Seraya merenung cermin kaca yang memenuhi dinding, ANIZA memeriksa penampilan diri. Rambutnya paras bahu, disikat tepi, kemas dan terurus. Solekannya halus dan sekata. Dilekap-lekap bibirnya bagi meratakan gincu. Belum sempat meneliti pakaian, seorang staf canselori menghampiri lif.
Aniza lekas memperbetulkan kedudukan. Dia menginjak posisi, menghadap staf canselori yang sedang melintasi pintu lif. Staf itu tersenyum manis. Kecil molek orangnya. Tudung dan baju kurung berwarna oren cocok dengan kulitnya yang putih, tinjau Aniza. Barangkali staf itu bertugas di pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) kerana dia menekan tingkat empat pada butang lif.
Staf canselori itu lalu merapati dan berdiri di sebelah kiri Aniza. Masing-masing menghadap pintu lif. Dengan spontan staf itu mengucapkan Selamat Pagi. Aniza menoleh. Staf itu sedang melangoi tersenyum. Aniza membalas senyuman, mengucapkan Selamat Pagi sambil mengangguk-anguk kecil. Sempat dia menjeling ke arah tag nama yang tergantung pada leher staf itu. Nama: ROHAYU. Jawatan: Kerani.
Pintu lif perlahan-lahan menutup.
...
MIMIE melompat keluar dari Perodua Viva kawannya lalu berjalan pantas menyelusuri lobi canselori. Dua lelaki berpakaian overall serba hitam berjalan ke arahnya. Seorang memegang tangga besi manakala seorang lagi sedang bercakap telifon. Mereka tersenyum kepadanya bila berselisih. Mimie tidak mempedulikan mereka. Dia mempunyai temujanji dengan TNC Hal Ehwal Pelajar, kira-kira 10 minit lagi. Itu fokus utama dan dia tidak mahu lewat!
Perjumpaannya dengan TNC adalah berkenaan aduan gangguan seksual yang difailkannya. Mimie mendakwa bahawa pensyarah Fakulti Undang-undang, Dr. Riswan cuba memujuknya untuk melakukan perbuatan sumbang di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur, semasa Simposium Undang-undang Asia, dua bulan yang lalu.
Insiden tersebut berlaku setelah hari pertama simposium melabuhkan tirainya. Ketika keluar dari dewan persidangan bersama rakan-rakan sekuliah, Dr. Riswan menahan dan mengajaknya gabi (supper) bersama. Mimie menolak dengan baik kerana dia mahu menumpang kawannya pulang ke kampus. Lagipun, dia keletihan dan hari sudah lewat. Tetapi, Dr. Riswan bertegas. Dr. Riswan berjanji untuk menghantar Mimie pulang ke kampus.
Mimie tidak selesa sejak awal. Mereka bergabi di lounge Hotel, bertemankan kugiran live. Cahayanya malap. Ramai yang sedang minum minuman keras. Ramai juga peserta simposium yang berada di situ. Perkara yang membuatkan Mimie paling tidak selesa adalah kelakuan Dr. Riswan. Dr. Riswan duduk rapat dengannya di atas sofa sambil berbual manja, berbisik-bisik. Ada ketika, Dr. Riswan menyentuh peha dan memeluk pinggangnya.
Setelah tidak tertahan, Mimie bangun dan meminta Dr. Riswan menghantarnya pulang ke kampus. Dr. Riswan menuruti Mimie keluar dari lounge. Di lobi hotel, Dr. Riswan mencadangkan sesuatu kepada Mimie. Rayunya, 'Mimie, you bermalam sahaja di bilik hotel saya'. Bila ditanya, untuk apa? Dr. Riswan berbisik, 'bermesra', sambil mengeyitkan mata!
Mimie sudah menyangka. Kerana itu, dia merakamkan perbualan mereka menggunakan telifon bimbit. Selaku pelajar tahun dua Undang-undang, Mimie tahu betapa pentingnya bukti sokongan jika mahu membawa kes seperti ini ke muka pengadilan. Rakaman inilah yang akan diperdengarkan kepada TNC.
Sekiranya pihak universiti tidak mengambil tindakan, Mimie tidak akan teragak-agak untuk menghubungi Kementerian Wanita atau membawa kesnya ke mahkamah. Dia juga tergamak untuk dedahkan perkara ini ke media massa!
Sebelum peristiwa itu, Dr. Riswan berlaku baik kepada Mimie. Mimie dilayan istimewa – makan di restoran-restoran mewah, hadiah barangan berjenama, jalan-jalan dan shopping. Dr. Riswan juga seorang penyayang, sabar mendengar masalah-masalahnya. Besertakan penampilan yang segak dan berkeyakinan, memang Mimie tertarik kepada Dr. Riswan. Dia turut kasihan kepada perihal rumah tangga Dr. Riswan. Isteri Dr. Riswan terlalu cemburu dan mengongkong.
Itu dahulu. Sekarang tidak! Mimie rasa sangat tertipu, dipergunakan! Tiada sekelumit simpati buat Dr. Riswan. Biar apa pun caranya, Mimie akan pastikan Dr. Riswan dihukum sekeras-kerasnya!
