6

4.7K 84 1
                                    

DUA orang lelaki cedera parah apabila serpihan badan kereta hitam yang meletup itu, melayang lalu mencederakan beberapa orang pengguna lebuh raya yang tidak sempat lari jauh. Sam, Bob dan Aziah menggunakan kemahiran yang ada pada mereka untuk menghentikan darah yang terus mengalir dari kecederaan yang dialami oleh dua orang lelaki itu. Oleh sebab Aziah turun dari kenderaan untuk memberikan bantuan, Sam memastikan Erin sentiasa berada di sisinya. Jika dia ke sana, ditariknya Erin ke sana. Jika dia ke sini, dibawanya Erin ke sini. Seperti budak kecil sahaja Erin diperlakukannya. Terpaksa. Janji Erin ada dekat dengannya. Sam bimbang jika dia tidak berbuat begitu, ada yang mengambil kesempatan menculik Erin bagi pihak Badrul. Dia tidak tahu berapa ramai kaki yang Badrul hantar. Yang berani menunjukkan diri hanya dua buah kereta. Yang bekerja di balik tabir entah berapa buah kereta lagi.
Erin tidak langsung membantu. Hanya tercegat berdiri sahaja, terlalu tergamam melihat api yang sedang marak membaham sisa-sisa kereta hitam itu bersama pemandu dan penumpangnya. Tubuhnya masih menggeletar selepas menyaksikan sendiri betapa dahsyatnya letupan yang telah mengorbankan dua nyawa itu. Di fikiran, Erin tidak henti-henti membayangkan perasaan kedua-dua orang rakan Badrul itu ketika orang ramai lintang pukang lari meninggalkan mereka sebentar tadi. Betapa takutnya mereka bila mengetahui mereka masih tersepit sedangkan kereta itu akan meletup. Dan mereka akan mati dengan cara yang sangat mengerikan!
Ya Allah... menyesalkah mereka dengan kejahatan yang telah mereka lakukan selama ini?
Ya Allah... sempat bertaubatkah mereka sebelum ajal menjemput mereka?
Ya Allah... apakah Badrul akan menanggung dosa atas kematian kedua-dua orang kawannya ini?
Terasa seperti hendak tumbang, Erin berpusing lalu melangkah menuju ke arah Toyota Hilux yang sudah Aziah parkirkan di tepi jalan.
Sam menoleh. "Erin!"
Namun, panggilannya tidak Erin pedulikan. Bimbangkan keselamatan Erin, terutamanya apabila dia melihat Erin melangkah longlai sambil memeluk diri sendiri, Sam lantas mengejar. Takut Erin jatuh. Dia tahu Erin terlalu terkejut. Tengok muka kosong Erin yang pucat lesi itu pun dia tahu. Bukan semua orang dianugerahkan daya tahan diri seperti yang ada pada mereka yang bergelar komando.
"Erin..."
"Sam!" Erin terpinga-pinga. "Saya rasa macam nak pitam."
Tanpa sepatah kata Sam mencakup tubuh Erin, lalu menggendong Erin ke SUVnya. Mudah sahaja Sam mendukung Erin. Reaksi pada mukanya biasa sahaja, tidak ada tanda-tanda bahawa dia sedang melangkah dengan membawa beban seberat 60kg. Erin hanya pandang muka Sam. Renungannya kosong tetapi dalam hatinya ada rasa sayu. Bukan sayu sedih tetapi sayu bahagia. Sayu kerana Sam begitu mengambil berat tentang dirinya. Begitu menyayanginya. Mencintainya.
Cinta?
Benarkah Sam mencintainya? Benarkah?
Dalam-dalam Erin tatap wajah tampan yang cukup tegas dan menunjukkan ciri-ciri seorang lelaki sejati itu. Semakin ditatap semakin Erin berasa seperti dia sudah biasa dengan Sam. Sudah sebati, seolah-olah Sam memang tercipta untuknya dan dia pula tercipta untuk Sam. Tidak semena-mena Erin merangkul leher Sam dan meletakkan kepalanya di atas bahu Sam. Erin pejamkan mata. Hatinya tenang sekali.
Hanya apabila Sam menggerakkan kepala hingga menyebabkan dagunya terkena pada ubun-ubun Erin, barulah Erin sedar akan kesilapannya. Segera dia tegakkan semula kepala dan melepaskan rangkulan. Malu, Erin tidak berani menatap wajah Sam seperti tadi tetapi dia dapat rasa bahawa Sam sedang merenungnya. Rasanya kalau dia tidak silap, Sam juga sedang tersenyum. Terasa malu, Erin tunduk.
Tiba di sisi SUVnya, Sam berdiri secara menyenget dan merendahkan bahagian kanan tubuhnya untuk memudahkan dia membuka pintu penumpang belakang SUV itu. Tidak terlintas langsung di kepala untuk menurunkan Erin ke tanah terlebih dahulu.
"Duduk sini. Kunci semua pintu. Kejap lagi saya datang balik," ujar Sam selepas meletakkan Erin di dalam SUV itu. Setelah memastikan Erin mengunci semua pintu Toyota Hilux itu, Sam berlari mendapatkan Aziah, meminta kunci kereta. Kemudian dia kembali ke SUVnya, menghidupkan enjin supaya pendingin hawa dapat dipasang. Dia ke belakang SUV itu, membuka pintu bahagian meletak barang untuk mengambil sebotol air mineral dari dalam kotak eski, iaitu kotak kedap udara yang sentiasa dipenuhkan dengan ais dan beberapa botol minuman.
"Minum ni." Sam membukakan penutup botol mineral itu lalu mengunjukkannya kepada Erin.
Erin menggeleng.
"Minum sikit." Paksa Sam.
Erin akur. Gementarnya berkurangan sedikit.
"Duduk sini kejap, ya. Saya nak tolong apa yang patut. Kunci semua pintu. Kalau ada orang tak kenal ketuk cermin tingkap, jangan buka. Tekan hon bagi tahu saya. Jangan risau kalau ada orang nak pecahkan cermin. Insya-Allah tak pecah," pesan Sam. Dia berlalu.
Erin hanya mengangguk. Tidak ada sepatah pun cakap Sam yang difahaminya. Fikirannya berselirat dengan rasa takut bila dia teringat semula bahaya yang sedang dihadapi. Bahaya yang diutuskan oleh suami sendiri. Erin memeluk tubuh badannya yang kembali menggeletar. Suhu badannya bertukar ganti. Sekejap panas sekejap sejuk. Rasa terkejut masih bersisa. Pertama kali dalam hidup dia melihat sendiri orang mati terbunuh akibat letupan. Mau tak terkejut? Ketakutan yang dirasainya ketika itu tidak dapat digambarkan. Takut untuk Badrul. Takut memikirkan hukuman dunia dan akhirat yang bakal menimpa Badrul. Setiap kejahatan pasti akan dihukum dengan kejahatan juga. Apa akan jadi pada Badrul nanti?
Erin menangis teresak-esak, tidak sanggup memikirkan seksaan yang bakal menimpa suaminya itu.
Pihak polis, bomba dan ambulan sampai. Dua jam kemudian, barulah mereka boleh bergerak semula namun mereka berempat diarahkan supaya singgah dahulu di balai polis berhampiran untuk membuat laporan rasmi. Tuduhan yang tersebar mengatakan SUV Toyota Hilux itulah punca yang telah menyebabkan kemalangan jiwa itu berlaku. Sam dan Aziah mengemukakan rakaman yang mereka buat menggunakan telefon bimbit masing-masing sebagai bukti yang menunjukkan bahawa mereka tidak bersalah. Rakaman yang dibuat oleh kamera yang Sam pasang pada bahagian depan serta belakang Toyota Hilux itu turut dilampirkan. Pegawai polis yang mengambil laporan mereka turut menasihati Erin agar membuat laporan polis terhadap Badrul, namun Erin enggan. Dia tidak mahu menambahkan lagi kesusahan yang bakal Badrul hadapi. Cukuplah dengan laporan polis yang telah dibuat oleh Sam, Bob dan Aziah tadi. Tanpa laporannya pun, pihak polis akan tetap mencari Badrul.
Sepanjang perjalanan menuju ke Pulau Pinang, Sam duduk berpeluk tubuh menahan rasa cemburu. Hatinya kini sangsi bila memikirkan tentang masa depannya bersama Erin. Keengganan Erin membuat laporan polis terhadap Badrul meresahkan hatinya. Wajah monyok Erin membimbangkannya. Kesan air mata kering pada pipi Erin membangkitkan badai cemburu dalam jiwanya. Sam tahu Erin risaukan Badrul kerana Badrul akan ditangkap. Akan dihukum. Lumrahlah! Siapa buat jahat pasti akan dihukum. Ada yang dapat di dunia lagi. Di akhirat, memang sudah Allah janji. Yang Sam tidak faham tu, mengapa mesti Erin risaukan Badrul sedangkan lelaki itu tidak akan berfikir dua kali untuk mendera atau mencabut nyawa Erin?
Mengapa?
Sayang sangatkah Erin pada Badrul? Terlalu cinta? Takkanlah selepas apa yang Badrul lakukan padanya, Erin masih cinta? Masih sayang?
Entahlah... Sam benar-benar tidak faham!
Satu soalan timbul di benak fikirannya; bagaimana selepas mereka diijabkabulkan nanti? Adakah Erin akan terus mengingati Badrul?
Ah, jauhnya dia berfikir tetapi itulah hakikatnya. Dia bukan main-main mahukan Erin. Sudah lama dia nekad untuk memperisterikan Erin. Yang menghalang niatnya ialah status Erin sebagai isteri Badrul. Sebab itulah dia tidak beria-ia memikat Erin. Terpaksa menghormati ikatan yang menyatukan Erin dengan Badrul. Erin tidak tahu, sudah beberapa kali dia cuba menjauhkan diri. Sudah banyak kali dia cuba unfriend Erin di Facebook kerana merasakan dia hanya membazir masa sahaja mendambakan cinta Erin. Namun, dia kecundang. Tidak sampai hatinya hendak unfriend Erin. Takut jiwanya sendiri yang terseksa. Takut dia sendiri yang akan menangis lagi. Ya, Sam Elit Hitam, VAT69 Komando yang terkenal sebagai pakar mematikan bom, menangis di atas sejadah kerana terlalu merindui Erin! Bukan sekali tetapi sudah banyak kali. Selama ini dia tidak pernah menangis untuk sesiapa. Tidak pernah! Namun, penangan cinta Erin terlalu mencengkam rasa. Pernah dia paksa diri berkenalan dengan beberapa orang gadis demi melupakan Erin. Ada yang direkomenkan oleh kawan-kawan dan ada yang dia usahakan sendiri. Namun, mereka tidak memenuhi piawaian yang dimahukannya. Hatinya akan berbalik pada Erin. Jiwanya sudah terpaut pada Erin. Hanya mahukan Erin.
Erin. Erin. Erin. Erin!
Kini, Erin sudah hampir berada dalam genggaman. Tidak pernah dia sangka pujaan hatinya itu menderita didera suami sendiri. Selama ini dia menyangka Erin kesunyian ditinggalkan suami yang sibuk bekerja. Jika dia tahu hal yang sebenarnya, sudah lama dia selamatkan Erin. Sudah lama mereka bersama.
Masalahnya, Erin sendiri. Mampukah Erin melupakan Badrul?
Sam tidak boleh terima kalau dalam hati Erin masih ada Badrul!
"Erin... kita dah nak sampai Jambatan Pulau Pinang. Kat belah mana rumah mak bapak awak?"
Soalan Bob mematikan jejak fikiran Sam.
"Erin?" panggil Bob lagi.
Sam menoleh ke belakang bila Erin tidak menyahut.
"Dia tidur," maklum Aziah yang turut terlena dan hanya terjaga selepas terdengar suara suaminya memanggil Erin. Aziah menepuk-nepuk lengan Erin. "Erin! Erin! Kita dah nak sampai Penang. Erin!"
Erin masih tidak menyahut. Bergerak pun tidak. Aziah melintangkan jari telunjuknya pada lubang hidung Erin untuk memeriksa nafas wanita muda itu. Hampir terputus nyawa Sam bila melihat perbuatan Aziah itu.
"Erin!" Kejut Aziah lagi. "Panas sangat badan dia ni."
"Terus ke hospital, Bob."
"Errmmm... tak nak. Saya nak balik rumah mak saya." Erin bersuara lemah bila dia terdengar suara Sam.
"Kat mana rumahnya, Erin?" soal Bob. Pantas. Bukannya dia tidak kasihan. Dia kasihan pada Erin tetapi seboleh-bolehnya dia mahu balik ke Ulu Kinta malam itu juga. Esok memang dia tidak bekerja tetapi semasa cutilah dia hendak menghabiskan masa bersama anak-anaknya. Pencerobohan Lahad Datu telah banyak mengajarnya erti menghargai orang yang menyayanginya.
"Balik Pulau." Erin menyebut alamat rumah emaknya dengan suara yang lemah. Dia terlena semula selepas itu.
"Aziah, ambik jaket aku kat belakang tu. Selimutkan dia," pinta Sam.
Bob menoleh sekilas, kurang senang dengan cara Sam meminta isterinya buat itu dan ini untuk Erin. Memang mereka berkawan baik tetapi berpada-padalah. Jangan sampai dia bersuara. Masalah Erin buat dia hampir fed-up dengan kerenah Sam. Yang Sam sibuk-sibuk sangat fasal Erin tu kenapa? Bukannya isteri dia. Pertalian saudara pun tidak ada. Dan mengikut kata Sam sendiri, itulah kali pertama dia berjumpa dengan Erin. Itu yang Bob tidak faham bagaimana Sam boleh jadi terlalu fanatik dengan Erin. Terlalu obses.
Tidak seperti suaminya, Aziah benar-benar risaukan keadaan Erin. Dia berpusing dan mengambil jaket yang Sam maksudkan. Diselimutkannya tubuh Erin. Diletakkannya kekura tangannya pada dahi Erin. Badan Erin panas tetapi tubuhnya menggeletar. Aziah bimbang Erin akan terkena sawan tarik.
"Bawak dia pergi hospital dululah, bang. Panas sangat badan dia ni."
Dengan berat hati Bob mengangguk.
Di Hospital Pulau Pinang, Erin yang mamai berkeras hendak pulang ke rumah ibu bapanya selepas menerima rawatan. Sam hanya menurut. Dikendongnya Erin masuk ke dalam SUVnya semula.
"Dibuat macam bini dia je. Kita tanggung dosa bersubahat, bang," bisik Aziah kepada suaminya semasa mereka berdua melangkah seiringan ke kereta tidak jauh di belakang Sam dan Erin. Kurang senang betul dia dengan tingkah laku Sam.
"Allah tahu kita tak bersalah. Niat kita nak tolong orang aje," balas Bob.
Aziah mengangguk. Hatinya memohon ampun daripada Allah.
Mereka masuk ke dalam kereta. Sam sudah menunggu di sana. Diam, tidak berkata apa-apa. Erin telah dibaringkan di atas tempat duduk belakang. Aziah pasrah bila terpaksa duduk di birai bangku itu sahaja. Mudah-mudahan cepatlah sampai ke rumah ibu bapa Erin. Hendak bersandar dan berlunjur kaki buat seketika. Badannya sudah terlalu penat. Dari awal pagi tadi mereka bertolak ke Ulu Kinta, hingga kini masih belum berpeluang untuk betul-betul berehat. Makan pun makan pagi tadi sahaja; di kedai mamak dan di hospital pakar di Shah Alam. Yang lain-lain belum lagi.
Hampir tengah malam barulah mereka sampai ke rumah ibu bapa Erin. Jenuh mencari. Terpaksa bertanya di balai polis baru jumpa. Tanya pada Erin memang sia-sialah. Selepas diberi makan ubat di hospital tadi, Erin terus tidur tidak sedarkan diri.
Bob memberi salam. Di sebelahnya berdiri Aziah, di belakang mereka pula Sam, memeluk Erin dengan erat dalam kendongannya. Terbuka sahaja pintu rumah itu, bapa Erin kecoh menyoal bila melihat anaknya terkulai dalam dukungan Sam.
"Awat Erin? Hangpa ni sapa? Badrul mana?" Bapa Erin pandang Sam lebih lama daripada yang lain-lain. Sesekali dia tertinjau-tinjau ke luar, mencari Badrul.
"Awat jadi lagu ni, Erin? Awat ni? Patut la ati mak tak sedap hari ni. Mak tau mesti ada benda tak elok jadi kat hang. Tapi pak hang tak bagi mak tepon. Takut ganggu hangpa. Kalau mak tepon tadi tak jadi lagu ni kut." Emak Erin tidak berhenti-henti membaca al-Fatihah dan ayat Kursi lalu dihembus-hembusnya ke muka Erin yang sedang dibawa oleh Sam masuk ke dalam rumah.
"Letak dia kat dalam bilik nun." Sambil merintih, sempat lagi emak Erin memberi arahan kepada Sam. Dia meluru ke arah sebuah bilik tidur di tingkat bawah untuk membukakan pintu dan memetik suis lampu. Bilik yang gelap menjadi terang-benderang.
Sam membaringkan Erin di atas katil bujang itu dengan lembut sebelum melangkah keluar dari bilik itu, membiarkan Erin dikisahkan oleh emaknya. Sam mendapatkan Bob dan Aziah yang duduk di ruang tamu. Bapa Erin yang sejak dari tadi berdiri di muka pintu bilik itu, mengekorinya. Dari cara bapa Erin memandangnya, Sam tahu orang tua itu mengesyaki ada hubungan yang intim antaranya dengan Erin. Sam buat tidak tahu sahaja. Buat bodoh. Dia tidak mahu memburukkan suasana. Biar Erin selesaikan masalahnya dengan Badrul dahulu, selepas itu barulah dia muncul semula.
"Hangpa ni siapa?"
"Kami ni kawan-kawan Erin, pak cik." Aziah memperkenalkan mereka satu per satu. Dia tidak mahu bapa Erin semakin berprasangka terhadap Sam jika lelaki itu menjawab soalan yang diajukan. Bukannya dia tidak nampak renungan yang bapa Erin berikan pada Sam tadi. Dia nampak. Dia tahu bapa Erin sudah curiga terhadap Sam.
"Badrul mana?"
"Dia di hospital."
"Laaa... dia buatpa kat sana?"
"Dia cedera, pak cik." Sam pantas menjawab, memotong Aziah yang baru hendak membuka mulut. Dia anak jantan. Tidak perlu menyorok di balik orang lain atau mengharapkan bantuan orang lain untuk menyelesaikan masalahnya. Aziah dan Bob sudah banyak membantunya hari itu. Dia tidak mahu mereka dipertanggungjawabkan atas apa yang berlaku pada Erin.
"Saya terpaksa cederakan dia lepas dia cuba mencederakan Erin," sambung Sam.
"Hang buatpa kat menantu pak cik tu?" Bapa Erin merenung Sam. Kecil besar kecil besar sahaja Sam di matanya. Dia rasa marah sangat pada Sam walaupun dia tidak tahu puncanya. Hatinya percaya, Sam ada 'saham' dalam masalah yang menimpa anaknya.
"Badrul dera Erin. Kami bawa Erin ke hospital. Dia datang ke hospital dan cuba cederakan Erin sekali lagi. Jadi, kami... saya... terpaksa lakukan sesuatu untuk hentikan serangan dia," ujar Sam. Sakit hatinya bila mendengar soalan bapa Erin itu. Tahukah orang tua itu bahawa menantunya mahu membunuh anaknya?
"Mana hang tau Badrul dera Erin? Sapa habag kat hang? Erin ka? Erin ngadu masalah rumah tangga dia kat hang ka? Pasaipa dia ngadu kat hang? Hang sapa dengan dia?"
"Paknya... mai sini sat." Emak Erin melambai-lambai suaminya dari pintu bilik tidur itu. Dia dengar perbualan suaminya dengan kawan-kawan Erin. Geram dia dengan suaminya kerana terlalu mengagungkan Badrul sampai sanggup menyalahkan orang yang membantu anak mereka.
"Awatnya aih?"
"Mai la sat..."
Bapa Erin meminta diri lalu mendapatkan isterinya. Berkerut mukanya menahan rasa tidak puas hati. Hendak dimarah isterinya itu, ada tetamu yang datang bertandang.
"Awat, maknya? Tak nampak ka saya tengah bercakap kat luaq tadi?"
"Ni... mai paknya tengok muka Erin." Emak Erin menarik tangan suaminya menuju ke katil di mana Erin terbaring.
"Awat?"
"Tengok la dulu, paknya pun..."
Bapa Erin menatap wajah Erin yang bengkak dan bibir Erin yang berjahit. Badrul punya kerjakah ini? Takkan kut... isy. Hatinya berat hendak menerima kenyataan itu.
"Ni... menantu kesayangan paknya la yang punya kerja ni. Nampak dak lagu mana dia buat kat anak kita? Paknya nampak dak?" bisik emak Erin, lembut.
"Kita tak tau betoi ka idak Badrul yang buat Erin. Tak boleh dengaq cakap orang. Kita kenai ka sapa depa tu? Tak kenai, kan? Tapi Badrul kita kenai. Kita nak percaya kat sapa?"
"Paknya... kalau bukan Badrul, sapa lagi yang berani buat Erin jadi lagu ni? Takkan depa nun? Depa kalu, pasaipa depa bawak Erin mai balik sini?"
Bapa Erin terdiam. Masih enggan menerima kenyataan.
"Kalau betoi pun, mesti ada sebabnya. Erin buatpa bagi dia marah, kita tak tau. Tu... budak jantan yang kendong Erin bawak masuk dalam rumah tadi tu, sapa? Pasaipa pulak dia yang kendong Erin?"
"Toksah nak menangkan Badrul tu sangat, paknya aih!" Emak Erin melangkah ke pintu. Cemberut mukanya menahan sabar dengan kerenah suaminya itu.
"Hang nak pi mana pulak tu?"
"Nak buat ayaq untuk tetamu la..."
"Tak payah susah-susah, mak cik. Kami nak mintak diri ni," ujar Aziah. Dia bangun, diikuti oleh suaminya. Sam paling lambat sekali bangun.
"Laaa... tidoq sini aje la. Dah malam sangat ni. Esok pagi baru balik Shah Alam," tegah emak Erin. Dia mengagak mereka pun dari Shah Alam juga. "Betoi dak, paknya?"
Bapa Erin tidak bersetuju tetapi tidak berkata apa-apa. Cuma tersenyum kelat sahaja.
"Tak apalah, mak cik, pak cik. Kami tinggal kat Ipoh je. Bukannya jauh sangat." Aziah menghampiri emak Erin dengan tangan terhulur.
"Erin ada kat Ipoh ka tadi?" Bapa Erin semakin curiga sampai sanggup mencari kesalahan anak sendiri untuk menghalalkan perbuatan menantunya.
"Tak, pak cik. Kami ke Shah Alam ambik dia." Aziah tersenyum dan bersalaman dengan emak Erin.
"Allah... baiknya hati hangpa. Tak tau lagu mana nak balaih jasa hangpa ni." Emak Erin memeluk Aziah. Terasa terhutang budi sangat dia pada mereka kerana menyelamatkan anaknya.
"Biasa je, mak cik. Dah kerja kami. Kebetulan kawan sendiri tengah susah. Kami tolonglah."
"Awatnya? Hangpa kerja polis ka?"
"Saya polis biasa je. Suami saya dengan Sam, VAT69 Komando," jelas Aziah.
"Hat yang berperang kat Lahad Datu kelmarin tu ka?" Emak Erin agak terjerit sedikit semasa bertanya. Matanya semakin membulat bila melihat Aziah mengangguk.
"Laa... awat tak habag awai-awai. Mak cik takdak pa nak bagi kat hangpa." Mata emak Erin melata ke serata rumahnya, mencari souvenir untuk diberikan kepada perwira-perwira negara itu. Dia rasa hendak bagi mereka sesuatu. Hendak balas jasa. "Tidoq sini la malam ni. Esok baru balik. Kebetulan pak cik hangpa nak pi ambik durian Musang King kat peraih esok. Boleh hangpa bawak balik sikit."
"Lain kali ya, mak cik. Anak-anak tu tinggal lama sangat dah kat rumah pengasuh," tolak Aziah.
"Ooo... ada anak dah. Erin tak dak lagi." Sekali lagi emak Erin memeluk Aziah. "Lain kali mai lagi, na..."
"Insya-Allah, mak cik."
Dengan seberat-berat hati Sam mengikut Aziah dan Bob keluar dari rumah itu. Kenapalah Aziah enggan menerima pelawaan emak Erin tadi? Apa salahnya mereka tidur di situ. Beberapa jam lagi sudah subuh. Boleh bergerak pagi-pagi esok. Kalau balik sekarang pun bukannya boleh ambil anak di rumah pengasuh. Namun, apakan daya. Sam sendiri telah berjanji untuk tidak merumitkan keadaan bagi Erin. Biar Erin sihat dahulu. Biar Erin selesaikan masalah rumah tangganya dahulu, selepas itu barulah dia datang untuk mengambil Erin menjadi isterinya.
"Pak cik..." Sam berpusing bila dia tiba-tiba sahaja teringatkan sesuatu. "Boleh saya minta nombor telefon rumah pak cik?"
"Telefon rumah tak dak. La ni sapa yang pakai telefon rumah lagi? Ada ka? Takdak dah aih... semua pakat pakai handphone ja la ni." Lancar sahaja bapa Erin menjawab, seolah-olah dia sudah tahu awal-awal isi soalan yang Sam ajukan.
"Paknya... nak berlawak pun biaq la kena pada tempat!" Emak Erin menjeling suaminya. "Apa nama anak ni tadi?"
"Sam, mak cik."
"Sam?"
"Sam Iszudin, mak cik."
"Uiii... sedap nama hang. Mujoq tak boleh buat makan. Hang tulih nomboq telefon rumah ni." Emak Erin memberikan nombor telefon rumahnya. "Nomboq hang Erin ada?"
"Tak ada, mak cik. Esok saya telefon tanya khabar, saya bagi dia nombor telefon saya masa tu. Minta diri dulu, mak cik, pak cik. Assalamualaikum." Sam melangkah ke SUVnya dengan berat hati. Kali ini dia yang memandu Toyota Hilux itu.
Mereka singgah makan di sebuah kedai mamak untuk mengisi perut. Tidak ada sesiapa pun yang bercakap semasa makan. Masing-masing buat hal sendiri.
Usai makan, mereka terus bertolak balik ke Ulu Kinta. Bob dan Aziah tidur di sepanjang perjalanan. Tinggallah Sam seorang diri, melayan perasaan ditemani lagu-lagu yang berkumandang perlahan dari radio SUVnya. Hanya Erin sahaja yang difikirkannya; Erin dan masa depan mereka berdua. Tiba-tiba sahaja dia menjadi semakin bersemangat untuk menyatukan cinta mereka. Dia yakin mereka akan bersatu secara sah tidak lama lagi.
Terlalu yakin!

BADRUL tersedar dari tidur dikejutkan oleh denyutan yang sangat menyakitkan pada hidungnya. Dia mengerang dan cuba menyentuh hidungnya dengan tangan tetapi gagal. Badrul buka mata, terkebil-kebil memandang suasana kelam di dalam bilik yang asing itu. Sejurus, dia teringat di mana dia berada. Dan dia teringat pada tangan kiri yang dikekang pergerakannya. Badrul angkat tangan kirinya sekali lagi. Pergerakannya tetap terbatas. Bunyi metal bersagat kedengaran. Dia tiruskan pandangan ke arah tangannya itu dan terus tersentak bila menyedari tangan kirinya telah digari pada besi pengadang katil itu. Begitu juga dengan tangan kanannya.
"Nurse! Nurse!" jeritnya dengan sekuat hati.
Cahaya terang buru-buru masuk ke dalam bilik wad itu apabila pintunya dibuka dari luar. Seorang lelaki berdiri di muka pintu dengan tangan mendepa, menghalang daun pintu itu dari tertutup kembali. Dia memandang ke dalam sebelum menoleh ke arah lain. Badrul amati lelaki yang hanya tercegat di muka pintu itu buat seketika. Dia sedar lelaki itu ialah seorang anggota polis yang telah ditugaskan untuk mengawalnya.
"Kenapa kau gari aku, hah?" herdiknya. "Kau patut tangkap Sam Elit Hitam, Komando VAT69 tu. Dia culik bini aku. Yang kau gari aku kenapa? Dasar! Eh, gaji kau tu aku yang bayar, kau tahu tak? Berapa kau nak untuk lepaskan aku? Hah? Berapa kau nak? Aku boleh bagi gaji setahun kalau kau nak. Berapa kau nak?" jerit Badrul lagi.
Anggota polis itu menoleh ke arah Badrul, hanya merenung tanpa bersuara. Dia telah diarahkan untuk tidak bercakap dengan Badrul atau melayan provokasi Badrul.
"Eh, jangan salah guna kuasalah... tak takut ke makan duit haram buat kerja haram jadah ni? Tak takut dosa ke?" Badrul berang bila umpannya tidak dihiraukan. Begitu bersahaja dia mengingatkan orang lain tentang dosa dan pahala, sedangkan dirinya sendiri terpalit dengan dosa.
Sesaat kemudian anggota polis itu mengalihkan badan dan berdiri membelakangkan Badrul, namun tangannya terus mendepa menahan daun pintu supaya tidak terkatup. Tidak lama kemudian muncul seorang jururawat, memegang sebatang jarum suntikan.
Serta-merta Badrul menjerit.

Takkan Ku Lepaskan DiaWhere stories live. Discover now