Bahagian 2

32 0 0
                                    

"Kak Syidah tak tidur lagi?"

Izzah tersenyum di muka pintu melihatkan Rasyidah yang masih setia mengetuk papan kekunci komputer ribanya biarpun malam sudah merangkak tua, sekitar jam 12.30 malam.

"Tengah buat review untuk jurnal-jurnal yang akak cari di internet tadi. Pening jugalah nak membacanya lepas tu summarize apa yang kita fahamkan ni. Izzah kenapa tak tidur lagi?" soal Rasyidah kembali.

"Tak boleh tidur. Pusing kanan, pusing kiri, mata ni tak mahu lelap. Esok saya boleh jadi mayat hidup nampaknya di pejabat." Izzah ketawa sambil menggelengkan kepala. "Maaflah datang kacau akak buat kerja."

"Eh, Izzah tak kacau akak pun. Marilah duduk sini kita borak-borak pillow talk," pelawa Rasyidah. Izzah tidak membantah. Sementelahan dia terpegun dengan susun atur kamar peribadi Rasyidah, sungguh bersih dan kemas. Jauh sekali seperti biliknya sendiri. Rasyidah tetap punya masa untuk berbuat demikian biarpun rutin hariannya terlampau sibuk. Yang paling membuatkan gadis itu kagum ialah sudut rak buku di kamar teman serumahnya itu. Membaca judul bukunya saja buat Izzah terasa segan. Hadis 40 Imam Nawawi, kitab Syarah al-Hikam, Riyadhus Solihin dan pelbagai lagi.

Aneh, sesibuk-sibuk dirinya dengan kerjaya, pelajaran tapi masih punya masa untuk semua ini sedangkan aku?

"Jadual mutabaah akak tu dah banyak diisi." Izzah bersuara sambil memandang ke dinding bercat putih itu. Rasyidah tersenyum.

"Akak terfikir, betul ke ibadah akak selama ni ya bila akak buat macam ni?"

Izzah mengerutkan dahi. "Kenapa akak cakap macam tu? Maksud akak?" Dia bertanya.

"Yalah, akak terfikir ikhlaskah diri akak? Adakah beribadat sebab sekadar nak penuhkan jadual atau memang akak perlu buat semua ibadat ni?"

Jeda.

"Tapi sekurang-kurangnya kita boleh ukur tahap dan kualiti ibadah kita kan? Boleh muhasabah," balas Izzah.

"Akak harap macam itulah, Izzah." Rasyidah tersenyum.

"Kak Syidah," Izzah bersuara kembali. "Agaknya dah terlambat ke untuk orang macam saya ni nak jadi macam akak? Saya nak sangat belajar ilmu agama sampai jadi faqih, tapi saya tak ada semangat dan mungkin sebab itulah saya rasa hidup saya kosong sangat-sangat."

Rasyidah menutup skrin komputer riba, bangun dari mejanya lalu melabuhkan punggung di sebelah Izzah.

"Jangan jadi macam akak, Izzah. Umur akak dah lanjut bila akak baru sedar yang akak dah ketinggalan untuk belajar semua ni. Izzah masih muda. Tak pernah ada istilah terlambat nak belajar. Akak pun masih belajar, Izzah. Akak tak faqih. Terlalu banyak yang akak tak tahu. Biasalah, bila kita tengok orang lain lebih berilmu, kita akan rasa cemburu. Tapi tak salah kalau cemburu tu untuk kebaikan diri kita sendiri kan? Kita akan rasa termotivasi untuk sama-sama mencari. Yang penting, ikhlas."

"Itulah kak, kita ni antara nak ataupun tak saja. Kemudahan nak belajar ada di depan mata. Macam saya ni selalu jadikan alasan sibuk dengan kerja untuk tak nak belajar. Kagum dan malu dengan akak. Akak sibuk dengan dua tiga perkara serentak tapi masih ada masa nak belajar ilmu agama."

"Akak buat mana yang sempat saja Izzah. Akak berpegang pada "tak boleh buat semua, jangan tinggal terus". Mungkin boleh cuba istiqamah dengan satu perkara sampai jadi kebiasaan. Insya Allah, Izzah. Kalau kita nak buat benda baik, Dia akan bantu."

"Insya Allah, kak. Akak ada masuk mana-mana kelas belajar apa-apa bidang ilmu agama macam tafsir, hadis, fiqh wanita atau apa-apa saja? Kalau ada, saya ingat saya nak daftar juga. Lagipun kalau hujung minggu saya tak ada buat apa dekat rumah. Ada baiknya saya pergi belajar."

Warkah Cinta Sang KekasihWhere stories live. Discover now