BAB 3

330 7 0
                                    

Razif ternampak sebuah kereta mengundur keluar dari kawasan parkir. Dia segera memberi isyarat untuk memasuki parkir itu. Kawasan parkir di Batu Feringgi agak terhad. Kira nasibnya agak baik. Razif menunggu dengan sabar. Setelah kereta yang mengundur itu berlalu pergi, Razif ingin memasuki petal itu tetapi enjin kereta tiba-tiba terhenti. Dia menghidupkan kembali enjin dan bersedia untuk memarkir.

"Kurang ajar!" marah Razif apabila sebuah kereta Wira memintas dan memasuki petak parkir itu.

Razif menunggu seketika untuk melihat pemandu kereta Wira itu. Keluar dua orang perempuan dari kereta itu. Razif menurunkan cermin kereta.

"Hoi, cik adik! Tak nampak ke aku dah tunggu nak masuk parking ni?" soal Razif agak kasar sambil matanya melihat gadis berbaju merah muda yang merupakan pemandu kereta Wira.

"Kau tak bagi isyarat nak masuk pun. Aku ingat kau nak tunggu bini kau beli makanan je. Maaflah sebab dah parking," ujar Irdina lalu menarik tangan Balkis untuk berlalu dari situ.

"Kurang ajar! Boleh dia pergi begitu je."

Razif terpaksa mengalihkan kenderaannya dan bergerak ke hadapan. Matanya dapat melihat sebuah parkir yang kosong. Dia tersenyum dan memasuki parkir itu. Razif keluar dan berjalan menuju ke gerai menjual laksa. Matanya bertembung dengan Irdina yang kebetulan memanggungkan kepala.

Irdina melarikan pandangan matanya. Rasa menyampah dengan Razif yang dianggapnya kasar dan sombong. Disebabkan tiada tempat kosong selain meja yang berhampiran dengan meja Irdina, maka hendak tidak hendak Razif melabuhkan punggungnya di kerusi. Irdina menjeling sekilas ke arah Razif.

"Jeling-jeling. Nanti juling baru tau," ujar Razif yang kurang senang dengan penampilan dan sikap Irdina. Padanya seorang perempuan yang tidak bertudung seperti Irdina dan Balkis adalah perempuan yang tidak patuh hukum agama. Tidak layak dibuat kawan apa lagi seorang isteri. Sekiranya perempuan bertudung seperti Zaharah pun melakukan maksiat dan khalwat, inikan pula perempuan tidak bertudung. Itulah persepsi Razif terhadap Irdina dan Balkis.

"Apa masalah mamat ni? Kalau tak puas hati, jomlah race," ujar Irdina, geram.

"Ish, Kak Irdina ni. Sudah-sudahlah cari pasal. Biarlah kat orang tu. Bukan kita ganggu dia pun."

"Aku tengah bengang. Mamat ni pula nak cari pasal. Sekali aku siram kuah laksa ni baru tau."

"Sabar Kak Irdina, Takde guna nak gaduh dengan dia. Makanlah cepat, nanti laksa sejuk tak sedap pulak."

Mata Irdina mencari botol kicap. Dia terpandang botol kicap yang terletak di atas meja Razif. Tanpa berlengah, Irdina bangun untuk mengambil botol kicap itu.

"Woi, kicap aku tu," ujar Razif setelah Irdina menyambar botol kicap di hadapannya.

"Kicap kau?" Irdina tersenyum sumbing.

"Ye, kicap aku! Nak ambil tak tahu minta izin. Macam penyamun je," ujar Razif bengang.

"Mana ada nama kau kat botol ni? Kira harta awam, sesiapa pun boleh guna tanpa perlu minta izin," ujar Irdina lalu duduk kembali di mejanya.

Irdina menuang kicap ke dalam laksanya. Dia makan dengan penuh selera. Razif melihat laksa yang diletakkan oleh pelayan di hadapannya.

"Adik,tolong ambil kicap kat Kak Pingu tu," ujar Razif sambil jarinya menunjuk ke arah Irdina dan Balkis. Dia memanggil mereka begitu kerana Irdina berbaju merah muda dan Balkis berbaju ungu. Kependekkan pink dan ungu, menjadi Pingu.

Irdina dapat mendengar gelaran 'Pingu' yang diberikan oleh Razif kepada mereka. Panas hatinya kian meningkat.

"Amboi, sedap mulut je panggil kita Pingu! Rupa macam burung gagak, ada hati nak mengurat kita," bidas Irdina.

Abang King KontrolWhere stories live. Discover now