Tujuh tahun yang lalu...
ZIYAD termenung di jendela berkaca di rumah ibu bapanya. Lengan kirinya direntangkan di atas perut. Tangan kanan mengusap dagunya yang licin baru dicukur. Saat itu, Amelia yang menjadi tajuk setiap soalan yang berlegar-legar dalam mindanya. Bagaimana dengan Amel? Apakah Amel akan faham? Sudikah Amel menunggu? Amel, Amel, Amel...
Resah, Ziyad menghela nafas yang sangat berat. Surat yang diterimanya dua hari lalu dibacanya sekali lagi untuk memastikan dia tidak tersalah baca, malah dia sampai ke tahap berharap agar ayat-ayat dalam surat itu sudah berubah dan tidak lagi sama seperti sebelumnya. Namun, manusia seperti dia hanya mampu berharap. Takdir yang tertulis buatnya sudah tetap. Menitik air matanya sewaktu membaca isi kandungan surat yang terlalu keras bunyinya itu. Terlalu sukar untuk Ziyad bersetuju dengan kehendak-kehendak yang wajib dipatuhinya tetapi apa lagi pilihan yang dia ada? Hakikatnya surat itu yang ditunggu-tunggunya selama ini tetapi dia tidak menyangka syarat yang dikenakan kepadanya begitu kejam sekali. Ziyad benar-benar berada di persimpangan.
Malam itu sekali lagi dia mengerjakan solat istikharah. Hanya itu sahajalah cara yang dapat difikirkan oleh akalnya yang buntu. Tidak sanggup dia melepaskan Amelia tetapi segala-gala yang ingin dilakukannya adalah untuk Amelia juga. Cuma, dia tidak menyangka dia akan dipaksa memilih antara dua; Amelia atau segala-gala yang ingin dilakukannya untuk Amelia.
Ilham yang diperoleh daripada mimpinya menyendatkan dada. Jawapan yang diterima tidak memihak kepada kehendak hatinya. Dia terpaksa meninggalkan Amelia. Itulah petunjuk yang diberikan kepadanya. Ya Allah, betapa seksa perasaannya semasa itu sehingga terlintas di fikiran, alangkah bagus jika matanya tidak celik pagi itu. Segera dia beristighfar setelah menyedari keceloparan fikirannya.
Ziyad pejamkan mata seraya menyeru nama Amelia agar kekasihnya itu hadir ke kanvas mindanya. Amelia muncul bersama senyuman yang sentiasa menggetarkan jiwa Ziyad. Amelia hulurkan tangannya dan jari-jemari mereka bertaut. Dipandangnya wajah Ziyad dalam-dalam dan kala itu senyuman Amelia pudar. Genggaman jarinya juga kini longgar. Amelia sudah dapat meneka Ziyad bakal meninggalkannya. Ziyad paut semula tangan Amelia seerat-eratnya. Dia luahkan cintanya yang tidak berbelah bahagi terhadap Amelia sebelum memaklumkan tentang keputusan yang telah diambilnya lantaran dengan cara itu sahaja dia dapat memberitahu Amelia tentang impiannya yang kini menjadi penghalang kepada cinta mereka. Saat dia berkata-kata Amelia tunduk menangis. Hati Ziyad tersayat. Ingin dipeluknya Amelia tetapi gadis itu menggeleng dan terus berlalu pergi. Amel... maafkan abang, sayang. Maafkan abang, katanya seraya memerhati Amelia yang semakin lama semakin hilang dari pandangan. Maafkan abang, Amel!
Terlalu sedih, Ziyad duduk di birai katil dan menekup muka dengan dua tangannya. Air mata terus mengalir meskipun sudah berkali-kali dia mengesatnya. Bukan abang sengaja tinggalkan Amel. Percayalah, Amel. Bukan abang sengaja tinggalkan Amel, ratap hati Ziyad sambil berdoa semoga suatu hari nanti Amelia akan menerimanya semula."KENAPA abang tak kirim SMS?" soal Amelia, kesal. Seandainya dia tahu itulah sebabnya mengapa Ziyad terpaksa meninggalkannya dahulu, dia tidak akan membuka hatinya untuk orang lain. Dia sanggup menunggu sehingga Ziyad pulang ke pangkuannya. Dia sanggup kerana dia terlalu mencintai Ziyad. Seluruh hatinya hanya untuk Ziyad. Tidakkah Ziyad tahu? Tidakkah Ziyad faham?
"Tak boleh," jawab Ziyad.
"Kerja apa sampai macam tu sekali peraturannya?"
"Lebih baik Amel tak tahu."
"Ada ke kerja yang teruk macam tu? SMS pun tak boleh!" Amelia mengomel, tidak puas hati.
"Tak boleh!" tegas Ziyad sebelum menyambung cerita. Dia hanya boleh menghubungi ibu bapanya sahaja. Itu pun dengan menggunakan telefon yang disediakan oleh agensi. Selepas enam bulan berkursus di Malaysia, dia dihantar bertugas di luar negara. Kemudian, dia terpilih untuk menjalani pelbagai kursus bagi meningkatkan lagi kepakarannya sehingga akhirnya, dia memperoleh pengiktirafan yang meletakkan dirinya dalam jawatan yang selesa kini.
"Lepas tu abang pulang ke tanah air. Abang terus cari Amel kat kampung. Tapi masa tu Amel tengah bersanding." Ziyad meredupkan kelopak matanya. Di kanvas mindanya, muncul semula bayangan Amelia yang sedang tersenyum di atas mahligai raja sehari. Amelia memakai mahkota. Senyuman Amelia manis sekali. Dia kelihatan bahagia.
Amelia menggelengkan kepalanya. Tidak! Dia tidak dapat menerima kenyataan itu. Dia tidak faham bagaimana Ziyad yang begitu mencintainya, sanggup mendahulukan tugas daripada dirinya. Tidak! Amelia tidak percaya. Dia yakin ada sesuatu atau seseorang yang telah memaksa Ziyad meninggalkannya dahulu.
"Amel tak percaya!" Amelia terus menggeleng. "Kalau abang jatuh cinta pada orang lain, cakap ajelah. Tak perlu abang menipu macam ni. Hakikat tu pahit. Tapi Amel lebih rela telan kepahitan daripada ditipu hidup-hidup."
Ziyad tersenyum kelat. Memang sudah dia agak reaksi Amelia itu. Malah, sehingga kini dia sendiri pun masih gagal memahami keputusan yang diambilnya dahulu. Mana hikmahnya? Tidak ada. Yang ada hanya kedukaan hati dua orang insan yang sangat mencintai satu sama lain. Jika benar mereka bukan jodoh yang telah ditetapkan sejak azali, mengapa mereka dipertemukan dahulu? Mengapa hati mereka diikat dengan begitu ketat jika akhirnya mereka akan dipisahkan juga? Mengapa?
"Itulah yang sebenar-benarnya, Amel."
"Abang takkan tinggalkan Amel semata-mata kerana kerja!" tingkah Amelia.
"Kita tak ada jodoh, sayang..."
Serta-merta kepalanya Amelia tunduk. Dia kelihatan seperti sedang bertafakur tetapi air mata yang tidak berhenti-henti mengalir, menjadi bukti betapa hebatnya tangisan hatinya kala itu. Ziyad hanya mampu memandang, meskipun hatinya meronta-ronta mahu memeluk Amelia. Ingin memujuk Amelia. Tetapi Amelia isteri orang. Ziyad hanya berani pandang.
Lama Amelia berkeadaan begitu, menangisi kekasih yang terlepas daripada genggaman, sedangkan cintanya terhadap Ziyad masih menebal. Jiwanya terbakar. Marahnya dihalakan kepada hatinya sendiri. Mengapa, hati? Mengapa kau paksa aku terima Khai dahulu sedangkan semasa itu aku masih yakin Ziyad akan pulang ke pangkuanku? Setahun sahaja lagi aku terpaksa menunggu dia tetapi kau terus mendesak aku bercinta dengan orang lain. Tengok apa jadi! Ziyad kembali mencariku tetapi di mana aku ketika itu? Di mana? Aku tengah bersanding dengan Khai! Aku tengah merantai diriku pada lelaki yang aku tak cinta!
Kalau aku tidak endahkan desakan kau dahulu, hati, pastinya aku dan Ziyad sekarang sudah menjadi suami isteri. Pastinya hidupku bahagia. Bukan seperti sekarang, aku disisih oleh suamiku sendiri yang sedang digoda oleh rakan yang aku bantu. Apakah adil derita ini dihadiahkan kepadaku, sedangkan selama ini aku sentiasa menjaga diri dan nama baikku. Nama baik ibu bapaku. Aku sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Jadi, mengapa aku pula yang dihukum? Mengapa?
"Amel... sudahlah tu. Kita kena terima hakikat ni," pujuk Ziyad. Hatinya sudah tidak mampu membendung kesedihan melihat wanita yang dipujanya menangis menderita. "Ini semua kehendak Allah, Amel. Kita kena terima."
Selepas beberapa ketika, barulah Amelia mengangguk. Air matanya dikeringkan sebelum dia mengangkat muka.
"Lepas ni abang nak menghilang balik ke?" Amelia paksa dirinya merenung Ziyad yang berwajah kusut. Kesedihan Ziyad berselirat pada paras rupanya. Amelia sedar, Ziyad juga sedang menangisi nasib percintaan mereka. Abang, betapa ujian ini terlalu hebat buat kita. Mengapa kau bukan jodohku sedangkan kaulah yang terbaik buatku. Apakah kekuranganmu, abang sehingga kau tersisih dari menjadi calon suamiku? Atau mungkinkah aku yang tidak layak mendampingi lelaki hebat sepertimu?
"Tak," jawab Ziyad. Kepalanya digelengkan. "Abang tak perlu ke mana-mana lagi."
Amelia merenung Ziyad. Tiba-tiba sahaja akalnya buntu untuk bertanya padahal kepalanya sarat dengan soalan yang mahu dilontarkan kepada Ziyad, cuma dia tidak tahu bagaimana hendak menyuarakannya sahaja. Hakikatnya, jawapan yang Ziyad berikan amat menggembirakan hatinya. Ziyad akan berada di situ. Di Kuala Lumpur. Di mana Amelia berada.
"Amel tak boleh anggap abang macam dulu lagi dah. Amel dah ada suami..."
"Anggap abang macam abang Amel sendiri," potong Ziyad. Dia takut hendak mendengar ayat Amelia yang seterusnya. Bimbang Amelia akan berkata, mereka tidak boleh bertemu lagi selepas ini. Tolonglah jangan berkata begitu. Ziyad berjanji tidak akan mengganggu rumah tangga Amelia, asalkan dia dibenarkan wujud dalam hidup Amelia.
"Baiklah," setuju Amelia. Kebetulan, dia tidak mempunyai abang. "Mungkin sebab ni kita rapat dulu."
"Mungkin." Ziyad tersenyum kelat. Hatinya tersiat.
"Abang... kenapa abang belum kahwin lagi?" soal Amelia. Apakah kerana aku, abang, kau masih membujang?
"Belum sampai seru." Hakikatnya, Amel... kau masih bertakhta dalam hatiku ini. Bagaimana mungkin aku meletakkan insan lain bersamamu di situ? Tidak adil bagi dia lantaran hatiku hanya akan menyeru namamu sahaja. Biarlah sehingga hatiku bersedia menerima hakikat ini dengan sepenuh-penuhnya, sehingga kau bersedia mengembalikan hatiku yang telah kau curi, barulah aku akan mencari cinta baru.
"Jangan membujang sebab kita tak jadi kahwin."
Ziyad ketawa untuk menutup resah. Amelia dapat membaca isi hatinyakah?
"Tak adil bagi abang. Kalau abang nak, Amel boleh perkenalkan abang pada kawan-kawan Amel."
"Tak payah! Biar abang cari sendiri."
"Tapi abang memang cari ke? Atau abang tunggu jodoh tu datang? Jodoh kena cari, bang. Mana ada yang datang bergolek ke kaki kita."
"Kenapa Amel desak abang kahwin cepat-cepat ni?" Ziyad menduga. Kau takut kesetiaan terhadap suamimu akan goyahkah, sayang? Kau bimbang tidak akan mampu mengawal perasaanmu jika aku masih bujang?
"Tak adalah..." Amelia larikan matanya. Hakikat bahawa Ziyad masih bujang, amat tidak menyenangkannya. Dia berasa terancam. Bukan Ziyad yang mengancamnya tetapi perasaannya sendiri yang pasti tidak akan tenteram dek teringat-ingatkan Ziyad. Sekiranya kau sudah beristeri, abang, sekurang-kurangnya jiwaku tidak akan terlalu melankolik memikirkan tentang kau. Tidak tergamak aku melukakan hati seorang wanita lain.
"Kalau macam tu, boleh tak kita sembang fasal benda lain?"
"Okey." Lega terpalit pada wajah Amelia. "Abang Ziyad nak cakap fasal apa?"
Maka, aku kembali menjadi Abang Ziyad dia, bisik hati Ziyad. "Boleh abang ambil nombor telefon Amel?"
"Tentulah boleh. Abang Ziyad ada Facebook tak? Biar Amel add abang."
"Sebenarnya abang dah add Amel dulu tapi Amel reject."
"Ya ke?"
"Yalah! Ingat abang tipu ke?"
"Takkanlah kut... ini mesti pakai gambar DP yang pelik-pelik. Macam manalah kita tak reject," kata Amelia, merujuk kepada default picture yang diletakkan di Facebook.
"Abang tak bubuh gambar."
"Padanlah..." Meleret suara yang keluar dari celah dua ulas bibir Amelia. "Apa nama yang Abang Ziyad pakai?"
"Abang Misai."
"Patutlah kena reject. Gatal aje bunyinya."
Mereka berdua ketawa. Sejurus, kedua-duanya tenggelam dalam keasyikan berbalas-balas komen di Facebook. Kesedihan yang dirasai sebentar tadi terpadam. Rindu yang tersimpan rapi dalam hati masing-masing selama ini, terubat kini. Amelia menerima dengan rela status baru mereka, sementara Ziyad dalam diam memujuk hatinya yang menangis duka.
YOU ARE READING
Peluklah Aku Sayang
RomanceTanpa disangka Amelia bertemu semula dengan Ziyad selepas tujuh tahun dia ditinggalkan tanpa berita.