Bab 6

1.5K 53 1
                                    

Cantik sungguh Kuala Kedah,

Aku dah jumpa calon dah!

AKU sedang berjalan menuju ke rumahku saat aku terlihat Mak Ngah Ana sedang sibuk menyiram pokok bunga di dalam pasu-pasu yang tersusun di hadapan rumahnya petang itu.

"Mak ngah..." Aku menegurnya, tanda hormat. Mak Ngah Ana angkat wajahnya dan pantas tersenyum kepadaku.

"Eh dah balik, Fatihah?" soalnya ceria. Aktiviti menyiramnya terhenti, sebaliknya dia menghampiri aku yang sedang membuka mangga grill rumahku saat itu.

"Ya, mak ngah. Hari ini tak ada apa, bolehlah balik awal."

"Nasib Fatihah balik cepat. Kalau tak, mesti dah tersangkut jammed." Mak Ngah Ana bersuara, aku sekadar mengangguk namun Mak Ngah Ana masih berdiri tegak di hadapanku seolah-olah masih ada perkara yang ingin dia katakan.

"Kenapa ni, mak ngah? Mak ngah ada benda nak cakap ke?" Aku pantas menyoal setelah kembali berpaling untuk menghadap Mak Ngah Ana saat itu.

"Tak adalah. Sebenarnya mak ngah nak ucap terima kasih pasal semalam. Terima kasih bekalkan Fahmi tu nasi ayam. Mak ngah kalut sampai tak sempat nak siapkan apa-apa. Mak ngah ingat dia makan kat kedai aje, rupanya dia beritahu kamu bagi nasi ayam tu dekat dia. Terima kasih, Fatihah." Aku tersenyum tipis memandang Mak Ngah Ana usai wanita lewat lima puluhan itu bersuara.

"Tak ada apalah, mak ngah. Perkara kecik saja, semalam kebetulan Fatihah masak lebih nasi ayam tu, Hajar pun tak ada kat rumah, jadi kira rezeki anak saudara mak ngah la, kan."

"Terima kasih, Fatihah." Mak Ngah Ana mengusap tanganku, seolah-olah begitu terhutang budi padahal terlalu kecil ehsanku kepada Fahmi semalam.

"Isy, berapa kali mak ngah nak ucap terima kasih ni? Tak ada apalah, mak ngah!" Aku memeluk bahu wanita di hadapanku itu sambil tersenyum, mahu merungkai rasa terhutang budinya itu. Wanita yang sudah kuanggap macam ibuku sendiri sepanjang aku merantau mencari rezeki di negeri ini tersenyum namun wajahnya masih ada kerisauan. Entah kenapa aku sendiri tidak mengerti.

"Kenapa ni, mak ngah? Ada perkara lain lagi ke yang mak ngah nak cakap?" Aku cuba menebak hati kecilnya. Mak Ngah Ana tersenyum namun terdengar keluhan dari bibirnya.

"Sebenarnya Fatihah..." Dia memandang aku dengan renungan sayu.

"Mak ngah nak minta maaf, kalau-kalau Fahmi tu mengganggu kamu." Akhirnya terlerai juga kata-kata itu dari mulut Mak Ngah Ana setelah lama dia diam di hadapanku. Aku tergamam. Mengganggu?

"Eh, ganggu? Mana ada dia ganggu Fatihah, mak ngah." Aku sengih walaupun minda dah terbayang wajah mamat itu tersengih. Meluat!

"Mak ngah minta maaf pasal dia ketuk pintu rumah Fatihah malam-malam tu sampai Fatihah pengsan. Dia tu memang jenis main serbu bila rasa ada yang tak kena." Mak Ngah Ana menggaru kepalanya yang aku pasti tidak gatal.

"Oh, pasal tu ke? Tak apalah, mak ngah. Saya tak marah dia pun, cuma terkejut sajalah. Ingatkan hantu mana malam tu." Aku ketawa kecil membuatkan wajah Mak Ngah Ana sudah menguntum senyum.

"Mak ngah minta maaf juga sebab dia suka menyanyi, main gitar tak kira waktu. Dulu dia tu kerja kampung aje, bila bosan itulah hiburan dia. Jadi, dia dah terbiasa buat gitu. Mak ngah harap Fatihah tak terganggu, ya? Kalau Fatihah rasa bising, Fatihah marah saja dia, mak ngah tak kesah." Aku menelan liur sebaik mendengar kata-kata Mak Ngah Ana, seolah dia tahu aku marahkan Fahmi pagi semalam. Kantoi!

"Errr, mak ngah. Mak ngah tak payahlah minta maaf apa lagi. Fatihah sikit pun tak kesahlah. Maaf sebab pagi semalam mood Fatihah kurang elok sikit, sebab tu termarah dia." Aku pula menggaru kepalaku yang tidak gatal.

"Tak apa. Kalau dia bising, Fatihah marah saja. Mak ngah tak kesah."

"Fatihah pun tak kesah sebenarnya kalau dia nak menyanyi, cuma kena ikut masa yang sesuai sajalah."

"Ya, mak ngah faham. Fatihah jangan risau ya, dia menumpang kejap aje dekat rumah mak ngah. Nanti dia dah dapat rumah sewa baru, dia pindahlah."

Aku terdiam. Hmmm, pindah ya? Nampaknya aku kena bersabar sikit saja lagi sebelum mamat tu lenyap dari depan mata. Haha!

"Fatihah..."

"Ya, mak ngah." Aku bersuara sebaik tersedar yang Mak Ngah Ana masih di situ.

"Kalau dia ada buat bising atau mengganggu kamu, kamu bagi tahu mak ngah. Nanti mak ngah marah dia."

Aku ketawa kecil.

"Ya, baik... Nanti kalau budak nakal tu kacau Fatihah, Fatihah bagi tahu mak ngah." Aku buat muka geram membuatkan Mak Ngah Ana turut tergelak.

"LAMA sembang dengan bakal mak saudara mentua." Hajar bersuara sebaik aku masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu dari dalam.

"Mak saudara mentua? Apakah itu?" Aku buat-buat blur, adalah tu nak mengenakan aku.

"Eceh, buat tak tahu pula. Sudah geharu cendana pula, sendiri dah tahu, malu nak mengaku pula." Hajar selamba berpantun buatkan aku tergelak.

"Ada-ada ajelah kau ni, Hajar. Tak ada kerja lainlah tu. Tak habis nak kenenkan aku dengan mamat tu. Sudahlah Cik Hajar, tak payah sibuk nak carikan jodoh aku. Pandailah aku cari sendiri." Aku angkat kening.

"Amboi, lain macam aja kau ni. Dah jumpa calon ke?" Hajar bangun dari sofa dan pantas mendapatkan aku. Teruja la tu.

"Adalah..." Aku mencuit hidung Hajar dan berlalu masuk ke dalam bilik. Enggan membiarkan Hajar menyoal siasat aku lagi.

Aku dah jumpa calon yang lagi sesuai untuk aku, Cik Hajar oi. Lagi kacak, lagi bergaya. Jauh beza la dengan mamat selekeh tu. Haha!

Mamat Muka SelengaWhere stories live. Discover now