"Ayah..."
Qaseh menghampiri ayahnya. Tangan kanan diangkat separa badan. Ayah sambut huluran tangan dia. Tapi ayah tak berbicara. Ayah cuma senyum pada dia. Lama mereka bergenggam tangan.
"Qaseh..."
Terasa hangat genggaman tangan ayah. Ibu jari ayah menggosok-gosok kekura tangan dia.
"Qas rindu ayah." Bisik Qaseh.
Ayah cuma senyum.
"Qaseh... bangun."
Bangun?'
Hilang bayangan ayah. Qaseh buka mata. Pada pandangan telengnya cuma ada komputer riba yang masih terbuka, berlatarbelakang beberapa fail yang bersusun dan satu mug berbekas kering air coklat di tubir. Okay, dia masih di pejabat.
Ada ibu jari yang masih mengelus, mengurut lembut genggaman tangan dia. Selesanya. Tapi...siapa?
Segera Qaseh angkat kepala. Sebaik terpandang wajah itu...Qaseh rentap kembali tangannya, disembunyikan terus di bawah telekung yang masih tersarung. Tangan kirinya naik mengusap lenguh lengan kanan yang dijadikan bantal sebentar tadi. Qaseh renung lagi lelaki di hadapannya.
"Abang buat apa kat sini?" Garau suara bangkit tidur dia. Qaseh berdehem membetulkan peti suara.
"Assalamualaikum." Ucapan balas si lelaki. Tersenyum sumbing si dia di kerusi pejabat bertentangan dengan kerusi diduduki Qaseh.
"Waalaikumusalam... Pukul berapa ni?" Soalan yang membuktikan tahap mamai dia yang masih bersisa.
Lelaki itu senyum, kini berpeluk tubuh.
"Macam..macamana abang boleh masuk dalam pejabat Qas?" Qaseh genyeh mata kiri. Kering terasa bebola mata dia.
Tadi, sebelum terlelap, Qaseh dah pesan kepada Pak Mail, pegawai sekuriti pejabat mereka. Dia dah pesan agar tiada sesiapa dibenarkan masuk ke pejabat mereka. Tapi kenapa dibenarkan juga lelaki ini naik ke pejabat dia. Nampak gaya dia perlu beri arahan lebih spesifik untuk Pak Mail selepas ini. Pak Mail, tolong jangan benarkan lelaki bernama Alif Alham ini masuk ke ruang pejabat dia selepas waktu kerja. Pasti.
Tapi dia tak boleh salahkan Pak Mail juga. Silap dia. Mesti Pak Mail sangka Alif Alham masih sebahagian daripada keluarga dia. Tak semua orang tahu hakikat sebenar status terkini Qaseh Kawsar dan Alif Alham. Di dalam pejabat ini, hanya Kak Zed saja yang tahu cerita sepenuhnya. Inilah rumitnya kalau berahsia bagai.
"Qas tak bagitahu Pak Mail tentang kita, kan? Tadi senang je abang lalu depan dia." Alif Alham senyum. Dia buat gaya melambai tangan kanan ibarat Ratu England meraikan rakyat di tepian jalan. "Abang cuma senyum, abang angkat tangan...lolos."
"Abang dah berapa lama dekat sini?" Qaseh jeling Alif Alham.
Dia tolak kerusi yang diduduki ke belakang dan tunduk membongkok sedikit. Laci meja yang paling bawah dibuka. Satu bungkusan tisu basah dikeluarkan. Sekilas matanya terpandang satu tin bulat sederhana besar yang baru diletakkan di situ seminggu lalu. Qaseh tolak tin itu ke sudut paling dalam. Jangan sampai lelaki di hadapan dia ini tahu tentang berita yang berkaitan.
"Abang datang lepas isyak tadi. Tengok Qaseh sedap tidur, abang malas nak kejut. Kenapa tidur dekat meja? Kenapa tak balik lagi? Kan semua orang dah cuti? Banyak sangat ke kerja tu?" Bertalu-talu soalan di bibir Alif Alham.
Qaseh pandang jam digital. Hampir dua jam lebih juga dia tertidur.
"Lepas maghrib tadi, Qaseh ingat nak go through one last time on this paper work..." Telunjuk kiri dituding pada skrin komputer riba.