"HANG keluaq dengan sengaja walaupun dia dah habag, jatuh talak kalau hang keluaq rumah tanpa izin dia?" Kadi kampung itu yang diheret oleh ayah Erin ke rumahnya sebentar tadi, mahukan kepastian.
"Ya. Sengaja. Tapi cek terpaksa. Cek nak pi rumah sakit."
"Dia tau dak hang sakit?"
"Tau. Dia habag tak payah pi rumah sakit. Sehari dua lagi cek sembuhlah. Tapi cek pi jugak. Cek ingat cek pikiaq, kalau kena cerai pun talak satu ja. Nanti boleh rujuk balik."
"Astaghfirullah... sampai lagu tu noo... hang pikiaq?"
Erin mengangguk. "Bukan cek sengaja. Terpaksa. Badan sakit sangat."
"Awat hang tak habag kat dia kata nak pi rumah sakit?"
"Sebab sakit ni dia yang bagi kat cek."
Kadi itu tersentak. Terkedip-kedip matanya merenung Erin. Buat seketika dia terdiam, cuba memahami situasi yang sedang Erin hadapi.
"Hang bukan saja-saja buat cerita ni nak bagi lepaih dari dia?"
"Dak."
Kadi itu menunggu Erin menyambung kata-kata. Bila Erin terus diam, dia pandang ayah dan emak Erin yang duduk di bangku panjang pula.
"Kalau ikut cerita dia ni, memang dah jatuh talak satu." Dia pandang Erin semula. "Esok pagi hang mai pejabat tok, buat report. Lepaih tu hang kena pi mahkamah syariah. Mulakan prosiding. Satu ja tok habag kat hang, jangan menipu kat hakim. Dia boleh tau kalau hang nipu dia."
Erin mengangguk. Apa untungnya dia menipu? Dapat dosa lagi ada. "Cek nak kena bawak apa-apa dak?"
"Masa prosiding tu hang bawak MyKad hang dengan report yang hang buat kat pejabat tok. Nak kena buat saman kat laki hang saja masa tu. Tapi masa bicara, hang kena bawak saksi."
"Kalau takdak saksi?" Erin mula gusar.
"Susah sikit la kalau lagu tu," jawab tok kadi.
"Saksi tu macam hat doktor rumah sakit yang periksa dia hari tu, boleh dak?" soal ayah Erin pula.
"Boleh. Hat tu lagi baguih."
"Kawan-kawan dia yang tau dia kena dera pun boleh ka?" tanya emak Erin pula.
"Lagi ramai saksi lagi baguih. Lagi senang kes dia." Kadi itu berpaling pada Erin. "Hang kena dera ka?"
"Ya, tok."
"Lama dah dia kena. Dua taun," celah emak Erin.
"Awat yang hang tunggu sampai dua taun baru nak keluaq dari rumah tu?" soal kadi itu lagi.
Soalan itu membuatkan emak dan ayah Erin turut memandang ke arah Erin.
"Cek takut kena cerai."
"La ni tak takut dah?" Lagi soalan cepumas dilontarkan oleh kadi bertuah itu. Dia hendak tahu kisah sebenarnya. Biar jelas. Takut ada sebab lain Erin mahu menuntut cerai.
"Takut. Sapa yang mau kena cerai? Ada ka? Tapi cek sakit sangat hari tu. Tu yang cek keluaq."
Puas hati dengan jawapan Erin, ditambah dengan parut dan kesan-kesan lebam yang masih berbekas pada muka dan tangan Erin, kadi itu meminta izin untuk kembali ke pejabatnya. Elok sahaja dia berlalu, Sam pun sampai.
"Panjang umoq aih..." ucap emak Erin. "Dia bawak anak sapa pulak tu?"
Erin pun nampak budak kecil yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan. Nalurinya mengatakan bahawa budak kecil itu adalah anak Sam. Namun, hatinya enggan menerima bisikan nalurinya itu. Tidak mungkin Sam sudah ada anak. Jika ada anak, mestilah ada isteri!
Sam turun dari kenderaannya. Sebentar tadi dia nampak dengan jelas kegusaran pada wajah Erin dan emak ayahnya. Ada riak kecewa pada air muka Erin. Takut pada berita yang bakal Sam bawa bersama kehadiran Uja, barangkali. Sam tersenyum ke arah mereka, memberi salam dari jauh sambil melangkah ke pintu sebelah penumpang hadapan. Ketika membantu Uja turun dari SUVnya, Sam renung Erin sekali lagi. Muka Erin berselirat dengan duka dan keliru. Matanya kelihatan seperti hendak menangis. Belum apa-apa sudah mengaku kalah, Erin?
"Pak cik, mak cik, Erin... apa khabar?" Sam bersalaman dengan ayah Erin.
"Alhamdulillah. Sihat. Ni anak sapa ni?" Ayah Erin terus melontarkan soalan.
"Ini Uja. Anak saya," maklum Sam.
Spontan emak dan ayah Erin menoleh ke arah Erin yang ketika itu sedang menyorokkan duka hatinya di sebalik senyuman. Sam tidak memberi reaksi. Boleh je dia beritahu mereka bahawa Uja itu ialah anak dari hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya tetapi sengaja Sam tidak mahu cerita. Dia hendak tengok Erin macam mana dahulu.
"Salam mak cik, atuk dan nenek, Ja," suruh Sam. Uja patuh.
"Comelnya dia." Erin mencuit hidung Uja selepas bersalaman dengan anak kecil itu. "Uja dah sekolah ke belum?"
Suara Erin agak garau sedikit. Macam dipaksa keluar sahaja. Mukanya juga sedih, tidak bermaya. Sam tahankan diri dari tersenyum. Hatinya gembira. Isyaratnya sudah semakin jelas sekarang. Tidak perlu lagi dia meragui perasaan Erin terhadapnya.
"Tahun depan," jawab Uja.
"Badan... semangat aih!" kata emak Erin pula. "Mai la masuk. Duk kat luaq buatpa?" ajaknya. Takut ada kaki sibuk yang melihat sebenarnya. Susah hendak perbetulkan keadaan jika sesuatu perkara yang telah disalah sangkakan sudah tersebar.
Mereka masuk ke dalam rumah. Erin renung muka Uja. Memang sah anak Sam. Sebijik muka abahnya. Hati Erin semakin sayu. Sedih sangat dia rasakan kala itu. Tak apalah. Jadi kawan Sam pun cukuplah. Sekurang-kurangnya dia tahu Sam boleh diharapkan walaupun selepas ini dia berjanji untuk tidak lagi terlalu kerap berhubungan dengan Sam. Suami orang tu... tidak sanggup dia menganiaya kaum sejenis.
"Pak cik, saya nak mintak izin untuk bawak Erin ke hospital," ujar Sam sebaik sahaja mereka semua duduk di ruang tamu.
"Hang nak pi ka?" Ayah Erin menyoal anaknya. Sebenarnya dia maksudkan, hang mau ka jadi bini nomboq dua dia?
Erin mengangguk. Sam datang dari jauh semata-mata untuk membawanya ke hospital. Takkanlah dia tidak mahu pergi pula.
"Kalau pak cik izinkan, saya nak bawa mak cik sama," sambung Sam.
"Elok jugak saya pi sama, paknya..." Emak Erin mencuit-cuit paha suaminya. Cuit ada makna. Sama pemikirannya dengan Sam tadi. Dia mahu menjaga nama baik anaknya itu. Ramai yang bermulut puaka di kampung itu. Bahaya.
"Hangpa pi la... aku malaih." Ayah Erin memberikan keizinan.
"Dia tak ajak pun hang, paknya," usik emak Erin sambil tersenyum simpul pada suaminya.
"Hmm..." Ayah Erin mengerlingkan matanya. "Bawak anak ja, ka? Emaknya tak ikut sama?" soalnya, ingin tahu.
"Uja tanggungjawab saya, pak cik. Emaknya bukan lagi." Sam merenung Erin yang membalas renungannya. Sam mahu tengok sendiri perubahan pada riak wajah Erin. Dia tidak kecewa bila melihat bibir Erin mula mengukir senyuman kecil bila Erin memahami maksud kata-katanya. Hilang sudah kesedihan yang bermukim di wajah Erin tadi. Merah sudah mukanya. Erin malu. Mungkin malu kerana tersalah sangka.
"Maksudnya?" soal emak Erin, inginkan kepastian.
"Duda la hang ni?" Ayah Erin menjawab soalan isterinya dengan mengajukan soalan baru kepada Sam.
"Ya, pak cik, mak cik." Sekali lagi Sam pandang Erin yang sudah mula relaks.
"Lama dah?"
"Dua tahun, pak cik."
"Lama gak tu. Takdak niat ka nak berbaik balik semula?"
"Takdak, pak cik. Jodoh kami sampai takat tu saja."
"Laaa... cakap utagha teruih dia," usik emak Erin. Dia ketawa suka. Entahlah... dia pun tidak tahu kenapa tetapi hatinya bahagia sangat selepas mendapat tahu status diri Sam.
Erin turut tersenyum lebar. Meleret-leret senyumannya. Tidak boleh dihentikan.
"Kalau macam tu, saya bersiap dulu. Jom, mak," kata Erin, malu-malu. Dia menarik lengan emaknya.
"Mai ikut mak tok, nak?" Emak Erin mengajak. Dia tersenyum lembut pada Uja.
Uja pandang abahnya. Bila Sam mengangguk, malu-malu dia bangun dan menyambut huluran tangan emak Erin. Bertiga mereka menghilang ke bahagian dalam rumah itu.
Bila yakin isteri dan anaknya tidak dapat mendengar lagi, bapa Erin terus melontarkan soalan.
"Hang ni dengan Erin... kawan saja ka lagu mana?"
"Buat masa ni kami kawan saja. Tapi lepas dia sah bercerai nanti, saya berniat untuk ambil dia jadi isteri saya yang sah," jawab Sam, tulus.
"Memang hang niat nak menikah dengan dia la..."
"Ya, pak cik." Takkan ku lepaskan dia, pak cik, bisik hati Sam. "Dengan restu pak cik dan mak cik."
Kepala ayah Erin terangguk-angguk. "Dah lama hang kenai dia?"
"Baru lagi. Tiga bulan."
Ayah Erin terdiam. Otaknya ligat berfikir. "Hang habaq betoi-betoi kat pak cik. Hang dengan Erin bercinta kat belakang Badrul ka?"
"Tak, pak cik." Sam menggeleng. Emosi sedikit bila nama Badrul turut disebut. "Demi Allah tak."
"Bukan sebab tu ka dia kena dera?"
"Saya tak tahu pun dia kena dera, pak cik. Dia tak pernah cerita. Hari yang saya bawak dia balik ke sini tu, hati saya tak sedap bila dia tak muncul-muncul di Facebook. Tiga hari dia hilang. Ramai customer dia komen suruh dia jawab telefon, suruh dia jawab Whatsapp, jawab Inbox tetapi dia terus diam. Semua orang risau. Tertanya-tanya. Termasuklah saya. Jadi saya pergi cari dia. Masa tu baru saya dapat tahu kenapa dia menghilang selama tiga hari. Dia kena dera."
"Hang pi rumah dia?"
Sam mengangguk. "Kebetulan masa saya sampai, dia nak keluar. Saya terus bawak dia ke hospital."
"Bukan hang yang suruh dia pi hospital?"
"Saya ajak dia lepas tengok kecederaan dia."
"Teruk ka?"
"Teruk, pak cik."
"Hmmm..." Ayah Erin mengurut-urut dagunya. "Betoi ka bukan pasai hang dia nak bercerai dengan Badrul?"
"Bukan, pak cik."
Terdiam seketika.
"Hang dengan bini hang dulu, awat bercerai?"
"Jodoh kami sampai takat tu aje, pak cik."
"Tau la... tapi mesti ada sebab."
"Bekas isteri saya mengkhianati saya sebagai suami, pak cik. Dia menjatuhkan maruah saya dan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip hidup saya. Saya cuba maafkan dia tapi dia tak puas hati. Dia cabar saya supaya menceraikan dia. Berkali-kali dia cabar saya. Jadi, saya ceraikan dia."
"Talak berapa?"
"Satu."
"Dia buatpa?"
Sam tidak terus menjawab. Bukan mudah baginya untuk membuka semula cerita yang telah menyakiti hatinya. Meneroka kembali peristiwa hitam itu seolah-olah sengaja menarik dirinya masuk semula ke dalam hutan gelap yang penuh dengan akar berduri yang membelit tubuh badannya. Kehidupannya bersama Ati sentiasa tegang tanpa punca yang nyata. Sentiasa membingungkannya. Tidak pernah dia duga Ati sanggup berlaku tidak jujur dalam rumah tangga mereka.
Namun, memahami bahawa permintaan bapa Erin itu bukanlah sekadar untuk mendengar ceritanya sahaja, Sam mengambil keputusan untuk menggali semula kisah yang telah lama dikuburkannya. Dia faham perasaan bapa Erin kerana dia juga seorang bapa. Kalau situasi yang sama terjadi pada Uja, pasti dia juga ingin tahu latar belakang lelaki yang bakal menjadi menantunya sebelum membenarkan hubungan antara anaknya dengan lelaki itu pergi lebih jauh lagi.
"Dia keluar dengan lelaki lain semasa saya pergi operasi, pak cik. Kami tak duduk kem. Kami dah ada rumah sendiri. Senang dia nak keluar dan balik bila-bila masa dia suka, tak ada orang tolong perhatikan dia. Alasannya, bosan duduk di rumah bila saya tak ada. Tapi kami dah ada Uja masa tu. Jagalah anak tu. Yang hantar anak pergi ke rumah pengasuh buat apa? Dia bukannya kerja."
"Hmmm... masa tu Uja berapa taun?"
"Dua setengah tahun, pak cik." Sam berhenti seketika sebelum menyambung. "Saya sebenarnya tak tahu. Jiran pun tak bagi tahu. Saya selalu di kem. Sesekali saja saya bergaul dengan jiran tetangga. Jadi, dia orang tak berapa kenal saya sangat.
Sekali tu operasi tertangguh sebab ada masalah enjin pada kapal terbang. Lepas dua hari kami duduk kat airport, kami dibenarkan balik. Sampai di rumah saya tengok kereta dia ada tapi dia tak ada. Pelik, saya telefon dia. Lama baru dia angkat. Saya tanya dia kat mana, dia jawab dia ada kat rumah. Tidur. Penat jaga anak. Sebab tu lambat angkat telefon. Masa tu saya tak tahu nak cakap apa sebab saya ada kat rumah. Dia je yang tak ada.
Dia jawab macam tu sebab ingat saya telefon dia dari lokasi operasi jadi saya cakap pada dia, sekarang saya ada di rumah. Dia di mana? Terus dia putuskan panggilan. Saya tahu dia nak balik ke rumah. Jadi, saya tunggu di kedai makan dekat simpang masuk ke kawasan perumahan kami. Dia sampai betul-betul depan kedai makan tu. Bonceng motor lelaki mana entah. Siap berpeluk lagi. Dia turun di situ, sembang kejap dengan lelaki tu. Nampak intim sebab lelaki tu betulkan tudung dia. Muka dia takut. Saya tahu dia takut. Lepas tu dia balik ke rumah berjalan kaki. Saya ingatkan nak balik tapi bila lelaki tu masuk ke dalam kedai makan tu, saya tunggu. Mungkin dia dah janji nak stand-by di situ bila emak Uja telefon mintak tolong. Lelaki tu masuk, duduk kat depan meja saya. Betul-betul menghadap meja saya. Dia pesan minuman dan roti canai dan tengok telefon dia. Menunggu. Dia nak habis makan bila telefon dia berbunyi. Saya tahu emak Uja yang telefon sebab dia panik. Bila dia angkat muka, dia terpandangkan saya. Masa tu dia tahu saya siapa sebab saya pandang dia dan tuding jari pada dada saya. Dia bangun dan lari. Kena kejar dengan mamak sebab makan tak bayar.
Saya balik ke rumah, bersemuka dengan emak Uja. Dia jongketkan bahu di je bila saya kata saya nampak lelaki tu hantar dia kat depan kedai makan tadi. Dia kata dia bosan hidup dengan saya. Bosan sebab saya selalu tak ada di rumah. Dia tanya lagi, apa saya nak buat kat dia? Nak ceraikan dia ke? Cerailah. Dia tak heran.
Bila saya tanya apa yang dia dah buat dengan lelaki tu, dia tanya saya balik, macam mana saya nak buktikan yang dia dah buat apa-apa dengan lelaki tu? Dah dia cabar saya, saya kumpul bukti."
"Hang tangkap depa tengah khalwat ka?"
"Tak sampai ke tahap khalwat. Saya tangkap dia dengan lelaki lain pulak di shopping complex. Berlagak macam suami isteri. Dia bawak Uja sekali. Bagi lelaki tu dukung anak saya. Itu yang saya tak boleh terima. Alasan yang dia berikan, dia bosan duduk kat rumah. Jadi, dia keluar bawak Uja jalan-jalan. Kebetulan terjumpa dengan lelaki tu.
Saya bagi tahu dia, saya bukannya pergi operasi. Dah seminggu saya ekori dia. Saya tahu apa yang dia buat. Nampak segala-galanya. Saya kata lagi, saya ikut dia dari rumah lagi. Saya ikut dia pergi ambik lelaki tu kat rumah lelaki tu dan pergi ke shopping complex. Dia marah. Dia kata kalau saya dah tak percayakan dia, ceraikan saja. Itu aje yang dia ulang-ulang.
Saya masih bersabar lagi tapi bila dia kata Uja tu bukan anak saya sebab dia dah bersama ramai lelaki sebelum mengandungkan Uja, saya naik angin. Dia menghina anak saya. Menjatuhkan maruah anak saya dengan mengatakan anak saya tu anak haram, sedangkan saya tahu Uja anak saya sebab saya dah buat ujian DNA pada Uja masa dia dilahirkan. Kebetulan hospital nak buat ujian darah pada semua bayi yang dilahirkan hari tu. Dah alang-alang, saya buat ujian DNA sekali. Tak sangka ada sebabnya."
"Hang ceraikan dia la lepaih tu?"
"Tak lagi. Saya tahu dia tipu. Nak sakitkan hati saya je. Sebelum mengandungkan Uja, kami duduk di kem. Dia memang tak boleh ke mana-mana. Duduk rumah aje bersama suri rumah yang lain. Jadi, saya tahu dia tipu. Tapi lepas insiden di shopping complex tu, dia mula berani keluar dengan lelaki lain di depan saya. Datang ke tempat kerja saya naik motor dengan lelaki lain. Bila saya tegur, dengan selamba dia cabar saya ceraikan dia."
"Awat berani sangat, aih? Yang hang pun... awat tak ceraikan dia lama dulu? Hang tunggu apa?"
"Dulu, dia masih simpan aib dia, pak cik. Saya maafkan dia sebab saya yakin saya juga bersalah. Selalu tinggalkan dia. Tak didik dia jadi isteri yang baik. Yang solehah. Cuma saya asingkan tempat tidur saja. Ingatkan buat sementara aje tapi disebabkan dia tak ubah perangai dia, sampai bercerai kami tak bersama.
Lagipun, pak cik, saya tak boleh fikirkan marah saya je. Saya kena fikirkan fasal anak saya juga. Masa tu Uja kecik lagi. Uja perlukan emaknya. Lepas tu saya dah janji dengan arwah bapak dia yang saya takkan ceraikan dia. Itu yang saya sabarkan hati walaupun perbuatan dia tak boleh dimaafkan.
Tapi bila dia cabar saya ceraikan dia di depan kawan-kawan saya, saya terasa dayus kalau saya tak ceraikan dia. Jadi, saya ceraikan dia di situ juga disaksikan oleh kawan-kawan saya. Dia terkejut. Tak sangka saya berani ceraikan dia. Langsung tak jadi ikut lelaki itu. Menangis meminta ampun dan merayu saya rujuk semula. Tapi saya dah patah hati sangat. Kepercayaan dan kasih sayang saya pada dia dah lama hilang. Buat apa saya hidup dengan dia lagi? Saya balik ke rumah, ambik baju-baju saya dan keluar dari rumah tu. Lepas tu saya pergi ambik mak dia dan bawak ke Ipoh. Duduk dengan dia supaya dia tak buat benda bodoh."
"Sayang jugak hang kat dia naa..."
"Bukan dia, pak cik. Uja. Saya risaukan Uja."
"Ya, abah!" sahut Uja yang menyangka Sam memanggilnya.
Sam dan bapa Erin menoleh serentak ke arah Uja, Erin serta emak Erin yang sedang melangkah ke arah mereka. Kedua-dua orang lelaki itu bangun. Sam tersenyum memandang Uja sebelum melekatkan pandangan pada wajah Erin. Mata mereka bertentangan. Berkata-kata. Sam sedar, Erin sudah mendengar kisah sedihnya tadi. Mata Sam melirik ke arah Uja pula. Memahami soalan Sam, segera Erin memejamkan matanya dan menggeleng kecil. Tidak! Uja tidak dengar. Sam melepaskan nafas lega.
"Awat lama sangat bersiapnya, aih? Berejam!" kompelin ayah Erin.
"Lama dah siapnya, aih. Dah paknya sembang sakan. Kami main masak-masak dulu kat dapoq," balas emak Erin. "Seronok dak, Uja... main masak-masak dengan mak tok tadi?"
"Seronok," jawab Uja. Ceria.
"Haa... lain kali Uja mai sini lagi, kita main masak-masak lagi, nak?"
Uja mengangguk. Sam mengucapkan terima kasih pada emak Erin melalui senyuman.
"Jomlah pi kalau dah habih sembang," ajak emak Erin.
Setibanya di hospital, usai mendaftar, Erin dan Sam duduk di ruang menunggu. Emak Erin pula membawa Uja keluar bermain di tempat yang dikhaskan untuk kanak-kanak. Ramai budak-budak lain yang turut bermain di situ.
"Saya nak mintak maaf, Sam."
"Kenapa?" duga Sam.
"Awak tahu kenapa!"
"Ya ke saya tahu?"
"Sam! Saya tahu awak tahu." Erin pandang Sam. Geram. Suka sangatlah mengusik dia. Padahal Sam tahu apa yang dia maksudkan. Mereka sehati sejiwa. Sam boleh baca isi hatinya.
"Fasal apa, ya?" Sam mengurut-urut dagunya.
"Mengada-ngada betullah awak ni." Erin tarik nafas dalam-dalam sambil menjeling. "Tadi, masa awak sampai dengan Uja tadi, hati saya... terus sedih. Saya ingat awak suami orang."
"Tu lah... main teka lagi! Orang tanyalah dulu betul ke tidak." Sam renung Erin sambil menggeleng. Muka tidak puas hati yang Sam buat, membuatkan Erin geram. Dia pandang ke depan dan berpeluk tubuh.
"Jadi, awak dah mengalahlah tadi?" soal Sam.
"Tak adalah mengalah..."
"Bohong! Tengok muka pun tau!"
"Kalau dah tau, kenapa tanya lagi?"
"Saja... tak boleh?"
"Tak boleh!"
Mereka diam seketika.
"Sam... saya nak bagi tahu awak yang saya takkan tanya fasal kisah silam awak lagi."
"Dah dengar habis, buat apa nak tanya lagi!" sindir Sam.
"Heee... sakit betul hati bercakap dengan awak ni."
"Sakit hati tapi..."
"Tapi apa?" Erin pandang Sam.
"Tapi suka, kan?"
"Tak usah nak perasanlah!" Erin mencebir. Dia palingkan muka untuk menyorokkan senyuman. Tercuit hati. Sam ni memang jenis yang kuat perasan ke apa? Tembak terus je. Tak ada berlapik-lapik cakapnya.
"Awak memang suka pasang telinga, ya?"
"Tolong sikit! Suara awak tu sampai ke dapur boleh dengar tau tak? Takut saya dengan awak. Suka ngekor dan ngintip apa orang buat."
"Saya kan komando..."
"Bluwek!" balas Erin, siap menjelirkan lidahnya lagi.
"Uja memang tak dengar?"
"Tak. Mak ajak dia main masak-masak kat meja. Mak siap pasang radio transistor dia tu lagi."
Sam mengangguk, bersyukur dengan sensitiviti yang ditunjukkan oleh emak Erin. Seboleh-bolehnya Sam tidak mahu memburukkan Ati di hadapan Uja. Biar Uja sendiri menilai buruk baik ibu bapanya bila dia sudah besar nanti.
"Saya dah minta izin bapak awak."
"Untuk apa?"
"Kahwin dengan awaklah. Untuk apa pulak dia tanya!" Sam pandang Erin yang duduk di sebelah kirinya.
"Sam!"
"Betullah cara saya tu... mintak izin daripada bapak awak dulu."
"Bukan itu!" Erin toleh ke kiri dan kanan, memastikan tidak ada orang yang mendengar perbualan mereka. "Saya kena selesaikan urusan perceraian saya dulu."
"Kan dah bincang hari tu? 6 bulan settle."
"Rasanya tak cukup."
"Jangan negatif. Positif. Yakin pada Allah. Yang mustahil jadi tak mustahil nanti. Percayalah."
"Entahlah, Sam..." Erin melepaskan sebuah keluhan. "Saya sebenarnya dah jatuh talak."
"Laa... kenapa tak cakap awal-awal? Lepas tiga kali haid kita dah boleh nikah dah. Tak payah tunggu enam bulan."
Erin tersenyum. "Orang lelaki! Kalau bab munakahat, memang hafal!"
"Kenalah! Dah nak jadi suami. Bukan senang nak jadi imam tau."
"Boleh ke awak jadi imam?"
"Kenapa? Tak percaya ke?"
"Cuba baca Surah Taha tengok," duga Erin, tersenyum-senyum nakal. Surah itu dipilihnya selepas melihat staf hospital yang memakai tag nama Taha lalu di hadapan mereka.
Sam menjeling. Kepalanya terangguk-angguk. Geram dia melihat senyuman Erin. "Jangan cabar. Saya pantang dicabar..."
"Saya cabar awak!" Erin buat muka toyanya.
"Betul-betul mencabar kejantananku!" dengus Sam.
Dia memejamkan mata. Sejurus, kedengaran suaranya mengalunkan ayat suci dari Surah Taha seperti yang diminta oleh Erin. Terpegun Erin mendengarnya. Tidak sangka suara Sam begitu mendayu-dayu sekali mengalunkan ayat suci itu, biarpun perlahan sahaja dia mengaji. Yang paling dia tidak sangka, Sam hafal Surah Taha.
"Dah! Cukup! Cukup, Sam," kata Erin.
"Tak habis lagi." Sam buka matanya dan pandang Erin. Dia baru sahaja membaca setakat ayat ke-15.
"Tak apa. Saya percaya cakap awak."
Sam tersenyum nakal. "Cuba awak pulak baca."
"Apa fasal nak suruh saya pulak? Saya orang perempuan. Bukannya boleh jadi imam."
"Cakap. Siapa kata awak tak boleh jadi imam? Kalau awak masuk surau untuk orang perempuan, ada orang cuit bahu awak, awak kena jadi imam tau..."
"Tak semestinya! Saya boleh tolak kalau saya tak nak tau..."
"Tak sangka penakut. Kalau cakap, kemain berdegar-degar lagi," acum Sam. Direnungnya Erin yang sedang terkulat-kulat. "Pandai suruh orang je tapi awak sendiri pun tak hafal, ya?"
"Tolong sikit!"
"Okey... tolong baca. Saya nak dengar!"
"Sam!"
"Apa Sam-Sam?"
"Kat luar nantilah. Malulah kat sini."
"Tadi awak cabar saya, saya terus baca. Tak ada pulak saya berdalih-dalih. Kalau awak tak hafal, cakap ajelah awak tak hafal. Tak payah nak bagi alasan tak logik."
"Teruklah awak ni!"
"Cepat! Saya nak dengar."
Selepas membuat bunyi berdecit-decit, Erin mula mengalunkan ayat dari Surah Taha itu. Dia membaca dengan laju dan perlahan. Menggeletar suaranya. Habis ayat keenam, dia berhenti.
"Dah," kata Erin.
"Aik?"
"Sambung kat luar nanti. Malu."
"Malu ke... tak tahu..."
"Okeylah!!! Saya ngaku saya hafal sampai takat tu je!" Mulut Erin memuncung. Pengsan rasanya hidup dengan Sam. Asyik kena usik je dia nanti.
"Jangan muncung-muncungkan sangat bibir tu." Sam menarik nafas dan menghembuskannya melalui mulut.
"Kenapa pulak tak boleh? Mulut saya. Suka hatilah." Erin terus memuncungkan mulutnya.
"Saya cium karang..." bisik Sam, menyuakan mukanya ke arah Erin. Serta-merta Erin bangun. Terkejut.
"3040. Bilik 21." Kotak pengumuman berbunyi.
"Hah! Nombor saya. Selamat..." kata Erin.
"Takpe... takpe... hari ni je selamat!" Sam tersenyum sambil mengekori langkah Erin.
YOU ARE READING
Takkan Ku Lepaskan Dia
RandomCinta atau Benci? Kalau benar-benar cinta, mengapa hanya derita yang Erin rasa? Tidak cukupkah lagi luka dan parut yang Badrul hadiahkan pada tubuh badannya itu sebagai bukti derita? Namun, mengapa mereka masih lagi bersama? Cinta? Isteri mana yang...