MACAM orang gila Badrul berkelakuan, membuka dari satu pintu bilik wad kelas dua itu ke satu pintu, mencari bilik wad Erin. Roman mukanya keras. Bukan kerana risaukan keadaan Erin tetapi kerana terlalu marah pada isterinya itu yang berani keluar rumah tanpa keizinan. Sudah beberapa kali Badrul meyakinkan Erin bahawa dia akan sembuh seperti biasa dalam tempoh seminggu, masih Erin berdegil dan mengingkari perintahnya.
"Erin! Mana kau?" jerit Badrul, penuh kemarahan. "Erin!"
"Encik, tolong..."
"Argh! Ke tepi kau." Badrul menepis jururawat yang cuba menenteramkannya dengan sekuat tenaga. Tubuh jururawat malang itu tertolak ke belakang dengan laju, berlanggar kuat dengan dinding sebelum terjelepok jatuh ke lantai. Dia pengsan akibat kepalanya terhantuk pada dinding.
Badrul tidak mempedulikannya. Dia meneruskan pencarian. Erin perlu diajar kerana berani mendapatkan rawatan di hospital. Dengan siapa Erin datang ke situ? Awal pagi tadi isterinya masih terlalu lemah. Hendak bangun minum air pun tidak larat. Terpaksa dipaksa. Mustahil Erin mampu datang tanpa bantuan. Ada orang yang membawanya. Bermakna, orang itu juga tahu apa yang telah berlaku kepada Erin. Tidak mustahil pihak polis juga sudah dimaklumkan. Badrul semakin panik. Ketakutan menguasainya. Ketakutan yang menjadikan dia seorang yang sangat berbahaya.
"Erin!" jeritnya lagi. Betul-betul di hadapan pintu bilik Erin.
"Bro!" Sam menepuk bahu Badrul dari belakang.
Badrul pantas berpusing seraya menghayunkan tangannya untuk menepis sentuhan Sam, sebagaimana yang dilakukannya terhadap jururawat malang tadi. Namun, dia tersilap orang. Lengannya digenggam kuat oleh Sam. Terlalu kuat sehingga membuatkan muka Badrul berkerut menahan kesakitan. Terkejut, Badrul fokus pada lelaki yang mengekang pergerakannya. Sebaik sahaja melihat Sam, air muka Badrul terus berubah.
"Sam. Elit. Hitam." Badrul menyebut nama itu dengan penuh keyakinan, meskipun dia belum pernah melihat rupa si empunya nama sebelum ini. Kemudian dia tertawa sinis seraya merentap tangannya daripada genggaman Sam. Pergelangan tangannya yang sakit dipegang, dipusing-pusingnya bahagian itu ke kiri dan kanan untuk menghilangkan kesengalan. Kepalanya digeleng tanpa mengalihkan matanya dari muka Sam. Senyuman sinisnya kekal tetapi kebencian jelas terpancar dalam renungannya.
"Aku dah agak dah! Mesti kau yang hantar betina sial tu ke sini, kan?"
Mata kiri Sam berkedip sedikit bila mendengar gelaran yang cukup hina itu diberikan oleh Badrul kepada Erin. Kesabarannya mula tergugat. Sam mengeraskan dirinya bak patung untuk menahan kemarahan yang mula meluap-luap.
"Macam mana dia hubungi kau? SMS? Guna apa? Handphone dia ada kat aku. Ke kau ajar dia minta tolong guna asap?" Badrul memprovokasi.
Mendengar nada suara yang Badrul gunakan semasa menyebut perkataan SMS, Sam mula faham mengapa Erin dibelasah oleh suaminya. Dialah penyebabnya. Dia!
Erin... maafkan aku.
Penumbuknya digenggam. Kemarahannya semakin memuncak. Marah pada diri sendiri.
Dinihari itu dia diamuk rindu bila Erin yang baru sahaja bersembang dengannya, meminta diri. Erin kata sebentar sahaja dia pergi dan Erin berjanji akan kembali menyambung perbualan mereka selepas urusannya selesai, namun wanita itu tidak muncul-muncul lagi selepas itu. Berjam-jam dia menunggu sehingga membuatkan dia hilang pertimbangan. Akhirnya, dia melakukan satu-satunya tindakan yang sangat bodoh yang pernah dibuatnya dalam hidup. Dia menghantar SMS yang bertulis 'Assalamualaikum' kepada Erin. Mesej pendek yang telah menyebabkan wanita yang dicintai dalam diam itu menerima bahana. Selepas menekan butang Send, barulah dia teringatkan status Erin sebagai isteri orang. Barulah kakinya menjejak kembali ke alam nyata. Sayangnya, tiada apa yang boleh dilakukannya untuk menarik balik SMS itu. Dia terpaksa menerima hakikat bahawa SMS itu sudah sampai ke tangan penerimanya, tidak kiralah siapa orang itu.
Dan takdir telah menetapkan bukan Erin yang menerima SMS itu tetapi Badrul!
Erin... maafkan aku, sayang.
Buat pertama kali dalam hidup, Sam menyesali perbuatannya. Selama ini dia tidak pernah kesal dengan apa sahaja yang dilakukannya. Jika dia bersalah, dia akan mengaku salah tetapi untuk menyesal, tidak sama sekali! Namun, kali ini lain. Kali ini dia telah menyebabkan wanita yang dicintainya menderita. Melihat bengkak pada muka dan bibir Erin, Sam semakin marah pada diri sendiri.
"Badrul." Sam menyebut nama yang dicemburuinya. Erin sering bercerita tentang suaminya itu. Badrul buat ini, Badrul buat itu... Badrul, Badrul, Badrul... rabak hati Sam membaca nama malaun durjana yang sering menyelit dalam perbualan mereka. Ingin benar dia bertemu dengan Badrul. Mahu melihat suami Erin dengan mata kepalanya sendiri. Hebat sangatkah lelaki itu sebagaimana yang Erin ceritakan? Jika benar, mengapa Erin lebih banyak menghabiskan masanya di hadapan komputer? Mengapa Erin tidak melayan suaminya sahaja? Dan mengapa ayat-ayat Erin menggambarkan betapa wanita itu ketandusan kasih sayang? Betapa dia kesunyian. Sedih. Menderita. Sekering-kering hati Sam, tersayat juga dia bila membaca maksud yang tersirat di sebalik tulisan Erin. Berkali-kali dia berharap agar suatu hari nanti dia dapat berjumpa dengan lelaki yang bernama Badrul itu. Dia hendak bertanya sendiri, mengapa Badrul mensia-siakan isterinya.
Kini, dia berdiri berhadapan dengan nemesisnya itu. Hanya satu perkara sahaja yang terlintas di fikirannya kala itu; memperlakukan Badrul sebagaimana Badrul memperlakukan Erin. Kebencian yang begitu ketara pada muka Badrul, menambahkan kebencian Sam terhadapnya. Bagaimana Erin boleh mencintai lelaki ini? Bagaimana Erin sanggup hidup bersama iblis ini?
"Ohhh... betina tu dah cerita fasal aku pada kau."
Untuk kedua kalinya mata kiri Sam berkedip sedikit. Penumbuknya digenggam semakin kuat. Sekali lagi Badrul menghina Erin, dia tidak akan teragak-agak menghadiahkan tumbukan padunya ke muka Badrul.
Menyedari kata-katanya telah berjaya menaikkan kemarahan Sam, Badrul tersenyum angkuh, menampakkan wajah bangga meskipun hatinya sakit bila dia membayangkan betapa bahagianya Erin ketika berchatting dengan Sam. Pasti hubungan mereka berdua melebihi hubungan dua orang kawan. Mustahil Sam sanggup datang dari Ipoh semata-mata untuk membawa Erin ke hospital jika hubungan mereka biasa-biasa sahaja. Sangat mustahil. Badrul tahulah. Dia pun dari spesis yang sama dengan Sam.
"Jadi, betullah kau ada skandal dengan betina sial tu!"
"Hormat sikit pada isteri kau!" Sam memberi amaran. Suaranya dalam, perlahan dan keras.
"Tau pun kau itu bini aku! Yang kau kacau buat apa?"
Sam terdiam, tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan itu.
"Tak payahlah kau nak susah payah bela betina sial..."
Pow!
Sebuah penumbuk padu hinggap ke muka Badrul sebelum dia sempat menghabiskan ayatnya. Lelaki dayus itu terundur-undur ke belakang, terhoyong-hayang sebelum terduduk di atas kerusi yang ada di situ. Buat seketika dia kelihatan mamai. Pening. Tumbukan Sam bukan sembarangan. Tumbukan padu tangan yang sudah biasa melakukan kerja-kerja berat.
Badrul meraba-raba hidungnya. Sakitnya keterlaluan. Darah yang keluar dari lubang hidungnya bukan meleleh tetapi menyembur bagaikan pili pecah.
"Bangsat! Kau patahkan hidung aku!" jeritnya.
Dia bangun. Hajatnya hendak menyerang Sam tetapi dia kembali duduk bila kepalanya berpusing dengan laju akibat kehilangan terlalu banyak darah.
"Tolong jangan bergaduh di sini. Ini hospital." Doktor wanita yang mengekori mereka tadi cuba menenangkan suasana. "Mari saya tengok luka awak." Dia mendapatkan Badrul untuk memberikan rawatan tetapi ditolak kasar oleh lelaki itu. Sam memandang dengan perasaan geram.
"Berbaloi ke, bro... hilang kerja semata-mata nak bela nasib betina sial tu?" Dalam keadaan muka yang berdarah, Badrul masih mahu memprovokasi Sam. Dia sudah menemui kelemahan lelaki itu. Peluang itu tidak akan dilepaskannya begitu sahaja. Senyumannya membelah muka bila dia melihat muka Sam sudah merah padam.
"Betina sial..."
Sam maju ke hadapan. Fokusnya pada leher Badrul. Dia tahu bagaimana caranya untuk mendiamkan lelaki itu buat seketika. Kalau boleh, dia hendak mendiamkan lelaki dayus itu buat selama-lamanya. Namun, dia tidak menyangka Badrul juga sudah menyusun rancangan tersendiri. Sebaik sahaja dia menghampiri Badrul, lelaki itu menarik doktor wanita yang masih berdiri di tepinya, lalu ditolaknya ke arah Sam. Badrul juga sempat meragut steteskop yang tersangkut pada leher doktor wanita itu.
Rentak serangan Sam jadi terganggu bila dia terpaksa menyelamatkan doktor wanita yang hampir terjatuh akibat berlanggar dengan tubuh sasanya. Semasa dia cuba membantu doktor wanita itu berdiri semula, Badrul mengambil kesempatan itu untuk menyerangnya. Badrul melibas bahagian yang dipanggil bell and diaphragm pada steteskop itu, iaitu bahagian yang doktor letakkan pada dada pesakit untuk mendengar degupan jantung, ke kepalanya. Serangan curi itu melukakan pipi kanan Sam dan hampir mengenai mata kanannya. Kalau betul-betul kena pada matanya tadi, memang boleh buta kerana libasan itu sangat kuat.
Sam mengaduh dan berpusing ke kiri, menarik bersamanya doktor wanita itu. Kedua-duanya hampir jatuh tetapi Sam berjaya mengimbangkan badannya. Sekali lagi Badrul melibas curi tetapi kali kedua itu, Sam telah bersedia dan berjaya mengelak serangan tersebut. Dia menolak doktor wanita itu ke tepi agar tidak dicederakan oleh Badrul, kemudian Sam mengumpul segala kekuatan dan fokusnya terhadap Badrul.
Badrul melibas lagi. Sam mengelak. Momentum libasan yang kuat itu membuatkan tubuh Badrul terpusing ke belakang. Sam merebut kesempatan itu lalu melompat ke arah Badrul, memeluk badan lelaki itu dan memegang tangannya yang bersenjatakan steteskop. Kedua-duanya jatuh ke lantai. Badrul yang dihempap oleh tubuh sasa Sam, berusaha untuk membebaskan diri tetapi tidak berjaya. Dia cuba menggigit muka Sam. Suka benar dia menggigit orang. Mujur Sam sempat mengelak lalu menghantukkan dahinya ke dahi Badrul, membuatkan lelaki itu mengaduh kesakitan. Sekali lagi dia berada dalam keadaan mamai. Sam merebut kesempatan itu untuk meragut steteskop dari tangan Badrul, lalu alat pemeriksaan itu dicampakkannya sejauh yang mungkin.
Buat seketika Sam terus memeluk Badrul untuk melumpuhkan pergerakan lelaki itu. Tubuh Badrul hampir terkulai akibat tidak boleh bernafas dengan sempurna. Apabila melihat Badrul berada dalam keadaan separuh sedar, barulah Sam melepaskan pelukannya. Dia bangun dan mendapatkan doktor wanita yang terduduk di atas kerusi. Diperiksanya doktor wanita itu, yang meyakinkannya bahawa dia tidak apa-apa. Sekadar terkejut sahaja. Sam mengangguk.
"Sam!"
Suara Erin bernada amaran kedengaran sayup-sayup di telinga Sam. Dia tahu ada bahaya yang mendatang kerana dia juga dapat mengesan pergerakan di belakangnya. Rupanya Badrul telah bangun dengan senyap-senyap dan cuba melakukan serangan curi sekali lagi. Sam berpusing laju dengan tubuh membongkok. Dia melepaskan tumbukan yang bertubi-tubi ke arah perut Badrul. Kemudian dia memusingkan tubuh Badrul dan mengunci leher Badrul dengan lengannya yang sasa.
"Jangan apa-apakan Erin lagi selepas ni, kau faham tak?" Sam memberi amaran, dekat dengan telinga Badrul.
"Bini... aku..." Suara Badrul tersekat-sekat. Tercungap-cungap dia cuba bernafas. Namun, masih lagi dia mahu bersuara. "Suka... suka hati aku... arghh..." Badrul tidak dapat meneruskan kata-kata apabila Sam mengeratkan kekunci pada lehernya.
"Kalau kau tak tahu macam mana nak jaga isteri kau, lebih baik kau lepaskan dia!"
Dalam keadaan tercungap-cungap, dengan muka yang merah kerana kesukaran untuk bernafas, ditambah pula dengan darah merah yang masih mengalir dari hidungnya, Badrul masih mampu tersenyum sinis.
"Dia... milik... aku. Sampai mati... sampai mati aku takkan lepaskan dia!" jawab Badrul.
Sam menguatkan kancingan pada leher Badrul. Semakin lama tubuh Badrul semakin lemah kerana tidak dapat bernafas. Muka Badrul jadi biru dan akhirnya, kakinya longlai. Badannya menyusut ke bawah sedikit, namun Sam masih tidak melepaskan kancingan. Dia terlalu marah. Terlalu berdendam.
"Sam! Jangan! Jangan cederakan dia..." rayu Erin yang berdiri di pintu bilik wadnya. "Tolonglah, Sam... jangan cederakan dia. Dia sakit..."
YOU ARE READING
Takkan Ku Lepaskan Dia
RandomCinta atau Benci? Kalau benar-benar cinta, mengapa hanya derita yang Erin rasa? Tidak cukupkah lagi luka dan parut yang Badrul hadiahkan pada tubuh badannya itu sebagai bukti derita? Namun, mengapa mereka masih lagi bersama? Cinta? Isteri mana yang...