II

25 0 0
                                    

Langkah terburu-buru berubah kepada lari-lari anak apabila terlihat pintu lif di hujung ruang legar canselori menutup. Setibanya Mimie, pintu lif sudah terkatup. Dia menyumpah kelibat manusia di dalam lif yang tidak mahu menunggu. Sial!, kata hatinya. Mimie menekan-nekan kuat butang yang terletak di sebelah kanan lif. Tanpa disangka-sangka, pintu lif yang tertutup, perlahan-lahan terbuka.

Dua wanita berdiri tegak merenungnya dari dalam lif. Pensyarahnya, Cik Aniza dan seorang wanita yang tidak dikenali. Penampilan mereka kontra. Cik Aniza berpakaian formal seorang peguam, berblaus putih, blazer dan seluar hitam, manakala wanita seorang lagi bertudung, berbaju kurung warna oren. Cik Aniza tinggi, manakala wanita seorang lagi kecil molek. Pada pengamatan Mimie, wanita seorang lagi itu berusia lima tahun muda dari Cik Aniza yang sudah pertengahan 30an.

Mimie pun memasuki lif. Dia mengucapkan 'Hello Cik Aniza' kepada Cik Aniza dan menguntum senyuman buat wanita seorang lagi. Mimie menekan butang tingkat empat walaupun butang itu sudah menyala. Dia mengambil tempat di sebelah kiri hadapan, lalu menatap telifon bimbitnya.

...

Mood menemu-ramah calon-calon pelajar baru Fakulti Undang-undang hari itu terganggu apabila melihat Mimie. Dia kenal sangat dengan siswi tahun dua itu. Anizalah yang bersungguh-sungguh mempertahankan Mimie ketika proses penilaian calon baru, dua tahun lepas. Aniza melihat Mimie berpotensi besar. Mimie punyai personaliti dan kesungguhan yang luar biasa. Aniza menaruh harapan yang tinggi apabila Mimie berjaya memasuki kursus Undang-undang. Tetapi, tindakan Mimie mendakwa Riswan, sangat mengecewakannya! Karier teman pensyarahnya bakal punah! Melihat Mimie dihadapannya yang berkelakukan seperti tidak bersalah, bermain telifon, membuatkan Aniza meluat!

Sebenarnya, Riswan lebih dari teman pensyarah. Riswan adalah teman lelaki Aniza. Sudah tiga tahun mereka mejalinkan hubungan intim. Riswan pun telah berjanji untuk menikahi Aniza hujung tahun ini sebagai isteri kedua. Riswan sanggup menceraikan isteri pertamanya jika isteri pertamanya tidak mahu berkompromi!

Menjeling gaya dan susuk Mimie, Aniza tidak terkejut jika Riswan boleh tergoda dengannya. Mimie seksi dalam bersahaja. Seperti yang dilihatnya sekarang, pakaian tshirt longgar berbahu luas mendedahkan kulit mudanya yang putih tegang pada bahagian tengkuk dan pangkal torso. Susuknya remaja, tidak berlemak. Tambah mukanya yang cantik, mana-mana lelaki boleh tergoda. Aniza bertambah meluat melihat Mimie!

...

Pintu lif masih terbuka.

Aniza melangkah selangkah ke hadapan, meluruskan tangannya yang bertelunjuk lalu memicit-micit butang bertanda tutup di sebelah kanan lif dengan bengis! Rohayu, staf canselori itu pelik melihat perilaku Aniza yang sebelum itu tenang. Dia tidak berkata apa-apa. Mimie pula tersentak dari permainan telifon bimbitnya, menjeling seketika kepada pensyarahnya, lalu turut menekan-nekan butang yang sama di sebelah kiri pintu lif, bersahaja.

Perlahan-lahan pintu lif menutup.

Aniza melangkah ke belakang, ke posisi asal. Dia tidak mahu memandang wajah Mimie, jauh sekali berbicara. Kehadiran Mimie merimaskannya!

Mimie dapat merasakan ketegangan Cik Aniza. Dia tidak tahu bagaimana untuk respon. Dia terasa sedih kerana Cik Aniza banyak membimbingnya semasa dia di tahun satu. Malah, Mimie menyanjung tinggi pensyarahnya itu. Cik Aniza berpewatakan, tegas dan berpendirian. Sangat feminis!

...

Walaupun pintu sudah tertutup, lif masih tidak bergerak. 'Kenapa ni?', soal Aniza.

Tiba-tiba, lif bergegar! Terhoyong-hayang mereka bertiga seperti dilanda gempa! Aniza mengenggam pemegang bucu kanan dibelakangnya. Rohayu menyandarkan dirinya ke dinding belakang, memegang pemegang di kiri dan kanannya. Manakala, Mimie berpaut pada pemegang sisi hadapan. Mujurlah gegaran itu hanya beberapa saat.

Selepas itu, terasa berat badan mereka meningkat – lif mula bergerak.

Tetapi, pergerakkan lif perlahan dari biasa. Aneh! 'Ada sesuatu yang tidak kena ni!', ujar Aniza. Dia bergegas menekan nombor satu pada butang lif. Namun, apabila angka digital di atas pintu lif menunjukkan tingkat satu, lif tidak berhenti! Ia perlahan-lahan mendaki. Tersekat-sekat. Aniza menekan nombor dua. Lif terus mendaki tanpa berhenti di tingkat dua! Perlahan. Tersekat-sekat!

Dalam pada itu, Mimie menekan panjang butang intercom dengan ibu jari kanannya. Dia membongkok kerana microfon lif sedikit rendah. Tak henti-henti dia bertanyakan 'Hello!'. Tiada jawapan! Aniza merenung kebingungan pada angka digital yang menunjukkan tingkat tiga. Lif tidak berhenti. Masih tersekat-sekat perjalanannya. Rohayu tercegat, menarik nafas panjang.

Bang! Satu dentuman yang kuat terdengar dari arah atas mereka. Lif bergoyang dengan kuat. Terpelanting ketiga-tiga wanita itu, tanpa suara! Ketiga-tiga mereka rebah, melorot ke dinding belakang sedang lif meyondong. 'Tolong-tolong!' jerit mereka sambil menepuk-nepuk dinding. Tiada jawapan! Sepi, seolah-olah mereka bertiga sahaja yang berada di bangunan canselori itu.

Gegaran pun berhenti. Tiada pergerakkan. Aniza, Rohayu dan Mimi terperosok di dinding belakang. Lantai menjongkit ke hadapan. 'Tolong-tolong!', rayu Aniza dan Mimie dengan cemas. Masih tidak berjawab. Rohayu mula menangis terisak-isak.

Tup-tup-tup. Lampu terpadam! Hitam gelap, menghalang penglihatan! 'Tolong-tolong!'

Bang! Satu lagi dentuman dari arah atas kepala mereka. Lif bergoyang ke kiri dan kanan. Terdiam mereka ketakutan.

Bang! Tiba-tiba, lantai jatuh mengejut! 'AAAHHHH!' , jeritan mereka seperti ribut meriuh!

Sedetik, jisim mereka terasa kosong, melayang-layang! Sepantas kilat, susuk meluluh, terjerumus ke bawah! Menanti detik bertemu dasar, seramnya bukan kepalang!

MELAYANGWhere stories live. Discover now