Mengenakan baju sejuk berhud yang menutupi kepalanya, Jimi memerhatikan sekeliling bangunan Hotel Heritage di sebalik kaca mata hitamnya. Jimi yakin Suria si pembunuh kejam itu tidak akan mengenalnya. Itu pun jika wanita itu memang mencarinya. Tetapi dia yakin, Suria sedang memburunya kerana dia kini adalah saksi utama pembunuhan di lorong belakang semalam, biarpun Roni berkata dia hanya berdelusi.
"Kau tak rasa diri kau sekarang ni over sangat ke?" soal Roni yang sudah berdiri di sebelahnya.
"Ini langkah berjaga-jaga! Kau apa tau?" sedikit melenting Jimi. Roni mencebik kecil seraya berpeluk tubuh.
"Aku tanya je pun...itu pun nak touchy..." gumam Roni menjungkit bahu. Jimi menjelingnya.
"Yang kau nak ikut aku ni kenapa? Pergilah sambung kerja kau. Tadi kata aku ni berhalusinasi kan? Huh!"
"Adui...merajuk pula. Sejak bila kau pandai merajuk ni Jimi?"
"Dah lah, pergi lah balik kedai, sambung kerja kau. Dah lah semalam sanggup tak datang kerja gara-gara tengok wayang. Pergi balik kedai,"
"Ala...Manisah ada tolong jaga kedai tu. Aku nak temankan kau ni, satu malam kau tak tidur tau. Nanti tak pasal-pasal pengsan tengah jalan ke apa. Kau nak buat apa jumpa Nazrie tu, Jimi?"
Jimi malas mahu menjawab, sebaliknya dia terus melangkah masuk ke dalam lobi hotel. Terus menuju ke kaunter. Sekarang baru pukul lapan pagi, kemungkinan dia masih sempat berjumpa dengan Nazrie yang sepatutnya tamat bertugas pukul 7.30 pagi. Dia mahu berjumpa dengan rakannya itu. Jika Roni tidak percayakannya, mungkin Nazrie sebaliknya. Lagipun dia masih ingat bagaimana Nazrie dengan lancar menutur maklumat tentang kes pembunuhan bersiri itu. Dia hanya perlu memberitahu Nazrie apa yang di lihatnya. Jika perlu ke balai polis pun dia sanggup. Lagipun dia adalah saksi, bukan?
"Nazrie masih ada? Dia belum balik lagi ke?" soalnya pada receptionist wanita yang sibuk menulis buku log. Wanita itu mengangkat wajah memandang Jimi dan Roni.
"Dia baru je keluar bang, mungkin masih ada kat luar itu..."
Belum pun sempat wanita itu menghabiskan ayatnya, Jimi sudah berlari keluar. Roni pula yang terpaksa meminta maaf atas sikap Jimi itu. Jimi membuat tekaan yang mungkin Nazrie akan bersarapan di restoran tepi bangunan itu seperti selalu.
"Jimi! Eh, tunggu lah!" Roni berlari mengejarnya.
Restoran Maju Seafood yang terletak di tepi bangunan Hotel Heritage itu memang sibuk pagi sebegini. Menjadi tumpuan pekerja-pekerja yang berkerja syif malam mengisi perut bersarapan. Jimi dapat melihat Nazrie duduk membelek telefon pintarnya bertemankan secawan kopi O.
"Naz!"
Hampir sahaja terpelanting telefon dari tangan Nazrie mendengarkan teriakan Jimi itu. Mata-mata yang sedang memandang tidak diperdulikan Jimi, dia terus sahaja menuju ke arah Nazrie sambil di ekori Roni.
"Naz, aku ada hal penting nak cakap dengan kau ni!" terus dia duduk di hadapan Nazrie yang tercengang itu.
"Kenapa ni? Kenapa kau nampak kusut ni?" Nazrie menyoal melihat Jimi sebelum mengangkat dagu pada Roni. Roni hanya mengeluh sebagai jawapan.
"Naz, memang betul Naz apa yang kau cakap kat aku pagi tadi. Pembunuh bersiri tu, aku ternampak dia!"
Nazrie terkebil-kebil dengan mulut separuh ternganga. "Kau apa, Jimi?" soalnya seolah kurang mengerti.
"Aku cakap aku ternampak pembunuh tu bunuh mangsa terbaru dia semalam! Di belakang bangunan kami!" kata Jimi. Roni menyenggol lengannya memberi isyarat untuk memperlahankan suaranya. Jimi menelan liur, tetapi wajahnya masih serius.
YOU ARE READING
HUNTER (WATTY2016)
Mystery / Thriller"biar tergalang nyawa ku, asal terhapus wujud mu," - Suria (Pemenang anugerah The Wattys 2016) 30 Nov 2016 : #46 in Mystery/Thriller 19 Feb 2017 : #37 in Mystery/Thriller 19 Feb 2017 : #31 in Mystery/Thriller