Harum mekar bunga kemboja,
Kenapa setiap masa mesti ada dia?
"ENCIK AYDAN tu memang segak, kan? Macam wajah artis Korea pun ada. Siapa entah nama artis tu?"
Sally masih tak jemu berbicara tentang topik ini walaupun aku sudah cuba mengelak dari berbicara tentang Encik Aydan. Tak mahu orang lain juga memberi tumpuan kepada jejaka idaman Malaya seorang itu. Hesy! Kenapalah jejaka kacak sering jadi rebutan? Tak bolehkah aku seorang saja yang mahu gilakan Encik Aydan itu?
"Lee Min Ho." Aku menjawab datar walaupun rasa malas benar nak melayan keterujaan Sally waktu itu. Nasi putih berlaukkan ikan cencaru sumbat dan kuah asam pedas itu aku sekadar gaul-gaul dengan tangan sedangkan fikiranku menerawang ke arah lain. Asyik terbayang-bayang wajah si kacak Encik Aydan.
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam. Ya, ada apa?" Terdengar suara Sally menyahut salam seseorang tapi aku terasa malas benar nak ambil tahu dan memandang ke arah mereka.
"Husna!" Mataku membulat saat mendengar nama itu. Walaupun nama itu adalah sebahagian dari nama aku, terasa alergi benar apabila ia disebut-sebut apatah lagi dari mulut seseorang yang suaranya nyaring bak petir itu.
Aku angkat wajah dan memandang Sally di sebelahku sebelum mataku jatuh kepada wajah seseorang yang amat aku kenal walaupun baru beberapa hari wajah itu mengisi ruang hidupku. Macam mana tak kenal, kalau wajah selenga itu menyeringai memandang aku sampai menampakkan gigi taringnya yang mengalahkan Dracula itu.
"Awak! Buat apa kat sini?"
"Nak makan la. Takkan nak main takraw pula?" Dia tersengih untuk kesekian kalinya. Hergh!
"Tak payah nak buat lawaklah." Aku mendengus kasar. Geram sungguh, tahap tak tahu nak cakap.
"Boleh join sekali?" Dia menyoal dengan tidak malunya sambil meletakkan air teh O panas dan pinggan nasinya di hadapan aku. Aduh, memang tak makan samanlah mamat ni. Kenapalah dalam banyak-banyak perempuan dalam dunia ni, aku juga dia nak kacau?
"Saya tak cakap boleh pun lagi." Aku bersuara dengan rasa jengkel.
"Alah, tak apa, meja ni bukan Husna yang punya. Mak cik kedai ni yang punya." Dia bersuara lagi tanpa memandang aku, matanya sudah terarah ke arah nasinya sebelum dia menyuap nasi ke dalam mulut dengan lahap. Hesy, hilang selera aku tengok dia menkedarah macam tu. Macam dah sebulan tak jumpa nasi saja. Aku pandang sekeliling kedai itu, masih banyak saja lagi meja yang kosong. Ini tak lain tak bukan, sengaja mamat ni mengada-ada nak makan dekat meja aku.
Sally menguis lenganku membuatkan tumpuanku teralih ke arah Sally pula. Gadis yang hampir sebaya dengan aku itu mengangkat keningnya sambil mata menunjuk ke arah Fahmi di hadapan kami, mahu tahu siapa gerangan lelaki itu. Aku sekadar menggelengkan kepala sambil menghela nafasku, susah nak terangkan kepada Sally pada saat mamat kebuluran itu ada di hadapan kami.
"Errr... Awak ni siapa?" Soalan Sally kepada Fahmi membuatkan aku cepat-cepat menepuk tangan Sally. Ingatkan minah ni faham, rupanya dia tak faham isyarat aku tadi. Hadei!
"Oh, maaf. Lupa nak kenalkan. Saya Fahmi, kawan Husna." Fahmi tersengih walaupun mulut penuh dengan nasi.
"Husna?" Sally pandang aku dengan wajah tidak percaya sebelum ketawa terkekek-kekek.
"Diamlah, Sally. Nak ejek akulah tu." Aku tarik muncung sedepa.
"Tak sangka pula Husna ada kawan lelaki. Tak pernah pula dia cerita dekat saya." Sally sengaja membahasakan diriku dengan nama Husna. Nak mengusiklah tu.
"Kami baru aje berkawan. Tapi dah rapatlah."
"Oh rapat, ya..." Kening Sally terangkat-angkat sambil memandang ke arah aku. Riak wajahnya macam nak mengatakan sesuatu.
"Selama ni tak pernah nampak pun kat area sini?" Sally menyoal lagi. Dah macam polis soal siasat penjenayah aje minah seorang ni. Dia ingat aku suka ke Fahmi berlama-lama dekat sini? Biarlah mamat ni cepat-cepat makan dan cepat-cepat blah dari meja kita ni, wahai Cik Saleha Haji Deraman oi!
"Oh, saya baru datang interviu tadi, dekat Firma Nurul Iman. Alhamdulillah dah dapat, esok saya dah boleh start kerja."
"Firma Nurul Iman? Eh, firma tu atas office kami sajalah. Kami kerja dekat Laman Murni Construction." Sally bersuara teruja. Adoi, kenapalah dia ni bocorkan habis rahsia dalam satu sesi saja? Tunggulah lain masa.
"Eh, ya ke? Bolehlah saya lawat Husna selalu."
"Boleh aje. Datanglah, tapi jangan lupa bawa apa-apa." Sally yang memang pandai mengayat sempat lagi memberikan pesanan penajanya.
"Haha. Insya-Allah."
"Eh okey, sambunglah makan. Kesian awak, mesti lapar."
Fahmi sekadar mengangguk dan menyambung makannya yang tertangguh. Haih! Hilang terus selera aku nak makan bila jadi macam ni. Sudahlah Fahmi datang dekat meja ni, mengaku sebagai kawan aku, lepas tu Sally pergi bagi tahu mamat ni pasal office pula. Adei, apalah malang nasibku ini.
"OKEY Husna, kerja elok-elok, ya? Abang balik dulu! Jumpa kat rumah!" Fahmi melambai saat dia meminta diri dari aku dan Sally membuatkan mataku membuntang mendengarkan kata-katanya itu.
"Yalah, yalah! Pergi balik!" Aku bersuara cepat-cepat, tidak mahu Fahmi berlama lagi di situ. Saat Fahmi hilang dari pandangan, aku kembali berkalih ke meja, mahu menghabiskan nasiku yang masih belum banyak yang luak.
"Rumah? Dia tinggal dekat rumah kau ke?"
Uhuk! Soalan Sally itu buatkan aku tersedak dan hampir saja tercekik tulang ikan cencaru ni. Haih! Memang nak kena sungguh minah ni.
"Kau gila ke apa? Ingat aku tak tahu halal haram ke?" Aku membentak.
"Eh, manalah tahu, kut dia tu sepupu kau ke, anak saudara ke, bau-bau bacang ke, tumpang rumah kau kejap."
"Tak kuasa aku nak tumpangkan lelaki dekat rumah sewa aku tu. Kau gila ke apa? Nak aku kena serbu pejabat agama?"
"Habis tu kenapa dia cakap jumpa kat rumah? Hah, jawab-jawab." Aku diam seketika, susah betul nak puaskan hati Sally ni. Selagi tak dapat jawapan, selagi itulah dia mendesak.
"Dia anak saudara jiran sebelah rumah akulah. Baru datang KL, tumpang rumah mak saudara dia tu."
"Oh, ini kes bercinta dengan jiranlah, ya? Macam dalam novel aje kau ni." Sally ketawa.
"Kau jangan nak merepek, ya? Tak ingin langsung aku nak bercinta dengan mamat muka selenga macam tu."
"Isy, tak baik kau ni, Fatih. Dah orang nak tu, kau terima sajalah. Janganlah nak tolak rezeki, esok-esok tak sampai jodoh dah baru padan muka kau."
"Amboi, sedapnya mulut kau. Kau tu pun belum ada calon, bising pasal aku pula." Aku mengomel, sungguh tak puas hati.
"Eh, siapa cakap aku tak ada calon? Tu bos baru kita, Encik Aydan tu calon akulah. Wajah segak macam tu haruslah dipadankan dengan insan semanis aku." Sally bersuara tanpa teragak-agak sebelum ketawa.
"Eee... Perasanlah kau ni, Sally. Malas aku nak layan kau." Aku kembali fokus kepada juadahku di hadapan mata. Bercakap dengan Sally, sampai habis waktu pejabat pun belum tentu aku habis makan.
"Tapi tak sangka, dalam masa beberapa minit ni macam-macam rahsia kau aku dapat tahu. Tak sangka kau dah ada boyfriend, ya? Apa kau panggil dia? Mamat muka selenga?" Sally ketawa lagi membuatkan hatiku terasa sebal.
"Diamlah, Sally. Kau jangan sesekali nak sebarkan benda tak betul tu dekat office, eh? Kalau aku tahu kau sebarkan fitnah ni, siap kau!" Aku memberi amaran keras. Geram dengan perangai Sally yang asyik ketawakan aku dari tadi. Kalau nak sebarkan gosip pasal aku dengan Encik Aydan tak apalah juga. Ini dengan mamat muka selenga tu? Hesy, nauzubillah!
YOU ARE READING
Mamat Muka Selenga
RomanceTajuk: Mamat Muka Selenga Penulis: Aliesha Kirana Muka Surat : 496 Penerbit: Karyaseni ISBN: 978-967-469-004-5 Harga: RM21.00 (Semenanjung) // RM24.00 (Sabah & Sarawak)