IV

23 2 1
                                    

MIMIE beransur-ansur sedar. Nafasnya yang semput kini mampu ditarik dalam dan panjang. Bingit di telinga sudah lerai, berganti suara-suara manusia. Penglihatannya perlahan-lahan pulih. Dari hanya bercahaya, bertukar kepada bayang-bayang, kemudiannya samar-samar kelabu, akhirnya tajam. Tubuhnya yang kaku, sudah boleh digerak-gerak walaupun masih terasa berat.

Mimie melihat kepada dirinya. Dia duduk tersandar pada dinding batu sambil kakinya terlunjur ke hadapan. Tiada kecederaan yang terlihat. Betul-betul di sebelah kanan persandarannya, pintu lif yang terbuka. Beberapa manusia sedang menjengguk-jenguk ke dalam. Mimie mengesot dan menoleh ke arah pintu lif yang terbuka itu. Kotak lif sudah tiada. Hanya syaf lif yang kosong. Dijenguknya ke bawah. Terlihat kotak lif yang hancur berkecai beserta kabel-kabel yang terputus di dasar syaf. Pemandangan yang sangat mengerikan! Dia mengesot kembali ke posisi asalnya. Tersandar ke dinding sambil kaki terlunjur ke hadapan. Mimie berasa amat lega dan bersyukur!

Lurus di hadapannya, wanita seorang lagi itu, sedang terbaring pengsan, dikerumuni manusia. Mereka melonggarkan tudungnya sambil menyapu air ke mukanya. Nama Rohayu diseru berterusan. Mimie berasa lapang apabila melihat wanita itu bernafas walaupun masih tidak sedarkan diri. Tiba-tiba wanita itu terbatuk-batuk kecil. Dia cuba bergerak tetapi diarahkan supaya terus berbaring sehingga ambulans tiba. Syukur!

Di penjuru kanan medan penglihatannya, Mimie telihat Cik Aniza duduk tersandar di tiang batu, sambil memeluk kedua lututnya. Mimie menoleh ke arah Cik Aniza. Keadaannya compang-camping. Rambutnya kusut-masai. Dia sedang terisak-isak menangis, memohon maaf itu dan ini. Mimie gembira melihat pensyarahnya itu selamat, tanpa kecederaan yang serius. Mimie perlahan-lahan bangun untuk pergi bertemu Cik Aniza.

Pada masa yang sama, Mimie terdengar seorang manusia termengah-mengah memanjat tangga di sebelah kirinya. Manusia gemuk itu muncul di muka pintu tangga sejurus selepas Mimie berjaya berdiri. Manusia gemuk itu adalah Prof. Mariah, TNC. Ingin Mimie katakan sesuatu kepada Prof. Mariah tentang aduan ganguan seksualnya, tetapi ditangguhkan kerana Prof. Mariah bingkas menuju ke arah wanita seorang lagi yang sedang terbaring. Mimie bergerak ke arah Cik Aniza perlahan-lahan. Dia terdengar Prof. Munirah memberi kata-kata perangsang kepada wanita seorang lagi itu.

Belum sempat Mimie tiba ke Cik Aniza, Prof. Mariah bergegas ke Cik Aniza. Prof. Mariah tiba dahulu. Terdengar Prof. Mariah memujuk Cik Aniza supaya bersabar. Apabila Cik Aniza bertanya tentang siapa yang melakukan semua ini, Prof Mariah katakan yang polis universiti sudah menangkap dua suspek yang mensabotaj lif. Tetapi, motif mereka belum diketahui. Prof. Mariah syak ada lagi individu yang terlibat. Tetapi, biarlah pihak polis menyiasat, katanya.

'Prof., macam mana keadaan student yang terperangkap dalam lif?' soal Cik Aniza sambil memegang tangan Prof Mariah.

Prof. Mariah muram, menggeleng-gelengkan kepalanya. 'MIMIE SUDAH TIADA. DIA MENINGGAL'.

'Tidaaaaak! ...Maafkan saya Mimie! Maafkan saya!',  tangis Cik Aniza.

...

HAH! APA?! Mimie tidak percaya pada apa yang didengarinya! APA maksud semua ini?!

Ruang pejabat seolah berputar mengelilinginya! Mimie cuba menggapai Cik Aniza yang hanya sekaki darinya, tetapi tidak tercapai! Dipekik sekuat-kuatnya nama Cik Aniza, tidak dipeduli! 'Profff!' – tiada respon! Terdesak, Mimie cuba menggapai manusia yang lalu lalang, tidak tercapainya! Mimie longlai, rebah ke lantai. 'Tidak, tidak!', dia menangis terisak-isak.

Mimie terus menangis terisak-isak, tertunduk sugul, tidak berganjak sehingga pejabat kosong ditinggalkan manusia. Senja menjelma. Dia benar-benar sepi, keseorangan!

'Ada sesuatu yang tak kena!', 'Ada sesuatu yang belum selesai! Apakah dia?' persoalan yang mula menghantui kembali fikiran Mimie. Tiba-tiba terasa kebencian menusuk kalbunya!

Ini semua salah Dr. Riswan!, detik hatinya. 'Ini semua salah Dr. Riswan!', jeritnya, kepuasan!

Diselubungi dendam kesumat, Mimie mendonggak kepalanya, lalu mengilai, 'Ini semua salah Dr. Riswan!'

~ Selesai ~


Anda telah sampai ke penghujung bahagian yang diterbitkan.

⏰ Kemaskini terakhir: May 09, 2016 ⏰

Tambah cerita ini di Pustaka anda bagi pemberitahuan tentang bahagian baharu!

MELAYANGTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang