Jimi baru siap menyarung jeket merah hijau yang merupakan uniform rasmi D'Kiosk itu ke tubuh apabila telinganya menangkap bunyi pintu kaca kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam itu ditolak dari luar. Dia yang membelakangkan pintu hanya melangkah tenang menuju ke belakang kaunter sambil berkata,
"Selamat datang ke D'Kiosk,"
Sempat matanya melirik jam di tangan. Tujuh minit ke pukul 12 tengah malam. Jimi mengagak pasti pekerja-pekerja dari hotel berhampiran berdekatan yang baru habis berkerja syif malam yang datang singgah. Lazimnya begitulah, mereka pasti singgah sama ada membeli makanan minuman ringan ataupun sekadar menambah nilai kad prabayar. Paling tidak duduk di kerusi kecil yang disediakan khas di luar D'Kiosk sambil menikmati mee segera dalam cawan.
Jimi sempat menguap kecil. Dia baru bertukar syif dengan Nurul sebentar tadi. Sepatutnya hari ini merupakan hari cuti Jimi, tetapi saat-saat akhir pula Roni yang sepatutnya berkerja malam ini tidak dapat datang. Ada hal kecemasan katanya. Jimi mengagak hal kecemasan Roni itu melibatkan dua tiket tayangan lewat malam di Growball Cinema. Macamlah Jimi tidak tahu sudah beberapa hari Roni asyik bercerita tentang filem seram terbaru Hollywood. Khabarnya sangat menyeramkan. Sementelah Roni itu memang peminat filem seram. Tidak kiralah filem seram dari Hollywood, Korea, Thailand mahupun Indonesia semua dia belasah tonton. Dan kebetulan pula malam ini adalah hari pertama tayangan filem itu di bandar ini. Suka hati Roni pilih hari Jimi bercuti untuk ada 'hal kecemasan'. Kecemasan lah sangat!
"Untunglah, ada girlfriend. Aku jugalah forever lonely," getus hati Jimi. Ikutkan hati Jimi, lagi elok dia tidur sahaja di rumah, lagipun memang hari cutinya kan? Namun tak kan lah dia hendak biarkan Nurul sambung berkerja di D'Kiosk itu sampai pagi? Kasihan pula, lagipula wanita.
Bahaya. Jimi sendiri maklum cabaran yang harus dihadapi pekerja-pekerja kedai 24 jam seperti mereka. Kadang-kadang yang masuk ke kedai itu orang mabuklah, budak-budak nakal lah, dan siapa tahu mungkin sahaja perompak yang menolak pintu masuk kedai itu. Ataupun hantu! Mana ada hantu kat dunia ni, detik hati Jimi, sengih.
Oleh kerana itu, mahu tidak mahu terpaksa juga Jimi turun kerja malam ini. Belum pun sempat dia bersiap-siap ada sudah pelanggan menolak pintu kedai tadi.
"Uish...apasal sejuk betul pula tiba-tiba ni?" kata Jimi sambil mencapai alat kawalan jauh pendingin hawa. Ketika inilah dia berpaling memandang pintu, yang rupa-rupanya terbuka luas. Angin dingin malam menerobos masuk. "Patutlah sejuk betul..." rungutnya sambil matanya cuba mencari kelibat pelanggan yang masuk dan membiarkan pintu terbuka luas sebegitu.
Tetapi kelihatannya seperti hanya Jimi yang berada di kedai itu. Jimi memanjangkan leher pula menjenguk ke sekeliling kedai yang sederhana kecil itu. Memang tiada sesiapa di situ melainkannya. Jimi mengeluh.
Sambil membetulkan jeket, dia keluar dari belakang kaunter, melangkah menuju ke pintu. "Patutnya aku tampal kertas kat kaca ni. SILA TUTUP SEMULA. Ataupun susah sangat, suruh bos tukar je pergi pintu yang automatik tu ha...kenapalah sejuk sangat malam ni?" sempat dia mengomel sambil menutup pintu.
"Maaf,"
Hampir sahaja Jimi melompat sebaik satu suara halus menyapa cuping telinganya. Pantas dia berpaling ke belakang. Sekali lagi dia terkejut apabila seseorang yang mengenakan baju hujan labuh berwarna gelap, dan hudnya melindungi separuh wajah, sudah berdiri betul-betul di hadapannya. Membuatkan Jimi berundur laju sehingga tersandar di dinding pintu kaca.
"Woah, siapa kau?" tanpa sedar meninggi nada suara Jimi menyoal, membulat matanya melihat individu itu. Dari mana dia muncul? Hampir sahaja jantungnya melompat keluar. Mana kan tidak, dia pasti tiada sesiapa di dalam D'Kiosk itu tadi selain dirinya. Dari mana pula datangnya orang ini? Mustahil dari pintu masuk belakang, kerana seingatnya Nurul sudah mengunci pintu itu. Memang pintu masuk belakang itu akan dikunci selepas jam sepuluh malam. Dalam dia masih merasa detak jantungnya berdegup menggila, sempat juga mata Jimi mencuri lihat pada jam dinding besar di dinding kaunter. Tepat pukul 12 tengah malam!
Hantu? Ah sudah!
"Maaf," sekali lagi kedengaran perkataan itu, kali ini orang berbaju hujan labuh itu menarik hud sekaligus memperlihatkan wajahnya buat pertama kali.
Untuk kesekian kalinya Jimi terkejut lagi. Disebalik baju hujan labuh yang berhud itu rupanya seorang wanita yang mana wajahnya sahaja membuatkan bulu tengkuk Jimi meremang. Wajah bujur sirih itu terlihat putih pucat, malah sebenarnya sangat pucat seolah pemiliknya tidak pernah melihat matahari, ataupun kehabisan darah? Bibirnya yang juga pucat merekah hanya kelihatan seperti garisan. Matanya.
Hanya matanya sahaja yang kelihatan menyerlah di wajah pucat itu kerana ianya memiliki alis semula jadi hitam dan sedang galak memandang tepat ke wajah Jimi, tanpa berkelip. Jimi menelan liur. Kenapa dia merasa seram sejuk sahaja tiba-tiba?
Namun lekas-lekas dia menguasai dirinya semula dan segera beralih ke kiri menjauhi wanita berwajah pucat itu. Mata wanita itu mengikuti setiap pergerakan Jimi, masih tidak berkelip. Jimi menyumpah-nyumpah dalam hati, kenapa dia merasa seram sejuk pula sekarang ini. Manusia kah atau apa yang berada di hadapan aku sekarang ini? Kala ini barulah Jimi terdesak cuba mengingati surah-surah Al-Quran. Dalam hati ligat dia membacanya.
Beberapa saat berlalu dengan senyap di mana Jimi takut-takut berani membalas pandangan wanita di hadapannya itu. Dia baru mahu membuka mulut apabila wanita itu terlebih dahulu bersuara.
"Maaf, buat awak terkejut," terang dan jelas suaranya. Kali ini wajah pucat yang tadinya kaku tanpa sebarang riak itu tampak berubah sedikit. Hujung bibirnya melengkung sedikit ke atas, yang Jimi pasti adalah senyuman. Jimi menelan liur, tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Namun kemudian menjungkit sebelah keningnya.
"As...Assalamualaikum!" spontan perkataan itu yang keluar dari mulutnya sambil menahan nafasnya memandang tepat pada wanita itu. Mungkin bersedia malahan berharap apa pun yang berada di hadapannya saat ini akan terbakar. Paling tidak terus ghaib sebaik mendengar laungan ucapan suci itu.
Namun wanita pucat itu hanya tersenyum.
"Waalaikumusalam..." dia menjawab ucapan salam itu dengan tenang. Jimi terpempam. Mana ada hantu jawab salam!
"Awak fikir saya hantu ke?" wanita itu menyoal pula sambil tergelak kecil, seolah kelucuan dengan tanggapan pertama Jimi itu.
Jimi terkaku tidak bersuara, hanya terkebil-kebil memandang wanita yang kini tersenyum senget. Bagaimana dengan sekelip mata seseorang yang tadinya kelihatan misteri dan sedikit menyeramkan boleh bertukar menjadi...sesuatu yang indah di mata? Malah nada ketawanya tadi pula terdengar merdu di telinganya. Kini Jimi memandang wanita tadi seolah terpukau. Seketika tersedar, Jimi memejam matanya sekilas sebelum mencerun pandang.
"Dah tetiba je muncul, tepat tengah-tengah malam macam ni pula tu, salam tak ada, dah tentu lah orang akan anggap hantu!" ada rungutan dalam nada Jimi.
Tergelak lagi wanita berwajah pucat tadi "Maaf, dah terbiasa," Jimi berdehem kecil melihat senyuman wanita yang masih misteri di matanya. Kemudian lekas-lekas dia melangkah ke belakang kaunter. Langkah berjaga-jaga harus diambil kira juga. Iyalah, walaupun mungkin wanita itu bukan entiti halus ataupun hantu dan juga sebenarnya dia kelihatan comel jika tersenyum, dia tetap sedikit ragu-ragu. Manalah tahu sebenarnya dia adalah antara modus operandi untuk merompak D'Kiosk ini. Jimi selalu juga menyelak akhbar harian. Zaman sekarang penjenayah sudah semakin kreatif dalam melakukan jenayah. Lagipula wanita yang Jimi agak lebih kurang sebaya dengannya itu berani berjalan sendirian tengah malam begini. Dari mana dia agaknya berbaju hujan begitu dan ke mana tujuannya pula. Ada sebatang kayu besbol yang disimpan di bawah kaunter. Memang sengaja mereka, pekerja D'Kiosk menyembunyikannya di situ, sebagai alat mempertahankan diri.
"Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" soalnya cuba memasang riak tenang walhal dia mula berasa ada yang tidak kena dengan situasi sekarang ini. Wanita tadi melangkah ke kaunter.
"Jimi, sini ada jual pembalut luka, kan?"
Jimi sudah tidak dapat bertenang lagi. Rasa seram yang baru mahu sirna tadi kembali mencanak. Sah, wanita ini bukan manusia! Kalau tidak bagaimana dia boleh tahu nama Jimi? Ini adalah kali pertama Jimi melihat wanita itu dan seingatnya dia tidak ada memperkenalkan namanya tadi. Apa yang harus dia lakukan?
Wanita itu mengangkat kening melihat reaksi Jimi dan mengetap bibir. Nyata cuba menahan tawanya lantaran reaksi Jimi itu.
"Saya manusia biasa, macam awak juga. Dan dari situ..." jari telunjuk dituding ke arah tanda nama yang tersemat di dada jeket Jimi, "...saya tahu nama awak,"
Separuh terlopong Jimi. Kemudian tangannya kalut meraba dada jeket, di mana terlekatnya tanda nama. Kelihatan sedikit malu, Jimi menjungkit sebelah kening pada wanita itu.
"Awak boleh membaca fikiran orang juga?" hampir berbisik nada Jimi.
"Nama saya Suria," wanita itu mula memperkenalkan dirinya. Jimi tidak memberikan sebarang respon sebaliknya masih memandang Suria dengan kening berkerut. Suria berdesah sedikit sebelum menarik nafas dalam-dalam, seolah telah membuat keputusan. Jimi dapat melihat titik-titik peluh di dahi wanita itu.
"Dan Jimi..." sambil berkata, Suria menanggalkan baju hujannya membuatkan mata Jimi semakin terbeliak "...kalau benar saya ini hantu, sudah tentu saya tidak akan luka sebegini, kan? Kedai awak ini ada jual pembalut luka kan?"
Terdapat koyakan besar di lengan bahu kemeja yang dikenakan Suria, sekaligus menampak kan luka yang teruk bermula dari bahu sehingga hampir ke siku wanita itu.***
"Teruk gila aku tengok luka tu. Macam mana boleh luka sampai macam tu? Sebab tu muka dia pucat sangat agaknya, tahan sakit lah katakan...tapi nampak rileks je aku tengok," bebel Jimi sambil tertunduk-tunduk mencari kotak first aid kit di dalam stor kecil di bahagian belakang kedai. Melihat luka Suria tadi, Jimi sudah tahu yang wanita itu bukan sekadar perlukan pembalut luka sahaja. Ubat luka yang dijual pula sudah kehabisan stok. Mujur dia teringat tentang first aid kit di bilik stor.
Kotak itu dijumpainya di atas almari. Dicapai dan tanpa berlengah terus kembali ke bahagian depan kedai. Berkerut sedikit kening melihat Suria tiada depan kaunter. Baru sahaja Jimi mahu memanggil nama wanita itu, dia terlihat Suria duduk atas lantai bersebelahan dengan peti sejuk besar. menyandar di dinding dengan mata terpejam. Kakinya dilunjurkan. Baju hujan tadi sudah dilipat elok-elok di tepinya dan terdapat sekaki payung yang agak usang di ribanya. Dari mana datangnya payung itu, Jimi tidak pasti.
"Err...Suria?" perlahan Jimi memanggil sambil mendekati perlahan. Tidak bergerak sedikit pun wanita itu. Dah kenapa dengan dia ni? Pengsan? Atau sudah ma... Jimi menelan liur. Tolonglah jangan mati, sekurang-kurangnya bukan dihadapannya. Terbayang di kepala Jimi akan kekecohan yang bakal berlaku jika itu berlaku.
"Suria..." panggil Jimi lagi, namun Suria masih tidak menjawab. Hanya kaku dalam keadaan begitu. Jimi kebingungan seketika berdiri di hadapan Suria. Melihatkan luka di tangan wanita itu membuatkan dia lebih gelisah. Naluri kemanusiaan menyuruhnya mengejutkan wanita itu dan segera merawat luka yang teruk itu. Kemudian dia akan meminta teksi menghantar Suria ke hospital.
Lalu Jimi pun meletakkan kotak first aid kit di tepi kaki Suria. Wajah Suria dipandangnya. Dapat dilihat butir-butir keringat di dahi wanita itu. Jimi mahu mengalihkan payung dari riba Suria apabila tiba-tiba tangan Suria sudah memegang kejap pergelangan tangannya. Mata yang terpejam tadi kini sedang galak memandangnya.
"Saya boleh alihkan sendiri," mendatar suara Suria sambil melepaskan perlahan tangan Jimi.
"Tak...bukan...saya ingat awak...saya cuma nak alih..." tergagap-gagap Jimi kerana tersentak tadi. Suria hanya mengangguk dengan senyuman nipis.
"Selepas saya mati, barulah awak boleh pegang payung ini. Selagi saya masih bernyawa, elok saya sahaja yang memegangnya," katanya. Hampir bertaut kening Jimi mendengar kata-kata Suria itu. Apa yang wanita ini merepek?
"Mari...saya tengok luka tu," katanya mengalih perhatian. Kotak first aid kit tadi dicapai dan dibuka. Suria hanya mendiamkan diri saat Jimi merawat lukanya. Sesekali Jimi berdesis sendiri tatkala menyapu ubat luka di bahu Suria. Sesekali dia tergeleng-geleng melihat luka itu.
Suasana senyap seketika sambil Jimi dengan tekun mula membalut tangan Suria.
"Macam mana awak boleh dapat luka seteruk ini?" soalnya.
"Saya cuma tersilap langkah sahaja,"
"Tersilap langkah? Awak terjatuh ke? Jatuh kat mana? Tapi luka awak ni macam kena robek-robeklah, betul kan?"
Apabila dia mengangkat muka, barulah dia tersedar yang Suria sedang merenungnya bersama senyuman nipis. Tercengang Jimi. Dan dia dapat melihat wajah Suria itu dengan lebih jelas kali ini. Wajah yang pucat itu kelihatan lebih kepada keletihan berbanding menahan kesakitan. Walaupun pandangannya galak bak pemburu, tetapi senyumannya tampak lembut dan...sedih? Seolah senyuman seseorang yang menyimpan seribu keperitan dan misteri dalam masa yang sama. Entah mengapa tanggapan itu yang ada pada Jimi.
"Awak orang yang baik, Jimi. Mungkin saya akan pilih awak," kata perlahan Suria bersama senyumannya.
"Pi..pilih? Saya?"
"Terima kasih Jimi, untuk rawatan ini,"
Segera Jimi tersedar, berdiri dan kelihatan resah sendiri. Dia berdeham cuba menenteramkan hati yang tidak keruan tiba-tiba.
"Awak...awak patut ke hospital, untuk periksa luka itu lagi dan rawatan lanjut," ujar Jimi sambil memerhatikan Suria yang sudah mula berdiri.
"Rasanya tidak perlu, ini sahaja pun sudah cukup," Suria menjawab. Baju hujan tadi kembali disarung ke badan, menyembunyikan tangan yang berbalut. Payung usang tidak dilepaskan. Selesai mengenakan baju hujan, barulah Suria memandang Jimi.
"Terima kasih," ucapnya, tunduk sedikit sebelum berpaling mahu melangkah ke pintu.
"Siapa awak sebenarnya?"
Soalan Jimi yang tiba-tiba itu mematikan langkahnya. Jimi memandang belakang Suria itu. Dia benar diamuk rasa ingin tahu siapa wanita misteri itu. Segala tanggapan hantu mahupun perompak ditolak tepi. Seperti ada sesuatu pada Suria yang membuatkan Jimi panasaran.
Perlahan Suria berpaling, wajah pucatnya dihiasi senyuman senget.
"Kalau selepas ini kita terserempak lagi, memang sayalah takdir awak,"
Bersama jawapan itu, Suria terus menolak pintu dan berlalu keluar. Tinggal Jimi, kaku di tempatnya berdiri, nyata sedikit bingung dengan jawapan dari Suria itu.
"Dia cakap apa sebenarnya? Tak faham aku..." getusnya. Segera dia menuju ke pintu dan menjengukkan kepala keluar untuk melihat kelibat Suria. Tetapi koridor luar itu kelihatan sunyi tanpa kehadiran sesiapa. Jalan raya pun lengang tanpa kenderaan yang lalu.
"Eh? Mana pula dia? Baru sekejap je keluar tadi, bayang dia pun tak nampak?"
YOU ARE READING
HUNTER (WATTY2016)
Mystery / Thriller"biar tergalang nyawa ku, asal terhapus wujud mu," - Suria (Pemenang anugerah The Wattys 2016) 30 Nov 2016 : #46 in Mystery/Thriller 19 Feb 2017 : #37 in Mystery/Thriller 19 Feb 2017 : #31 in Mystery/Thriller