Bab 15

2.8K 79 15
                                    

Burung merpati terbang melayang,

Marah itu tanda sayang?

AKU meletakkan bungkusan moi sup di atas meja malam itu, sebaik aku pulang dari kerja. Kelibat Hajar tidak aku temui di ruang tamu membuatkan aku lekas mencarinya di dalam bilik, risau kalau-kalau sakitnya semakin melarat.

Sebaik membuka pintu, aku lihat Hajar sedang bergayut di telefon sambil ketawa riang. Ini tak ada lain, bergayut dengan Faizlah tu. Dari gaya gelaknya tu, nampak macam dah sihat sikit, jadi tak perlulah aku risau sangat. Aku kembali menutup pintu biliknya dan berlalu ke meja makan.

Perut dah berkeroncong dari tadi tapi apa nak buat, kerja bertimbun di pejabat membuatkan aku tersangkut sampai pukul lapan malam di sana. Lepas solat maghrib, terus aku pecut ke kedai makan dan balik rumah. Badan dah letih tahap tak tahu nak cakap, lepas makan dan solat isyak ni memang sahlah aku hanyut di atas katil. Penat yang amat!

"Baru balik, Fatih?" Hajar menyoal sambil mengikat rambutnya yang sudah berseronyeh. Aku mengangguk lemah, tanda penat.

"Encik Aydan tu kerah betul tenaga aku sampai bagi macam-macam kerja. Yang dia tu seronok aje balik awal sambil berkepit dengan perempuan." Aku mengomel sambil tanganku sudah menyuap moi sup ke mulut.

"Amboi, marah dengan buah hati nampak?" Hajar tersenyum simpul sambil mengambil duduk di sebelahku. Aku tersengih mendengar perkataan buah hati itu, sejuk pula hati ini. Haha.

"Mana ada marah. Geram aje. Eh, kau tu dah okey ke? Sorry beb, aku lambat balik. Hari ni juga kerja aku nak banyak macam ni." Aku rasa bersalah, sepatutnya masa Hajar demam begini, aku kena balik awal.

"Tak apa, aku dah rasa sihat sikit dah. Lepas makan ubat klinik tu, suhu aku dah turun. Serasi pula aku dengan ubat klinik." Hajar bersuara dengan wajahnya yang ceria. Lega hatiku tengok dia kembali bertenaga macam selalu.

"Yalah. Kenalah serasi, kena cepat baik. Orang nak kahwin ni tak boleh sakit lama-lama. Nanti masa kahwin tak berseri."

"Eh, ya ke macam tu?"

"Lebih kuranglah." Aku ketawa membuatkan Hajar ikut ketawa.

"Eh, kau cakap tadi, bos kau tu berkepit dengan perempuan, kan? Playboy ke dia tu?" Hajar tiba-tiba menyoal setelah ketawanya terlerai. Aku jadi terkedu mendengarkan soalan yang terpacul dari mulut Hajar itu.

"Ya. Lebih kuranglah, Hajar. Kejap dengan perempuan ni, kejap dengan yang itu. Wajah kacak dan kaya ni, wajib jadi playboy ke? Sekali pakej ke apa? Menyampah aku."

"Sebab itulah jangan memilih sangat, Fatih. Yang kacak handsome bergaya tu tak semestinya baik. Aku dari saat kau tunjuk hari tu pun aku dah rasa tak suka."

"Aik, kau pun dah terjangkit dengan aku? Tengok kali pertama pun dah meluat gila-gila?"

Hajar ketawa, tahu apa yang aku maksudkan. Sama kes aku dengan Fahmi walaupun aku tak tahu apa salah Fahmi pada aku waktu tu. Mungkin cuma sebab dia tak berapa nak handsome, muka dia selenga. Haha.

"Haah, lebih kurang kes kaulah. Tapi aku ni tak suka pun ada alibi yang kukuh. Aku nampak dia tak pergi solat Jumaat dan sekarang kau sendiri cakap dia tu playboy. Lagilah aku menyampah dengan orang macam ni. Harap muka saja handsome. Fahmi tu lain, aku tengok dia serba-serbi okey. Tapi kau tu menyampah tahap dia buat dosa besar aje dekat kau. Kesian dia tau."

"Hesy sudah, makan moi sup ni, aku beli untuk kau tadi. Tak payah cakap pasal mamat muka selenga tu lagi boleh tak? Hilang selera makan aku." Aku mengomel saat menghulurkan bungkusan moi sup itu kepada Hajar. Hajar hanya tersenyum sebelum berlalu ke dapur, nak ambil mangkuk barangkali.

"OH teratai bunga indah... Engkaulah pujaan hatiku. Telah lama aku rindukan, wahai teratai bunga indah..."

Mataku baru saja nak terpejam ketika suara nyaring tapi garau itu memecah kesunyian alam. Aku menekan butang unlock telefon sebelum melihat waktu yang tertera. Sudah pukul sepuluh malam namun ada orang yang buta waktu nampaknya. Haih!

Aku bingkas bangun walau mata sudah terasa berat, kalau dibiarkan memang aku tidak dapat tidur lena dengan segera. Tidakkah dia faham yang aku letih gila hari ni? Hergh!

Sebaik tudung sudah kusarung ke kepala, aku bergegas keluar dengan muka cemberut. Tahu tak, bila kita mengantuk, mood kita pun ke laut? Tahu tak?

"Eh, teratai... Ops, maksud abang, Husna." Dia tersengih saat melihat aku mencekak pinggang memandangnya dari depan pintu rumahku.

"Awak tahu tak sekarang pukul berapa?" Aku mendengus.

"Baru pukul sepuluh. Relaks la, Husna. Malam masih muda. Meh temankan abang nyanyi." Dia menepuk bangku di sebelahnya yang masih punya ruang membuatkan hatiku bertambah sebal.

"Tak inginlah nak temankan awak main gitar buruk tu." Aku memeluk tubuhku sendiri. Desiran angin malam ni boleh tahan sejuknya.

"Ala, cakap sikit pun nak marah." Dia menyengih sambil kembali fokus memetik gitarnya namun suaranya tidak kedengaran.

"Saya dah nak tidur tahu tak? Boleh tak kalau main gitar tu esok aje? Tak aman ke jiwa awak kalau tak main gitar dengan menyanyi tu sehari?"

"Bila abang main gitar pagi-pagi Husna marah, abang main malam pun Husna marah. Bila entah yang Husna tak marah?" Dia memandang aku dengan wajah minta simpati.

"Bila masa saya marah?" Aku julingkan mata ke atas tanda tidak puas hati.

"Tu bukan marah?" Fahmi menyoal sebelum menghela nafasnya.

"Kenapa Husna suka marah abang saja? Tu anjing rumah Uncle Ah Hong tu pun suka buat bising, anak Kak Leha yang kecik sekali tu pun suka menangis kuat-kuat, rumah Haji Yahya bawah rumah ni pun bising duk renovate, dengan abang juga Husna nak marah, kan?" Dia menambah lagi membuatkan aku terdiam.

"Memanglah saya marah kalau awak main gitar, melalak tak kena waktu. Awak kena tengok keadaan juga. Hari ni saya nak tidur awal sebab tadi penat sangat. Pukul lapan baru saya balik kerja awak tahu tak? Masa yang saya guna untuk bertekak dengan awak ni patutnya masa saya dah lena dibuai mimpi." Aku menjelaskan panjang lebar, minta dia mengerti.

"Oh, maknanya abang kena tengok keadaan Husnalah, ya? Baiklah, lepas ni abang nak main gitar abang tanya Husna dulu, ya?" Dia berhenti membelek gitarnya dan bingkas bangun dari bangku.

"Bukan itu maksud saya!" Aku menjerit kecil. Geram pula bila dia faham benda yang salah, bukan macam tu yang aku nak.

"Habis tu apa maksud, Husna?"

"Maksud saya, hari ni saja jangan main gitar dan menyanyi masa ni, saya nak rehat. Saya nak tidur awal, jadi saya harap awak faham."

"Kalau macam tu, boleh kan minta elok-elok? Bukan marah-marah abang macam tadi. Kecik hati abang." Dia mengulum senyum membuatkan aku terkedu.

"Hmmm, yalah. Minta tolong jangan melalak ya malam ni, saya nak tidur awal. Terima kasih." Aku bersuara dalam keadaan canggung, sentap dengan kenyataan Fahmi tetapi benar juga kata-katanya. Aku ini belum apa-apa terus marah dia tanpa rasa waswas.

Aku berpaling membelakanginya dan membolos masuk ke dalam rumahku dengan segera. Tidak mahu berlama menghadap dia, wajah aku dah panas menahan rasa malu.

"Husna!" Belum sempat aku menutup pintu, aku terdengar dia memanggil.

"Apa?"

"Orang tua-tua cakap, marah tu tandanya sayang. Good night." Mamat muka selenga mengenyit mata seraya tersengih sebelum berlalu meninggalkan bangku tempat dia selalu buat show percuma itu dan membolos masuk ke rumahnya, membiarkan aku terkedu dengan kenyataan berani mati dari dia. Herghhh!!! 

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Aug 08, 2016 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Mamat Muka SelengaWhere stories live. Discover now