Bab.Satu

485 12 1
                                    

DEGUP jantung ini terasa memalu dinding dada dengan kencang. Deras yang menghambat suatu rasa ketakutan. Pernafasan jadi sedikit terganggu. Tiada sepatah kata jua melantun keluar daripada ulas bibir.

Sekilas mata mengerling pada parasnya. Ketegangan yang berkolam pada air muka itu semakin meningkatkan kadar degupan jantung.

Ting! Pintu terbuka. Dengan sekali rentapan, tanganku yang senyap menggenggam ruas jari jemari sendiri, ditarik. Terdorong tubuhku menuruti langkah kakinya.

Menuju ke salah satu bilik di ruangan itu, dia mencucuh sekeping kad. Pintu bilik terbuka, lalu dengan sekali tolakan saja tubuhku terdorong ke dalam.

Suamiku.. Suamikukah? Suamikukah yang menolakku tadi? Jantung di dalam dada terasa bergetar hebat.

Nafas ditarik sedalam-dalamnya sebelum wajah dipalingkan. Susuk tubuh yang sedang duduk di birai katil itu ditatap. Di tangan beruratnya, menjepit sepuntung rokok. Kepulan asap berhembus keluar daripada ulas bibir itu. Sejak bila pula dia merokok!

Terasa darah panas menyerbu ke muka. Namun, wajah masih dipamerkan tenang. Kerana rasa percaya buat insan yang dicintai, segala rasa negatif tidak dibiarkan sedikit pun menular di dalam hati. Inikan pula, untuk bertapak lantas bersemadi.

Namun, meski berkali-kali hati cuba menyangkal, perubahan yang dihadapkan sedikit sebanyak menyedarkan aku. Perubahan yang selama ini berselirat di benak kepala. Perubahan mendadak yang ditonjolkan dirinya.

"Awak kata nak bincang tadi. Nak bincang apa?" Aku mengatur langkah ke arahnya. Dekat saja dengan katil, tubuhku pusing menghadapnya.

"Seribu kali berbincang tiada guna juga. Lembab dan tak masuk dalam kepala. Lebih baik, dikurung dalam bilik ni terus."

Bibir itu bergerak-gerak seakan mengomel. Entah pada sikapku atau apa. Tetapi, apa pula salahku kali ni? Takkan menjadi satu kesalahan untukku bergaul dengan rakan rakannya? Pada penghematanku, aku cuma berbual kosong dengan rakan-rakan perempuannya yang juga merupakan kenalanku.

"Jangan buat saya tertanya-tanya. Jelaskan apa yang tak kena. Saya tak mahu kemudian hari awak mengungkit kembali."

Dia membatu senyap. Tidak langsung dia memandangku. Tiada tanda-tanda suatu perbincangan akan berlangsung di antara kami.

Panas dengan rentak yang ditunjukkannya, aku merenggut pantas puntung rokok pada bibirnya lalu membuangnya ke dalam sinki. Kepala pili air aku pulas. Mencurah-curah air keluar daripada lubang saluran tidak aku hiraukan.

Aku kembali menghadap susuk tubuh yang berdiri tegap merenungi anak mataku. Tikaman matanya buat langkahku mati. Bibirku yang ingin berbicara sesuatu kepadanya menjadi bisu.

Oh Tuhan.... hanya suara hati melantun memohon pertolongan.

"Nak bincang sangatkan?"

Harus aku jawab ya. Namun di kala ini, hanya kepalaku terangguk menggantikan suara.

Dia mulai mengatur langkah. Tersusun tegap di setiapnya. Tenang tidak gopoh. Masih kekal aura pesonanya yang meruntun jiwaku.

Oh Tuhan!

Suamiku... semakin mendekat.

Darahku terasa berderau. Berderau kerana debaran sudah menyelinap masuk ke dalam dada.

Dan renungan itu, panahan mata itu, sedikit berbeza. Sebuah pandangan yang tidak pernah tersirna pada sepasang mata coklat terangnya. Belum pernah lagi menjadi singgahan mataku.

Bibir dikemam. Lensa mata tunak memandang raut wajah itu.


Ya Tuhan... apa sudah jadi padanya?

Cintaku... Cintaku, siapa awak?

Aku Isteri Untuk DicintaiWhere stories live. Discover now