BAB 2

31 0 0
                                    


    "KITA buang jelah 'benda' tu, mak. Tak ada faedahnya pun kalau simpan. Bukan boleh bantu kita. Cuma menyusahkan adalah." Pujuk Amelia buat sekian kalinya.

    "Kaorang jangan memandai-mandai nak mengajar mak. Mak kata takkan buang, mak takkan buang. Ini peninggalan nenek moyang arwah ayah kamu untuk jaga anak cucu cicit kita supaya orang tak berani apa-apakan!" Merah mencerlung biji mata Gayah ketika bertentang dengan anak-anaknya yang berdua. Sakit hatinya apabila itu juga yang diungkit-ungkitkan mereka. Gayah yang umurnya pada ketika itu sudah menjangkau ke angka tujuh puluh tahun, masih berkeras tidak mahu membuang saka peninggalan arwah.

    "Mak, kita tak perlu saka tu untuk jaga kita tau, mak. Kita ada ALLAH. ALLAH boleh jaga kita. Buat apa kita tunduk pada makhluk iblis laknat tu? Syirik tau mak? Syirik! Ada saka tu, nak buat amal ibadat pun tak sempurna. Mak bukan muda lagi. Dah tua!" Kali ini Deris sudah tidak mampu menahan sabar. Apabila disuruh buang saka peninggalan arwah yang selalu mengganggu mereka sekeluarga, yang membuatkan anak-anak mereka menangis sampai terbeliak biji mata, emak mesti ada alasannya.

    Deris tidak kira, kalau dia dianggap menderhaka sekali pun. Dia tidak mahu emak terus tersesat dengan memelihara peninggalan nenek moyang yang hanya menyusahkan diri semasa hendak mati nanti. Dulu semasa arwah ayah masih hidup, kerap kali juga makhluk itu buat kacau. Menceroboh rumah mereka dan tidur di bilik emak tanpa pengetahuan emak dengan menyerupai tuannya. Selepas ayah sakit-sakit, ayah serahkan kepada emak. Emak terima bulat-bulat tanpa berfikir panjang.

    Dahulu yalah, emak masih kuat. Sekarang ini emak sudah mula sakit-sakit. Siapa yang nak menyanggupi untuk jamu 'benda' itu. Lalu terus ia mengganggu orang di dalam rumah ini kalau sesekali balik kemari. Kalau tidak pun, diganggu penduduk-penduduk taman ini hingga meraung menjerit anak-anak kecil sampai terbeliak biji mata pada tengah-tengah malam buta. Anak-anak gadis yang pulang mengaji pula lari mencerit ketakutan apabila sesekali saka itu menjelma menunjukkan rupanya. Ada yang histeria sampai berminggu-minggu lamanya.

    Bukan orang luar sahaja, mereka yang pulang ke mari pun menjadi mangsanya. Berbekas lebam sana sini dikerjakannya. Anak-anak meraung tidak sudah-sudah hingga merah keras tubuh mereka. Sebab itu Deris dan Amelia bersepakat untuk memujuk emak. Tapi nampaknya kedegilan emak masih tidak berganjak. Abang Shukri telahlah, sokong sangat dengan apa yang emak buat. Langsung tidak mahu menasihati emak untuk menjauhkan perkara syirik itu.

    "Kau jangan kurang ajar, Deris! Engkau ingat engkau tu siapa nak mengajar aku?" Gayah naik hantu tiba-tiba. Biji matanya yang merah menyala bagai biji saga itu ditusuk pandang ke arah anak lelaki keduanya.

    "Bukan niat saya nak berkurang ajar, mak... Tapi cara mak buat tu salah, saya tegurlah."

    "Mak dah cakap, mak tak setuju, mak tak setuju! Kalau kau orang tak selesa, lain kali jangan datang! Kau orang boleh berambus! Nyah dari sini! Jangan singgah lagi ke rumah aku ni! Aku boleh hidup sorang-sorang diri. Jiran kiri kanan ramai boleh tengok-tengokkan aku."

    "Kenapa dengan mak ni! Payah sangat ke nak terima nasihat orang? Apa orang cakap semua mak tak nak terima. Ingat kepala mak je betul!" Deris sudah bingkas bangun. Hatinya sudah menggeledak panas.

    "Eh, kau berdua pergi berambus. Berambus, aku kata! Kau orang berambus!" biji mata Gayah terbuntang luas. Sambil bercekak pinggang dengan sebelah tangannya, sebelah tangan lagi melurus menunjuk keluar. Apabila kedua-dua beradik itu masih tidak berganjak, Gayah terus menuju ke dapur. Berdengkot-dengkot dia berjalan kerana sakit urat. Dia juga bukan kuat lagi. Sudah tua benar dia hidup di atas muka bumi ini.

    Walau menengking hingga nampak anak tekak sekalipun, jangan harap Gayah mahu mengikut kehendak anak-anak supaya dia membuang saka peninggalan nenek moyang suaminya. Dia tidak sanggup kerana itulah amanah suami sebelum menutup mata. Shukri pun sanggup untuk menjadi waris. Dia cuma menunggu anak sulungnya tamat berkhidmat dalam tentera sahaja dan balik kemari. Kemudian tugasnya sudah selesai.

    "Macam mana ni, bang. Emak degil jugak tak nak buang saka tu." Tanya Amelia yang sudah berkeluh kesah. Pujukan mereka kali ini nampaknya tidak berhasil juga.

    "Entahlah Melia, abang pun dah habis fikir dah ni macam mana nak usahakan. Kalau hati kita tak sepakat, 'benda' tu tak nak pergi. Sebab ada yang sanggup bela dia. Ni abang long pun nampak macam berat je nak setuju bila kita usulkan tentang perkara ni. Kalau macam tu, sampai bila-bilalah 'benda' tu akan mengganggu anak pinak kita."

    "Tulah bang, Melia pun ada jugak berbincang dengan abang long. Tengking lagi adalah. Tak tahulah bang, apa faedahnya simpan saka tu. Nak kata kaya raya tak jugak. Menyusahkan diri sendiri je. Anak-anak selalu takut. Jangankan budak-budak, kita pun rasa lain macam jugak ni." Amelia mengeluh berat. Sesekali dia menjenguk anak-anaknya yang sedang bermain di luar kawasan rumah. Apabila bersembang bab itu, bulu romanya pasti akan meremang tegak. Amelia meraup lengannya dan menggosok-gosok. Dia sudah tidak selesa berlama-lama di rumah emak.

     Ketika mereka berdua sedang enak duduk berbincang, tiba-tiba kedengaran suara jeritan nyaring dari arah dapur. Bergegas kedua-duanya ke dapur melihat apa yang telah terjadi kepada Gayah.

    Gayah rebah di lantai sambil mengelupur. Deris terus menerpa dan memangku tubuh emaknya. "Mak, kenapa ni, mak?" suaranya begitu cemas.

    "Terus bawak ke hospital, bang. Jangan berlengah-lengah." Kerah Amelia. Cepat-cepat dia meluru ke ruang tamu untuk mengambil kerudung yang disebaikan di atas kusyen untuk menutup kepalanya sebelum mereka sekeluarga bergegas menuju ke hospital apabila Gayah sudah tidak sedarkan diri.

    Setelah dibawa ke hospital, Gayah telah dimasukkan ke wad kecemasan. Kata doktor, ada batu karang dalam perutnya. Doktor terpaksa membuat pembedahan dengan segera. Amelia dan Deris hanya mampu berdoa agar Gayah cepat sedar. Shukri dihubungi. Terpaksa dia ambil masa untuk ke mari kerana kedudukannya jauh di seberang laut.

WARISWhere stories live. Discover now