8

4.2K 91 4
                                    

'NANTIKAN ketibaanku, sayang,' bisik Sam dalam hati. Dia terpaksa membatalkan niatnya untuk menjauhkan diri dari Erin sehingga Erin sah bercerai, lantaran terlalu risaukan keadaan Erin setelah mendapat tahu Erin tidak langsung dibawa ke hospital semasa keadaannya kritikal. Mentaliti orang kampung, barangkali. Selagi tidak berdarah, selagi tidak ada tulang yang patah, selagi itu dianggap sakit biasa walaupun hakikatnya pesakit sedang bertarung dengan kesakitannya itu dalam diam. Bila sudah mati, barulah keluar kata-kata, ingatkan takde apa-apa... ingatkan sakit biasa je. Tak sangka sakit teruk.
Sam menggeleng. Kecewa.
Sambil memandu, Sam membuat nota mental. Sampai-sampai di Balik Pulau nanti, dia akan terus membawa Erin ke hospital supaya doktor boleh buat pemeriksaan terperinci terhadap Erin. Sam tidak kisah berapa pun bayarannya. Yang penting baginya Erin disahkan sihat dan pengesahan sihat itu mestilah datang dari pakar yang bertauliah. Yang memang bergelar doktor. Bukan dari mulut Erin sendiri. Sam tersenyum-senyum sendiri sambil membayangkan wajah manis Erin sewaktu buah hatinya yang bermulut kecil itu berhujah bak bertih jagung untuk mengelakkan diri dari dibawa ke hospital. Geram dia tengok mulut Erin. Rasa macam hendak lekapkan bibirnya pada bibir Erin sahaja bila dia teringatkan bibir mungil Erin terkuit-kuit semasa berbicara.
Seeloknya nanti emak Erin ikut sekali. Satu; demi mengelakkan fitnah. Dua; demi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku. Sam bukannya tidak percaya pada diri sendiri jika dia berdua-duaan dengan Erin. Oh, dia tidak pernah meragui diri sendiri. Cuma dia tidak percaya pada makhluk bertanduk yang duduk antara mereka berdua. Yang itulah yang selalu buat dia hilang iman bila dia bersama Erin. Tak boleh! Bahaya! Emak Erin mesti ikut sama, terutamanya kerana Erin masih isteri orang. Dia tidak mahu hubungannya dengan Erin menjadi buah mulut orang kampung. Erinlah... yang terpaksa menghadap segala tohmahan dan cacian. Dia tidak mengapa. Telinganya sudah lama ditulikan supaya dia tidak dapat mendengar bicara negatif yang sering dilontarkan kepadanya tanpa dipinta. Prinsip hidupnya mudah sahaja; selagi dia hidup, selagi dia berakal, selagi itu tidak ada sesuatu pun - kecuali Allah - yang boleh menjatuhkannya.
Telefon bimbitnya berbunyi. Melihat siapa yang memanggil, Sam terus menyambut panggilan yang masuk menggunakan hands free kit.
"Assalamualaikum. Ada apa, Ati?" soalnya.
"Awak kat mana? Awak awak kat mana?" Perempuan bernama Ati itu menyanyi riang di hujung talian.
"Cakap ajelah... ada apa?" ulang Sam. Nadanya mendatar. Bosan.
"Alah... kita nak bergurau pun tak boleh ke?"
"Nak apa, Ati?" desak Sam. Macam kena cucuh api rokok sahaja telinganya mendengar suara perempuan itu.
"Uja nak beli barang sekolah," jawab Ati dengan kasar, berang kerana Sam enggan melayannya.
"Hari tu cakap lain. Hari ni cakap lain. Hari tu saya nak bawak awak tak bagi. Awak kata awak sendiri nak bawak dia."
"Tak payahlah mengungkit."
"Saya ada hal. Awak bawak dia!" tegas Sam, tidak mahu memberi muka pada Ati. Perempuan itu kalau dilayan, memang melampau. Sampai ke tahap pijak kepala dia. Sam tidak akan mengulangi kesilapan yang telah dibuatnya dahulu. Dulu-dulu dia masih muda. Bolehlah orang memperbodohkan dia. Dari emak bapak perempuan itu sehinggalah ke anaknya memperbodohkan dia. Sekarang, tidak lagi!
"Duitnya?"
"Kan hari tu saya dah bagi duitnya." Sam menggeleng, cuba menyabarkan diri sendiri.
"Dah habis. Saya guna untuk beli barang dapur. Awak bawaklah dia. Malas saya nak keluar." Selamba sahaja Ati menyuruh.
"Awak kena faham, Ati... duit yang saya bagi tu untuk Uja. Bukan untuk awak!"
"Habis tu saya nak makan apa?"
"Kerjalah kalau nak makan!" Berdesir suara Sam. Dia mengetap bibir. Berdenyut-denyut pipinya menahan marah. Bengang! Betul-betul bengang dengan perempuan bangang lagi pemalas itu. Badan masih kuat, masih sihat tetapi pemalas. Hanya tahu menadah tangan meminta sahaja.
Dari dahulu memang begitu perangai Ati. Sudah diajar oleh ibu bapanya supaya dia mengikis wang dan harta benda Sam selagi ada. Ati yang tidak pernah bekerja seumur hidupnya itu sudah ada rumah sendiri, sedangkan Sam masih menyewa. Rumah yang Ati duduki sekarang, dibeli dengan hasil pendapatan yang Sam terima semasa dia berkhidmat di luar negara selama satu setengah tahun di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kira-kira lapan tahun yang lalu. Bapa Ati yang kini sudah arwah, sanggup menelefon Sam dari Malaysia, menasihati Sam agar membeli tanah lot yang sedang ditawarkan untuk membina rumah sendiri, dengan duit yang diterimanya dari PBB. Sam meminta bapa mentuanya menunggu sehingga dia pulang ke Malaysia dahulu, barulah boleh berbincang tentang perkara yang besar seperti itu. Namun, bapa Ati tetap mendesak. Kononnya tanah lot itu sudah tinggal sedikit. Jika tidak dibeli sekarang, ia akan habis. Selagi Sam tidak menurut kehendaknya, selagi itu bapa Ati menelefon. Memaksa. Terganggu, akhirnya Sam bersetuju tanpa rela. Tanah lot itu dibeli atas nama Ati kerana Sam masih berada di luar negara. Rumah yang dibina juga atas nama Ati. Kereta Proton Wira yang Sam pakai dahulu pun dibeli atas nama Ati. Bila mereka bercerai, segala-galanya menjadi hak milik Ati.
Cerdik, bukan, bapa Ati?
"Barang-barang dapur yang saya beli tu bukan untuk saya je. Untuk Uja jugak. Takkan awak nak suruh anak sendiri makan pasir?" Ati menggunakan anak mereka untuk memainkan emosi Sam. Dia tahu, Sam tidak akan berani bertekak dengannya jika dia heret Uja ke dalam 'perbualan' mereka. Sam seorang bapa yang sangat bertanggungjawab. Sanggup buat apa sahaja untuk Uja, membuatkan Ati cemburu terhadap anaknya sendiri kerana Sam melebihkan Uja. Sam mengambil berat tentang Uja tetapi tidak Ati.
"Saya dah bagi lebih daripada cukup untuk Uja. Macam mana boleh habis pulak ni? Awak beli apa?"
"Jangan nak tuduh saya pulak!" herdik Ati. "Anak awak yang kuat makan. Asyik memintak aje kerja dia..."
'Ikut perangai siapa?' dengus hati Sam.
"...takkan tak bagi pulak? Nanti awak tuduh saya macam-macam kalau tak bagi anak makan," ceceh Ati. Baran. "Datang sekarang. Bawak anak awak beli barang-barang sekolah dia. Jangan nak menyusahkan saya sorang."
"Esok. Hari ni saya sibuk."
"Nah, cakap dengan abah kamu."
Suara Ati memberi arahan dapat Sam dengar sayup-sayup. Sejurus...
"Abah... abah datang ya. Uja nak beli baju sekolah," rengek anak kecil berusia enam tahun itu.
Sam sudah sampai di Kuala Kangsar semasa itu. Hatinya berat menyuruh dia meneruskan perjalanan. Namun, demi tanggungjawab, demi prinsip dan demi kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap Uja, dia berpatah balik.
Setibanya di Ipoh, Sam terus ke Meru Jaya. Kedatangannnya disambut dingin oleh Ati.
"Kenapa lambat?" soal Ati semasa membuka pintu pagar rumah teres dua tingkat itu. Mukanya cemberut. Masih marah terutamanya apabila dia melihat Sam tidak langsung mempedulikannya. Pandang mukanya pun tidak.
"Mana Uja? Panggil dia keluar," ujar Sam sambil memeriksa tayar SUVnya.
"Yang berdiri kat luar tu buat apa? Masuklah dulu."
"Panggil Uja." Sam menjuruskan pandangan ke pintu masuk rumah itu. Ati tidak langsung dipedulikannya, begitu juga dengan pelawaan perempuan itu. Takut ada perangkap yang menunggu. Bala besar jika mereka kembali bersatu.
"Kenapa dengan muka awak tu? Bergaduh dengan siapa?"
"Uja! Uja!" panggil Sam dari luar pagar bila Ati tidak langsung memanggil Uja keluar seperti yang diminta, malah cuba berbual-bual dengannya pula. Dia datang ke situ bukan untuk bersembang-sembang dengan Ati. Masa untuk bersembang-sembang mesra sudah lama berakhir. Semasa mereka masih bersama dahulu, kenapa Ati tidak mempedulikannya? Kenapa Ati tidak mahu bersembang-sembang dengannya? Bukannya selalu Sam ada di rumah. Dua tiga hari sebulan pun payah.
Bila dia ada, Ati asyik membebel sahaja kerjanya. Asyik kompelin itu kompelin ini. Ada sahaja yang tidak kena di mata Ati. Lama-lama Sam merasakan bahawa Ati memang tidak suka dia ada di rumah. Seolah-olah dia menyemakkan mata Ati sahaja. Yang buat Sam terkilan sangat-sangat, Ati asyik kisahkan adik-beradiknya sendiri sahaja. Betul, Ati menjaga rumah mereka dengan baik. Itu Sam tidak menafikan tetapi setakat rumah mereka sahajalah yang Ati jaga supaya orang yang melihat akan memuji-mujinya. Sam... tidak langsung dipedulikannya. Bersembang pun yang penting-penting sahaja. Bila Ati hendak beli barang, hendak duit... semasa itu memang rajin Ati mencari Sam. Bersembang dengan Sam. Ajak Sam keluar. Kalau tidak, jangan harap! Itu baru bab bersembang. Yang lain-lain, tak usah cakaplah...
"Uja! Jom kita pergi beli barang sekolah," laung Sam lagi.
Anak kecil berusia enam tahun itu takut-takut melangkah ke pintu, memeluk beg sandang yang ada gambar Elsa dan Anna dari filem Frozen. Dia hanya berdiri di situ, tidak berani meneruskan langkah. Dipandang emak dan ayahnya silih berganti. Renungannya singgah lama di muka Sam. Anak kecil itu jelas ketakutan.
"Awak buat apa kat anak saya?" soal Sam. Perlahan.
"Jaga dia dengan baiklah! Buat apa lagi? Saya ajar dia supaya hormat pada saya. Hormat pada orang tua. Jangan dah besar nanti jadi manusia tak berguna yang lari dari tanggungjawab!" bidas Ati, menyindir bekas suaminya itu dengan kasar.
Sam menyabarkan hati. Silap dia juga kerana bertanya tetapi apalah gunanya menjadi seorang ayah jika dia tidak mengambil berat tentang kesihatan mental dan fizikal anak sendiri? Uja jelas ketakutan. Kenapa anaknya jadi begitu? Itu yang Sam ingin tahu. Pada siapa lagi Sam hendak bertanya jika tidak pada Ati? 24 jam Uja bersama Ati. Namun, bertanya pada Ati ibarat sengaja menyuakan kepalanya ke dalam kandang singa betina gila.
"Dah siap, Ja?" Sam tersenyum untuk meleraikan ketakutan Uja.
Anak kecil itu mengangguk. Tersenyum tawar. Renungannya tidak berani dikalihkan dari muka abahnya.
"Jom kita beli barang sekolah." Sam menghulurkan tangan, memanggil anak perempuannya itu. Uja memakai kasut dan berlari anak mendapatkan Sam.
"Awak nak pergi mana sebenarnya ni? Kemas semacam aje awak hari ni." Ati curiga.
"Jangan masuk campur hal saya, boleh?" Lembut sahaja Sam memberi amaran. Dia tidak mahu Uja semakin takut.
Ati memerhati Sam yang sedang membantu Uja naik ke dalam SUV dengan mata helangnya. Atas bawah dipandangnya Sam. Bekas suaminya itu kelihatan lebih tampan daripada biasa, walaupun dengan muka yang cedera. Datang dengan begitu bergaya sekali; berseluar jean, berbaju-T Polo dan memakai kasut. Tidak seperti biasa, sekadar berbaju-T, track-bottom dan berselipar. Yang terlalu ketara di matanya, Sam kelihatan... bahagia!
Jantung Ati berdebar tidak keruan. Bukan sekejap dia mengenali bekas suaminya itu. Mereka dari kampung yang sama, malah rumah orang tua mereka terletak sebelah-menyebelah. Sejak sebelum bernikah lagi dia sudah kenal Sam luar dan dalam. Dia boleh baca air muka Sam. Tahu bila Sam bahagia dan bila Sam berduka.
"Tunggu kejap, boleh? Saya nak ambik handbag," kata Ati. Dia hendak ikut. Moga terbatal hasrat Sam untuk bertemu dengan orang yang ingin ditemuinya.
Serta-merta kepala Sam menoleh. Selepas menutup pintu kereta bahagian penumpang di mana Uja duduk, barulah dia bersuara.
"Kalau awak nak ikut sama, baik awak yang bawak dia. Tak payah nak suruh-suruh saya!"
"Eh, anak tu tanggungjawab awak! Bukan anak saya sorang!"
"Betul! Tapi awak bukan tanggungjawab saya lagi. Awak nak pergi mana-mana, awak pergi sendiri!" Habis berkata-kata, Sam terus memanjat masuk ke dalam SUVnya dan memandu pergi, meninggalkan Ati di luar pagar dengan kemarahan yang berapi-api.
Ati bukannya marah kerana Sam enggan membawanya bersama untuk membeli barang-barang sekolah Uja. Dia marah kerana dia yakin Sam sudah menemui cinta baru. Keengganan Sam membenarkannya ikut sama menambahkan lagi rasa curiganya. Ati mengunci pagar sambil merengus. Dalam kepalanya berlegar-legar soalan; siapa cinta baru Sam? Siapa? Orang Ipohkah? Atau orang kampung mereka? Patutlah semua usaha yang dilakukannya untuk memenangi hati Sam semula tidak pernah menjadi. Rupa-rupanya Sam sudah dapat pengganti. Ati tidak suka. Ati cemburu. Dia masih mahukan Sam. Masih mencintai Sam.
Masuk ke dalam rumah, dia terus mencapai telefon bimbitnya yang diletakkan di tepi peti televisyen. Nombor telefon yang ada dalam databes telefon pintar itu dibelek satu per satu. Akhirnya, dia jumpa nombor yang dicari-cari. Butang Call ditekan.
"Helo, Aziah... apa khabar? Ati ni."
"Ati mana?" Aziah berhenti menulis, cuba memastikan Ati yang mana satu yang menelefonnya di pagi itu. Janganlah Ati bekas isteri Sam, bisik hatinya. Susah dia jika Ati itu yang menelefon. Aziah tidak mahu menanggung dosa menipu.
"Ati emak Uja. Aiii... takkan dah tak kenal suara saya kut?" Ati tergelak-gelak kecil. Palsu belaka tawanya itu. Dia tahu Aziah rapat dengan Sam, terpaksalah dia tunjuk baik untuk mengorek rahsia bekas suaminya itu, sedangkan pada hakikatnya dia tidak menyukai Aziah kerana Aziah tidak menyukainya sehingga berjaya menghasut Sam agar menceraikannya. Itulah yang Ati rasakan. Sama ada betul atau tidak Aziah yang telah menyebabkan dia diceraikan, Ati sendiri tidak pasti sebenarnya. Dia hanya meneka sahaja kerana dia tahu, Aziah dan Bob telah Sam anggap seperti abang dan kakaknya sendiri. Tempat Sam merujuk pendapat dan nasihat. Siapa lagi yang boleh mempengaruhi Sam untuk menceraikan Ati jika bukan suami isteri itu?
"Ati..." Aziah memejamkan mata. Kesal. "Minta maaflah saya tengah kerja sekarang ni."
"Oh, ya ke? Ingatkan awak off hari ni. Hmm... macam mana, ya? Urgent ni... urmmm..."
"Ati..."
"Okeylah, macam ni. Awak habis kerja pukul tiga, kan? Nanti saya datang cari awak kat kantin pejabat."
Sebuah keluhan halus terlepas dari bibir Aziah. Memang Ati ini jenis yang tidak makan saman. Lebih kurang sama perangainya dengan perangai Sam. Cuma, Sam rasional sedikit. Ati... mental!
"Awak kata tadi urgent. Apa dia, Ti?"
Ati tersenyum puas bila umpannya mengena. Aziah hendak berjumpa dengannya? Minta maaflah!
"Tadi Sam datang rumah. Ambik Uja bawak pergi beli barang sekolah. Saya nampak pipi Sam luka teruk. Awak tahu kenapa?" soalnya sambil melabuhkan punggung di atas sofa.
"Entahlah, Ti. Saya tak tahu. Dah lama saya tak nampak dia."
"Ya ke? Habis tu kenapa dia suruh saya tanya awak kalau saya nak tahu fasal luka dia tu?" tipu Ati.
Aziah menelan liur. Bara kemarahannya terhadap Sam yang baru hendak padam, memerah semula. Memercik-mercik apinya. Hatinya mencelakakan Sam yang memandai-mandai menyuruh Ati bertanya padanya pula. Sam yang menggatal dengan Erin, dia pula yang disuruh menjawab soalan bodoh Ati. Tetapi betulkah? Hati Aziah mula berdetik bila menyedari dengan siapa dia bercakap. Ati bukan perempuan baik; kaki kencing orang dan kaki fitnah. Suami sendiri pun dia sanggup fitnah dan dituduh macam-macam, orang lain apatah lagi!
"Apa pulak tanya saya? Manalah saya tahu. Cer awak tanya dia balik."
"Hmmm... dia tak ada. Keluar dengan Uja. Eh, awak tahu kan Sam dah ada kekasih baru?" umpan Ati lagi. Dia menunggu Aziah membalas kata-katanya tetapi Aziah diam sahaja. "Dia ajak saya jumpa perempuan tu tadi tapi tak payahlah. Takkanlah saya nak kacau dia orang dating." Ati buat-buat ketawa.
"Baguslah kalau dia dah jumpa orang yang boleh dijadikan isteri. Awak tu bila pulak? Entah-entah awak masih tunggu Sam tak?"
"Eh, mana ada? Saya tak berani la nak kahwin lain. Takut lelaki tu tak dapat terima Uja. Bukan senang nak cari lelaki baik sekarang ni."
"Betul tu. Sebab tu ramai yang sangat berhati-hati memilih pasangan sekarang ni. Dia orang nak cari permata, bukan kaca yang tikam kita balik bila pecah!"
"Sokong cakap awak tu, Aziah." Ati ketawa kecil walaupun mukanya merah padam kerana berasa diri disindir oleh Aziah. "Okeylah, Aziah. Saya tak nak kacau awak lagi. Nanti marah pulak ASP Zuki tengok awak sembang lama-lama dengan saya."
Ati memutuskan panggilan. Pandangan matanya menembusi dinding bata yang tegak di hadapannya. Jadi... memang betullah Sam sudah ada pengganti. Dah jumpa orang yang boleh dijadikan isteri, kata Aziah tadi. Siapa betina haram jadah yang telah berjaya menawan hati Sam?
"Siapa?" jerit Ati dengan sekuat hati. Vas kaca di atas meja diambil lalu dibalingnya ke dinding. Habis kacanya pecah dan berderai di atas lantai. Ati hanya memandang serpihan kaca yang bertaburan. Dadanya turun naik, menyemai dendam terhadap wanita yang bertakhta dalam hati Sam.

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now