Gangguan di hospital
MALAM itu di kediaman Amelia, hanya Idham dan anak-anak sahaja di rumah menghadap makan malam mereka. Amelia sedang menjaga Gayah di hospital. Apabila mendapat perkhabaran mentuanya rebah tiba-tiba, Idham mengajak anak-anaknya menjengah ke hospital. Tetapi masing-masing punya alasan tersendiri.
Apabila ditegur, mulalah masing-masing tarik muka lain macam. Berat benar mereka mahu menjengah nenek yang terlantar sakit. Terpaksa dipujuk, itu pun dengan mengumpan yang bermacam-macam. Amir walaupun sudah berada di IPT, tetapi kelakunya seperti anak-anak. Rajuk terhadap neneknya sampai ke hari ini. Manakan tidak, pernah dia ke rumah neneknya, tetapi dimarah dan ditengking pula kerana tidak henti-henti mulutnya berzikir dan membaca al Quran seusai solat.
Ara sedang menunggu keputusan SPM manakala Sue baru berusia lima tahun. Anak-anak itu lagilah tidak mahu menjengah nenek mereka. Puas dipujuk, berat sahaja mereka mahu menurut.
"Besok kita jenguk nenek di hospital ye? Kesian mama terpaksa tunggu nenek sorang-sorang di sana." Beritahu Idham ketika mereka duduk makan malam bersama anak-anaknya.
"Nak kena pergi lagi ke, abah? Adoi mak... malas la Ara. Besok kan Ara kerja..." Ara memang begitu, kalau dia tidak suka, dia cakap terang terang. Tidak ada selindung-selindung lagi.
"Tak baik macam tu Ara... itukan nenek Ara jugak? Orang yang melahirkan emak tau? Tak baik cakap macam tu." Nasihat Idham.
"Tapi nenek tu..."
"Sudah, sudah, abah tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Besok kita semua pergi jengah nenek di hospital." Ara mencebik dengan muka masam mencuka.
"Adik takut la tengok nenek tu. Macam hantu." Kata Sue. Ara mengangguk setuju. Kemudian dia mencalit ibu jari ke jari adik bongsunya.
"Adik... tak baik cakap nenek macam tu." Tegur Idham.
"Betul la bah... mata nenek tu, bila dia tengok orang macam nak telan. Sue tak suka!" Sue sambung lagi membuatkan Idham tidak dapat patahkan kata-katanya. Dia pun gerun melihat renungan mentuanya, anak-anak lagi-lagilah berasa gerun. Tetapi tidaklah sampai menghalang terus anak-anak pergi jengah nenek mereka. Seboleh-bolehnya dia sebagai orang tua tidak mahu anak-anak mengabaikan orang tua. Walau bagaimanapun perangai orang tua itu, itulah orang yang melahirkan emak mereka.
"Mir rasa besok Mir tak boleh pergi kut, bah. Ada hal sikit nak jumpa kawan. Pasal perbincangan kertas kerja." Amir pula bersuara.
"Tangguhkan je ke hari lain." Balas Idham.
"Eh, tak boleh bah... dah janji dengan kawan." Idham tahu anak sulungnya cuba mengelak. Tetapi dia mesti bertegas kali ini,
"besok, abah nak semua batalkan rancangan kamu di luar. Semua ikut abah pergi jengah nenek di hospital. Keputusan muktamat!" Kali itu Idham pula berkeras. Dia tidak boleh bagi muka lagi kepada anak-anak. Nanti lagi sakan mereka beralasan.
"Ala..." anak-anaknya bunyi serentak. Dia tahu apa yang mereka rasa. Tetapi dia tidak boleh berlemah lembut lagi.
"Sudah, makan cepat. Lepas makan pergi belajar. Abah nak pergi hantar makanan pada mama kejap." Beritahu Idham.
"Eh, boleh masuk ke bah malam-malam macam ni?" tanya Amir
"Alah... abah pandai-pandailah nanti. Guard tu kawan abah. Boleh setakat nak hantar makanan kejap." Jawab Idham.
YOU ARE READING
WARIS
HorrorBoleh dapatkan novel ini di kedai2 buku nanti. Terbitan SR PUBLICATION. saka ini dibangkitkan dengan cara pemujaan. ia diturunkan kepada warisnya bagi melindungi keluarga mereka dari kejahatan. namun sudah sampai masa ia dilenyapkan. maka berlelu...