-apa ikatan dengan dia pun. Dari pagi tadi Ashikin nak balik. Tapi Nek Wan suruh tunggu. Dah masuk Zohor. Tetap tak balik. Mahunya bawa ke Asar.
"Kamu kerja apa, Minah?" Soal Nek Wan. Dari tadi Nek Wan pandang Minah. Sibuk layan Farid makan.
"Ya?" Minah telan liur. Alamak! Dahlah aku kelentong Farid. Kalau kelentong kat sini juga, mahunya Azli tahu.
"Kamu kerja mana?" Nek Wan ulang ayat semula. Tapi dari apa jadi mana. Selamat Minah!
"Nim Holdings." Jawab Minah perlahan.
"Syarikat?"
Minah angguk.
"Syarikat kamu jual apa?"
"Buat rumah, Nek Wan." Minah jawab dalam bahasa paling mudah. Nek Wan angguk kepala. Minah terasa lega. Farid dah sembunyi senyum.
"Kerja elok-elok. Jangan memilih sangat. Sekarang ni bukannya senang nak dapat kerja."
Minah angguk. Lengan Farid disiku. Minah angkat kening. Farid berdehem. Pandang muka Nek Wan. "Nek Wan. Keledek ada?" Laju Farid ubah topik. Teringat dia suruh Minah buatkan kuih keria.
"Ada. Kenapa?"
"Farid nak makan keria. Minah janji nak buatkan." Farid senyum.
"Hmm... macam-macamlah kamu ni. Ambil kesempatan. Nek Wan tahulah Minah ni pandai masak."
"Alaaa... sekali-sekala. Bukannya selalu pun."
Nek Wan kerling Farid. Minah tak cakap apa. Terus sambung makan. Ashikin hela nafas. Entah kenapa mula timbul curiga. Menyesal ke Azli tinggalkan Minah dulu? Tengok Minah depan mata buat Ashikin terasa. Betapa sempoinya Minah. Mulut laser. Tapi masak memang cekap. Farid pula macam terlebih-lebih sayangkan Minah. Ambil berat sangat. Tak sangka pula Ashikin. Sangkanya Azli tinggalkan Minah sebab perempuan tu banyak kekurangan. Tapi serius! Ashikin tak nampak apa kurangnya. Makin lama Ashikin tengok Minah, macam ada aura pink gitu keliling Minah. Punyalah hebat perempuan ni. Patutlah Farid tak heran nak tengok dia lagi.
Sudahnya lepas solat Asar, Ashikin segera minta diri. Azli ikut saja. Sempat Minah bekalkan kuih keria yang dibuat. Ashikin serba-salah nak ambil. Tapi Azli lebih laju. Wakilkan dia. Ambil kuih keria. Ucap terima kasih. Azli tarik tangan Ashikin masuk dalam kereta.
"Kami balik dulu. Assalamualaikum." Azli ukir senyum. Mata sempat pandang Minah.
Salam Azli berjawab serentak. Kereta bergerak. Minah hela nafas. Dikerlingnya Farid yang masih memandang ke arah jalan. Minah toleh. Pandang muka Nek Wan.
"Dah petang ni Nek Wan. Minah pun nak minta diri dulu."
"Balik Kuala Lumpur ke?" Tanya Nek Wan.
"Tak. Homestay." Jawab Minah. "Esok baru balik Kuala Lumpur."
"Kalau macam tu jalan elok-elok."
Minah angguk. Tangan Nek Wan disalam. Farid masih tak berganjak. Tak cakap apa, Minah atur langkah. Nek Wan geleng kepala. Macamlah Nek Wan tak tahu. Drama hari ini Farid dengan Minah memang hebat. Berlakon serupa ikut skrip. Nek Wan perasan. Azli asyik pandang Minah. Tapi lelaki tu memang tak cakap banyak.
"Temankan Minah. Tengok sampai dia tiba homestay." Suara Nek Wan kejutkan lamunan Farid. Tak sambung ayat, Nek Wan masuk dalam rumah. Farid hela nafas. Nek Wan dah suruh. Terpaksalah Farid turut. Farid atur langkah. Laju. Farid nampak Minah. Jalan serupa orang tak ada daya. Nak panggil, Farid terasa malas. Sudahnya Farid perhatikan saja Minah dari jauh.
Sampai homestay, terus Minah masuk. Farid berdiri. Entah kenapa Farid terasa semacam. Sejak tadi, muka Minah asyik berlegar dalam kepala dia. Ah, sudah! Kenapa pulak dengan aku ni? Suka dengan Minah?
******
Kaki direnung. Ada kesan lebam. Minah hela nafas. Bahana jatuh dalam petak sawahlah ni. Sakitnya baru terasa. Tadi tak pun. Minah buka first aid kit. Minah kalau travel memang inilah keperluan penting untuk dia. Botol minyak urut Minah ambil. Sapu pada bahagian kaki yang dah muncul warna biru.
Minah teringatkan insiden tadi. Tak sangka terjumpa Azli. Cara lelaki tu pandang Minah tak macam dulu. Azli tak banyak cakap sekarang. Antara Azli dengan Ashikin yang terang-terang tunjuk cemburu, Ashikin. Azli lebih pandai kawal perasaan. Tapi sesuai sangatlah budak dua orang tu. Minah dah malas nak fikir. Baik layan tidur.
Minah baring atas sofa. Dia kalih kiri. Kemudian kanan. Lepas tu kiri. Kanan. Kiri. Minah mendengus. Ish! Apahal aku ni? Tak pasal-pasal ingat pada Farid. Minah pegang pipi. Aduh! Malunya tadi. Tergolek dalam sawah. Farid dukung pula tu. Minah punya merajuk memang terasa buruk. Tapi Minah tetap nak merajuk juga. Saja nak mengada-ngada.
Minah sengih. Garu kepala. Kalau masih ingat pada Farid, mahunya Minah cop diri sendiri tak betul. Dia mengaku Farid memang kacak. Dari mula-mula jumpa dulu. Tapi rasa sakit hatinya lebih menguasai diri. Muka kacak Farid, Minah pandang sipi. Tipulah kalau Minah tak terasa apa-apa. Apatah lagi bila Farid dah mula panggil Minah sayang. Minah memang lemah lutut. Panggillah sayang, honey, baby. Semuanya boleh bikin hati Minah cair!
YOU ARE READING
Bakal Suami Tak Jadi (Terbit November 2017 - BESQ Publication)
RomanceAzhan Farid. Dialah hero yang lali dengan gelaran Bakal Suami Tak Jadi. Kecewa ditinggalkan bila tangan tok imam sudah digenggam saat hendak dinikahkan. Rasa sakit hati hadir sehingga terasa memakan diri. Tengku Aina Aminah. Heroin mulut laser a.k.a...