TANPA dipinta kenangan lama menerpa ke kanvas minda Amelia. Kenangan terindah yang pernah membahagiakan hidupnya suatu masa dahulu. Ziyad, lelaki berkumis itu hadir dalam hidupnya dengan tiba-tiba seperti hari inilah juga, menyapanya di sebuah pasar raya apabila melihat Amelia terkial-kial cuba membuat keputusan tentang bahan masakan dari jenama mana yang harus dibelinya. Ziyad meminta izin untuk menghulurkan bantuan. Amelia yang benar-benar keliru kala itu hanya mengangguk membenarkan, lalu Ziyad menceritakan tentang pengalamannya menggunakan kedua-dua jenama bahan masakan yang sedang Amelia pertimbangkan itu dengan begitu terperinci sekali. Terpukau dengan pengetahuan Ziyad tentang masakan, Amelia terlupa dirinya seorang gadis lalu dia merenung tepat ke wajah Ziyad semasa jejaka itu berkata-kata. Sekali pun matanya tidak berkalih. Sesekali Amelia ketawa seolah-olah mereka sudah lama mesra apabila Ziyad menyelitkan kisah lucu yang terjadi semasa dia memasak.
"Encik ni chef ke?" tanya Amelia yang masih tidak berhenti tersenyum. Matanya masih melekat pada wajah Ziyad, bergerak mengikut pergerakan Ziyad. Bukan sengaja dia merenung tetapi matanya itu yang enggan memandang ke arah lain.
Langsung terburai tawa Ziyad. Ditatapnya wajah Amelia sebenar-benarnya dan kala mata mereka bertaut, tiba-tiba sahaja Ziyad merasakan dirinya terawang-awang. Dia senyum lagi dan bagaikan memahami maksud senyuman itu, Amelia tertunduk malu.
"Saya pengawal keselamatan je."
"Oh..." Amelia kembali merenung Ziyad mencari kepastian. Ziyad pandai berjenaka, tidak mustahil dia sedang menduga.
Reaksi spontan Amelia itu menjentik rasa terkilan dalam hati Ziyad namun dia sorokkan perasaan itu di sebalik senyuman sambil menilai peribadi Amelia berdasarkan penampilan luaran gadis itu. Sejak Amelia melangkah masuk ke dalam pasar raya itu lagi Ziyad sudah melihatnya. Diperhatikannya gadis yang melangkah dengan penuh kekalutan itu dari jauh. Wajah Amelia tenang sahaja namun matanya jelas memberitahu Ziyad bahawa ada masalah yang sedang mengganggunya, lalu tanpa memahami mengapa, dia mengekori Amelia yang terus pergi ke rak yang menempatkan serbuk masakan. Memang benar telahannya, ada masalah yang mengganggu Amelia kerana gadis itu hanya berdiri tegak di hadapan rak di situ sambil memandang dua bungkusan serbuk masakan yang dipegangnya silih berganti. Berasa kasihan, Ziyad memberanikan diri menegur Amelia.
"Kenapa? Hina ke kerja saya tu?" tanya Ziyad.
Tergamam Amelia mendengar soalan itu. "Eh, bukan..." Segera dia menafikan. "Saya tengah fikir, dia ni lelaki tapi lagi pandai masak daripada aku. Tak boleh jadi ni..." jawabnya tanpa menyentuh pekerjaan Ziyad. Bimbang dia akan tersalah cakap sehingga membuatkan Ziyad terkilan lagi.
"Sekarang ni orang lelaki memang pandai masak daripada orang perempuan," balas Ziyad. Senyuman nakalnya kembali terpamer.
Amelia turut tersenyum. "Jadi, encik syorkan yang ini ke?"
"Oh, tak..." Ziyad meletakkan semula dua bungkusan serbuk masakan itu ke tempatnya dan mengambil sebungkus serbuk masakan dari jenama lain. "Yang inilah yang paling sedap. Cubalah."
"Terima kasih, encik." Amelia mengambil bungkusan serbuk makanan yang Ziyad hulurkan.
"Ambil nombor telefon saya. Boleh call kalau ada masalah atau nak tanya resepi."
Kalut Amelia mengeluarkan telefon bimbitnya, langsung tidak terfikir perbuatannya itu boleh mengundang bahaya. "Apa nombor telefon encik?"
Ziyad menyebut nombor telefonnya satu per satu. "Cuba buat missed call," katanya lagi sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dari dalam poket seluar jean yang dipakai dan Amelia patuh tanpa menyedari niat Ziyad sebenarnya yang mahu mendapatkan nombor telefonnya. Sejurus, telefon bimbit Ziyad berbunyi. "Okey. Siapa nama awak?" tanya Ziyad.
Barulah Amelia sedar dia telah memberikan nombor telefonnya kepada lelaki yang tidak dikenalinya itu. Dia tersenyum. "Bubuhlah apa-apa," kata Amelia, enggan memberikan namanya pula kepada Ziyad.
"Apa... apa... okey, saya dah save," ujar Ziyad sambil mengangguk dan menekan bebutang pada telefon bimbitnya. Ekspressi wajahnya yang selamba itu membuatkan Amelia tunduk sedikit, merenung Ziyad sambil tersenyum simpul dicuit rasa lucu. "Nama saya Ziyad," tambahnya, memandang Amelia dengan wajah biasa. "Savelah. Nanti lupa."
Sambil tersenyum simpul Amelia menaip nama Ziyad dalam telefon bimbitnya. Dan bermula dari saat itu, satu hubungan yang sungguh intim terjalin antara mereka tanpa disedari bila, bagaimana dan mengapa. Yang nyata mereka serasi. Mereka bahagia. Amelialah yang paling ceria dan dengan penuh rela menyerahkan hatinya kepada Ziyad hingga suatu hari tiba-tiba sahaja Ziyad menghilangkan diri tanpa khabar berita.
Hidup Amelia hancur musnah dalam sekelip mata.
Tujuh tahun berlalu dan kini, Ziyad sudah kembali. Ziyad berdiri di hadapannya sambil tersenyum manis. Benarkah dia yang berada di hadapanku ini, ya Allah? Jika benar, jangan Kau izinkan dia terlalu cepat mengundur diri kerana aku masih belum puas menatap wajahnya. Kau sendiri maklum, ya Rabb, bahawa rinduku terhadapnya sudah terlalu sarat dalam dada ini. Dia juga merinduiku. Aku tahu kerana aku dapat melihat pancaran rindu itu dalam anak matanya. Izinkan kami berbicara sebentar, ya Allah. Izinkan kami bertukar khabar berita sebelum Kau aturkan langkah seterusnya buat dia.
"Amel? Berangan ya?" Ziyad tersenyum nakal.
Malu kerana sempat menjengah kamar nostalgia, sedangkan Ziyad setia menunggu di hadapannya, Amelia menundukkan muka.
"Abang Ziyad ni... suka tau usik Amel. Mana Abang Ziyad tahu Amel ada kat sini?" soal Amelia. Tidak tergamak dia memanggil Ziyad dengan panggilan abang sahaja, iaitu gelaran teragung yang dikhaskan untuk seorang suami. Suaminya bukan Ziyad. Suaminya bernama Khai. Kesucian ikatan antara dirinya dengan Khai perlu dijaga, meskipun hanya di pihaknya sahaja yang berusaha.
"Dari luar tadi abang dah nampak. Tu yang abang ikut tu." Ziyad menjawab dengan mulut yang agak kelat, terkilan dengan panggilan yang Amelia gunakan untuknya. Dia bukan 'abang' yang bertakhta di hati Amelia lagi. Dia sekadar Abang Ziyad.
"Dari dulu tak habis-habis mengekor orang."
Ziyad tidak membalas. Sebaliknya dia tersenyum hambar mengenangkan cinta yang tidak kesampaian. Dahulu mereka tidak pernah berenggang. Ke mana sahaja Amelia pergi, Ziyad pasti akan mengekori. Di mana ada Ziyad, di situlah Amelia. Namun, jodoh tidak menyebelahi mereka. Ziyad tidak tahu mengapa mereka dipisahkan sedangkan mereka bak Adam dan Hawa yang telah dicipta demi melengkapkan satu sama lain. Kesal benar dia dengan takdir yang telah Allah tetapkan untuk mereka, namun Ziyad sempat bertaubat. Dia sempat memohon ampun. Amelia bukan miliknya di dunia. Mungkin di syurga nanti mereka dapat bersama.
"Betul ke Amel kenal abang ni siapa?" lontar Ziyad. Sukar lidahnya hendak menggelarkan dirinya sebagai Abang Ziyad. Biarlah. Aku guna abang juga tetapi aku harus belajar menganggap dia sebagai seorang adik biarpun pahit, bisik hati Ziyad.
"Tujuh tahun memang lama tapi sampai mati Amel takkan lupakan Abang Ziyad!" Amelia menundukkan mukanya bila pilu mula menyiat-nyiat hati kecilnya. Ziyad bukan sembarangan cinta. Ziyad cinta pertamanya. Cinta yang paling syahdu. Bersama Ziyad, Amelia mengenali kebahagiaan yang jitu. Bukan mudah baginya untuk melupakan cinta yang seindah itu.
"Tapi tadi tak kenal."
"Siapa suruh Abang Ziyad pakai misai?" Amelia merenung kumis sederhana tebal Ziyad yang dijaga dengan rapi. Sesuai pula kumis itu dengan paras Ziyad, cuma dia kelihatan garang bila berkumis. Dahulu wajah Ziyad bersih sahaja. Dia sentiasa bercukur. Kini, roman muka Ziyad kelihatan lebih matang, lebih keras biarpun matanya tetap sama, lembut merenung Amelia. Buat sesaat, Amelia tenggelam dalam lautan kasih yang terpancar pada renungan Ziyad.
"Suara abang takkan berubah?" soal Ziyad lagi.
"Tak." Amelia menggeleng. Dia faham maksud soalan Ziyad itu. Takkanlah dia tidak mengecam suara Ziyad tadi? Amelia akui, suara Ziyad masih sama seperti dahulu; dalam dan garau namun lunak sehingga ada kalanya merindingkan bulu romanya. Cuma, mungkin kerana sudah lama dia tidak mendengar suara Ziyad dan sudah lama dia berhenti berharap untuk mendengar suara itu lagi, maka dia tidak dapat mengecam suara Ziyad tadi. "Suara tak berubah. Tapi kenapa pakai misai pulak ni?"
"Bukan pakai. Dia tumbuh sendiri."
"Abang Ziyad ni..." Amelia menampar angin di hadapan muka Ziyad, "orang tanya betul-betul, dia jawab main-main pulak."
"Betullah jawapan abang tu." Ziyad tersenyum bila melihat Amelia mencebik. Direnungnya wajah yang sangat dirinduinya itu. Wajah yang suatu masa dahulu pernah menjadi sanjungan hatinya. Namun kini, impiannya musnah. Amelia sudah menjadi milik orang.
"Kenapa pandang Amel macam tu?"
"Rindu," bisik Ziyad. Suaranya bergetar. Renungannya tidak dikalihkan sehingga meresahkan Amelia.
"Amel dah kahwin," maklum Amelia tetapi dia sendiri kesal dengan ungkapan yang tergesa-gesa keluar dari celah ulas bibirnya. Niatnya hanya mahu memberitahu status terbaru dirinya kepada Ziyad sahaja. Namun, suara yang keluar jelas bernada amaran. Wajah Ziyad ditatapnya, berharap agar lelaki itu tidak terkilan.
"Abang tahu. Abang tengok Amel bersanding." Ziyad tersenyum lagi, cuba memberitahu Amelia bahawa takdir itu telah diterimanya dengan reda, meskipun selepas itu bertahun-tahun lamanya dia terpaksa menanggung derita cuba melupakan Amelia.
"Abang datang?" soal Amelia dengan mata membuntang. Terperanjat besar.
Ziyad mengangguk. Hatinya semakin rindu bila mendengar Amelia memanggilnya abang.
"Tapi abang tak jumpa Amel pun!" Sendat dada Amelia mendengar perkhabaran itu.
"Memang nak jumpa tapi tak sempat." Ziyad beralasan. Hakikatnya, dia pergi ke majlis itu pun secara kebetulan sahaja. Melihat sendiri Amelia bersanding dengan lelaki lain, Ziyad berasa nyawanya bagai direnggut daripada jasad. Berduka, dia terus berlalu. Tidak sanggup lagi berada di situ.
"Sampainya hati abang tak datang jumpa Amel." Amelia menarik muka. Dia benar-benar terkilan sehingga meremuk-redamkan perasaannya. Sampai hati abang tidak datang berjumpa dengan Amel. Abang sudah berada di situ. Tunjuklah muka supaya Amel tahu abang sihat. Abang selamat. Kenapa mesti berlalu tanpa menyapa? Sudahlah semasa menghilangkan diri dahulu, satu berita pun tidak abang kirimkan. Kenapa kejam sangat abang mendera perasaan Amel?
"Cerita lama. Tak payahlah dikenang," ujar Ziyad, lembut. "Mana suami Amel? Dia tak ikut sama ke?" Perit kerongkongnya semasa dia melontarkan soalan itu.
"Tak. Dia ada mesyuarat." Dalam kecelaruan fikirannya, ingatan Amelia sempat melayang ke pejabat Khai. Terbayang-bayang di ruang minda susuk tubuh Khai yang sedang tersengguk-sengguk ketawa, lucu dengan jenaka Zaiha. Tetapi bukan mereka berdua sahaja di sana, Amelia mengingatkan diri.
"Abang... Amel nak tanya abang satu soalan."
"Tak payahlah, Amel. Tak guna kita kembali ke cerita lama." Ziyad cuba memaniskan roman wajahnya yang hambar. Luka kehilangan Amelia masih berdarah dan Ziyad yakin, luka di hatinya itu tidak akan sembuh sampai bila-bila justeru dia sedar, dia yang bersalah. Dia sendiri yang nekad meninggalkan Amelia dahulu.
"Amel nak tahu jugak!" Tiba-tiba sahaja Amelia membentak. Emosinya gagal dikawal lagi apabila fikirannya terbayang kembali bagaimana menderitanya dia setelah Ziyad menghilangkan diri. Masih hidupkah atau sudah matikah kekasihnya itu, Amelia pun tidak tahu. Bertahun-tahun lamanya dia menangis. Bertahun-tahun dia menanti. Namun, Ziyad tetap tidak kembali.
"Abang berhutang jawapan tu pada Amel!" Amelia berkeras. Langsung dia terlupa tentang status dirinya sebagai isteri orang. Yang menguasai dirinya ketika itu ialah kepedihan yang sangat mengilukan apabila luka lama akibat ditinggalkan kekasih yang paling dicintainya, ditoreh-toreh oleh belati ghaib.
Ziyad perlu menjelaskan mengapa dia pergi dahulu. Mesti! Dia mesti jelaskan. Amelia tidak akan membenarkan satu-satunya soalan yang sering menghambatnya terus tidak berjawab. Sejak Ziyad pergi, Amelia tidak berhenti berdoa agar Allah menemukan mereka semula. Walaupun sesudah dia disunting menjadi isteri Khai, Amelia tetap memanjatkan doa yang sama kerana dia mahu tahu sebab Ziyad menghilangkan diri. Saban hari dia bertanya, apakah dia yang bersalah sehingga menyebabkan Ziyad merajuk dan mengambil keputusan untuk memutuskan cinta mereka? Jika benar telahannya itu, Amelia ingin tahu di mana salah dan silapnya. Dia mahu meminta ampun, meskipun dia sedar hubungan mereka tidak mungkin bercantum kembali.
"Tolonglah jawab. Selama ni Amel anggap Amel dah buat salah pada abang." Amelia menyeka butiran air matanya yang tumpah ke pipi. Murah benar harga air matanya hari itu.
"Kesalahan tu semuanya milik abang. Percayalah." Ziyad mengangkat mukanya, memandang melepasi kepala Amelia bila menyedari seseorang sedang melangkah ke arah mereka. "Kalau Amel sudi, jom kita sembang kat tempat lain," pelawanya sebelum pelanggan pasar raya itu menghampiri tempat mereka berdiri.
Tanpa sepatah kata, Amelia menolak troli berisi barang-barang yang ingin dibelinya ke kaunter pembayaran. Petang itu Amelia nekad tidak akan membenarkan Ziyad berlalu selagi lelaki itu tidak menjawab soalan yang satu itu terlebih dahulu.
Memahami tingkah laku Amelia, Ziyad mengekorinya. Dia beratur bersama Amelia, malah menawarkan diri untuk membayar harga barang-barang yang Amelia beli, namun ditolak dengan baik oleh Amelia. Selepas itu mereka melangkah beriringan menuju ke sebuah kafe. Di situ mereka duduk.
"Kalau bukan salah Amel, kenapa abang tinggalkan Amel dulu?" soal Amelia dengan nada berbisik. Matanya meliar, risau pelanggan yang duduk berdekatan dengan meja mereka mendengar butir bicaranya. Ziyad membuka mulut untuk berkata-kata tetapi niatnya dipotong oleh Amelia.
"Amel sedar, memang tak ada gunanya kita buka cerita lama. Amel dah jadi isteri orang. Abang pun mungkin dah kahwin." Amelia tersentak bila menyedari hakikat itu. Tujuh tahun bukan sekejap. Pelbagai perkara boleh berlaku dalam masa tujuh hari, inikan pula tujuh tahun!
Dipandangnya Ziyad. Hatinya carik bila menyedari kemungkinan bahawa Ziyad sudah menjadi milik wanita lain. "Abang jumpa orang lain ke? Sebab tu abang tinggalkan Amel?" Air mata mengiringi soalannya itu. Mengapa takdir begitu kejam? Sepatutnya dia yang menjadi isteri Ziyad. Bukan wanita lain.
"Jangan menangis, Amel."
"Maknanya, betullah abang dah kahwin?"Amelia menyeka air mata yang tidak putus-putus dengan sapu tangan yang dikeluarkan dari beg tangannya. Pelanggan yang duduk berdekatan dengan meja mereka menoleh ke arahnya tetapi hati Amelia terlalu berduka untuk menghiraukan renungan mereka.
"Belum!" jawab Ziyad dengan tegas. "Abang belum kahwin lagi."
"Habis tu, kenapa abang tinggalkan Amel dulu?" Mata Amelia meratah wajah Ziyad, mentafsir jawapan lelaki itu. Benarkah, abang? Benarkah kata-katamu itu? Tetapi jika benar sekalipun, apa untungnya, Amelia? Kau masih isteri Khai.
"Kalau abang cerita pun, Amel takkan percaya."
"Amel nak dengar jugak!"
YOU ARE READING
Peluklah Aku Sayang
RomanceTanpa disangka Amelia bertemu semula dengan Ziyad selepas tujuh tahun dia ditinggalkan tanpa berita.