12

2K 13 1
                                    

ZIYAD benar-benar tidak menyangka untung nasibnya petang itu dapat berjumpa dengan Amelia. Semasa sedang mengisi minyak superbike Aprilia RSV4 yang ditunggangnya, sebuah Honda Civic menyusur memasuki kotak parkir mengisi minyak di belakangnya. Dia menoleh sekilas, kemudian kembali fokus pada meter di pam minyak. Semasa pemandu kereta Honda Civic itu keluar dari kereta pun dia tidak menoleh, sehinggalah wanita itu melintas di hadapannya. Tersentak dia seketika apabila menyedari Amelia yang lalu di hadapannya. Amelia rupanya pemandu kereta Honda Civic itu, lantas diserunya nama yang sentiasa menggemakan rindu dalam sanubarinya itu. Diserunya dengan penuh rasa cinta.

Mereka tidak dapat bersembang di situ kerana stesen minyak itu agak sibuk petang itu. Terlalu banyak kenderaan yang menunggu giliran, lalu usai mengisi minyak motornya, Ziyad mengalihkan motosikalnya ke tepi kedai Mesra stesen minyak itu, menunggu Amelia selesai memenuhkan tangki minyak keretanya pula. Sambil menunggu dia tidak berkalih merenung Amelia, menatap wajah cintanya itu dari jauh sambil melayan hatinya yang meratapi cinta yang hilang. Kemudian Amelia memarkirkan keretanya di sebelah motosikal Ziyad. Mereka berbual seketika di situ sebelum membuat keputusan untuk pergi minum di restoran di pusat beli-belah itu. Kebetulan Amelia hendak mencari sesuatu di situ. Bolehlah mereka berbual lama sedikit. Sekejap mana puas.

"Dari tadi tak habis-habis senyum. Kenapa dengan abang ni?" tanya Amelia, cuba berlagak biasa tetapi hatinya sendiri masih belum berhenti berdebar sejak dia melihat susuk tubuh penunggang motosikal yang sedang mengisi minyak di hadapannya. Bukan kerana dia tahu lelaki itu Ziyad. Tidak! Dia tidak tahu pun itu Ziyad sebab lelaki itu tidak menanggalkan helmetnya tetapi dia terpesona melihat susuk badan penunggang motosikal besar itu yang sememangnya memenuhi cita rasanya. Terasa malu pula bila dia teringat betapa dia beria cuba berlagak selamba semasa melangkah di hadapan Ziyad tadi. Konon, matanya tidak terpikat. Bila terdengar suara Ziyad menyeru namanya, bagai hendak rebah ke lantai sahaja dia rasa dek rindu yang memberat. Rindu yang tiba-tiba sahaja datang dari entah mana, menyendatkan dadanya. Abang... itu sahaja yang dapat mulutnya bisikkan.

"Takde apa. Suka tengok Amel membebel." Ziyad mengusik.

"Huh! Saya membebel ke? Saya ceritalah! Cerita dengan bebel mana sama."

"Lebih kurang je abang dengar."

"Takpe... takpe... ada lori ada bas." Amel mengangguk-anggukkan kepalanya.

"Pantun dua kerat zaman sekolah tu. Tak sangka masih ada orang guna lagi." Ziyad semakin giat menyakat.

"Terkeluar tanpa sengaja," jawab Amelia. "Takpe... takpe..." tuturnya lagi, perlahan.

Ziyad terus merenung Amel sambil tersenyum. Tidak puas matanya menatap wajah manis di hadapannya.

"Abang! Tak baik tenung orang macam tu."

"Abang tengah fikir, begini rupanya hidup seorang Amelia."

"Saya pun tengah fikir, naik motor besar rupanya abang aku ni..." Amelia menarik mukanya sedikit.

"Kenapa? Amel tak suka ke?"

"Bahaya. Belilah kereta sebijik." Amelia membuat muka merayu. Risau dia melihat cara Ziyad menunggang motosikal tadi. Yalah, nama pun superbike. Kenalah bawa laju-laju tetapi takutnya Amelia rasa semasa melihat Ziyad menunggang di sebelah sebuah lori. Terkuit-kuit mulutnya membaca doa agar Allah melindungi Ziyad. Agar tidak ada apa-apa yang buruk berlaku terhadap lelaki itu.

"Ada kereta kat rumah tu tapi naik motor lagi senang. Boleh cilok."

"Cilok! Tak hilang lagi rupanya bahasa mat rempit dia." Amelia mencebik. Ziyad ketawa. "Abang bawaklah kereta. Please..."

"Malaslah... kereta tu berat. Mana larat abang nak bawak," usik Ziyad lagi.

"Ihhhh..." Amelia mengangkat tangan hendak menampar lengan Ziyad.

Peluklah Aku SayangWhere stories live. Discover now