BAB 1

35 1 1
                                    

   

    

    "MAK jual tanah kita pada pemaju, mak?" tanya Deris dengan rasa geram merekam di dalam dada. Dia yang baru pulang dari tempat kerja, tiba-tiba terlihat bulldozer dan papan tanda besar merentang di hadapan jalan masuk ke kampungnya menujukkan projek yang bakal dijalankan. Terus dia membelok masuk ke rumah emaknya dan bertanya berkenaan isu itu. Setelah menggesa, baharulah emaknya membuka cerita. Langsung mereka adik beradik tidak diberitahu dan dibawa untuk berbincang dahulu perihal itu. Macam mana dia tak marah?

    "Aah, aku dah jual." Jawab Gayah bersahaja dengan rasa tidak bersalah.

    "Berapa diorang bayar mak?" sambung Deris lagi.

    "Dua ratus ribu." Gayah yang sedang menjahit kain batik yang carik, menjawab pertanyaan anaknya.

    "Ya ALLAH, mak... mak dah kena tipu hidup-hidup mak... harga tanah kita ni boleh dapat lebih dari setengah juta tahu tak mak? Mak buta-buta je terima bila pemaju tu tawarkan harga macam tu kenapa?" berang Deris dibuatnya dengan keputusan Gayah yang asal setuju saja selepas diracun dengan janji-janji manis pihak pemaju.

    "Manalah aku tahu. Tapi dia janji nak bagi rumah pada mak selepas siap pembinaan nanti." Gayah ikut terkejut juga sebenarnya apabila Deris sebutkan harga tanah mereka, tetapi dia yang sudah terlepas membuat keputusan sudah tidak boleh menarik lagi. Maka dia terpaksalah reda.

    "Mak percayakan pemaju tu? Kalau dia tak bagi macam mana?"

    "Mak percaya. Rasanya dia takkan tipu mak." Gayah terpaksa berkata begitu. Deris meraup rambutnya ke belakang dan mengeluh berat.

    "Tak tahulah apa saya nak cakap, mak. Kalau dia tak bagi rumah tu pada mak, saya pun tak nak cakap apa-apa lagi dah. Saya dah malas nak berkira." Dengan ayat itu, Deris terus keluar dari rumah Gayah dan berlalu pulang.

    Lama Deris tidak jejak ke rumah Gayah, sehinggalah Gayah panggil anak-anaknya balik untuk menyerahkan kunci rumah, masing-masing baru tunjukkan muka.

    "Ni, mak panggil kamu semua anak-beranak berhimpun ni sebab mak ada sesuatu nak bagi pada kamu." Gayah kemudiannya meletakkan empat gugus kunci di atas meja di hadapan Shukri, Deris dan Amelia. Mereka bertiga hanya pandang memandang dengan hairan.

    "Ni kunci rumah yang pemaju tu bagi mak. Mak bahagikan untuk kita anak beranak. Kamu pilihlah nak rumah yang mana satu." Beritahu Gayah dengan perasaan bangganya.

    "Betul ke ni, mak?" tanya Amelia dengan riak terkejut.

    "Hmm..." lebar senyum Gayah apabila melihat seorang demi seorang anaknya sudah terbuka ceria di ruang wajah. Amelia memilih dahulu kunci rumahnya. Diikuti Shukri. Selepas itu baharulah Deris. Kunci yang terakhir sekali Gayah ambil untuk dirinya sendiri.

    "Kamu tinggallah di rumah ni. Sekurang-kurangnya kita tinggal dekat-dekat. Senang kita nak berhubung." Kata Gayah. "Ini geran rumah kamu. Ambillah." Lalu fail-fail berisi geran rumah diletakkan pula di atas meja. Anak-anaknya memilih geran yang telah mereka ambil kuncinya. Setakat itu Gayah sudah mampu menarik nafas lega apabila melihat kemarahan anak-anaknya kembali surut.

    Shukri, iaitu anak sulung Gayah bekerja sebagai askar dan dihantar ke Sabah untuk bertugas. Deris pula bekerja di kilang berdekatan tempat tinggal mereka. Manakala Amelia pula hanya surirumahtangga sepenuh masa. Dia juga seorang penulis bagi mengisi masa luangnya di rumah.

    Sejak berpindah duduk di taman perumahan, Gayah sudah tidak membuat apa-apa kerja. Cuma kalau ada ibu-ibu bersalin memanggil dia pergi mengurut, dia akan pergi. Kalau tidak berbuat apa-apa, dia cuma meronda satu kawasan dengan mengayuh basikalnya. Ada kala dia hanya berjalan kaki sambil memerhati kediaman penduduk-penduduk di sini, yang mana sudah memiliki tanah yang suaminya pernah teroka.


    

    


WARISWhere stories live. Discover now