Qaseh 1.0

439 25 1
                                    


Kedengaran beberapa ketukan di muka pintu. Qaseh angkat sedikit pandangannya. "Hmmm?"

Ada wajah kecil bertudung terjongol di sebalik daun pintu pejabat.

"Errr...Puan Qaseh, ni dah nak masuk Zohor ni, emm, saya nak balik dulu...boleh ke?"

Serba salah nada suara Zaidah Halim, pembantu peribadi dia. Qaseh tanggalkan cermin mata bacaan perlahan-lahan. Dia tarik nafas dan menghembus tenang. Masih bereaksi dalam keadaan senyap.

Pandangan mata difokus pada jam digital di hujung sudut meja kanan. Pukul dua belas, tujuh belas minit tengah hari. Pandangan Qaseh beralih pada si dia yang berdiri kaku di bukaan pintu.

Senyap lagi.

Dan sesaat kemudian, Qaseh larik senyum manis.

"Baliklah, Kak Zed. Qaseh banyak kerja lagi ni. Kak Zed kan memang saya dah bagi half day hari ni, baliklah kak." Kelihatan senyumannya berbalas.

"Akak gerak dulu ya. Qaseh jangan lama-lama sangat duduk pejabat sorang-sorang. Bahaya. Orang keliling dah ramai balik kampung, area pejabat kita dah lengang."

Zaidah melangkah menghampiri meja Qaseh. Walaupun dia lebih berusia berbanding bos di hadapannya ini, Zaidah tetap hormatkan Qaseh. Hanya apabila mereka berdua sahaja, bahasa gelaran formal dilucutkan daripada bicara.

Tahap hormat Zaidah berasaskan dua sebab yang kukuh.

Satu, Zaidah senang dengan sikap Qaseh yang tidak pernah kasar terhadap dia. Qaseh tak pernah ambil kesempatan atas status pengarah syarikat yang dijawatnya.

Dua, kerana kasih sayangnya sendiri terhadap Qaseh.

Qaseh Kawsar ibarat adik angkat dia. Qaseh membesar di hadapan mata dia. Sebelas tahun Zaidah menjadi pembantu peribadi arwah ayah Qaseh, sebelas tahun itu jugalah arwah Haji Kamarul seringkali bawa anak bongsunya ini ke pejabat.

Zaidah sendiri jadi saksi Qaseh pulang daripada sekolah, selesaikan kerja sekolah di bilik mesyuarat di hujung pejabat ini. Qaseh sentiasa sabar menanti ayahnya selesai kerja dan pulang bersama. Setianya Qaseh bersama arwah tidak dapat disangkal.

Dan dua tahun lalu, Qaseh Kawsar pegang tampuk pemerintahan pejabat ini...tanpa rela sebenarnya. Atas 'arahan mendadak' pada wasiat yang ditinggalkan arwah Haji Kamarul.

Cara pemergian arwah bosnya itu agak mengejut. Tak siapa menyangka Haji Kamarul yang sentiasa nampak sihat itu menghidap penyakit jantung. Dia sendiri, antara insan yang paling rapat dengan Datuk Kamarul, pun tak pernah tahu tentang penyakit arwah.

Kasihan Qaseh, terpaksa menanggung beban mengendali syarikat di usia muda.

"Qaseh..." Zaidah sudah berdiri rapat di hadapan meja kerja bosnya.

"Ya kak?" Qaseh Kawsar boleh teka apa yang mahu dibicarakan kakak angkat dia seorang ini. Bibirnya menguntum senyum.

"Qaseh raya rumah akak ya? Datang malam ni pun tak apa. Tidur rumah akak. Rewang-rewang masak rendang, masak serunding dengan keluarga akak. Nak?"

Qaseh lunjurkan tangan kanannya mendepa menyeberang lebar meja. Tapak tangan ditadah. Permohonan senyap agar tangannya disambut.

Zaidah Halim sambut genggaman salam Qaseh. Mereka sama-sama bertukar senyuman.

"Kak Zed tak payah risaukan Qaseh. Qas okay je kat rumah. Mak Jah ada. Pak Yem pun ada. Tak sunyilah."

Zaidah angguk perlahan. "Kalau sunyi datang rumah akak ya? Anak-anak akak suka kalau Qaseh datang rumah."

"Insya-Allah, nanti raya kedua ke, atau raya ketiga, Qaseh datang ya. Raya pertama Qaseh nak jenguk..." Terdiam. Qaseh pandang mata si kakak.

Zaidah Halim mengangguk bisu. Mengerti sepenuhnya ayat terputus di bibir Qaseh tadi.

"Baliklah kak. Kirim salam abang and kids." Qaseh bangkit daripada kerusi. Dia berjalan ke arah Zaidah. Salam dihulur.

Sempat Zaidah kerling set baju kurung longgar yang tersarung di badan Qaseh. Cantik. Tapi bukan itu yang buat pandangan mata Zaidah masih kekal di baju Qaseh.

"Jaga diri, dik. Jaga makan. Jangan makan yang bukan-bukan sangat." Zaidah peluk Qaseh erat. "Anything, telefon akak. At any time, malam buta pun tak apa. Janji?"

"Ya kak, janji. Dah, pergi balik sana! Kids dah tunggu kat rumah tu. Nak Qas guna kuasa bos ke ni?"

Spontan mereka gelak bersama.

Zaidah Halim lurutkan pegangan tangan dia. Kemudian dia melangkah berat ke arah pintu. Seberat hatinya untuk membiarkan Qaseh Kawsar menyambut Aidilfitri seorang diri.

✂️

© 2014. Shirod Shukri. All copyrights reserved.

QasehHikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin