PROLOG

76 3 0
                                    


    DERU angin yang melintas terasa hingga ke tulang sum-sum. Sesekali, terasa meremang bulu roma hingga mengundang perasaan tidak selesa. Bunyi cengkerik tingkah meningkah di kawasan sekeliling. Sayup-sayup di kejauhan, terdengar lolongan anjing bersahut-sahutan. Dada Gayah berdebar. Dia ketakutan. Sekilas, dia perasan seperti ada bayang melintas. Dia beralih ke sisi, tidak ada apa-apa di sebelahnya.

    Gementar seluruh tubuh Gayah, membuatkan dia mencari lokasi yang agak cerah supaya keadaannya tidak terlindung dari bayang-bayang. Di hujung-hujung pendengaran, dia terdengar-dengar seperti di bawah lantai papan rumahnya dicakar-cakar. Lebih-lebih lagi apabila dia cuba pejamkan mata, bunyi-bunyian itu terasa begitu dekat dan menyeramkan. Pandangan Gayah terus menyasar ke arah lampu minyak yang tergantung, cuba menghindarkan pandangannya dari terpandang sesuatu yang tidak diinginkan. Di duduk bersila kejap di situ langsung tidak berganjak.

    Sewaktu kejadian berlaku, Samad keluar untuk memasang buluh pagar bagi menghindar babi hutan dari masuk menerjah ke kawasan rumah. Hidup meneroka di tanah terbiar dan jauh ke tengah hutan begitu, beginilah keadaannya. Mesti sentiasa berwaspada.

    Ketika Samad sedang memasang buluh pagar, waktu itulah dia terlihat satu lembaga yang begitu besar dan tinggi melintas di hadapannya. Lembaga hitam yang berbulu lebat serta bermata merah menyala itu menunjukkan wajahnya yang bertaring dan begitu menggerunkan. Terkejut dengan kemunculan makhluk tersebut, Samad terus berlari masuk ke dalam rumah. Sampai sahaja di dalam rumah, dia nampak keadaan Gayah agak pelik. Gayah duduk bersila di bawah lampu minyak yang digantung sambil biji matanya terpasak ke atap rumah. Tubuhnya keras dan tidak bergerak-gerak.

    "Gayah, kenapa ni?" Gayah langsung tidak menjawab. Apabila tubuhnya dicuit, dengan tidak semena-mena Gayah terus menggerakkan tubuhnya ke kiri dan ke kanan seakan sedang meratip. Biji matanya masih terpasak ke atas. Keadaan itu telah mengundang perasaan seram pada diri Samad. Dia tidak tahu untuk berbuat apa-apa dalam keadaan tengah-tengah malam begitu.

    "Gayah! Gayah!" Samad menghinggut tubuh Gayah.

    "Apa!" tidak semena-mena Gayah menjerkah dengan suara yang kasar seperti suara perempuan tua. Biji matanya membeliak dan merah menyala. Pandangannya tajam seperti mahu menerkam. Kuku jari pula mencakar-cakar ke lantai. Samad sudah terketar-ketar ketakutan.

    "Mmm... maa... maaf tok. Anak cucu mintak maaf. Anak cucu tumpang berteduh."

    Dengan tidak semena-mena, Gayah terus mengilai apabila melihat Samad sudah tebongkok-bongkok meminta maaf. Suaranya begitu nyaring, bergema seakan datang dari segenap arah.

    Samad terus berganjak sedikit ke belakang. Dalam waktu yang sama, dia berasa seperti ada suatu kuasa ghaib menyerap masuk ke dalam tubuhnya. Dengan tidak semena-mena dia telah bertukar perwatakan. Samad duduk bersila berhadapan dengan Gayah dan memandang tepat ke biji mata isterinya.

    Gayah yang sudah berhenti mengilai, kemudian menyeringai dengan menggerunkan. Kemudian dia mula merangkak sambil mencakar-cakar lantai lalu meludah ke muka Samad. Keadaan itulah yang membuatkan Samad menjadi berang. Terus dia masuk ke bilik. Pergerakannya bagaikan dipandu. Kotak kayu dibuka lalu dia mengeluarkan keris kecil yang dibalut dengan kain kuning dan dibawa ke ruang tamu. Samad yang sebelum itu tidak pernah mempelajari sebarang ilmu, dalam tidak semena-mena mulutnya begitu lancar membaca jampi serapah lalu meniupkan ke keris tersebut. Kemudiannya keris itu dicacakkan ke lantai rumah. Ketika keris itu ditikam ke lantai, Gayah yang sedang menyeringai dan memandang tajam kepadanya terus menggelupur. Batang leher Gayah dicekik oleh tangannya sendiri. Gayah menjerit nyaring dengan suara yang bukan dari suaranya sendiri.

    "Keluar kau dari sini! Jangan berani-berani mengganggu anak cucu cicit aku!" Samad yang juga sudah kerasukan, menengking dengan suara yang keras. Dia sudah tidak seperti dirinya sendiri. Dia seperti mempunyai kuasa asing yang memandu segala perbuatannya.

    Samad mengangkat keris tinggi-tinggi. Kemudian menikam ke lantai sekali lagi. Dia menekan kuat-kuat hingga tangannya menggeletar dan wajahnya merenik peluh. Biji mata pula bagai hendak tersembul keluar.

    "Tolongggg! Tolongggg! Aku pergi dari sini! Lepaskan aku! Lepaskan aku!" Gayah menjerit lagi sambil mencekak rambutnya yang sudah berserungas.

    "Nyah kau dari sini!" keras suara Samad memerintah makhluk yang tidak diundang itu keluar meninggalkan tubuh isterinya. Dia menggenggam dengan kejap hulu keris sambil membacakan sesuatu. Selepas keris dicabut, Gayah terus rebah.

    Waktu itulah Samad berasa tubuhnya menjadi ringan dan nafasnya berombak kencang. Dia pandang ke sisi. Gayah sudah pengsan tidak sedarkan diri. Seketika mereka berdua menelentang di ruang tamu sebelum tenaga Samad pulih semula lalu dia mencempung tubuh Gayah dan dibawa ke tempat tidur.

    

    

    

    

    

    


WARISWhere stories live. Discover now