"Pak Mail, Qaseh mintak maaf banyak-banyak. Qas habis kerja lambat malam ni. Sorry."
Pak Mail menggeleng di kerusi, di sebalik meja kaunter penyambut tetamu.
"Tak apalah Qaseh. Dah memang tugas Pak Mail jaga dekat bawah wisma ni." Dan sudah janji dia kepada arwah untuk tengok-tengokkan pewaris seorang ini, selagi ada hayat dikandung badan.
"Mana boleh tak apa, Pak Mail. Orang lain malam raya nak bersiap-siap, berkumpul dengan family, tapi Qas tahan Pak Mail kat sini pulak."
"Ada ke bos minta maaf dengan pak guard dia? Dah memang awak tu layak nak bagi arahan kat Pak Mail." Pak Mail jeling anak muda yang berdiri di hadapannya, dengan beg tangan dan beg komputer riba tersandang di bahu. Lesu benar nampak gaya.
Berdecit mulut Qaseh. "Jangan macam tu, Pak Mail. Pak Mail dah macam ayah Qaseh. Jangan cakap Pak Mail tu pak guard bila dengan Qaseh eh. Lepas Qas balik ni, Pak Mail balik tau?" Qaseh betulkan lilitan shawl di kepala. Terasa seperti lilitan itu senget-senget. "Okay tak tudung Qaseh, Pak Mail?" Sambil dia tayang sengih lebar.
Dengan Pak Mail ini, dia ada hubungan tak rasmi anak-ayah. Zaman sekolah dia dahulu, Pak Mail pencabar "checkmate" dia yang paling kerap. Papan petak-petak hitam putih yang sudah lusuh di dalam pejabat mereka menjadi saksi betapa kerap perlawanan antara mereka berdua. Itu semua acara sampingan, sambil dia tunggu arwah ayah siapkan kerja-kerja yang tak menentu waktu selesainya, hampir setiap hari. Dan Pak Mail serta Kak Zed juga peneman setia dia bersembang hal-hal sepanjang remaja.
Hal-hal kemaruk fesyen, hal jatuh hati-patah hati-dan jatuh hati semula dengan rakan di sekolah menengah sampailah ke hal jerawat yang asyik timbul, semuanya di poket Kak Zed.
Dengan Pak Mail, dia ada hubungan diplomatik isu keselamatan dan pertahanan diri. Dengan siapa dia berkawan; bagaimana hendak mengelak gangguan rakan lelaki; lengkap dengan kursus pendek cara menangkis pelukan rambang, semuanya termasuk dalam skop tak rasmi kerja Pak Mail. Lelaki tua ini ibarat sifu karate-kid dia.
"Bila masa pakai macam ni? Tadi pagi free-hair lagi kan?"
Qaseh balas senyum Pak Mail. Mata tua itu berlapik-lapik kelopaknya, sudah berkerut di hujung alis. Dia jongket sedikit kedua bahu. "Entah...tiba-tiba je dapat seru. Dapat seru dekat pejabat pulak tu. Qas main sarung je shawl apa yang ada."
"Macam-macamlah awak ni, Qaseh." Pak Mail geleng lembut. Dia bangun daripada kerusi yang didudukinya sedari tadi, kini berdiri berkekuda, bersilang tangan di belakang badan, di sisi kiri Qaseh. "Kenapa Qaseh tak balik saing dengan Alham?" Wajah lembut Qaseh ditatap.
"Emm, Alham tak nak tinggalkan kereta dia. Jadi, dia baliklah dulu." Bohong lagi! Memang Alif Alham balik dahulu, tapi bukan balik ke rumah yang sama dengan dia. Nanti-nantilah, selepas cuti hari raya nanti dia khabarkan hal sebenar kepada Pak Mail. Beri peluang Pak Mail bercuti dengan tenang hati untuk sambutan Syawal.
"Membazir minyak betullah korang berdua ni. Kongsi kereta bukan ke lebih senang. Ini dah lewat ni, Qas memandu sorang-sorang pulak tu." Mencuka wajah Pak Mail di sisi Qaseh. "Dah, gerak cepat. Pak Mail hantar ke kereta."
Qaseh senyum sahaja. Malas dia nak membentak apa yang dibebel Pak Mail. Beriringan mereka ke ruang parkir khas.
"Lain kali suruh Alham tunggu dulu, dia sepatutnya pandu ikut belakang kereta Qaseh. Ada ke patut tinggalkan wife macam ni..."
Ada lagi ceramah keselamatan Pak Mail! Qaseh tak boleh tahan gelak sambil jemari kanan memutar kunci di tempatnya. Berderum bunyi enjin Audi A4.
"Pak Mail ni dari dulu tak habis-habislah nak bebel isu keselamatan." Usik Qaseh.
