TERTANYA-TANYA hati Zaiha bila melihat Amelia dan Kak Tinah masuk ke dalam pejabat Khai. Sudah ringan kakinya hendak melangkah ke sana dan menyerapkan dirinya dalam perbincangan itu tetapi masalahnya, Amelia ada. Kalau Amelia tiada, memang sudah lama Zaiha masuk dan duduk di dalam pejabat Khai walaupun tidak dipanggil. Zaiha tahu Khai tidak kisah. Khai memang sentiasa mengalu-alukan pendapat bernasnya.
Perbincangan mereka bertiga nampak serius. Amelia yang banyak bercakap. Khai lebih banyak mengangguk. Kak Tinah lagilah laju anggukan kepalanya sambil tersenyum seolah-olah dia puas hati sangat. Apa benda yang dia orang bincangkan ni? Soal hati Zaiha yang meronta-ronta ingin tahu. Mungkin syarikat hendak memberikan bonus tambahan bulan ini, fikir Zaiha lagi tetapi hatinya tetap berkata bukan itu yang mereka bincangkan. Bukan...
Zaiha menongkat dagu sambil merenung ke arah pejabat Khai. Mukanya cemberut. Terasa sangat dirinya diketepikan. Sesekali dia memandang ke arah telefon pejabatnya, mengharapkan telefon itu berbunyi. Mengharapkan interkom daripada Khai yang menyuruhnya menyertai perbincangan mereka. Namun, dia hampa apabila melihat Amelia dan Kak Tinah keluar dari pejabat Khai. Perbincangan sudah tamat. Zaiha sebak kerana Khai tergamak menyisihkannya. Matanya berkaca. Segera dia mengambil kertas tisu untuk menyerap air mata yang bertakung sebelum ia tumpah dan merosakkan solekannya.
Selang beberapa kubikal, Kak Tinah berdiri rapat di sebelah Amelia. Dia tidak mahu suaranya didengari oleh sesiapa selain Amelia.
"Amel pernah dengar tak orang kata, keep your friends close and your enemies even closer?" tanya Kak Tinah dengan suara yang sangat perlahan, mengungkapkan pepatah Inggeris yang pernah disebut oleh Michael Corleone dalam filem The Godfather Part II.
"Hmmm... biasa..." Meleret Amelia menjawab sambil mengerlingkan matanya ke atas. Apa niat Kak Tinah bagi pepatah Inggeris pula ni? Jangan Kak Tinah suruh dia batalkan hasratnya untuk memecat Zaiha sudahlah. Amel memang tidak mahu melihat muka Zaiha di situ lagi. Menyakitkan hatinya sahaja.
"Kenapa, kak?"
"Akak rasa Amel jangan pecat dia. Biar je dia kat sini," kata Kak Tinah lagi.
"Ai... hari tu Kak Tinah yang beria-ia suruh saya pecat dia."
"Shhh..." Kak Tinah tekup mulut Amelia seraya pandang keliling. "Janganlah cakap kuat sangat."
"Okey..." Amelia tolak tangan Kak Tinah dari mulutnya dengan lembut. "Boleh saya tahu kenapa Kak Tinah ubah fikiran?" Amelia berminat hendak mendengar buah fikiran Kak Tinah, walaupun di pihaknya dia sudah nekad dengan keputusan yang dibuat.
"Akak rasa rumah tangga Amel akan lebih selamat kalau dia ada kat depan mata kita. Senang kita nak pantau pergerakan dia. Pantau Khai sekali. Kalau dia kat luar, lagi senang dia nak berhubung dengan Khai. Lagi senang dia nak jumpa Khai. Amel pun bukannya selalu keluar dengan Khai dalam waktu kerja kan? Susah Amel nak pantau nanti." Kak Tinah memberikan pendapatnya. "Sorry, Amel... akak bukannya kata Khai ada skandal dengan dia. Tak. Cuma orang lelaki ni kan... biasalah... cepat kesian tambah kalau dia orang tak setuju dengan kehendak kita. Tengok macam tadi, Khai siap nak bagi dia gaji penuh bulan ni plus tiga bulan gaji sebagai pampasan padahal dalam agreement dia, syarikat kena bagi gaji untuk berapa hari dia bekerja saja plus sebulan gaji sebagai pampasan kalau dia diberhentikan serta-merta."
Amelia duduk di bangkunya. Memang geram sangat dia tadi bila Khai mengesyorkan agar mereka memberikan Zaiha empat bulan gaji. Akal Khai dia letak di mana, Amelia pun tidak tahu. Nak kasihan, boleh... bukan tak boleh tetapi setakat kasihan sahajalah. Janganlah melampau sangat menjaga hati perempuan lain hingga mengabaikan perasaan isteri sendiri!
Terlintas juga dalam hati Amelia tadi, Khai ini sebenarnya kasihankan Zaiha atau memang dia ada hati pada perempuan tak guna itu? Apa pun yang tersimpan dalam hati Khai, dua-duanya hanya akan menyusahkan Amelia sahaja. Lebih baik Zaiha dikeluarkan dari situ secepat mungkin supaya Khai tidak nampak mukanya setiap hari. Hilang dari mata Khai, insya-Allah lama-lama akan hilang juga dari hati Khai.

ANDA SEDANG MEMBACA
Peluklah Aku Sayang
RomanceTanpa disangka Amelia bertemu semula dengan Ziyad selepas tujuh tahun dia ditinggalkan tanpa berita.